Friday, August 28, 2009

PERKAITAN ORANG BUTA DENGAN DERIA SENTUHAN DAN SALAH TANGGAPAN

Bila sebut sahaja orang buta terus sahaja terbayang di fikiran kita ialah orang yang langsung tidak dapat melihat. Bagi mereka yang buta kawasan di sekeliling mereka gelap, Ramai juga dalam kalangan orang buta yang dapat melihat cahaya dan bayang-bayang. Bagaimanapun penglihatan begini masih tidak dapat membantunya bergerak dengan menggunakan daya pandangan. Orang yang buta semenjak dilahirkan pula tidak dapat menanggapi konsep gelap dengan tepat. Seandainya ditanya mungkin mereka boleh menjawab dengan jitu. Penjelasan yang diberikan mungkin berdasarkan pembacaan dan cerita orang. Sebenarnya mereka sendiri tidak pernah berhadapan dengan keadaan yang gelap dan terang dalam erti kata yang sebenar. Pastinya konsep warna tiada dalam fikiran mereka.

Setiap manusia mempunyai keinginan dan nafsu untuk mengetahui bentuk dan keadaan sesuatu sama ada dalam bentuk konkrit atau abstrak. Orang yang tiada penglihatan boleh mengetahui sesuatu benda yang konkrit dengan menggunakan deria sentuhan. Sepuluh jari di tangan kanan dan kiri amat berharga kepada orang buta. Sebetulnya deria sentuhan orang buta amat peka dan sensitif. Mereka akan mengenali sesuatu objek setelah benda itu disentuh separuh atau seluruh bergantung kepada situasi dan keadaan. Dalam keadaan tertentu deria bau juga turut memberi peranan dalam usaha orang buta mengenali dan menanggapi sesuatu.

Saya masih ingat lagi sewaktu saya berada di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Bahru. Guru-guru, house assistance (HA) dan house mother (HM) sering berkata "kamu semua ni tak ada kerja lain ke, asyik nak meraba je. Bila diraba semuanya rosak, patah, memang nak kena rotan." Bila saya amati dan renungkan kembali ungkapan sebegini tidak harus dilemparkan kepada kanak-kanak buta. Mereka yang berkata begitu pun tidak boleh disalahkan juga. Dalam hal ini, mungkin mereka tidak boleh berfikr dengan matang meskipun mereka bekerja mengasuh dan mendidik kanak-kanak buta. Sebahagian ruang lingkup hidup mereka pun dengan kanak-kanak buta. Sepatutnya mereka menasihati kanak-kanak buta supaya menyentuh sesuatu dengan cara yang betul dan tidak mengganas. Sewajarnya mereka bertindak sebagai pembantu dan pembimbing dalam proses mengajar orang buta menyentuh sesutu benda dengan cara yang sesuai dan tidak janggal bila mata orang normal memandang.

Anggota masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang ditempatkan di institusi dan organisasi yang ada orang buta tidak harus melarang atau marah kepada orang buta yang suka meraba. Lebih teruk lagi jika bekerja di institusi kanak-kanak buta. Jika kerap dilarang, dimarahi dan dikutuk perkembangan kanak-kanak buta akan terbantut. Pengetahuan orang buta terhadap sesuatu benda juga akan terbatas. Tidak hairanlah dalam masyarakat Melayu ada peribahas yang mengatakan seperti orang buta meraba gajah. Bila meraba telinga gajah, begitulah bentuknya. Jelas sekali mereka menganggap segelintir ahli masyarakat yang berada di celah-celah mereka iaitu orang buta tidak boleh diharap dan tidak boleh membuat keputusan yang tepat. Secara sinis dan menghina peranan mereka dalam masyarakat cumalah meniup tepung seandainya masuk mata pun tak kesah sebab mata dah buta.

Sewaktu saya di sekolah menengah, berbeza sedikt ceritanya berkenaan orang buta yang suka meraba. Salah satu ungkapan yang kerap didengar ialah "suka raba perempua". Semestinya perbuatan ini dilakukan oleh lelaki buta. Bagi saya mereka yang suka meraba perempuan ini tidak boleh diealahkan seratus peratus. Mereka manusia normal yang telah mencapai tahap akhil baligh dan mempunyai naluri ingin tahu bentuk badan perempuan. Nafsu ini sukar dan tidak boleh dihalang. Remaja lelaki celik boleh melihat badan perempaun dengan mata mereka tanpa meraba. Bagi remaja buta yang mudah berasa malu dan pandai menjaga harga diri, perbuatan meraba perempauan tidak akan dilakukan oleh mereka. Jauh di sudut hati mereka pun ada keinginan untuk mengetahui bentuk badan perempuan kerana mereka manusia biasa. Bagi mengurangkan gejala ini terus berlaku pihak sekolah sewajarnya mempunyai patung yang betul-betul menyerupai bentuk badan perempaun. Remaja lelaki perlu diberi kesempatan meraba seluruh patung berkenaan bagi memberi bayangn yang hampir tepat tentang bentuk badan seorang perempuan.

Kebanyakan mereka yang celik mengakui hakikat bahawa orang buta perlu meraba jika hendak mengenali seseorang. Dapat kita perhatikan seseorang celik akan datang secara senyap dan menghulurkan lengannya kepada orang buta. Tujuannya ialah untuk memastikan sama ada orang buta yang disasarkannya mengenalinya ataupun tidak. Jika orang yang menghampirinya sudah terlalu biasa dengannya, dengan hanya memgang lengan sudah dapat dikenali. Sekiranya dengan meraba lengan belum boleh dikenali, orang buta berkenaan akan meraba anggota-anggota badan yang lain sehingga dikenali. Jika masih sukar dipastikan orang yang diraba orang buta akan melakukan sesutu sehingga rakannya atau kenalannya membunyikan suara.

Bagi orang buta yang tidak mempedulikan tanmggapan dan kritikan masyarakat terhadapnya. Dia akan cuba meraba apa sahaja objek dan benda yang ada di sekitarnya. Lebih-lebih lagi sesuatu benda itu baru dijumpainya. Setelah sesuatu benda diraba secara keseluruhannya barulah dia mempunyai pengetahuan yang lengkap berkenaan benda itu. Bagi orang buta suatu kepuasan jika dia dapat menjelaskan sesuatu dengan tepat kepada rakannya yang lain. Bersesuaianlah dengan kegemaran orang buta suka berkumpul dan berbual. Untuk tujuan ini mereka perlu mempunyai banyak maklumat dan pengetahuan yang boleh dijadikan sebagai topik perbincangan.

Jelaslah di sini sesuatu yang dilakukan oleh mansuia mestilah berdasarkan kepada keperluan, kelebihan dan kekurangan pancaincera yang ada pada seseorang manusia. Bagi orang buta situasi yang betul ialah dari sentuhan terus ke otak. Otak akan jelmakan ke dalam fikiran. fikiran yang akan menentukan tindak laku mereka. atas hakikat inilah golongan masyatakat yang normal penglihatan mesti memahami dan menyesuaikan diri dengan naluri dan perasaan orang buta. Sikap preasangka dan prajudis terhadap orang buta akan menyebabkan tanggapan yang serong dan menyeleweng terhadap orang buta secara keseluruhannya.

Wednesday, August 26, 2009

LIKU-LIKU DALAM USAHA MENDUDUKI PEPERIKSAAN STPM BUAT KALI KEDUA

Pada awal November 1988 saya telah mengembil peperiksaan STPM setelah menamtkan persekolahan peringkat menengah di SM St. John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur selama 7 tahun. Setelah keputusan STPM diumumkan pada pertengahan bulan Mac 1989, saya hanya mendapat B.E.E.R. Pada waktu itu kebanyakan pelajar cacat pengliahatan hanya mengambil 4 mata pelajaran sahaja kerana mata pelajaran lain tidak sesuai dengan kemampuan pelajar cacat penglihatan. Mata pelajaran Syariah yang menjadi pilihan utama dewasa ini masih belum diteroka oleh pelajar buta. Keputusan yang tidak cemerlang itu tidak melayakkan saya untuk meneruskan pengajian di mana-mana universiti awam.

