Wednesday, August 26, 2009

LIKU-LIKU DALAM USAHA MENDUDUKI PEPERIKSAAN STPM BUAT KALI KEDUA

Pada awal November 1988 saya telah mengembil peperiksaan STPM setelah menamtkan persekolahan peringkat menengah di SM St. John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur selama 7 tahun. Setelah keputusan STPM diumumkan pada pertengahan bulan Mac 1989, saya hanya mendapat B.E.E.R. Pada waktu itu kebanyakan pelajar cacat pengliahatan hanya mengambil 4 mata pelajaran sahaja kerana mata pelajaran lain tidak sesuai dengan kemampuan pelajar cacat penglihatan. Mata pelajaran Syariah yang menjadi pilihan utama dewasa ini masih belum diteroka oleh pelajar buta. Keputusan yang tidak cemerlang itu tidak melayakkan saya untuk meneruskan pengajian di mana-mana universiti awam.

Pada awal Mei 1989 saya kuatkan azam dan tekad untuk mendaftar dan mengambil peperiksaan STPM buat kali kedua. Mujurlah buku-buku dan nota-nota lama masih disimpan dengan baik dan hanya membeli beberapa judul buku yang terkini. Saya juga melanggan nota-nota ringkas menerusi Syarikat Adabi Gaya Pos. Memandangkan masa untuk belajar cuma 5 bulan lebih sahaja saya tidak berminat untuk mengemukakan permohonan mengulang di tingkatan 6 atas. Ditambah pula dengan sukarnya mendapat tempat tinggal di asrama SMPK, Setapak. Merayu dan merintih untuk mendapatkan tempat tinggal bukan kerja saya kerana Pengetua SMPK, Setapak pada ketika itu memang begitu anti dengan pelajar-pelajar sekolah percantuman terutama sekali pelajar-pelajar tingkatan 6. Walaupn terpaksa berhadapan dengan masalah dan kepayahan saya sanggup belajar sendiri di rumah.

Abang saya yang baru sahaja menamatkan pengajiaannya di UM dalam bidang Pengajian Asia Tenggara bukan memberikan kata-kata semangant sebaliknya cuba melemahkan semangat saya. Alasan yang diberikannya agak logik juga. Menurutnya setahun lebih saya belajar di tingkatan 6 bawah dan atas dan mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada guru pun sukar untuk lulus dengan cemerlang. Jika belajar sendiri di rumah tanpa jadual yang tetap dan tiada bimbingan keputusan saya lagilah teruk. Tambahnya lagi, janganlah berlagak, mohonlah mengulang di tingkatan 6 atas. Dengan nada sinisnya jika saya terus berdegil keputusan yang bakal diperolehi nanti lagilah terus. Dia terus menempelak saya dengan mengatakan kerja yang saya lakukan sia-sia dan membazir masa. Saya langsung tidak mempedulikan kata-katanya dan terus belajar sendiri di rumah hingga akhir bulan Oktober. Prinsip yang saya pegang pada waktu itu ialah hanya saya sahaja yang mempu menyelami keperluan dan kehendak diri sendiri. Saya sendiri jugalah yang akan mengatur masa depan saya. Perkara yang harus saya lakukan adalah nerusaha ke arah kecemerlangan.

Pada pertengahan bulan Jun 1989 saya telah dihubungi oleh salah seorang kerani Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan bertujuan untuk memberitahu bahawa saya boleh mendaftar sebagai calon yang berpusat di negeri Kelantan tetapi tidak boleh menduduki peperiksaan di Kelantan kerana tiada mesin Braille iaitu alat tulis pelajar cacat penglihatan. Mahu tidak mahu saya terpaksa menduduki peperiksaan di salah satu pusat peperiksaan yang dikhaskan kepada pelajat buta yang bertempat di SM Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur. Menurut Pegawai Pelajaran Negeri Kelantan, di sana nanti akan dilengkapi dengan mesin Braille.

Pada awal bulan November saya ke Kuala Lumpur dengan ilmu yang tersimpan di otak. Entah melekat, emtah tidak. Sedikit Sahaja buku rujukan saya bawa ke Kuala Lumpur. Mujurlah saya dapat menginap di rumah kawan-lawan lama yang terletak di Ulu Klang, Selangor. Mereka sangat baik hati kerana saya dibenarkan menumpang tanpa dikenakan sebarang bayaran. Mereka semua mengerti keadaan saya, memanglah faham kami semua rakan senasib. Sampai sahaja di situ rakan saya terus memberitahu bahawa saya mesti mencari mesin Braille sendiri. mereka yang sama-sama menduduki peperiksaan STPM perlu membawa Mesin Braille dari sekolah masing-masing. Keesokan harinya tanpa berlengah saya terus ke Unit Percetakan Braille bertujuan untuk meminjam Mesin Braille sepanjang peperiksaan berlangsung. Mujurlah salah seorang kerani di situ dengan rela hati sanggup meminjamkan saya sebuah mesin Braille. Mesin Braille itu kelihatan buruk namun boleh berfungsi dengan sempurna sehingga tamat peperiksaan.

