Friday, April 6, 2012

TUJUAN UTAMA ORANG BERKAHWIN

Perkahwinan ialah ikatan perhubungan sosial yang terjalin secara lahiriah dan batiniyah antara seorang lelaki dengan seorang perempuan atau beberapa orang perempuan. Seorang lelaki dibenatkan memiliki beberapa orang isteri tertakluk kepada kepercayaan agama tertentu dan norma serta adat sesuatu masyarakat. Setelah sah bergelar suami dan isteri maka mereka boleh tinggal serumah siang dan malam tanpa sebarang gangguan. Mereka boleh berhubung dan bergaul secara sulit tanpa batasan. Segala kemahuan berkasih sayang dan keinginan seks dapat dinikmati dengan sepuas-puasnya.

Tidak dapat dinafikan jauh di sudut hati semua manusia normal sifatnya matlamat utama mereka mendirikan rumah tangga ialah untuk melayan nafsu seks mereka yang sekian lama terpendam. Mengikut perkembangan fisiologi, nafsu seks mula hadir secara lengkap dalam naluri seseorang setelah mencapai umur baligh. Pada tahap inilah tidak kira sama ada lelaki atau perempuan mula berminat untuk menyayangi seseorang dan berharap disayangi oleh orang yang diminatinya. Secara semulajadi manusia juga mula mengerti tentang hubungan seks antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Mujurlah manusia dikurniakan akal bagi membolehkan seseorang berfikir secara rasional. Seseorang manusia dilarang sekeras-kerasnya oleh agama dan kebanyakan masyarakat melakukan hubungan seks sebelum berkahein. Manusia hanya dibenarkan bercinta dan mencurahkan rasa sayang dengan batasan-batasan tertentu. Akibat tegahan inilah manusia perlu bersabar bertahun-tahun lamanya.

Untuk memasuki gerbang perkahwinan tidak semudah yang diimpi-impikan sewaktu zaman remaja. Seorang teruna dan dara perlu betul-betul bersedia untuk meninggalkan zaman bujang dan memulakan hidup secara berkeluarga. Seseorang lelaki yang bakal bertindak sebagai ketua keluarga mesti mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang secukupnya untuk menyara seorang isteri dan anak-anak yang bakal dilahirkan. Lantaran desakan nafsu seks seseorang lelaki sewajarnya perlu aktif mencari pekerjaan yang boleh menjana pendapatan yang secukupnya bagi mengetuai sebuah keluarga. Demi desakan nafsu seks, seseorang perempuan mungkin menggalakkan teman lelakinya bekerja dengan rajin dan bertindak matang agar dapat melangsungkan perkahwinan secepat mungkin.

Istilah "malam pertama" sering dikaitkan dengan mereka yang baru mendirikan rumah tangga. Setelah diijabkabul bagi orang Islam dan setelah didaftarkan bagi penganut agama lain, pada malam tersebutlah pasangan mempelai sah di sisi agama dan masyarakat melakukan hubungan seks. Ibu bapa mereka sedia maklum dan tentu sekali menyiapkan sebuah bilik yang dilengkapi dengan hiasan dan katil yang selesa. pada detik itulah mereka boleh melepaskan nafsu seks yang sekian lama terpendam. Bagi lelaki wajar sekali memiliki alat kelamin yang boleh berfungsi dengan sempurna. Alangkah bahagia dan ceria seandainya mampu memberi kepuasan yang maksima kepada isterinya. Bak kata pepatah Melayu, jika alu yang baik buatannya bertemu dengan lesung yang serasi dengannya akan menghasilkan sambal yang sedap dan menyelerakan.

Sekiranya seseorang lelaki sering tewas sewaktu beraksi dengan pasangannya, kemungkinan dia memiliki alat kelamin yang kurang kental dan kurang bertenaga. Langkah segera perlu diambil bagi mengatasi masalah alat kelaminnya. Cara yang terbaik ialah boleh mendapatkan khidmat tukang urut batin yang benar-benar pakar dan berkebolehan. Disyorkan juga berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat bagi mendapatkan ubat kuat yang tidak menjejaskan kesihatan.