Pada awal Mei 1989 saya kuatkan azam dan tekad untuk mendaftar dan mengambil peperiksaan STPM buat kali kedua. Mujurlah buku-buku dan nota-nota lama masih disimpan dengan baik dan hanya membeli beberapa judul buku yang terkini. Saya juga melanggan nota-nota ringkas menerusi Syarikat Adabi Gaya Pos. Memandangkan masa untuk belajar cuma 5 bulan lebih sahaja saya tidak berminat untuk mengemukakan permohonan mengulang di tingkatan 6 atas. Ditambah pula dengan sukarnya mendapat tempat tinggal di asrama SMPK, Setapak. Merayu dan merintih untuk mendapatkan tempat tinggal bukan kerja saya kerana Pengetua SMPK, Setapak pada ketika itu memang begitu anti dengan pelajar-pelajar sekolah percantuman terutama sekali pelajar-pelajar tingkatan 6. Walaupn terpaksa berhadapan dengan masalah dan kepayahan saya sanggup belajar sendiri di rumah.

Abang saya yang baru sahaja menamatkan pengajiaannya di UM dalam bidang Pengajian Asia Tenggara bukan memberikan kata-kata semangant sebaliknya cuba melemahkan semangat saya. Alasan yang diberikannya agak logik juga. Menurutnya setahun lebih saya belajar di tingkatan 6 bawah dan atas dan mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada guru pun sukar untuk lulus dengan cemerlang. Jika belajar sendiri di rumah tanpa jadual yang tetap dan tiada bimbingan keputusan saya lagilah teruk. Tambahnya lagi, janganlah berlagak, mohonlah mengulang di tingkatan 6 atas. Dengan nada sinisnya jika saya terus berdegil keputusan yang bakal diperolehi nanti lagilah terus. Dia terus menempelak saya dengan mengatakan kerja yang saya lakukan sia-sia dan membazir masa. Saya langsung tidak mempedulikan kata-katanya dan terus belajar sendiri di rumah hingga akhir bulan Oktober. Prinsip yang saya pegang pada waktu itu ialah hanya saya sahaja yang mempu menyelami keperluan dan kehendak diri sendiri. Saya sendiri jugalah yang akan mengatur masa depan saya. Perkara yang harus saya lakukan adalah nerusaha ke arah kecemerlangan.

Pada pertengahan bulan Jun 1989 saya telah dihubungi oleh salah seorang kerani Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan bertujuan untuk memberitahu bahawa saya boleh mendaftar sebagai calon yang berpusat di negeri Kelantan tetapi tidak boleh menduduki peperiksaan di Kelantan kerana tiada mesin Braille iaitu alat tulis pelajar cacat penglihatan. Mahu tidak mahu saya terpaksa menduduki peperiksaan di salah satu pusat peperiksaan yang dikhaskan kepada pelajat buta yang bertempat di SM Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur. Menurut Pegawai Pelajaran Negeri Kelantan, di sana nanti akan dilengkapi dengan mesin Braille.

Pada awal bulan November saya ke Kuala Lumpur dengan ilmu yang tersimpan di otak. Entah melekat, emtah tidak. Sedikit Sahaja buku rujukan saya bawa ke Kuala Lumpur. Mujurlah saya dapat menginap di rumah kawan-lawan lama yang terletak di Ulu Klang, Selangor. Mereka sangat baik hati kerana saya dibenarkan menumpang tanpa dikenakan sebarang bayaran. Mereka semua mengerti keadaan saya, memanglah faham kami semua rakan senasib. Sampai sahaja di situ rakan saya terus memberitahu bahawa saya mesti mencari mesin Braille sendiri. mereka yang sama-sama menduduki peperiksaan STPM perlu membawa Mesin Braille dari sekolah masing-masing. Keesokan harinya tanpa berlengah saya terus ke Unit Percetakan Braille bertujuan untuk meminjam Mesin Braille sepanjang peperiksaan berlangsung. Mujurlah salah seorang kerani di situ dengan rela hati sanggup meminjamkan saya sebuah mesin Braille. Mesin Braille itu kelihatan buruk namun boleh berfungsi dengan sempurna sehingga tamat peperiksaan.

Rumah yang saya tumpangi terlalu ramai penghuni. Bilik ada dua dan dikhususkan kepada mereka yang membayar sewa. Penghuni yang berstatus menumpang tinggal di ruang tamu. Mereka yang tidur di ruang tamu lebih ramai daripada mereka yang membayar sewa. Keadaan ini berlaku kerana ramai kawan-kawan saya belum bekerja dan sekali-sekala menjual makanan ringan dari rumah ke rumah dengan pendapatan yang tidak menentu. Saya dam tiga rakan yang lain pula menduduki peperiksaan STPM. Kebanyakan dalam kalangan kami baru menamatkan alam persekolahan dan dalam usaha belajar untuk hidup sendiri. Dengan hati yang ikhlas, saya amat menghargai jasa baik kalian kerana bersimpati dengan rakan senasib dan sanggup membenarkan saya menumpang tanpa dikenakan sebarang bayaran. Salah satu faktor kejayaan saya adalah berpunca daripada kesudian kalian semua memberikan saya tempat tinggal sepanjang musim peperiksaan.

Masih segar dalam ingatan saya beberapa malam lamanya sukar untuk saya mencari ruang untuk tidur kerana penghuni terlalu ramai. Bagaimanapun mereka semua baik hati kerana sanggup merapatkan badan antara satu sama lain sambil tidur mengiring demi memberi ruang kepada rakan-rakan yang lain. Bagi saya pengalaman manis ini merupakan cabang ilmu yang boleh mengajar saya erti kehidupan yang sebenar.

Sepanjang tempoh peperiksaan jarang sekali saya menyentuh buku. Masa yang terluang saya habiskan dengan bersembang dan berlawak jenaka dengan rakan-rakan. Maklumlah saya berpisah dengan rakan-rakan hampir setahun lamanya dan hilai tawa kalian semua sangat dirindui. Bila berjumpa semula beraneka macam cerita lama dan baru dapat dikongsi bersama. Mujur juga saya membawa sedikit buku. Setiap hari saya tidur lewat malam dan banyak masa dihabiskan dengan bersembang di kedai kopi yang berhampiran. Seingat saya sekali sahaja saya berpeluang membuka buku untuk mata pelajaran Pengjian Am Kertas (1). Emtah kenapa pagi itu rasa rajin sedikit dan kebetulan pula Kertas Pengajian Am (1) dijadualkan pada sebelah petang. Rakan-rakan yang lain masih dibuai mimpi. Saya pun rasa mengantuk tetapi pada pagi itu semangat mengatasi segala-galanya.

Hendak dijadikan cerita, pada sautu malam salah seorang rakan yang sama-sama menduduki peperiksaan STPM mencadangkan agar kami semua belajar di ruang depan masjid yang berdekatan . Menurutnya di situ terdapat beberpa kerusi panjang yang boleh digunakan untuk mentelaah pelajaran. Atas dasar prinsip berkawan, pada jam 10.30 malam saya dan tiga orang rakan bergerak ke masjid yang berhampiran. Sampai sahaja di ruang depan masjid kami semua memilih tempat yang sesuai untuk belajar. Tanpa berlengah rakan kami yang mengemukakan cadangan tadi terus memulakan bacaan senyapnya. Kami pun turut sama mengikut jejaknya. Tidak sampai 15 minit kami berada di situ dan punggung pun belum cukup panas, kami telah ditegur oleh beberapa orang Rela yang bertugas pada malam itu. Mereka menuruh kami balik ke rumah. Kami cuba menjawab dengan mengatakan kami cuma nak belajar di sini kerana suasana di sekitar masjid sunyi. Mereka tetap bertegas menyuruh kami pulang dengan alasan kawasan sekitar sini kurang selamat dan dibimbangi kami diganngu oleh dan diugut oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dengan perasaan yang kecewa kami terpaksa akur dan terus balik ke rumah. Hasrat dan kesunggugan untuk belajar pada malam itu berkecai begitu sahaja.

