Thursday, December 4, 2014

MELATAH DALAM MASYARAKAT MELAYU

Melatah ialah satu perilaku yang tidak asing dalam masyarakat Melayu. Tidak kira di mana lokasi masyarakat Melayu berada akan kedengaranlah orang Melayu melatah. Melatah boleh dimaksudkan sebagai tindakan luar kawalan yang dilakukan oleh seseorang yang terperanjat. Terperanjat secara tidak sengaja atau disengajakan oleh orang yang berada di situ. Orang yang melatah akan menuturkan kata-kata tertentu dengan suara yang kuat. Kadang-kadang diikuti dengan tindak balas tangan, kaki dan gerakan badan. Mereka yang berada di sekeliling mesti waspada dengan sifat ageresif yang mungkin terjadi kepada orang yang melatah. Tidak mustahil si pelatah boleh mencederakan orang yang berdekatan dengannya. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, Mana-mana orang yang telah diketahui umum sebagai pelatah, dia akan diganggu bertujuan untuk menyaksikan latahannya. Kata-kata dan ayat-ayat yang dihamburkan oleh pelatah berfungsi sebagai unsur humor dalam masyarakat Melayu.

Sehingga ke hari ini, tiada seorang pun pengkaji budaya masyuarakat Melayu yang dapat mengetengahkan punca orang Melayu melatah secara berfakta yang disokong dengan bukti yang jelas. Cuma, yang ada hanyalah andaian-andaian dan pendapat-pendapat yang masih boleh dipersoalkan kebenarannya. Saya sebagai rakyat Malaysia yang biasa bergaul dengan beberapa bangsa, seringkali terfikir, mengapakah melatah hanya wujud dalam masyarakat Melayu? Acapkali juga berkongsi pandangan dan meminta pendapat rakan-rakan. Mereka pun seperti saya juga, masih tidak mampu memberikan jawapan yang betul-betul bernas dan jitu. Seperkara lagi yang sering berlegar di fikiran saya ialah kalimah-kalimah dan ungkapan-ungkapan yang diluahkan oleh pelatah mesti tidak bersopan dan kurang ajar sama ada mencarut atau maki-hamun. Sebetulnya orang melatah mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai didengar oleh kanak-kanak yang sedang membesar dan mudah terpengaruh. Unsur ini masih lagi tidak dapat dirongkai oleh pengkaji cara dan gaya hidup kelompok Melayu.

Bagi pendapat saya, melatah mempunyai kaitan rapat dengan makhluk halus dan makhluk luar biasa. Orang Melayu dalam proses pujaan dan ilmu perbomohan seringkali menggunakan makhluk halus sebagai pembantu untuk mencapai hasrat mereka. Bila ada orang Melayu yang mengundang makhluk halus dan berkawan dengan mereka, mereka akan sentiasa berada dalam masyrakat Melayu dan kemungkinan besar berada dalam jasad orang Melayu yang lemah semangat. Mereka yang badannya mempunyai makhluk halus berisiko untuk melatah. Orang yang melatah, mereka seolah-olah menurun kerana sewaktu melatah mereka tidak sedar dan berkata-kata tanpa kawalan akal dan fikiran. Makhluk halus biasanya akan menyesatkan masnusia dan mendorong manusia melakukan amalan yang bercanggah dengan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan orang yang berakal dan berfikiran rasional.

Pada masa kini, berpura-pura melatah ialah salah satu cara untuk mencarut dan meluahkan kata-kata yang dibenci oleh masyarakat. Biasanya orang yang benar-benar melatah akan mencampakkan apa sahaja yang ada di tangganya. Cuba kita cucuk pinggang rakan yang kerap melatah, dia tidak akan membaling barang peribadi yang disayanginya, jika dia pura-pura melatah. Dia akan melakukan reaksi lain untuk menrik perhatian kawan-kawan yang ada di sekelilingnya.


 

               

No comments:

Post a Comment