Dalam usaha memenuhi kehendak nafsu seks manusia yang terbatas dan tidak terbatas pelbagai jenis ubatan, makanan tambahan dan beraneka jenis minuman boleh didapati di pasaran. Mengikut pada iklan yang sering kita dengar pelbagai produk ini mampu menguatkan alat kelamin lelaki yang tidak mampu berfungsi dengan baik. Terdapat beberapa jenis produk yang mampu merangsang nafsu seks lelaki dan perempuan. Syarikat jualan langsung begitu ageresif memperkenalkan barangan mereka yang mampu mengubati pelbagai jenis penyakit tidak terkecuali mampu merangsang nafsu seks. Terdapat syarikat jualan langsung begitu berani sekali meyakinkan pasangan yang bermasalah dalam hubungan seks sekiranya mengamlkan makanan tambahan atau ubatan keluarannya dalam tempoh beberapa minggu pasangan suami isteri yang bermasalah akan bahagia dan terus mengecap nikmat kasih sayang.

Tidak dapat disangkal salah satu faktor penceraian ialah suami tidak mampu memuaskan nafsu seks pasangannya. Pada satu peringkat tertentu pula isteri bersikap dingin seks dan tidak mahu melayan kehendak seks suaminya. Dalam situasi lain pula terdapat pasangan yang mantap ekonomi tetapi tidak mampu beraksi di ranjang dengan sempurna. Tanpa memikirkan larangan agama dan demi memenuhi mafsu seks ada individu yang sanggup curang dengan pasangan sendiri dan beraksi dengan orang lain. Jelaslah bahawa nafsu seks amat penting dan merupakan satu tuntutan dalam kehidupan manusia. Manusia sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit demi memuaskan nafsu seks.

Tuesday, March 20, 2012

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir keluar UMNO. Apa Motifnya yang tersirat?

Setelah beberapa bulan berada di pentas ceramah dan sesi penerangan yang tidak sehaluan dengan perjuangan UMNO kini, akhirnya pada 19 Mac 2012 Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir telah mengisytiharkan dirinya keluar dari parti UMNO. Beliau yang sebelum ini bersusah-payah dan bersenang-lenang dalam UMNO selama 56 tahun telah bertindak menyisihkan dirinya dari parti yang sekian lama menaikkan namanya dalam arena politik tanah air. Beliau dilahirkan pada 4 Jun 1939 di Kampung Tawar, Kulim, Kedah. Beliau berkelulusan Undang-Undang dari Lincoln,s inn London pada tahun 1970. Seingat saya beliau pernah menjadi Menteri Penerangan dari tahun 2004 hingga tahun 2006. Tidak dinafikan jasanya pada UMNO dan Malaysia harus dipuji. Beliau juga sekian lama memenangi kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baru, Kedah.

Peminat politik tertanya-tanya sindrom apakah yang telah melanda Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sehingga tergamak mengutuk habis-habisan parti politik yang disayanginya selama ini. Parti UMNO jugalah yang telah mempopularkan Tan Sri Abdul Aziz di pentas politik negeri Kedah. Sewaktu beliau menjadi ahli parlimen selama beberapa penggal, beliau amat dikagumi dan dihormati oleh kebanyakan pengundi di Kulim-Bandar Baru. Dengan tiba-tiba kita didedahkan dengan maklumat yang disebarkan oleh Tan Sri Abdul Aziz berkaitan kelemahan-kelamahan dan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO masa kini. tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memujuk pemimpin UMNO agar tidak bergelumang dengan dosa rasuah. Memandangkan UMNO kini telah banyak tersasar dari landasan asal dan tujuan murni penubuhan UMNO. Tanpa ragu dan segan silu, beliau mengambil keputusan untuk menceritakan segala kepincangan dan budaya kronisme yang wujud dalam UMNO.

Tindakan luar jangka yang dimbil oleh beliau telah mengejutkan banyak pihak. Seorang Tan Sri yang sebelum ini begitu setia dengan UMNO telah berpaling tadah dan begitu lantang menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap UMNO. Keputusannya keluar dari UMNO saya teliti dengan penuh berhati-hati. Bagi saya tiga jangkaan beliau sanggup keluar dari UMNO. Pertama, Beliau beranggapan pemimpin UMNO masa kini telah terpesong dari perjuangan asal penubuhan UMNO. Lantaran itu, Pemimpin tertentu sanggup memungkiri amanh rakyat dengan melakukan rasuah dsbnya. Kedua, Beliau terpikat dan yakin dengan reformasi dan pendekatan politik yang sedang dirancang dan telah dilaksanakn oleh Pakatan Rakyat. Mungkin beliau menyelami beberapa dasar dan pelaksanaan pembangunan di empat negeri di bawah Pakatan Rakyat menjurus terus kepada rakyat. Ketiga, barang kemungkinan beliau dijadikan alat untuk menyusup masuk ke dalam parti pembangkang dan merosakkan parti pembangkang dari dalam. Bak kata pepatah Melayu "gunting dalam lipatan". Perkara ini pernah berlaku di Perak pada tahun 2009 di mana ADUN Bota, Nasarudin Hashim berpura-pura menyertai PKR dan selang beberapa hari selepas itu kembali semula kepada BN.