Seperti biasa kami berulang-alik ke pusat peperiksaan dengan menaiki bas awam. Pada suatu petang kami menunggu bas pada jam 1.20 petang kerana Kertas Pengajian Am (1) bermula pada jam 2.00 petang. Tidak seperti hari-hari biasa, entah kenapa pada hari itu bas tiba terlalu lewat iaitu pada jam 2.05 petang. Kami tiba di pusat peperiksaan pada jam 2.20 petang dan tepat jam 2.30 petang barulah kami yang terlewat setengah jam ini mula menjawab. Kami ditegur oleh ketua pengawas peperiksaan agar jangan tiba lewat lagi. Menurutnya jika terlewat melebihi satu jam tanpa alasan yang kukuh kemungkinan tidak dibenarkan memasuki bilik peperiksaan.

Seingat saya pada tahun 1989 seramai 12 orang calon cacat penglihatan termasuk calon sekolah dan calon persendirian di sekitar Kuala Lumpur yang menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, hanya saya seorang sahaja yang berjaya meneruskan pengajian ke menara gading iaitu di Universiti Malaya. Liku-liku kehidupan yang diharungi dan pengalaman pahit manis merupakan ilmu yang paling berharga. Pengorbanan dan keyakinan diri mengajar kita menjadi orang yang sabar dan tetap pendirian.

Tuesday, August 25, 2009

MASALAH KEKURANGAN GULA DI PASARAN

1 Ramadhan 1430 Hijrah bersamaan 22 Osos 2009 bermulalah bulan puasa. Semua umat Islam menyambutnya dengan rasa gembira dan penuh keinsafan. Pada bulan yang mulia inilah umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadat mudah-mudahan hidup akan sempurna tanpa kerisauan di hati. Bagaimanapun muncul sahaja bulan puasa sekumpulan manusia sengaja menimbulkan masalah kepada penduduk di Malaysia iaitu sengaja mengurangkan bekalan gula di pasaran. Fenomena yang sedang berlaku ini memang menggusarkan rakyat kerana gula merupakan bahan utama dalam proses penyediaan makan dan minuman, lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan tidak lama lagi menjelangnya hari raya Aidil Firti.

Di media massa kita sering mendengar dan membaca berita tentang pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerap kali memberi amaran kepada mana-mana pemborong yang menyorok atau didapati mengeksport gula secara haram ke luar negara tindakan tegas akan diambil oleh pihak kementerian berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Sehingga kini larangan dan ugutan ini masih tidak memberikan kesan yang positif kerana tindakan dan cara yang digunakan oleh para pemborong gula sangat licik dan bijak sehingga sukar dikesan oleh pihak berkuasa. Beberapa tangkapan dan serbuan yang berjaya dilakukan oleh Penguatkuasa Kementerian terhadap segelintir pemborong sahaja. Rasanya ramai lagi pemborong yang masih bermaharajalela kerana sukar dihidu oleh pihak berkuasa.

Pada amatan saya dua tujuan utama para pemborong menyekat bekalan gula di paaran. Mereka ingin mendesak kerajaan menaikkan harga gula. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya meningkatkan harga kerana gula merupakan barang kawalan. Kesempatan ini juga diambil bertujuan untuk menjual gula di negara jiran menerusi agen-agen haram kerana operasi ini sangat menguntungkan. Tanpa berfihir secara rasional mereka menjadikan rakyat sebagai mangsa. Rakyat begitu susah dan tertekan kerana kebanyakan kedai runcit tiada bekalan guru. Kalau ada pun kedai-kedai tertentu yang membenarkan pengguna membeli sekilo gram sahaja. Tidak salah kalau dikatakan dalam kerumitan ini kuasa ekonomi lebih dominan dan berjaya mempermainkan kuasa politik. Masalah negara ini bukan sekali berlaku malah telah terjadi berulang-kali kali. Kalau boleh kita tidak hendak pisang berbuah berkali-kali.

Saya mencadangkan agar pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mewujudkan satu badan khas seperti badan berkanun bertujuan mengambilalih semua kilang gula di Malaysia dan juga bertindak sebagai pemborong-pemborong yang mengagihkan bekalan gula ke kedai-kedai runcit. Satu lagi cara ialah penguatkuasa perlu ditambah bagi memantau semua kilang dan para pemborong yang ada di seluruh negara. Penguatkuasaan undang-undang juga perlu dkemaskini dan pelaksanaan mesti tegas serta bersistem bagi menjamin keberkesanan.

Monday, August 24, 2009

DILEMA ADUN PKR KELUAR PARTI

Memenangi pilihanraya sama ada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil amat menggembirakan dan seronok bagi calon yang menag. Dengan secara tiba-tiba calon yang berjaya akan glamour dan terkenal kerana dikenali dan dihormati oleh penduduk dalam lingkungan kawasannya. Bagaimanapun, jika calon yang menang itu dalam kalangan parti PKR, PAS atau DAP banyak cabaran, rintangan, cemuhan dan pujukan yang perlu ditempuhi dari semasa ke semasa. Semestinya calon yang mewakili parti yang menentang kerajaan pusat perlu mempunyai semangat yang kental serta tidak mudah putus asa bila berhadapan dengan masalah. Kadang-kadang sesuatu kerumitan dan kekalutan yang wujud sengaja dirancang dan kemudian dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik. Justeru, wakil rakyat yang mewakili salah satu komponen Barisan Alternatif terutama sekali PKR mesti berhati-hati dan waspada.

Dalam pilihanraya ke-12 yang telah diadakan pada 8 Mac, 2008 parti pembangkang mencapai kejayaan yang amat cemerlang dan sekaligus berjaya menjadi pemerintah kepada lima buah negeri. Dengan tidak disangka-sangka parti PKR telah menang besar dengan memperolehi 31 kerusi parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri. Keputusan yang luarbiasa ini menandakan parti PKR mula mendapat keyakinan rakyat secara keseluruhannya. Faktor utama kejayaan ini ialah keliber yang ada pada Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana pidato dan ceramahnya mampu memukau dan mempengaruhi rakyat. Disokong pula dengan beberapa isu hangat yang tidak dapat diselesaikan oleh Barisan Nsional.

Sehingga kini tiga ADUN PKR yang telah melompat dan mengisytiharkan diri mereka sebagai calon bebas. Mereka yang dimaksudkan ialah Kept. (B) Mohd Osman Mohd Jailu ADUN Changkat Jering, Encik Jamaluddin Mohd Radzi ADUN Behrang dan yang terbaru ialah Mohd Radzhi Salleh AGUN Lunas. Alasan yang diberikan ialah tidak percaya dan tidak mempunyai persefahaman dengan pucuk kepemimpinan parti PKR.

Jelas sekali keyajinan dan kpercayaan yang diberikan oleh rakyat dipersiakan begitu sahaja. Sepatutnya setelah menjadi wakil rakyat beliau perlu bekerja untuk rakyat bukannya melayan kerenah pentadbiran parti ataupun terpengaruh engan pujukan serta rayuan demi kepentingan diri senidiri. Beliau harus turun padang untuk meninjau masalah dan keperluan kelompok rakyat yang diwakilinya.

