Saturday, May 15, 2010

PKR DALAM ANCAMAN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang begitu bergaya memenangi 31 kerusi parlimen dalam pilihanraya yang ke-12 semakin tergugat kerana kelemahannya berjaya dihidu oleh musuh politiknya. Setelah ditilik dan diperhatikan secara serius akhirnya terjelmalah unsur negatif yang ada dalam parti PKR. Gejala tidak sihat yang dapat dicungkil oleh musuh politiknya ialah ketidaksetiaan dan kejujuran beberapa orang pemimpin dengan parti itu sendiri. Mereka sebenarnya masih belum bersedia untuk menjadi pembangkang yang kental dan sedia berhadapan dengan risiko seandainya ditekan dan diugut oleh parti pemerintah yang juga musuh utamanya. Berbeza dengan ramai pemimpin PAS dan DAP mereka begitu bersemangat dan berjiwa besar untuk bertindak sebagai pembangkang yang bakal membongkar segala penyelewengan dan kepincangan yang dilakukan oleh parti pemerintah. Mereka juga mempunyai sikap seriakawan dan berani. Seandainya diugut dan diancam oleh musuh politik, mereka akan sama-sama berjuang untuk menegakkan kebenaran.

Satu strategi dan propaganda yang menjadi kemarahan dan cabaran parti pemerintah apabila Ketua Umum PKR menyebarkan khabar angin dengan mengatakan sekurang-kurangnya 35 orang ahli parlimen BN akan lompat parti dan Barisan Alternatif sedia ke Putrajaya untuk memerintah Malaysia. Bagaimanapun strategi ini telah gagal dan BN pula yang mengatur strategi bagi memastikan beberapa orang PKR lompat parti. Entah apa strategi sulit yang digunakan dan entah apa imbuhan yang dijanjikan serta diberikan, setakat ini lima orang ahli parlimen PKR yang telah lompat parti. Di samping itu kerusi parlimen Ulu Selangor berjaya dirampas semula dalam pilihanraya kecil yang telah diadakan pada 25 April 2010 dan penamaan calon pada 17 Apri 2010. Begitu pelik lagi ajaib dan mungkin secara kebetulan majoriti yang diperolehi oleh BN sebanyak 1,725 undi. Setakat ini 6 kerusi parlimen telah berkurangan dan tinggal 25 kerusi sahaja di parlimen. Tidak mustahil seandainya sindrom lompat parti tidak dapat dibendung oleh kepimpinan PKR BN akan mendapat majoriti 2/3 di parlimen.

Berita sensasi dan terkini pada 14 Mei 2010 Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong telah mengumumkan secara tergesa-gesa perletakan jawatannya sebagai ahli parlimen PKR dan menjadi ahli parlimen bebas. Beliau juga mengisytiharkan perletakan semua jawatannya dalam PKR. Alasan yang diberikan ialah beliau tidak berpuashati dengan cara kerajaan negeri Selangor menangani isu skandel pasir di Selangor yang dikaitkan dengan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. Satu lagi alasan yang diberikan ialah tidak berpuashati dengan pucuk pimpinan PKR. Alasan ini sebenarnya terhambur daripada kelima-lima ahli parlimen PKR yang lompat parti. Setelah diamati alasan yang diberikan berkenaan pasir tiada kaitan secara langsung dengannya. Beliau sebenarnya harus memberi tumpuan kepada kawasan parlimen Wangsa Maju bukannya bersusah payah memikirkan masalah di Selangor. Entah apa habuan yang diperolehinya sehingga sanggup menggadaikan maruah dengan cara lompat parti. Beliau juga tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepadanya untuk memimpin kawasan parlimen Wangsa Maju di bawah naungan PKR. Sebenarnya kerjaya politiknya akan berakhir pada pilihanraya yang ke-13 nanti. Sesiapa yang sebelum ini menjadi ahli parlimen pembangkang dan bertindak lompat parti, secara jelasnya kerjaya politiknya akan berakhir bila tempohnya sebagai ahli parlimen matang.