Lantaran itu, Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP harus berhati-hati dengan reaksi dan perilaku yang ditunjukkan oleh Tan Sri Abdul Kadi Sheikh Fadzir. Pemimpin Pakatan Rakyat boleh berbaik-baik dengan beliau tetapi dalam keadaan berjaga-jaga. Rahsia dan strategi parti dalam usaha memenangi hati rakyat dan merampas negeri-negri lain yang masih dikuasai oleh BN mesti disembunyikan daripada beliau. Kawan dalam politik memang tidak boleh dipercayai. Kita harus menghayati sejarah Melaka, peranan jahat yang dimainkan oleh Kitul telah menyebabkan perselisihan faham sesama pembesar Melaka pada ketika itu. Pakatan Rakyat pun telah ada banyak pengalaman beberapa ahli parlimennya yang berpaling tadah. Seterusnya mengutuk Pakatan Rakyat di parlimen dan medan politik yang lain. Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang telah mempermainkan parti PAS di Pasir MAS. Setelah beberapa lama mendapat mandat daripada rakyat Pasir Mas. Sedikit demi sedikit menghina dan mencerca pemimpin PAS. Bak kata peribahasa Melayu "melepaskan anjing yang tersepit".

Friday, January 20, 2012

PEMUZIK JALANAN

Pemuzik jalanan ialah mereka yang bermain muzik di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Mereka tidak boleh mengatakan bahawa lokasi tertentu ialah tempat mereka. Bagaimanapun, jika mereka kerap bermain di sesuatu lokasi tertentu mereka yang sekerjaya dengan mereka tidak akan mengganggu tempat tersebut. Mereka akan mencari tempat yang selesa dan selamat untuk bermain muzik dan dapat menarik perhatian orang ramai mendengar alunan suara mereka dan melihat gaya persembahan yang mereka tonjolkan. Dapat diperhatikan bahawa ada yang beraksi secara individu dan ada yang lebih gemar bermain secara berkumpulan sama ada dua atau tiga orang sekumpulan. Jika terhibur dengan nyanyian dan persembahan mereka, tentu sekali mereka mengharapkan ganjaran dalam bentuk wang. Mereka tidak menentukan jumlah dan orang ramai boleh memberikan wang seikhlas hati mereka.

Secara realiti, inilah satu cara terkini mereka yang mempunyai bakat dalam bidang seni sauara dan muzik menonjolkan kebolehan mereka kepada masyarakat umum. Dengan hanya memiliki sebuah gitar atau sebuah keyboard dan dilengkapi dengan paluan drum yang ringkas mereka mampu menyerlahkan keistimewaan yang ada pada mereka untuk mencari rezeki. Berbekalkan daya usaha dan tabah menghadapi dugaan daripada segelintir masyarakat yang tidak mampu menilai seni muzik, mereka beroleh rezeki hasil titik peluh mereka sendiri.

Bila direnungkan sejenak mereka yang berbakat dalam bidang muzik dan seni suara tidak dapat mengetengahkan bakat mereka menerusi penjualan cakera padat dsbnya. Syarikat-syarikat rakaman dan penerbitan album kurang berminat megeluarkan album kerana tidak laku di pasaran. Kecanggihan teknologi maklumat telah menyebabkan album-album penyanyi tempatan dan luar ngeri disalin dengan begitu mudah dan pelbagai cara. Atas hakikat inilah mereka yang berkebolehan dalam bidang seni suara dan muzik terpaksa mencari inisiatif lain bagi mendapatkan sumber pendapatan menerusi bidang seni suara dan muzik. Bagi mereka yang ditaja dan mempunyai sumber kewangan yang banyak mereka boleh menganjurkan persembahan pentas dan konsert. Menerusi tiket yang berharga puluhan dan ratusan ringgit mereka bolehlah menjana sumber pendapatan. Bagi mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai modal, cara terbaik ialah bertindak sebagai seniman jalanan.

