Wednesday, June 16, 2010
WANG IHSAN SEBANYAK 25 JUTA SEPATUTNYA DISERAHKAN KEPADA KERAJAAN NEGERI
Saya yang sentiasa mengikuti perkembangan dan pembangunan negeri Kelantan menerusi www.kelantanfm.com.my amat bersetuju dan mengalu-alukan hasrat murni beliau itu. Wang ihsan itu sewajarnya dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Kelantan yang menetap di Kelantan. Saya hanya pemerhati dan sangat berminat untuk mengikuti segala perkembangan yang berlaku di negeri asal saya. Ibu bapa dan empat orang adik-beradik saya semuanya menetap di Kelantan.
Pada pendapat saya wang ihsan sebnyak 25 juta itu wajar diserahkan kepada kerajaan negeri Kelantan yang telah mendapat mandat rakyat pada pilihantaya yang ke-12 pada Mac tahun 2008. Dalam hal ini, kerajaan persekutuan harus bersikap rasional dan matang serta berfikiran terbuka dengan tidak berdolak-dalih untuk menghulurkan wang tersebut kepada kerajaan negeri. Jika tidak yakin dengan pengagihan yang akan dilakukan oleh kerajaan PAS yang memerintah Kelantan, kerajaan persekutuan boleh memantau dengan meminta laporan pengagihan wang berkenaan dari semasa ke semasa.
Kemungkinan juga kerajaan persekutuan bimbang jika wang berkenaan diagihkan oleh kerajaan negeri secara telus dan jujur, sokongan rakyat Kelantan terhadap kerajaan negeri yang sedang memerintah akan semakin bertambah. Sikap seperti ini tidak seharusnya ada pada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Barisan Nasional. Sebenarnya jika kerajaan persekutuan bertindak secara adil dan saksama sokongan rakyat terhadap BN akan semakin bertambah. Dewasa kini rakyat Malaysia dan terutama sekali warga Kelantan telah matang dan mereka bertindak sebagai pemerhati politik yang waras dan berilmu. Jika wang ihsan tidak diserahkan kepada kerajaan negeri selagi itulah isu ini akan dijadikan modal kempen politik PAS yang amat bernilai dalam usaha menambat hati rakyat menyokong PAS.
Tuesday, June 1, 2010
PANGGILAN YANG MENDEBARKAN PADA JAM 9.19 PAGI
Dengan perasaan yang agak serius dia memberitahu bahawa emak kami telah dicekik, ditendang, ditampar dan diterajang oleh individu yang tidak dikenali. Dia sendiri tidak dapat menjelaskan cerita lanjut kerana dia sendiri ketika itu baru sahaja mengetahui berita sedih ini daripada sepupu yang tinggal tidak jauh dari rumah emak. Sewaktu di dalam kelas aku tidak menunjukkan reaksi sedih kepada pelajar-pelajar. Aku melayan pertanyaan mereka seperti biasa. Peristiwa pahit ini langsung aku tidak ceritakan kepada mereka.
Tepat pada jam 10.15 pagi, aku menelefon abangku untuk mengetahui cerita selanjutnya. Menurutnya, dia baru sahaja menghantar emak kami ke sebuah klinik di Melor untuk melakukan pemeriksaan terhadap emak kami yang telah berusia 66 tahun. Sewaktu dia dan kakak iparku menemui emak di rumah, emak kelihatan begitu letih dan tidak bermaya. Dia sukar untuk bangun menuju ke kereta kerana sakit pinggang. Kakak iparkulah yang membantunya masuk ke dalam kereta. Menurutnya lagi mujurlah emak sempat menyepak orang itu dengan sepenuh tenaga dan mengakibatkan orang itu terlentang ke lantai. Kesempatan ini diambil oleh emak dengan terus berlari ke rumah adiknya yang tidak jauh dari rumah. Setelah mengetahui kejadian tersebut, beberapa orang yang sedang berada di kedai bapa saudara kami dengan segera ke rumah emak dan didapati individu berkenaan telah lari. Agaknya dia bimbang seandainya ditangkap dan dibelasaha oleh beberapa orang yang menuju ke rumah emak dengan segera setelah mengetahui akan perlakuan jahatnya daripada emak.
Setelah mendapat penjelasan daripada abang yang juga seorang guru yang bertugas di SMK Long Ghafar, aku terus menghubungi adik bongsu kami yang bertugas di Pusat Jagaan Kanak-kanak Nakal di Rusila, Terengganu. Pada awalnya aku bertanya khabar terlebih dahulu. Suaranya pun agak perlahan kerana sedang berehat di rumah. Jangkanya pada jam 3.00 petang dia perlu ke Setiu untuk berkursus selama 3 hari. Setelah dia agak selesa dan bersedia untuk berbual denganku, aku terus memberitahunya kejadian yang telah terjadi atas diri emak kami. Dengan segera dia terus terkejut dan suaranya bernada tinggi. Lantas dia pun menceritakan padaku bahawa 2 hari lepas dengan tiba-tiba dia menangis di tempat kerja kerana terlalu rindu pada emak yang berada di kampung. baginya mungkin itu sebagai petanda. Pada petang hari yang sama dia menelefon kakak ipar kami bertujuan untuk bertanyakan kesihatan emak. Dia berasa bersyukur setelah kakak ipar kami menyatakan emak sihat dan dia masih seperti biasa. Setelah dia mengetahui peristiwa pahit yang menimpa emak, dia terus menukar jadualnya dengan mesti pulang ke kampung terlebih dahulu untuk melihat dan bertanya khabar emak. Setelah berada di rumah selama 2 atau tiga jam barulah dia ke Setiu untuk berkursus.
Aku dan seisi keluarga yang berada jauh di Selangor tidak dapat pulang untuk bertemu emak yang masih lagi terngiang-ngiang akan peristiwa yang menimpa dirinya. Hatiku melonjak untuk pulang, bagaimanapun apakan daya aku tidak punya kenderaan dan tidak mampu membawa kenderaan. Ain Asyirah, anak sulung aku pula masih bertungkus-lumus dengan soalan-soalan peperiksaan pertengahan tahun. Pada tahun ini juga dia akan menduduki peperiksaan UPSR. Untuk menghilangkan rasa rindu dan mengetahui tahap kesihatan emak, aku kerap menghubungi adikku yang bertugas di Pejabat Tanah Pasir Puteh, Kelantan.