Dalam percaturan politik dan tindakan sulit yang dilakukan oleh musuh politik PKR dalam usaha memujuk dan memperdayakan ahli parlimen yang lain lompat parti, tindakan segera dan berkesan harus disegerakan oleh pucuk pimpinan PKR bagi menyekat dan mengekang ahli parlimennya lompat parti. Harus diselidik dan ditinjau apakah bentuk imbuhan dan ganjaran yang diperoelhi oleh ahli parlimen PKR yang lompat parti. Pada 10 Mei 2010 bekas Ketua Pemuda Keadilan telah mendapat hadiah yang berharga setelah sekian lama berpaling tadah. Beliau telah bergelar senator dan boleh bergaya kerana mendapat salah satu tempat di Dewan Negara. Jika terus duduk dalam PKR agaknya bau Dewan Negara pun tak berpeluang.

Inilah iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh kepimpinan PKR. Calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya harus ada jatidiri yang mantap dan perlu kasih dan setia pada parti. Untuk menjadi pemimpin pembangkang, kepentingn peribadi harus dihindarkan. Seseorang pemimpin pembangkang harus ada semangat perjuangan. Perjuangan yang ikhlas harus ada pengorbanan. Kadang-kadang pengorbanan menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang pemimpin. Seseorang yang ingin bergiat secara aktif dan terbuka dalam parti pembangkang mesti ada sumber kewangan yang mencukupi dalam menyara hidup diri sendiri dan keluarga. Jika semua unsur-unsur ini tiada dalam diri seseorang yang berjuang dalam parti pembangkang pastinya perjuangan dan semangatnya akan terhenti di pertengahan jalan. Bila dalam keadaan terdesak dan tertekan seseorang yang tidak stabil dengan unsur-unsur ini dengan mudah dipengaruhi oleh musuh politik. Dengan cara ini lambat-laun parti akan menjadi lemah,

Dakam waktu yang masih belum kritikal PKR harus mengorak langkah untuk menantapakan parti dengan memilih calon-calon yang benar-banar bersedia untuk bertanding. Calon yang dipilih juga perlu mempunyai prinsip hidup yang mantap dan betul-betul bersedia untuk berkhidmat untuk parti. Kemelut yang sedang melanda jika tidak dibendung dengan segera boleh mengakibatkan parti PKR lemah dan tidak mendapat kepercayaan rakyat. Akibatnya pemimpin-pemimpin yang aktif dalam parti akan bertelagah sesama sendiri. Jika masalah lompat parti ini berterusan dan tidak berjaya disekat akhirnya parti PKR akan rebah sepertimana yang pernah berlaku pada parti Semangat 46.

Sunday, May 2, 2010

GANGGUAN PSIKOLOGI TERHADAP KERAJAAN NEGERI KELANTAN

Setelah lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan secara terus tanpa memberi laluan kepada BN didapati tiada tentangan yang hebat daripada rakyat Kelantan secara keseluruhannya. Pemimpin-pemimpin negeri yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima mandat yang padu daripada rakyat Kelantan. Dalam Pilihanraya yang ke 12 pada Mac 2008 hanya dua kerusi Parlimen dan 6 kerusi DUN terlepas kepada BN. Maknanya sokongan rakyat Kelantan terhadap parti PAS memang mantap dan tidak boleh dipertikaikan lagi.


Dalam kempen pilihanraya yang ke 12, begitu hebat sekali perang saraf yang dilakukan oleh parti UMNO bertujuan untuk menambat hati rakyat Kelantan dan bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan PAS yang sekian lama padu menerintah negeri Cik Siti Wang Kembang. Antara slogan yang boleh dilihat di sana sini ialah "18 tahun pade doh". Pada waktu itu Menantu Pak Lah iaitu Khairi Jamaludiin begitu aktif berkempen di Kelantan. Gambar Awang Adek Hussein yang dijangka bakal menjadi Menteri Besar Kelantan terlihat di sana sini. Beraneka macam janji manis yang diluahkan oleh pemimpin BN dalam usaha menambat hati rakyat Kelantan semuanya tidak menjadi. Gula-gula pilihraya yang disuapkan ke mulut rakyat Kelantan habis begitu sahaja, Ini menunjukkan kebanyakan rakyat negeri Kelantan begitu selesa dan yakin di bawah pimpinan parti PAS.