Bermain muzik di loasi yang menjadi tumpuan ramai ialah salah satu pekerjaan yang harus mendapat pengikhtirafan daripada masyarakat dan kerajaan. Mereka yang menceburi bidang ini semakin bertambah terutama sekali di bandar-bandar besar kerana peluang pekerjaan yang ada tidak dapat menampung pertambahan penduduk yang memerlukan pekerjaan bagi menyara hidup. Banyak pekerjaan yang ada ditawarkan kadar gaji yang rendah berbanding kos hidup yang semakin tinggi. Sudah sampai masanya kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan membawa usul di Dewan Rakyat agar kerjaya ini akhirnya mendapat pengikhtirafan daripada kerajaan dengan beberapa syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi. Salah satu syarat terpenting ialah mereka yang berminat untuk menjadi pemuzik jalanan perlu memohon lesen daripada jabatan kerajaan yang berkenaan. Mereka juga perlu dipantau oleh pegawai tertentu dari semasa ke semasa bertujuan meninjau pendapatan yang mampu diperolehi oleh mereka. Jika purata pendapatan bulananya mencapai empat hingga lima ribu ringgit sebulan. Mereka perlu membayar cukai kepada kerajaan menerusi LHDN.

Diharapkan suatu hari nanti kerjaya ini akan mendapat pengesahan dan pengikhtirafan daripada kerajaan. Dengan cara ini peluang pekerjaan akan bertambah dan dapat diceburi terutama sekali oleh rakyat Malaysia yang mempunyai bakat dalam bidang muzik dan seni suara. Mereka tidak akan dipandang serong oleh masyarakat. Pemuzik jalanan akan dihormati dan pastinya mereka akan diundang untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan, rumah terbuka dsbnya. Secara logiknya mereka perlu dihargai kerana mempunyai bakat. Dengan bakat yang ada mereka berupaya menghiburkan masyarakat. Masyarakat yang terhibur akan memberi ganjaran kepada mereka.

Thursday, January 5, 2012

Minta Beli Kereta

Sudah dua hari anak kedua saya menjejakkan kakinya ke alam persekolahan. Saya memilih SK Zon 1 Wangsa Maju kerana berdekatan dengan rumah. Perancangan saya dan isteri, setiap hari dia berjalan kaki ke sekolah dengan ditemani kakaknya yang secara kebetulan terus menuju ke SM Zon R1 Wangsa Manju. Hari pertama, ibu dan kakaknya berada di sekolah sehingga waktu rehat. Biasalah untuk mengajar dia membeli makanan di kantin dan ke tandas serta mengingatkan beberapa peraturan sekolah yang mesti dipatuhi. Dari pemerhatian kakaknya sedikit sebanyak dia dapat menyesuaikan dirinya dengan peraturan sekolah dan selesa bergaul dengan kawan-kawan sebaya.

Pada hari kedua persekolahannya, dia dihantar oleh kakaknya ke sekolah. Sebelum keluar rumah, isteri saya telah memastikan dia betul-betul faham beberapa perkara yang perlu diingat dan dipatuhi. Pesanan terpenting ialah setelah sekolah tamat jangan keluar dari pagar sekolah sehungga ternampak ayah, ibu atau kakak menjemputnya di sekolah.

Petang tadi, saya dan adiknya berkesempatan menjemputnya di sekolah. Dia kelihatan begitu riang dan gembita setelah ternampak kami berdua sedang meninggunya di tepi pahar sekolah. Sambil berjalan pulang ke rumah dia beberapa kali menegur kawan yang sekelas dengannya. Dia ternampak dua orang kawannya dijemput oleh ibu mereka dan pulang ke rumah dengan menaiki kereta. Saya menjemputnya dan berjalan kaki sahaja pulang ke rumah. Dia terus memberi cadangan agar saya membeli kereta dan dapatlah dia naik dan duduk dengan selesa. saya terus bertanya, kereta dipandu oleh siapa sambil menguji pengetahuannya tentang penglihatan ayahnya. Dia terus menjawab dengan yakin, "siapa lagi, ayahlah". Saya tidak berkata apa-apa dengan harapan tiada lagi soalan susulan. Dua menyambung cadangannya dengan meminta saya membeli kereta seperti kereta Mak Longnya yang berada di Kelantan.

Rupa-rupanya pada usianya enam tahun empat bulan, dia masih belum mengenali gerak-geri dan kelemahan yang ada pada ayahnya. Dia masih tidak mengetahui mengapa warna biji mata saya berbeza dengan biji mata orang yang normal penglihatan. Jelasnya dia masih tidak mengerti yang ayahnya rabun penglihatan dan tidak mampu memandu kenderaan. Saya masih tidak menjelaskan kepadanya bahawa saya tidak boleh memandu kenderaan. Nanti banyak pula soalan susulan . Sehingga kini dia terus menunggu dengan penuh harapan agar saya membeli sebuah kereta untuk membawanya pulang dari sekolah.