Pucuk pimpinan parti dengan segera dan agresif harus mengorak langkah bagi membendung gejala lompat parti berterusan dalam kalangan ADUN dan ahli parlimen PKR. Dato; Seri Anwar perlu mengadakan perjumpaan dari semasa ke semasa bertujuan memberikan perangsang dan meniupkan kata-kata semangat agar terus setia dan bekerja untuk parti. Sasaran yang paling mustahak ialah mengekalkan serta memantapkan sokongan rakyat kepada parti PKR.

Sunday, August 23, 2009

KONSEP TELUR DALAM MASYARAKAT MELAYU

Bila sebut sahaja pasal telur, kita terus terbayang telur yang dihasilkan oleh ayam, itik, angsa, burung, penyu, ikan dsbnya. Umum telah ketahui secara semulajadi telur terhasil akibat daripada perhubungan jenis yang berlaku antara binatang jantan dan betina. Inilah jenis telur yang dimakan dan dijadikan bahan utama dalam proses menghasilkan berbagai jenis kuih-muih oleh manusia.

Dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu mereka tidak dapat dipisahkan dengan telur. Telur menjadi salah satu elemen yang sangat penting dalam sosio budaya masyarakat Melayu. Tidak salah kalau dikatakan segala aspek yang berkaitan dengan keagamaan dan kepercayaan orang-orang Melayu telur merupakan pelengkap dalam merealisasikan sesuatu upacara sama ada dipraktikkan secara rasmi atau tidak rasmi. Jika kita tinjau dan perhatikan masyarakat Melayu yang tinggal di kampung-kampung terutama sekali penempatan masyarakat Melayu yang masih mengekalkan unsur-unsur tradisinya setiap rumah mesti memelhara ayam atau itik. Tujuan utama mereka memelihara hidupan ini adalah untuk mendapatkan sumber telur yang diistilahkan sebagai telur ayam kampung atau telur itik kampung. Ayam atau itik yang dupelihara dibiarkan hidup bebas mencari makanan sendiri di samping makanan yang diberi sekali atau dua kali sehari. Makanan yang diberikan kepada peliharaan mereka biasanya sisa-sisa makanan mansusia dan lebihan makanan. Dipercayai binatang yang hidup bebas dan pandai mencari makanan sendiri biasanya menghasilkan telur yang berkualiti serta berzat.

Setiap kanak-kanak lelaki Melayu dan Islam mesti dikhatankan dalam lingkungan umur 8 hingga 12 tahun. Mengikut tradisi orang-orang Melayu sebelum kanak-kanak lelaki dikhatankan satu upacara perlu dilakukan oleh ibu bapa mereka. Beberapa proses yang diwarisi turun-temurun perlu dilakukan oleh kanak-kanak yang ingin dikhatankan. salah satu acara yang masih kekal hingga ke hari ini makan pulut kuning bersama telur. Telur disediakan dalam dua keadaan iaitu telur goreng yang dipotong halus-halus dan memanjang untuk hiasan pulut kuning dan telur rebus yang dpacak sekeliling pulut kuning secara bulatan. Simboliknya upacara ini ialah kanak-kanak yang bakal dikhatankan diharapkan akan menjadi teruna yang tulen dari segi mental dan fizikalnya. Moga-moga dia akan berfungsi sebagai lelaki yang sejati.

Seseorang anak dara atau teruna yang telah dewasa dan matang serta mampu berdikari akan diuruskan perkahwinan mereka oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing. Pada masa dahulu ibu bapa akan menjodohkan pasangan untuk anak masing-masing kerana pergerakan seseorang individu tidak meluas dan mereka jarang terdedah dengan masyarakat luas. Pada masa kini seseorang individu akan mencari pasangan masing-masing dan meminta persetujuan ibu bapa. Salah satu unsur tradisi dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu ialah pemberian telur dalam bakul kecil atau karung yang dihias cantik. Pemberian ini dilakukan oleh wakil keluarga pengantin yang mempunyai kaitan persaudaraan. Jika diamati pemberian telur mempunyai maksud yang tersendiri. Dalam perkahwinan telur melambangkan zuriat kepada paangan pengantin. Khiasan di sini ialah mudah-mudahan pasangan pengantian akan mendapatkan zuriat kerana matlamat utama perkahwinan untuk mendapatkan anak. Anak merupakan aset yang amat bernilai dalam masyarakat Melayu.

Masyarakat Melayu amat mementingkan penjagaan kesihatan. Beraneka jenis akar kayu digunakan sebagai ubat jika berlaku gangguan kesihatan dan dalam usaha menguatkan serta memantapkan tenaga fizikal. Tenaga fizikal yang kuat dan kental amat mustahak kerana mereka bekerja di kebun getah, menanam dan menuai padi di sawah, menangkan ikan di laut, dsbnya. Tidak dapat dinafikan telur merupakan bahan yang amat penting dalam usaha mereka memantapkan kesihatan diri. Cara yang biasa dilakukan oleh mereka ialah sebutir telur ayam kampung yang mentah akan dicampurkan dengan sebotol air sarsi. Campuran ini akan diminum bertujuan untuk menguatkan tenaga fizikal dan boleh mengurangkan ketegangan urat. Kata mereka campuran ini panas. Konsep panas begitu penting dalam proses ketahanan badan.

Dalam usaha mengubati sesuatu penyakit, orang Melayu juga menggunakan khidmat bomoh. Tok bomoh merupakan kelompok yang dhormati dalam measyarakat Melayu. Lebih-lebih lagi jika seseorang bomoh itu bertindak cekap sebagai agen menyembuhkan penyakit yang sebelum ini tidak mampu diusuhakan oleh bomoh-bomoh yang lain. Seandainya penyakit disebabkan oleh jangkitan kuman mereka akan menggunakan akar kayu atau daun-daun tertentu sebagai ubat. Sekiranya penyakit disebabkan oleh gangguan makhluk halus atau makhluk luar biasa mereka akan menggunakan khidmat bomoh. Sudah menjadi lumrah, seseorang yang ingin melaksanakan proses penyembuhan mereka berkehendakkan pengeras. Antara pengeras yang mesti dicari oleh keluarga pesakit ialah telur. Telur yang diperlukan bukan mudah diperolehi. Seseorang bomoh akan menentukan kategorinya. Antara Kategori yang pernah saya dengar ialah telur ayam kampung, ayam yang bertelur mestilah berwarna kuning dan hitam, ayam itu juga mesti belum pernah mempunyai anak dan jenis ayam yang tidur di atas pokok. Telur yang diperolehi akan digunakan sebagai habuan kepada makhluk halus yang membantu bonoh berkenaan sewaktu mengubati seseorang pesakit.

Dalam masyarakat Melayu sebutan "telur" dijadikan sebagai bahan gurauan dan lawak jenaka. Dengan kata lian telur dijadikan sebagai unsur humor dalam kalangan orang-orang Melayu. Contohnya seorang Melayu berjumpa dengan kawan rapatnya.

"kau datang tak bawa apa-apa ke?", tanya Ahmad kepada Husin.
"tak adalah, aku nak cepat tadi, tak sempat beli apa-apa pun untuk kau, cuma bawa yang melekat kat badan aku ni satu batang dan dua telur", Jawab Husin sambil bergurau.

Jika didengar ungkapan tersebut mempunyai unsur kelucahan walau bagaimanapun telah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat Melayu. Dalam perbualan yang tidak formal ungkapan ini telah menjadi iebiasaan dan boleh diterima oleh masyarakat.