Rumah yang saya tumpangi terlalu ramai penghuni. Bilik ada dua dan dikhususkan kepada mereka yang membayar sewa. Penghuni yang berstatus menumpang tinggal di ruang tamu. Mereka yang tidur di ruang tamu lebih ramai daripada mereka yang membayar sewa. Keadaan ini berlaku kerana ramai kawan-kawan saya belum bekerja dan sekali-sekala menjual makanan ringan dari rumah ke rumah dengan pendapatan yang tidak menentu. Saya dam tiga rakan yang lain pula menduduki peperiksaan STPM. Kebanyakan dalam kalangan kami baru menamatkan alam persekolahan dan dalam usaha belajar untuk hidup sendiri. Dengan hati yang ikhlas, saya amat menghargai jasa baik kalian kerana bersimpati dengan rakan senasib dan sanggup membenarkan saya menumpang tanpa dikenakan sebarang bayaran. Salah satu faktor kejayaan saya adalah berpunca daripada kesudian kalian semua memberikan saya tempat tinggal sepanjang musim peperiksaan.

Masih segar dalam ingatan saya beberapa malam lamanya sukar untuk saya mencari ruang untuk tidur kerana penghuni terlalu ramai. Bagaimanapun mereka semua baik hati kerana sanggup merapatkan badan antara satu sama lain sambil tidur mengiring demi memberi ruang kepada rakan-rakan yang lain. Bagi saya pengalaman manis ini merupakan cabang ilmu yang boleh mengajar saya erti kehidupan yang sebenar.

Sepanjang tempoh peperiksaan jarang sekali saya menyentuh buku. Masa yang terluang saya habiskan dengan bersembang dan berlawak jenaka dengan rakan-rakan. Maklumlah saya berpisah dengan rakan-rakan hampir setahun lamanya dan hilai tawa kalian semua sangat dirindui. Bila berjumpa semula beraneka macam cerita lama dan baru dapat dikongsi bersama. Mujur juga saya membawa sedikit buku. Setiap hari saya tidur lewat malam dan banyak masa dihabiskan dengan bersembang di kedai kopi yang berhampiran. Seingat saya sekali sahaja saya berpeluang membuka buku untuk mata pelajaran Pengjian Am Kertas (1). Emtah kenapa pagi itu rasa rajin sedikit dan kebetulan pula Kertas Pengajian Am (1) dijadualkan pada sebelah petang. Rakan-rakan yang lain masih dibuai mimpi. Saya pun rasa mengantuk tetapi pada pagi itu semangat mengatasi segala-galanya.

Hendak dijadikan cerita, pada sautu malam salah seorang rakan yang sama-sama menduduki peperiksaan STPM mencadangkan agar kami semua belajar di ruang depan masjid yang berdekatan . Menurutnya di situ terdapat beberpa kerusi panjang yang boleh digunakan untuk mentelaah pelajaran. Atas dasar prinsip berkawan, pada jam 10.30 malam saya dan tiga orang rakan bergerak ke masjid yang berhampiran. Sampai sahaja di ruang depan masjid kami semua memilih tempat yang sesuai untuk belajar. Tanpa berlengah rakan kami yang mengemukakan cadangan tadi terus memulakan bacaan senyapnya. Kami pun turut sama mengikut jejaknya. Tidak sampai 15 minit kami berada di situ dan punggung pun belum cukup panas, kami telah ditegur oleh beberapa orang Rela yang bertugas pada malam itu. Mereka menuruh kami balik ke rumah. Kami cuba menjawab dengan mengatakan kami cuma nak belajar di sini kerana suasana di sekitar masjid sunyi. Mereka tetap bertegas menyuruh kami pulang dengan alasan kawasan sekitar sini kurang selamat dan dibimbangi kami diganngu oleh dan diugut oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dengan perasaan yang kecewa kami terpaksa akur dan terus balik ke rumah. Hasrat dan kesunggugan untuk belajar pada malam itu berkecai begitu sahaja.

Seperti biasa kami berulang-alik ke pusat peperiksaan dengan menaiki bas awam. Pada suatu petang kami menunggu bas pada jam 1.20 petang kerana Kertas Pengajian Am (1) bermula pada jam 2.00 petang. Tidak seperti hari-hari biasa, entah kenapa pada hari itu bas tiba terlalu lewat iaitu pada jam 2.05 petang. Kami tiba di pusat peperiksaan pada jam 2.20 petang dan tepat jam 2.30 petang barulah kami yang terlewat setengah jam ini mula menjawab. Kami ditegur oleh ketua pengawas peperiksaan agar jangan tiba lewat lagi. Menurutnya jika terlewat melebihi satu jam tanpa alasan yang kukuh kemungkinan tidak dibenarkan memasuki bilik peperiksaan.

Seingat saya pada tahun 1989 seramai 12 orang calon cacat penglihatan termasuk calon sekolah dan calon persendirian di sekitar Kuala Lumpur yang menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, hanya saya seorang sahaja yang berjaya meneruskan pengajian ke menara gading iaitu di Universiti Malaya. Liku-liku kehidupan yang diharungi dan pengalaman pahit manis merupakan ilmu yang paling berharga. Pengorbanan dan keyakinan diri mengajar kita menjadi orang yang sabar dan tetap pendirian.

No comments:

Post a Comment