Thursday, December 8, 2011

AHLI PARLIMEN YANG TIDAK SETIA KEPADA PKR DAN PARTI MEMERLUKAN TRANSFORMASI

Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah parti politik yang diwujudkan setelah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan sama ada dalam UMNO mahupun kepimpinan dalam kerajaan. Parti ini diasaskan pada 4 April 1999. Pada Februari 2003, parti ini telah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia. Pada 3 Ogos 2003, parti ini dan PRM telah melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang bersimpati dengan persengketaan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tentu sekali mereka memang menyokong perjuangan Panasihat Umum PKR ini. Sebahagian besar penyokong parti ini ialah ahli-ahli dan mereka yang pernah menyokong UMNO.


Dalam pilihanraya umum 8 Mac 2008 PKR mendapat sokongan yang amat memberangsangkan daripada rakyat terutama sekali di negeri Selangor, PKR telah memenangi 9 kerusi parlimen. Begitu juga dengan negeri Kedah di mana PKR telah memenangi 5 kerusi parlimen. Di Pulau Pinang dan WP Kuala Lumpur dengan tidak diduga PKR telah memenangi masing-masing 4 kerusi parlimen. Di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia PKR mendapat perhatian rakyat di 5 kerusi parlimen iaitu 3 kerusi di negeri Kelantan dan 2 kerusi di negeri Pahang. Di Perak PKR telah memenangi 2 kerusi parlimen dan di Negeri Seimbilan 1 kerusi parlimen. Semuanya PKR telah berjaya mengumpulkan 30 kerusi parlimen. Pencapaian PKR sebenarnya telah mengejutkan banyak pihak terutama sekali Barisan Nasional Tidak salah kalau dikatakan kebanyakan ahli parlimen dan penyokong PKR ialah serpihan BN terutama sekali UMNO.

Entah apa masalah dalaman dan pertelingkahan yang melanda dalam PKR seorang demi seorang MPnya telah melompat pari dan menjadi MP bebas. Tidak menghairankan juga jika dorongan dan pujukan datangnya dari luar PKR. Krisis ini bermula pada 12 Februari 2010 Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim MP Bayan Baru keluar dari PKR dan mengisytiharkan dirinya sebagai MP bebas kerana tidak berpuashati dengan Lim Guan Eng. Tidak sampai sebulan lamanya iaitu pada 1 Mac 2010 Tan Tee Beng MP Nibong Tebal pula keluar parti dan menyertai parti KITA yang diasaskan oleh Datuk Zaid Ibrahim. Selang dua hari iaitu pada tanggal 3 Mac 2010 Mohsin Fadzli Samsuri MP Bagan Serai mengumumkan keluar parti dan menjadi MP bebas kerana tidak berpuashati dengan isu Allah. Kedukaan dalam PKR bertambah parah apabila Dato' Zulkifli Nordin MP Kulim-Bandar Baharu dipecar dari PKR dan terpaksa menganggotai parti bebas iaitu pada 6 Mac 2010 kerana tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti. Dari sebelah utara semenanjung gelora dalam PKR berjangkit pula di Kuala Lumpur di mana pada 14 Mei 2010 Wee Chee Keong MP Wangsa Maju telah keluar PKR dan menyertai parti bebas kerana tidak berpuashati dengan isu penjualan pasir oleh KSSB di Selangor. Dengan tidak diduga episod ini semakin parah apabila orang lantang dalam PKR iaitu Gobala Krishnan MP Padang Serai melatakkan semua jawatan dalam PKR dan mengangotai pari bebas berkuatkuasa pada 29 Januati 2011. Inilah mereka yang mengkhianati amanah rakyat dan dengan mudah berpaling tadah. Mereka tidak setia kepada parti dan mudah diperdayakan.



Satu tragedi yang amat memilukan dan tidak akan luput dari lipatan sejarah berlaku pada 4 Februari 2009 akibat perbuatan curang terhadap parti dan rakyat sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang. Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak bukan kerana desakan dan pilihan rakyat tetapi kerana dua orang ADUNNYA yang mempunyai agenda peribadi. Mereka ialah Mohd Osman Mohd Jailu ADUN Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi ADUN Behrang yang telah melompat parti dan mengisytiharkan mereka sebagai parti bebas yang menyokong BN disolong pula oleh Hee Yit Foong ADUN Jelapang yang telah berpaling tadah dengan DAP dan bersetuju menjadi ADUN bebas.