Seseorang lelaki Melayu biasanya akan disindir dan diperli jika mempunyai sifat penakut dan pengecut. Keberanian dan kegagahan merupakan sifat yang dituntut dalam masyarakat Melayu. Tidak hairanlah orang Melayu bangga dengan pahlawan Hang Tuahnya. Kata-kata Hang Tuah akan terus diingat hingga akhir zaman iaitu "takkan Melayu hilang di dunia". Ungkapan "kau tak ada Telur" melambangkan seseorang yang penakut dan pengecut. Begitu juga seseorang yang tidak berani menegakkan kebenaran. Ungkapan "ada telur" menandakan sifat kelelakian yang tulen.

Pada asasnya telur merupakan makanan sokongan utama bagi masyarakat Melayu. Berbagai-bagai jenis masakan boleh dibuat sama ada goreng, rebus, telur sambal dsbnya. Betapa kreatif dan kritisnya fikiran orang-orang Melayu telur telah dijadikan sebagai elemen penting dalam seluruh kehidupan masyarakat Melayu terutama sekali dalam aspek agama, ekonomi dan sosial. pada masa kini kita harus menerima hakikat bahawa penggunaan telur dalam sesetengah keadaan telah berubah mengikut edaran zaman. Masyarakat Melayu moden telah mula melunturkan penggunaan telur dalam majlis kenduri kahwin. di sana sini kita dapat perhatian pemberian telur telah digantikan dengan pemberian gula-gula atau kek. Bagi mereka pemberian gula-gula lebih menjimatkan dan pemberian kek melambangkan status atau darjat pengantin yang baru mendirikan rumahtangga.

Saturday, August 22, 2009

CABARAN OKU PENGLIHATAN DALAM TEMPOH 52 TAHUN MALAYSIA MENCAPAI KEMERDEKAAN

Pada tanggal 31 Ogos 2009, genaplah 52 tahun Malaysia mengecap nikmat kemerdekaan. Dalam tempoh tersebut seribu satu macam kemajuan dan pembangunan telah dicapai oleh rakyat Malaysia. Dari Perlis hingga ke Sabah terserlah kemakmuran dan kedamaian yang sedang dinikmati oleh warga Malaysia. Menjelang sambutan 52 tahun kemerdekaan kelihatan Jalur Gemilang berkibaran di seluruh pelusuk negara. Kibaran ini pasti melambangkan kegembiraan dan kebahagiaan rakyat. Secara sedar atau tidak dalam jutaan rakyat Malaysia terselit segolongan manusia yang diistilahkan sebagai orang kurang upaya pengliharan. Sebagai masyarakat yang telah matang harus merenung sejenak nasib mereka. Adakah golongan ini telah merdeka dalam erti kata yang sebenar? Kalau diamati secara fikiran terbuka masih banyak cabaran dan liku-liku yang terpaksa ditempuhi oleh mereka.

Semasa pasangan suami isteri inginkan zuriat yang sempurna dari segi fizikal mahupun mental. Alangkan sedih dan terharu sekali seandainya anak yang dilahirkan cacat, lebih-lebih lagi buta. Pastinya berbagai-badai persoalan dan andaian bermain-main di fikiran mereka. Kepada yang menerima hakikat, anak yang buta akan dipelihara dengan penuh kasih sayang dan diberi perhatian yang sewajarnya. Kepada pasangan yang tidak dapat menerima lumrah kehidupan anak yang buta akan dipelihara tanpa rela. Insan yang tidak berdosa akan terbiar dan tidak disosialisakan dengan sempurna. Terdapat segelintir kanak-kanak buta kerana pilih kasih keluarga kandung terpaksa dipelihara oleh keluarga angkat. Tidak menghairankan juga terdapat kanak-kanak buta yang tidak terbela dan mahu tidak mahu terpaksa ditempatkan di rumah-rumah kebajikan. Meskipun negara telah 52 tahun mencapai kemerdekaan terdapat kanak-kanak buta terus dihimpit kesengsaraan kasih sayang yang tulen berpunca daripada ibu bapa yang tidak merdeka dari segi moral dan keagamaan.

Kita harus menerima hakikat bahawa pendidikan OKU penglihatan di Malaysia telah dimulakan oleh penjajah Inggeris. Sekolah Princess Elizabeth secara rasminya telah dimulakan pada tahun 1948 dan Sekolah St. Nicholas, Pulau Pinang secara rasmunya telah dimulakan pada tahun 1951. Dari detik itulah kanak-kanak buta mula menerima pendidikan secara formal. Pada tahun ini mereka masih lagi menerima pendidikan dengan peralatan yang serba kekurangan. Sekitar tahun 70an sekolah-sekolah khas cacat penglihatan masih lagi berada di bawah seliaan NGO. PES umpamanya berada di bawah jagaan MAB. Pada tahap ini buku-buku teks dan peralatan khas disediakan oleh NGO yang berkenaan.

Bermua dari era 80an secara berperingkat-peringkat kerajaan menerusi Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran mula mengambilalih sekolah-sekolah khas. Secara percubaan, buku-buku Braille disediakan oleh Bahagian Percetakan, Unit Braille, Jabatan Pendidikan Khas. Buku-buku Braille yang dibekalkan ke sekolah-sekolah khas kurang berkualiti. Akibatnya, pelajar-pelajar buta tidak dapat menmanfaatkan bahan berkenaan secara berkesan. Pada dasarnya bahagian percetakan ini gagal beroperasi dengan sempurna dan dan jbatan Pendidikan Khas telah memilih beberap syarikat swasta yang menjurus kepada percetakan buku-buku Braille. Usaha ini juga gagal mengatasi pembekalan buku-buku teks yang sempurna ke sekolah-sekolah khas cacat penglihatan. Meskipun Malaysia telah 52 tahun mencapai kemerdekaan R & d dalam penyediaan buku-buku Braille untuk pelajar-pelajar OKU penglihatan masih belum mantap. Sehingga hari ini pelajar OKU penglihatan masih berhadapan dengan masalah ketiadaan dan ketidaksempurnaan buku teks Braille yang menjadi rujukan utama dalam proses p & p. Sepatutunya setelah separuh abad Malaysia mencapai kemerdekaan kemelut ini tidak seharusnya menjadi satu persoalan yang perlu ditangani dengan sewajarnya.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan dalam menempuh liku-liku pembelajaran, muncul beberapa OKU penglihatan yang mencapai kejayaan yang sangat cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya melayakkan mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Di menara gading mereka pastinya berhadapan dengan tanggapan segelintir pensyarah yang kurang yakin dengan kemampuan OKU penglihatan sehingga tidak membenarkan OKU penglihatan menjurus kepada sesuatu bidang. Lebih memeritkan lagi keadaan ada beberapa orang pensyarah yang tidak membenarkan OKU penglihatan merakam kuliah mereka dengan menggunakan pita rakaman. dari tahun 1960an hingga ke tahun 1980an inilah satu cara OKU penglihatan mendapatkan nota kuliah. Sehingga kini tidak sampai 2% pun bahan rujukan dalam tulisan Braille. Mahu tidak mahu OKU penglihatan tanpa segan silu terpaksa mencari embaca sukarela. Bagi pelajar OKU penglihatan di peringkat sarjana dan doktor falsafah sebahagian daripada sumber kewangan mereka terpaksa digunakan untuk mengupah pembantu penyelidik. Senario sebegini ialah asam garam dalam kehidupan seorang siswa atau siswi cacat penglihatan walaupun Malaysia telah 52 tahun mencapai kemerdekaan.

Dalam tempoh 52 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan bidang pekerjaan yang boleh diceburi oleh OKU penglihatan sangat terhad. Pada awal 1960an OKU penglihatan boleh berkecimpung sebagai pembuat dan penjual bakul dari riumah ke rumah dan pendapatan mereka sekadar untuk menyara keluarga. Di kampung-kampung yang masih mengekalkan unsut tradisi segelintir OKU penglihatan bekerja sebagai tukang cerita yang digelat Tok Selampit, Tok BelangaPenglipur Lara dsbnya. Tidak kurang pula yang berkebolehan menjadi tok bomoh, dukun serta tukang urut. Pendapatan mereka agak kecil bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kebanyakan daripada mereka terpaksa bergantung harap kepada adik-beradik yang bersimpati.

