Thursday, December 4, 2014

MELATAH DALAM MASYARAKAT MELAYU

Melatah ialah satu perilaku yang tidak asing dalam masyarakat Melayu. Tidak kira di mana lokasi masyarakat Melayu berada akan kedengaranlah orang Melayu melatah. Melatah boleh dimaksudkan sebagai tindakan luar kawalan yang dilakukan oleh seseorang yang terperanjat. Terperanjat secara tidak sengaja atau disengajakan oleh orang yang berada di situ. Orang yang melatah akan menuturkan kata-kata tertentu dengan suara yang kuat. Kadang-kadang diikuti dengan tindak balas tangan, kaki dan gerakan badan. Mereka yang berada di sekeliling mesti waspada dengan sifat ageresif yang mungkin terjadi kepada orang yang melatah. Tidak mustahil si pelatah boleh mencederakan orang yang berdekatan dengannya. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, Mana-mana orang yang telah diketahui umum sebagai pelatah, dia akan diganggu bertujuan untuk menyaksikan latahannya. Kata-kata dan ayat-ayat yang dihamburkan oleh pelatah berfungsi sebagai unsur humor dalam masyarakat Melayu.

Sehingga ke hari ini, tiada seorang pun pengkaji budaya masyuarakat Melayu yang dapat mengetengahkan punca orang Melayu melatah secara berfakta yang disokong dengan bukti yang jelas. Cuma, yang ada hanyalah andaian-andaian dan pendapat-pendapat yang masih boleh dipersoalkan kebenarannya. Saya sebagai rakyat Malaysia yang biasa bergaul dengan beberapa bangsa, seringkali terfikir, mengapakah melatah hanya wujud dalam masyarakat Melayu? Acapkali juga berkongsi pandangan dan meminta pendapat rakan-rakan. Mereka pun seperti saya juga, masih tidak mampu memberikan jawapan yang betul-betul bernas dan jitu. Seperkara lagi yang sering berlegar di fikiran saya ialah kalimah-kalimah dan ungkapan-ungkapan yang diluahkan oleh pelatah mesti tidak bersopan dan kurang ajar sama ada mencarut atau maki-hamun. Sebetulnya orang melatah mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai didengar oleh kanak-kanak yang sedang membesar dan mudah terpengaruh. Unsur ini masih lagi tidak dapat dirongkai oleh pengkaji cara dan gaya hidup kelompok Melayu.

Bagi pendapat saya, melatah mempunyai kaitan rapat dengan makhluk halus dan makhluk luar biasa. Orang Melayu dalam proses pujaan dan ilmu perbomohan seringkali menggunakan makhluk halus sebagai pembantu untuk mencapai hasrat mereka. Bila ada orang Melayu yang mengundang makhluk halus dan berkawan dengan mereka, mereka akan sentiasa berada dalam masyrakat Melayu dan kemungkinan besar berada dalam jasad orang Melayu yang lemah semangat. Mereka yang badannya mempunyai makhluk halus berisiko untuk melatah. Orang yang melatah, mereka seolah-olah menurun kerana sewaktu melatah mereka tidak sedar dan berkata-kata tanpa kawalan akal dan fikiran. Makhluk halus biasanya akan menyesatkan masnusia dan mendorong manusia melakukan amalan yang bercanggah dengan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan orang yang berakal dan berfikiran rasional.

Pada masa kini, berpura-pura melatah ialah salah satu cara untuk mencarut dan meluahkan kata-kata yang dibenci oleh masyarakat. Biasanya orang yang benar-benar melatah akan mencampakkan apa sahaja yang ada di tangganya. Cuba kita cucuk pinggang rakan yang kerap melatah, dia tidak akan membaling barang peribadi yang disayanginya, jika dia pura-pura melatah. Dia akan melakukan reaksi lain untuk menrik perhatian kawan-kawan yang ada di sekelilingnya.


 

               

Saturday, April 19, 2014

Perihal Kentut

Kentut ialah hembusan angin sama ada perlahan atau kuat yang keluar dari buntut manusia. Biasanya kentut mengeluarkan bunyi dan bunyi yang boleh didengar oleh orang yang berada berhampiran dengan si kentut. Bunyi kentut terhasil daripada geseran angin yang terkena pada kedua-dua kedutan buntut. ditambah pula geseran pada seluar dalam atau kain yang dipakai oleh si kentut. Setiap manusia dikurniakan alunan bunyi kentut yang berbeza. bunyi kentut unik dan rentak bunyinya berbeza bergantung kepada cara seseorang melepaskan kentutnya. Ramai juga orang pandai kentut senyao-senyap, Kentutnya langsung tidak mengeluarkan bunyi. Cuma yang terhidu baunya sahaja. Di khalayak ramai tidak dapat dipastikan siapa yang telah kentut. Dia melepaskan angin buangannya secara perlahan-lahan. Jika berada dalam majlis formal tidak bermoral jika terkentut dengan bunyi yang kuat. Hadirin yang ada akan memandang sinis pada si kentut. Individu berkenaan juga akan menjadi bahan sendaan dan perli.

Biasanya kentut akan mengeluarkan bau yang busuk. Kentut busuk kerana angin yang dihamburkan keluar melalui buntut merupakan gas atau angin buangan yang terhasil daripada  makanan dan minuman yang kita ambil setiap hari. Di dalam perut manusia kentut ditempatkan bersama-sama dengan tahi. Orang yang menagguhkan buang air besar akan cenderung terkentut berkali-kali. Kentut sebegini akan mencenarkan udara dengan bau yang sangat busuk. tidak dinafikan ada orang kentutnya tidak busuk. Dia kentut mungkin kerana mempunyai masalah angin yang sering mengganggu keselesaan perutnya.

Bagi mereka yang termakan makanan yang tidak bersih, kemungkinan besar akan bersisko terkena keracunan makanan. Tanda awal jika seseorang terkena keracunan makanan ialah dai akan terkentut-kentut. semakin lama kentutnya semakin kerap. ditambah pula dengan rasa perut yang tidak selesa. Perut mula berbunyi dan akan terasa sakit. Pada ketika inilah pesakit cirit-birit kena berhati-hati. Jika tidak berhati-hati kentut akan keluar bersama-sama dengan tahi cair. Pesakit cirit-birit akan tidak selesa melakukan tugasan harian kerana terpaksa berulang-alik ke tandas untuk kentut dan berak cair.

Setiap orang akan kerap kentut. Kita tidak tahu bilakah kita akan kentut. Bila sampai masa angin kentut perlu dikeluarkan. Jika tidak, perut dan badan akan tidak selesa. Jika ingin kentut, seelok-eloknya jauhkan diri kita dari orang lain. Kita akan dapat kentut dengan selesa tanpa menimbulkan kemarahan orang lain. Bagaimanapun, jika seseorang sedang berkumpul dengan rakan sebayanya atau mereka yang terlalu biasa dengannya. dia akan kentut tanpa segan silu. Bunyi yang didengar dan bau yang dihidu menjadi bahan ketawa dan lawak jenaka.