PRU13 dijangkakan pada Mac 2012, untuk tujuan ini pucuk pimpinan tertinggi dalam PKR mesti melakukan transformasi dengan segera dan bersungguh-sungguh. Bakal-bakal ahli yang akan bertanding untuk kerisi Parlimen dan DUN perlu dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar setia pada parti dan mempunyai hasrat untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat, jika memenangi pilihanraya nanti. Isu ini perlu ditangani dengan serius agar pisang tidak berbuah dua kali. Mereka yang bakal dipilih juga mestilah mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan dikategorikan sebagai orang kaya dan mempunyai harta yang banyak. Mereka juga perlu mempunyai pekerjaan yang mantap dan tidak mempunyai bebanan hutang yang banyak. Jika tidak mereka agak senang diperdayakan oleh pihak tertentu yang boleh menjanjikan jumlah wang yang lumayan jika meninggalkan PKR dan sanggup membuat kenyataan akhbar bertujuan memburuk-burukkan PKR.


Memnurut YB Azmin Ali PKR mensasarkan untuk bertanding di 97 kerusi parlimen. Bagi parti pembangkang hasrat itu merupakan satu hajat untuk dominan dalam Pakatan Rakyat. Untuik merealisasikan azam mereka PKR mesti merancang satu perjumpaan yang melibatkan semua mereka yang bakal bertanding untuk DUN dan parlimen. Dicadangkan pucuk pimpinan PKR terutama sekali Penasihat Umum dan Presiden mesti memberi amanat yang berupa kata-kata perangsang. Ceramah motivasi juga perlu diperdengarkan kepada mereka yang bertanding untuk kerusi DUN dan parlimen.





Tuesday, November 29, 2011

RUU HIMPUNAN AMAN 2011 TELAH DILULUSKAN OLEH SOKONGAN MAJORITI MP DI DEWAN RAKYAT. REAKSI PEMBANGKANG DAN MAJLIS PEGUAM

Pada 30 November 2011 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 telah lulus dengan sokongan sebulat suara daripada ahli parlimen BN yang hadir di Dewan Rakyat. Pada 24 November 2011 RUU ini telah dibcakan buat kali pertama di dewan rakyat oleh PM. Mulalah kedengaran kritikan dan rasa tidak puas hati yang ketara daripada MP pembangkang. RUU ini telah menimbulkan kontroversi dengan tentangan dan bantahan yang hebat daripada ahli parlimen pembangkang. Di luar dewan Majlis Peguam turut bertindak menyuarakan pendapat dan buah fikiran mereka yang menentang RUU ini. Kemuncak kepada protes ini pada pukul 3.15 petang, semua MP pembangkan yang hadie ke dewan rakyat telah beramai-ramai keluar dewan. Mereka bertindak demikian setelah Speaker Dewan menolak cadangan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (MP Permatang Pauh) agar RUU ini dibawa terlebih dahulu ke jawatankuasa terpilih parlimen untuk perbincangan teliti terlebih dahulu. Mereka juga bertindak keluar dewan kerana Speaker Dewan hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang sahaja yang diberi peluang membahaskan isu ini.

Usul pindaan yang dibuat melibatkan fasal 9(1) untuk memnida tempoh yang ditetapkan kepada penganjur untuk memberikan notis mengadakan perhimpunan kepada polis daripada 30 kepada 10 hari.

Fasal 12(1) RUU tersebut turut dipinda untuk memendekkan tempoh untuk polis memaklumkan kepada pihak yang berkepentingan berhubung perhimpunan tersebut - daripada 48 jam kepada 24 jam.

Tempoh untuk pihak berkepentingan membuat bantahan kepada polis ke atas notis perhimpunan berkenaan pula dipendekkan daripada lima hari kepada 24 jam, menurut usul pindaan ke atas fasal 12(2).

Selian itu, tempoh untuk polis memberikan respons ke atas bantahan berkenaan juga dipendekkan daripada 12 hari kepada lima hari, menurut pindaan ke atas fasal 14.

Pindaan ke atas fasal 16 pula memendekkan tempoh rayuan yang dikenakan ke atas penganjur perhimpunan untuk membuat rayuan kepada menteri.

Rayuan berkenaan adalah berhubung sekatan dan syarat perhimpunan oleh polis yang turut melibatkan tarikh, masa, tempat dan cara perhimpunan.

Kerajaan bagaimanapun tidak meminda kuasa yang luas pada RUU berkenaan yang mencetus bantahan keras pelbagai pihak kerana mengharamkan semua bentuk demonstrasi jalanan.