Sebaik sahaja memenangi pilihanraya yang ke-12, awal-awal lagi telah dapat dilihat bibit-bibit gangguan dalam politik di Kelantan. Gangguan secara perlahan-perlahan ini dicetuskan oleh ahli parlimen Pasir Mas. Dalam kempen pilihanraya nadanya menyokong parti PAS dengan berbaik-baik dengan ramai pimpinan PAS negeri termasuk Tuan Guru. Yang peliknya bertanding atas tiket bebas dengan menggunakan lambang Bulan. Percaturan politiknya mendapat persetujuan Tuan Guru walaupun mendapat tentangan daripada beberapa orang pemimpin PAS. Akhirnya mereka semua akur dengan harapan individu ini akan menyokong PAS dan seterusnya kemungkinan besar menyertai parti PAS secara mantap. Strategi politiknya berjaya menambat hati rakyat Pasr Mas dengan memnangi kerusi parlimen Pasit Mas dengan majoriti 8.991 undi. Harapan rakyat Kelantan beliau menyokong pimpinan PAS kelantan dan berusaha memajukan negeri. Sebaliknya beliau mula mengkritik dan mengutuk kerajaan PAS dan pembangkang yang lain. Alasan yang diberikan beliau adalah wakil parlimen bebas dan mempunyai hak untuk mengkritik dan menyolong. Pendapatnya betul dan tidak salah dalam sebuah negera yang mengamalkan demokrasi. Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sifat setiakawan dan boleh dikatakan sebagai "kacang melupakan kulit". Sedikit sebanyak telah memberi tekanan dan kesan negatif kepada kerajaan negeri Kelantan dan pimpinan PAS secara keseluruhannya. Lain kali pimpinan PAS perlu lebih berhati-hati.


Beberapa bulan lepas masyarakat umum dihidangkan dengan masalah dalaman yang kononnya berlaku dalam institusi beraja dan berita pahit manis dalam istana negeri Kelantan. Media perdana yang menjadi tatapan orang ramai tidak putus-putus menyiarkan masalah dalaman yang hangat membelenggu institusi raja di Kelantan. Begitu glamour sekali kerabat diraja Kelantan. Masalah dan konflik ini sedikit sebanyak telah mengganggu pentadbiran kerajaan negeri. Mujurlah pemerintahan negeri Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Aziz boleh bersabar dan bertahan. Disokong pula oleh penggerak ekonomi dan pentadbirannya yang mantap dan begitu kuat mentalnya iaitu Datuk Husam Musa. Meskipun berhadapan dengan pelbagai kerenah dan tekanan beliau masih dapat mentadbir kerajaan negeri Kelantan dengan sempurna.


Dalam era teknologi maklumat yang kian canggih dan sangat meluas serta telah dapat dilayari oleh sebahagain besar ahli masyarakat, sebaran maklumat kononnya pihak PAS telah memperunttukkan sebanyak 4 juta dalam usaha melakukan perang saraf terhadap kerajaan BN dan menonjolkan kelemahan pemimpin-pemimpin tertentu dalam BN. Apabila berita sensasi ini tersebar terbayanglah di fikiran pembaca bahawa komplot ini mesti melibatkan beberapa pemimpin dalam kerajaan negeri Kelantan. Khabar angin yang didengar berkaitan berita yang belum tentu kesahihannya dihebahkan oleh individu yang sebelum ini begitu akrab dengan pemimpin-pemimpin terntentu dalam PAS. Senario ini amat mendukacitikan kerana kawan makan kawan. Mungkin kerana motif-motif tertentu individu ini sanggup menjadi lawan pula kepada sahabat rapatnya selama ini. Tidak salah kalau dikatakan tindak-tanduk individu ini boleh diibaratkan sebagai "duri dalam daging". Kononnya akan disiasat oleh SPRM. Namun setakat ini tiada kedengaran sebarang bukti yang jelas untuk melakukan dakwaan terhadap pemimpin-pemimpin terntentu dalam PAS. Parti PAS dan pemimpin kerajaan negeri Kelantan mengambil sikap "tunggu dan lihat". Memang wajar tindakan parti PAS dan pemimpin negeri kelantan kerana mereka mempunyai dan berhadapan dengan banyak isu lain yang harus diambil perhatian. Mereka juga perlu menumpukan perhatian kepada pentadbiran dan rakyat negeri Kelantan. Perkara remeh-temeh sepatutnya tidak harus dilayan.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan kerana telah melaksanakan pentadbiran yang jujur dan telus. Sebahagian besar rakyat Kelantan berbangga dan setia di bawah kerajaan negeri yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin PAS yang terdiri daripada para ulama dan profesional. Jika kita amati secara halus, Kelantanlah negari yang paling aman dan stabil dari segi politik. Tiada kedengaran percakaran dan pertelingkahan yang serius berkaitan kepimpinan negeri. Segala masalah yang wujud diselesaikan secara perbincangan yang sihat.