Dari penghujung tahun 1960an hingga tahun 1990an OKU penglihatan yang bernasib baik diterima menjawat jawatan telefonis di sektor awam dan swasta. Mana-mana OKU penglihatan yang berkebolehan dan berkelulusan SPM atau STPM setelah mendapat latihan khas di Pusat Latihan Gurney diterima bekerja sebagai juru terengkas di sektor awam. Lebih ramai diambil pada tahun 1981 sempena Tahun Antarabangsa Bagi Orang-Orang Cacat. Semakin jauh Malaysia merdeka, nasib OKU penglihatan semakin terkebelakang kerana mereka yang berjawatan juru terangkas seorang demi seorang terpaksa bertugas sebagai telefonis walaupun gred jawatannya N17. Senario begini wujud kerana peralatan pejabat yang semakin canggih dan budaya kerja yang mula berubah. Peralatan khas yang digunakan oleh OKU penglihatan tidak dikemaskini sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam tempoh yang sama juga jawatan telefonis semakin berkurangan. Bersesuaian dengan sistem telekomukasi yang semakin canggih sektor awam dan juga syarikat-syarikat swasta gemar menggunakan sistem telefon jawab secara automatik. Dengan cara ini mereka akan dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu mengambil ramai pekerja. Akibatnya OKU penglihatan yang berkelulusan SPM semakin sukar mendapat pekerjaan yang boleh menjamin kebahagiaan hidup.

Dalam lingkungan 52 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan telah ramai OKU penglihatan yang bergelar siswazah dari peringkat sarjana muda hinggalah ke peringkat doktor falsafah. Kesukaran mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan terus membelenggu OKU penglihatan yang berkelulusan tinggi. Kalau ada pun seorang dua sahaja yang menyandang jawatan pegawai. Jawatan guru pula ditawarkan secara bermusim kepada OKU penglihatan. Jika timbul rungutan dan rasa tidak puashati pihak-pihak tertentu pastinya Bahagian Pengambilan Guru akan mengamalkan dasar tutup pinti. Akibatnya OKU penglihatan tersisih di negara sendiri meskipun telah sekian lama mencapai kemerdekaan.

Bermula dari hujung tahun 80an hingga kini salah satu pekerjaan yang boleh diceburi oleh OKU penglihatan ialah juru urut. Pekerjaan ini diceburi oleh semua golongan OKU penglihatan tidak kira setakat mana taraf pendidikan mereka. Mujurlah juru urut buta masih diyakini dan terus mendapat perhatian masyarakat secara keseluruhannya. Yang menimbulkan masalah kini ialah terlalu ramai OKU penglihatan menceburi kerjaya ini sehinggakan kebanyakan daripada mereka sukar mendapatkan pelanggan yang mencukupi. Kesannya pendapatan bulanan mereka terjejas.

meskipun negara kita telah 52 tahun mencapai kemerdekaan dan sedang membangun dengan begitu pesat, sektor kerajaan mahupun swasta tidak berupaya memberi peluang pekerjaan dan menolong semua warga cacat penglihatan. Harus diakui hakikat bahawa kemampuan dan kebolehan serta sikap golongan cacat penglihatan berbeza-beza. Ramai juga OKU penglihatan yang terpaksa atau sengaja mengharapkan simpati masyarakat di sekitar Lembah Kelang dan sekitar banda-bandar utama di Malaysia. Sudah menjadi lumrah masa kini, orang-orang yang gemar makan di medan selera pasti akan ditegur oleh orang buta bersama temannya yang celik dengan satu tujuan inginkan wang. Senario ini sukar dihapuskan kerana pada masa ini kerajaan hanya mampu memberi bantuan Elaun Pekerja Cacat cuma RM3000.00 sebulan.

Meskipun telah separuh abad kita mengecap nikmat kemerdekaan nasib golongan cacat penglihatan secara keseluruhannya masih kurang terbela. Mereka perlu berhadapan dengan cabaran, ranjau, serta rintangan dalam menempuh kehidupan yang kian mencengkam. Yidak salah kalau dikatakan, dengan terciptanya peralatan yang serba canggih serta perkembangan sains dan teknologi sedikit sebanyak telah memberikan manfaat kepada golongan cacat penglihatan dan paling malang menjejaskan peluang OKU penglihatan untuk mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan pekerjaan yang diwujudkan memerlukan penglihatan yang normal. Walau bagaimanapun, buta tidak harus dijadikan penghalang untuk terus berdikari. OKU penglihatan mesti kuat semangat dengan memanfaatkan insentif-insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Tenaga Kerja. Setelah 52 tahun Malaysia merdeka OKU penglihatan perlu terus berjuang dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan menjaga imej diri.

Friday, August 21, 2009

PENGALAMAN BERHARGA SEBAGAI PEKERJA SEMENTARA DI PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM)

Pada pertengahan bulan April tahun 1994 maka tamatlah pengajian saya di Universiti Malaya dalam jurusan Sosio Budaya di Jabatan Pengajian Melayu. Selama beberapa bulan saya menganggur dan jika dibiarkan fikiran boleh menjadi buntu. Saya cuba mencari kerja dengan mendaftar di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, namun tiada sebarang jawapan yang positif. Sebaliknya saya telah menerima surat pembayaran balik pinjaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang mensyaratkan saya membayar balik 25% sahaja kerana saya telah lulus Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas 2 (atas). Saya telah membalas surat JPA bertujuan memohon penangguhan bayaran selama beberapa bulan dan dibenarkan oleh JPA.

Pada awal bulan Oktober, saya ke Kuala Lumpur dengan hasrat untuk mencari pekerjaan. Buat sementara waktu saya menumpang di bilik kawan dengan hanya membayar bil air dan letrik cuma RM10.00 sebulan. Pada pertengahan bulan November, saya telah menemani rakan ke Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia untuk ditemuduga jawatan kerani am. Pada waktu yang sama Setiausaha Eksekutif SBM telah menawarkan kerja kepada saya sebagai pekerja sementara. Tanpa berfikr panjang saya terus menerima tanpa bertanya jumlah gaji yang bakal diterima oleh saya. Pada 1 Disember tahun 1994 saya pun mula bekerja di ibu pejabat SBM dengan gaji yang ditawarkan cuma RM290.00 sahaja. Setelah dipotong KWSP dan PERKESO saya hanya menerima RM260.00 sahaja.

Di SBM saya banyak belajar cara-cara mengurus dan mentadbir sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO). Selama ini saya hanya mengetahui NGO menerusi pembacaan dan media massa. Maknanya saya hanya tahu dari sudut teori sahaja. Setelah bekerja dengan SBM saya telah dapat memerhati dan mendalami selok-belok mentadbir sebuah organisasi bukan kerajaan.

Di SBM banyak tugasan dan urusan yang saya lakukan menggunakan komputer. Kesempatan ini saya manfaatkan secukup-cukupnya untuk meluaskan pengetahuan saya berkaitan penggunaan komputer. Saya kerap diminta menulis surat-surat tertentu kepada semua cawangan dan kawasan SBM. Saya juga diajar cara mengemaskini maklumat dan disusun di dalam fail tertentu dengan format yang betul. Di SBM saya mula pandai menggunakan Microsoft Word. Di Universiti Malaya, sekitar tahun 1991 hingga 1993 saya hanya menggunakan Wor Star dan Word Perfect dalam usaha menyiapkan tugasan dan assighment.