Kerajaan mengambil keputusan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman atas alasan untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam secara keseluruhannya terpelihara. Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional pada dasarnya amat menitikberatkan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sejajar dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Atas hakikat inilah kerajaan sanggup dan rela menerima cemuhan dan kutukan yang bermotifkan politik demi memantapkan kedamaian dan kesejahteraan rakyat terbela.

Dalam usaha kerajaan mahu leluluskan RUU ini dengan kadar segera Majlis Peguan Malaysia yang merupakan pengamal uncang-undang yang sistematik di negara kita amat tidak bersetuju dengan RUU ini. Peguam-peguan yang berbaung di bawah Majlis Peguan Malaysia telah berhimpun di di Kelab Taman Perdana Diraja di Kuala Lumpur dan bergerak ke parlimen bertujuan meluahkan bantahab dan tentangan terhadap penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011. Perarakan ini diberi nama "Walk for Freedom". Mereka menganggap RUU itu merampas dan menafikan hak rakyat yang dengan nyata dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyeru peguam-peguam di Malaysia tidak harus membiarkan kebebasan rakyat disekat tanpa membuat sebarang tindakan. Lngkah pertama yang diambil oleh mereka ialah berhimpun secara aman sebagai tanda bantahan kepada RUU yang menyekat kebebasan rakyat untuk berhimpun bagi menyuarakan pendirian dan keperluan mereka kepada kerajaan.

Parti PAS pula akan mencabar dan mendakwa RUU Perhimpunan Aman 2011 ini di mahkamah. Pihak PAS menerusi peguamnya Mohamed Hanipa Maiden akan menyiapkan dokumen untuk pendakwaan secepat mungkin. Jika tiada masalah yang merintang Kes ini akan dibawa ke mahkamah pada Jumaat ini. Alasan yang digunakan oleh PAS ialah RUU ini bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia iaitu perkara 10(1)(b), iaitu hak untuk berhimpun.

Di Parlimen, sewaktu perbahasan beberapa ahli parlimen pembangkan lantang mengkritik dan membidas RUU ini. Antara mereka termasuklah MP Marang, Terenggany, MP Permatang Pauh, Pulau Pinang, MP Pagoh, Pulau Pinang dan MP Ipoh Timur, Perak. Situasi ini menggambarkan MP pembangkang sebulat suara menetang RUU ini sekeras-kerasnya.

Secara sedar atau tidak RUU Perhimpunan Aman 2011 ini telah memberi ruang dan peluang kepada parti pembangkang sebagai modal untuk kempen pilihanraya ke-13 nanti. Dalam usaha untuk menyekat orang ramai yang biasanya didalangi oleh parti pembangkang melakukan demonstrasi di jalanan BN terpaksa berhadapan dengan risiko kesempatan yang diambil sebaik mungkin oleh parti berhaluan kiri untuk berkempen. Kelemahan dan kepincangan yang dapat dicungkil dalam RUU ini akan dijadikan bahan kempen bagi mempengaruhi rakyat menyokong dan menyebelahi parti pembangkang. Kini strategi dan jalan penyelesaian perlu disegerakan bagi menyekat dan membidas tohmahan parti pembangkang.

Pada saya RUU ini kurang mantap dan beberapa perkara yang dipinda boleh dipertikaikan. Pindaan yang ingin dilakukan tidak boleh tergesa-gesa. Sekumpulan pakar undang-undang perlu dipilih bagi tujuan meneliti pindaan yang telah dirangka. Melalui proses ini pembetulan dan pengubahsuaian dapat dimurnikan. Pada peringkat awal, Majlis Peguam Malaysia telah mengkritik pndaan ini kerana bercanggah dengan Perlembagaan malaysia iaitu menyekat orang ramai untuk berhimpun. Dengan fakta yang telah diberikan oleh Majlis Peguam, parti pembangkang tidak melepaskan peluang dan terus masuk gelanggang menentang kerajaan BN. Mereka sentiasa menuggu masa terbaik untuk menghentam parti BN, bak kata peribahasa Melayu "orang mengantuk disorongkan bantal".

Meskipun berhadapan dengan tentangan yang hebat di luar dan di dalam dewan, dengan kelebihan majoriti 2/3 parti yang memerintah di dewan rakyat, RUU ini tanpa kembimbangan dan kerisauan telahpun lulus. Sama-samalah kita nantikan keberkesanan pelaksanaannya. Sama-sama juga kita saksikan protes dan tindakan yang bakal dilakukan oleh parti pembangkang dan NGO yang berhaluan kiri.