Di SBM jugalah saya didedahkan dengan urusan kewangan. Seminggu sekali Setiausaha Eksekutif meminta saya ke Oriental Bank untuk menghantar cek-cek yang didermakan oleh syarikat-syarikat dan orang awam. Pihak SBM memperuntukkan tambang kepada saya RM10.00 sahaja untuk pergi ke bank dan balik semula ke SBM.

Jika ada masa yang terluang secara sukarela saya diminta melipat surat rayuan derma dan seterusnya dimasukkan ke dalam sampul. Walaupun kerja ini kelihatan mudah namun memerlukan kemahiran melipat dan perlu dilakukan secara berhati-hati. Jika tidak sukar untuk diamasukkan ke dalam sampul.

Setelah bekerja dengan SBM, Pengetahuan saya tentang SBM terus bertambah. Dalam Proses pengagihan tugas SBM mempunyai beberapa jawatankuasa termasuklah jawatankuasa Sukan dan Rekrasi, Jawatankuasa Kebajikan SBM, Jawatankuasa Pekerjaan SBM dsbnya. Semua jawatankuasa ini diketuai oleh seorang AJK yang bertindak atas nama Pengerusi. Saya berpeluang memerhatikan cara-cara beberapa jawatankuasa memainkan peranan masing-masing. Setelah diteliti, sebenarnya SBM merupakan sebuah pertubuhan yang dikendalikan oleh golongan cacat penglihatan secara tersusun dan sistematik. Peruntukan kewangan untuk setiap jawatankuasa diagihkan secara berhemah.

Saya hanya mampu bertahan di SBM sebagai pekerja sementara setakat 5 bulan sahaja. Saya meletakkan jawatan bukan kerana saya mendapat peluang yang lebih baik tetapi kadar gaji yang terlalu rendah tidak mengizinkan saya untuk terus bekerja. Ditambah pula dengan kos hidup yang terlalu tinggi. Terlintas juga di hati sampai bila hendak menumpang di bilik kawan. Dengan hati yang tulus saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada SBM kerana telah menyediakan landasan dan persediaan untuk saya bekerja di tempat lain. Pengalaman mengajar erti kehidupan yang sebenar. Untuk Pengetahuan semua, sehingga ke saat ini saya terus menyumbangkan tenaga dan aktif dengan SBM Cawangan Kuala Lumpur/Selangor sebagai Setiausaha. Saya telah menjadi Setiausaha SBM Cawangan Kula Lumpur/Selangor selama 13 tahun.

KENANGAN PAHIT MANIS MEMILIH KRSUS PEMIKIRAN ISLAM DI JABATAN PENGAJIAN ISLAM

Bermula dari Julai 1991 hingga April 1992 saya berada di tahun 2 Universiti Malaya. Salah satu kursus yang saya pilih ialah Pemikiran Islam yang ditawarkan oleh Jabatan Pengajian Islam. Sejak awal lagi kawan-kawan senior telah berpesan agar saya berfikir semasak-masaknya sebelum mendaftar kursus ini. Jika tersilap langkah nanti menyesal sepanjang sesi pembelajaran. Jika berhasrat untuk bertukar kursus bukannya senang. Setiap kursus biasanya menghadkan pengambilan pelajar. Terutama sekali kursus yang mudah dipelajari atau pensyarahnya murah hati iaitu dengan mudah memberikan markah yang tinggi kepada pelajar. Di samping beberapa risiko yang terpaksa ditempuh, kawan-kawan juga meniupkan semangat dan perangsang dengan menjelaskan beberapa kebaikan dan keseronokan berjinak-jinak dengan Kursus Pemikiran Islam.

Antara risiko yang diketengahkan oleh pelajar senior termasuklah:
1. Pelajar buta tidak dibenarkan merakam kuliah yang diberikan oleh pensyarah. Alasannya ialah beliau bimbang dan sangsi seandainya rakaman itu disebarkan kepada pihak-pihak tertentu sama ada di dalam universiti atau di luar kampus.
2. Pensyarah cuba mengajak mahasiswa dan mahasiswi yang menjurus kepada Kursus Pemikiran Islam berfikir tentang kebaikan-kebaikan Syiah dan dan mengetengahkan kelemahan-kelemahan yang ada pada fahaman Sunnah Wal Jamaah. Jika terpengaruh kita akan terikut-ikut dengan ajaran Syiah.
3. Pelajar buta yang berminat dengan kursus ini mesti berbaik-baik dengan beberapa rakan sekursus. Hal ini penting untuk mendapatkan nota-nota kuliah yang telah diberikan oleh pensyarah.
4. Dari semasa ke semasa pensyarah berkenaan akan menguji aqidah kita sama ada kita masih berpegang teguh dengan fahaman Sunnah Wal Jamaah atau telah boleh menerima ajaran Syiah.
5. Pensyarah tidak berfikiran terbuka. Semasa kuliah atau tutorial kita jangan sekali-kali memuji Saidina Osman, Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar. Bafinya yang terbaik dan terunggul ialah Saidina Ali Abi Talib.

Antara kebaikan memilih kursus ini termasuklah:
1. Bahan-bahan rujukan disediakan sendiri oleh pensyarah. Pelajar cuma bayar sahaja.
2. Pada peringkat tahun 2, pelajar-pelajar ini tidak perlu melaksanakan kertas projek. Syarat ini mengurangkan beban tugas kerana menulis assighment lebih mudah jika dibandingkan dengan kertas projek.
3. Saya boleh mendalami fahaman Syiah dengan lebih jelas. Sebelum ini saya hanya mendengar tentang fahaman Syiah. Kesempatan inilah saya ambil dengan sebaik-baiknya. Bagaimanapun, saya telah sematkan azam agar tidak terpengaruh.
4. Pada hakikat yang sebenar kursus ini boleh mengasah otak pelajar untuk berfikr secara kritis dan kreatif.
5. Kebanyakan bahan atau rujukan yang disediakan dan dijual kepada pelajar telah diterjemahkan oleh beliau dan beberapa tokoh akademik yang sealiran dengannya.

Setelah berfikir secara mendalam saya terdorong untuk mendaftar kursus ini. Pada sesi 1991-1992 seramai 87 orang yang menjadikan Kursus Pemikiran Islam sebagai pilihan mereka. Masih segar lagi dalam ingatan saya pada hari pertama saya memasuki bilik kuliah pensyarah berkenaan telah cuba meyakinkan kami semua bahawa Syiah adalah fahaman yang terbaik dan harus diikuti. Pada hari itu juga beliau memberi amaran kepada saya agar jangan sesekali merakam semua kuliahnya. Seandainya saya didapati engkar saya tidak dibenarkan menghadiri kuliah. Saya akur dengan perintahnya dan saya tahu beliau ingin menjaga keselamatan dirinya. Bagi saya larangan ini tidak menjadi masalah dan sedikit pun tidak menimbulkan kerisauan di hati. Sebelum saya diberi amaran saya telah mengerti prinsip dirinya yang tidak membenarkan sesiapa merakam kuliahnya walaupun pelajar cacat penglihatan.