Thursday, November 24, 2011

MOHON SIMPATI UMAT ISLAM NEGARA JIRAN UNTUK MEMBAIKI MASJUD DAN SURAU YANG TELAH DIROSAKKAN OLEH MUSUH

Pada pukul lima petang 24 November 2011 saya ke batu 4 Gombak bertujuan untuk membayar beberapa bil dan menghnantar surat menerusi perkhidmatan Poslaju di pejabat Pos Jalan Gombak. Untuk ke sana, saya lebih selesa berjalan di blok kedai berhampiran Pasaraya Ong Tai Kim. Pergerakan kaki saya terhenti setelah ditegur oleh seorang yang tidak dikenali. Rupa-rupanya dia ingin merayu sumbangan ikhlas untuk membina beberapa buah masjid dan surau yang rosak teruk di Selatan Thailand akibat serangan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab. Saya meluangkan masa sebenatar untuk melihat beberapa gambar masjid yang diranapkan oleh pengganas. Saya telah menghulurkan sumbangan seikhlas hati kerana dia telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan ada permit polis. Dia memperkenalkan dirinya sebagai imam di salah sebuah masjid yang telah menjadi mangsa musuh Islam.


Setelah beberapa langkah bergegas ke pejabat pos yang letaknya kira-kira 500 meter dari situ, saya teringat akan peristiwa tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan daerah Cha-airong, Narathiwat, Thailand. Perbuatan kejam ini telah mengakibatkan seramai 10 jemaah terbunuh ketika sedang menunaikan sembayang Isyak. Perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan ini berlaku pada 8 Jun 2009. kemungkinan berpunca kerana balas dendam ekoran terbunuhnya dua orang guru agama Buddha dan seorang penoreh getah yang berlaku empat hari sebelumnya.


Seterusnya masih segar dalam ingatan saya peristiwa serangan tentera Thailand terhadap umat Islam yang sedang bersembahyang berlaku di Masjid kerisik pada 28 Aptil 2004. Menurut sumber yang boleh dipercayai masjid ini ialah masjid yang pertama dalam sejarah kerajaan Islam Pattani. Masjid ini telah dibina pada tahun 1786 semasa pemerinyahan Sultan Muzaffar Syah. Dalam serangan yang menyayat perasaan ini seramai 92 umat Islam telah menjadi mangsa. Bermula dari serangan inilah telah berlaku beberapa episod serangan dan tembakan terhadap beberapa masjid di Thailand.


Orang Islam hanyalah minoriti dan kebanyakan daripada mereka menetap di Selatan Thailand. Sedikit perselisihan dan pertelingkahan yang berlaku antara umat Islam dan penganut agama Buddha di Thailand terlalu sukar untuk berdamai dan bersatu-padu. Akibat kemarahan dan rasa tidak puas hati akhirnya umat Islam ditindas dan diancam dengan menggunakan cara kekerasan.


Mungkin umat Islam yang tertindas di Selatan Thailand tiada tempat yang sesuai untuk mengadu masalah mereka. Suara pemimpin masyarakat Islam tidak mendapat layanan dan perhatian yang sewajarnya daripada pemerintah Thailand di Bangkok. Usaha-usaha membaik pulih masjid-masjid dan surau-surau yang rosak memerlukan sumber kewangan yang banyak. Peruntukan untuk ini mungkin dipandang sepi sahaja oleh pemerintah Thailand.


Sekumpulan umat Islam yang mewakili masyarakat Islam di Selatan Thailand telah merantau ke negara Malaysia untuk mendapatkan sumbangan bagi membaiki beberapa masjid dan surau yang telah musnah di sana akibat serangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Mereka terpaksa merayu simpati di tempat-tempat tertentu di Malaysia yang majoritinya penduduk Islam. Malaysia memang utuh dengan pegangan agama Islam. Umat Islam di malaysia berjaya mengekalkan agama Islam sebagai agama yang dominan dan diiktiraf sebagai agama rasmi negara. Dalam keadaan yang terdesak umat Islam yang ditindas di negara Thailand mahu tidak mahu terpaksa mengadu masalah mereka dan meminta sokongan dan perhatian daripada umat Islam di malaysia.


Pengajaran dan ikthibar yang boleh kita ambil di sini ialah semua umat Islam di malaysia mesti menjaga kesucian agama yang menjadi pegangan hidup kita agar tidak ditindas oleh musuh Islam yang sentiasa menunggu peluang yang sesuai. Umat Islam di malaysia harus bersatu dan tidak berpecah-belah. Pergaduhan sesama umat Islam perlu dielakkan sama sekali. Musuh Islam boleh diibaratkan seperti api. Api yang kecil sebagai kawan dan jika sudah marak akan menjadi lawan yang sukar dibendung.