Sekatan yang dikenakan kepada saya sedikit pun tidak melenturkan semangat untuk mendalami kursus ini. Sebenarnya dari peringkat awal saya telah membuat perancangan dan mengatur strategi cara untuk mendapatkan nota kuliah yang telah disalin oleh pelajar-pelajar lain. Untuk memastikan saya tidak terpinggir saya telah berbaik-baik dengan dua orang rakan bertujuan untuk meminjam nota kuliah. Meskipun berhadapan dengan sedikit masalah saya cukup selesa menimba pengetahuan menerusi Kursus Pemikiran Islam. Setiap kali kuliah fikiran saya sentiasa berfungsi dengan menyelami maklumat dan butiran yang disampaikan oleh Dr. Lutfi Ibrahim.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari iaitu pada pertengahan bulan September tahun 1991 dan saya tidak dapat mengingati tarikh yang tepat, dengan tidak diduga pensyarah berkenaan telah menarik tali beg saya lalu mengambil beg saya untuk digeledah. Peristiwa ini berlaku tepat jam 5.00 petang setelah tamatnya kuliah selama sejam. Beliau telah mengambil pita rakaman saya bertujuan untuk mendapatkan kepastian sama ada saya merakam atau tidak kuliah yang disampaikannya selama ini. Rupa-rupanya selama dua bulan lebih saya mengikuti kuliahnya beliau menyimpan keraguan yang sangat mendalam. Sebenarnya perkara ini tidak saya duga sama sekali. Memanglah setiap kali saya ke kuliahnya saya akan membawa beg dan pita rakaman kerana dari jam 3.00 hingga 4.00 petang saya mengikuti Kursus Sejarah Asia Tenggara. Kejujuran saya selama ini disalahertikan oleh pensyarah berkenaan.

Pada hakikat yang sebenar saya berasa amat malu kerana semua mahasiswa dan mahasiswi yang berada dalam dewan kuliah D yang sedang mengemaskan fail masing-masing terus tertumpu dan terpaku melihat gelagat pensyarah berkenaan. Mungkin ramai yang menganggap saya telah melakukan kesalahan yang besar sehingga memaksa pensyarah bertindak sedemikian. Keesokan harinya beberapa rakan sekursus mengajukan persoalan berkaitan kejadian yang berlaku. Dengan nada yang bersahaja sambil berseloroh saya menjelaskan keadaan yang sebenar.

Thursday, August 20, 2009

TEGURAN DAN KUTUKAN TERHADAP MENTERI BESAR KELANTAN MELAMPAU

Sememangnya saya seringkali bersikap liberal terhadap pertelagahan dan perselisihan faham yang berlaku di antara dua parti politik utama di negara kita iaitu UMNO dan PAS. Isu yang menjadi topik utama kedua-dua parti politik ini ialah berkaitan dengan golongan mana yang layak masuk syurga dan golongan manakah yang lebih menyeleweng. Pendek kata PAS cuba menonjolkan ciri-ciri Islam yang ada pada prinsip partinya. UMNO pula tidak habis-habis mengetangahkan kelemahan, penyelewengan serta terlalu ekstremnya pemimpin PAS. Untuk mengetahui dan mendalami hal saya biasanya akan menatap media massa berhaluan kanan termasuklah Berita Harian, Utusan Malaysia, TV RTM, TV3, TV9 dan yang sewaktu dengannya. Saya tidak melepaskan peluang membaca dan menonton media massa berhaluan kiri termasuklah Harakah, Siasah Suara keadilan, tvabtara dan sebagainya.

Sejak kebelakangan ini saya agak terangsang untuk membaca dan menonton kutukan-kutukan, nasihat sinis, sindiran dan cemuhan yang dilemparkan kepada Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Ini berikutan daripada kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengatakan ajaran Islam yang diamalkan oleh UMNO tidak boleh membawa ahli atau penyokongnya ke syurga. Kalaulah benar sekalipun apa yang diperkatakan oleh Tok Guru wartawan tertentu dan penyokong UMNO yang tersinggung seharusnya meminta penjelasan lanjut daripada Datuk Nik Aziz. Tidak wajar rasanya seorang tokoh agama dan tokoh politik pembangkang itu dikutuk semasak-masaknya di beberapa media massa arus perdana selama beberapa hari dan masih hangat diperkatakan.

Jika diperhatikan inilah modal utama kempen pilihanraya kecil Permatang Pasir yang akan diadakan pada 25 Ogos ini. Calon yang bertanding pula satu lawan satu antara UMNO dan PAS. Sebetulnya merupakan musuh tradisi dalam arena politik tempatan.

KADAR JENAYAH SEMAKIN MENINGKAT DI SEKITAR LEMBAH KELANG

Kuala Lumpur dan kawasan yang berhampiran dengannya termasuklah Bandar Kelang, Petaling Jaya, Gombak, Kelana Jaya, Subang Jaya Puchong Ulu Klang, Ampang merupakan kawasan yang sangat padat dengan penduduk. Kawasan ini juga menjadi tumpuan warga asing sama ada yang datang secara sah atau menyusup masuk ke negara ini secara tidak sah. Mereka ini digelar pendatang asing tanpa izin atau (pati). Kehadiran mereka secara beramai-ramai memang tidak disenangi oleh penduduk tempatan. Sekitar Lembah Kelang menjadi tumpuan ramai kerana di sinilah lubuk untuk mencari rezeki. Banyak peluang pekerjaan yang boleh dicari, asalkan tidak memilih pekerjaan. Cuma dalam keadaan ekonomi yang sedang meleset kadar upah yang ditawarkan agak rendah berbanding kos hidup yang semakin meningkat. Pada hakikat yang sebenar kehendak manusia sukar dibatasi dan kadangkala meminggirkan keperluan yang menjadi kemestian dalam kehidupan.

Bila fenomena ini semakin ketara dalam masyarakat yang tinggal di bandar-bandar besar maka lahirlah sekumpulan manusia yang mendapatkan sumber kewangan dengan cepat dan rakus tanpa ada perasaan belas kasihan. Mereka sanggup merompak, mencuri menyamun, peras ugut, ragut dan sebagainya. Lokasi yang menjadi sasaran mereka ialah kawasan perumahan yang tiada pengawal keselamatan seperti rumah teres, banglo, rumah pangsa kos sederhana. Sejak kebelakangan ini paling menakutkan orang ramai ialah rompakan bersenjata yang biasanya dilakukan oleh warga asing yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Golongan wanita pula seringkali menjadi mangsa kepada peragut-peragut yang tidak berperikemanusiaan. Kebanyakan daripada mereka merupakan penagih dadah tegar yang telah beberapa kali menjalani pemulihan di pusat serenti. Bagi membolehkan mereka bertindak lebih berani dan ganas, dengan fikiran yang kurang waras mereka akan menelan pil syabu. Kesan yang paling drastik adalah mereka akan melakukan jenayah empat serangkai iaitu rompak, rogol, bunuh dan bakar. Tujuan mangsa dibakar bagi menyukarkan pihak polis mendapatkan bahan bukti dalam proses siasatan.

Penjenayah tidak menghadapi masalah untuk menjual barangan yang telah dirompak atau dicuri. Mereka akan menawarkan beraneka barangan curi dengan harga yang murah di pasar karat yang terletak di sepanjang Jalan Petaling. Pasar karat ialah tempat orang memperagakan dan memperniagakan hasil rompakan dan barangan curi. Lazimnya pasar karat beroperasi dari kam 2.00 pagi hingga 4.30 pagi. Antara barangan yang biasanya dijual termasuklah komputer riba, jam tangan, kasut lelaki, beg tangan, pakaian, barang kemas dan berameka jenis barangan yang mudah dibawa serta diminati ramai. Sebenarnya orang ramai yang berkunjung ke sini dengan tujuan untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah tidak bermoral dan salah di sisi ajaran agama. Mereka yang gemar membeli barangan curi secara langsung memberi dorongan dan perangsang kepada penjenayah untuk terus merompak dan mencuri. Seandainya pihak polis melakukan rondaan dan serbuan semua mereka yang berada di situ akan ditangkap dan ditahan dalam lokap. Mereka yang terlibat akan disoal siasat dan sekiranya didapati bersalah akan dipenjarakan dan didenda. Pastinya mereka yang berkunjung ke pasar karat sama ada dengan tujuan untuk membeli atau lepak-lepak pada awal pagi berisiko ditahan polis.