Friday, August 21, 2009

KENANGAN PAHIT MANIS MEMILIH KRSUS PEMIKIRAN ISLAM DI JABATAN PENGAJIAN ISLAM

Bermula dari Julai 1991 hingga April 1992 saya berada di tahun 2 Universiti Malaya. Salah satu kursus yang saya pilih ialah Pemikiran Islam yang ditawarkan oleh Jabatan Pengajian Islam. Sejak awal lagi kawan-kawan senior telah berpesan agar saya berfikir semasak-masaknya sebelum mendaftar kursus ini. Jika tersilap langkah nanti menyesal sepanjang sesi pembelajaran. Jika berhasrat untuk bertukar kursus bukannya senang. Setiap kursus biasanya menghadkan pengambilan pelajar. Terutama sekali kursus yang mudah dipelajari atau pensyarahnya murah hati iaitu dengan mudah memberikan markah yang tinggi kepada pelajar. Di samping beberapa risiko yang terpaksa ditempuh, kawan-kawan juga meniupkan semangat dan perangsang dengan menjelaskan beberapa kebaikan dan keseronokan berjinak-jinak dengan Kursus Pemikiran Islam.

Antara risiko yang diketengahkan oleh pelajar senior termasuklah:
1. Pelajar buta tidak dibenarkan merakam kuliah yang diberikan oleh pensyarah. Alasannya ialah beliau bimbang dan sangsi seandainya rakaman itu disebarkan kepada pihak-pihak tertentu sama ada di dalam universiti atau di luar kampus.
2. Pensyarah cuba mengajak mahasiswa dan mahasiswi yang menjurus kepada Kursus Pemikiran Islam berfikir tentang kebaikan-kebaikan Syiah dan dan mengetengahkan kelemahan-kelemahan yang ada pada fahaman Sunnah Wal Jamaah. Jika terpengaruh kita akan terikut-ikut dengan ajaran Syiah.
3. Pelajar buta yang berminat dengan kursus ini mesti berbaik-baik dengan beberapa rakan sekursus. Hal ini penting untuk mendapatkan nota-nota kuliah yang telah diberikan oleh pensyarah.
4. Dari semasa ke semasa pensyarah berkenaan akan menguji aqidah kita sama ada kita masih berpegang teguh dengan fahaman Sunnah Wal Jamaah atau telah boleh menerima ajaran Syiah.
5. Pensyarah tidak berfikiran terbuka. Semasa kuliah atau tutorial kita jangan sekali-kali memuji Saidina Osman, Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar. Bafinya yang terbaik dan terunggul ialah Saidina Ali Abi Talib.

Antara kebaikan memilih kursus ini termasuklah:
1. Bahan-bahan rujukan disediakan sendiri oleh pensyarah. Pelajar cuma bayar sahaja.
2. Pada peringkat tahun 2, pelajar-pelajar ini tidak perlu melaksanakan kertas projek. Syarat ini mengurangkan beban tugas kerana menulis assighment lebih mudah jika dibandingkan dengan kertas projek.
3. Saya boleh mendalami fahaman Syiah dengan lebih jelas. Sebelum ini saya hanya mendengar tentang fahaman Syiah. Kesempatan inilah saya ambil dengan sebaik-baiknya. Bagaimanapun, saya telah sematkan azam agar tidak terpengaruh.
4. Pada hakikat yang sebenar kursus ini boleh mengasah otak pelajar untuk berfikr secara kritis dan kreatif.
5. Kebanyakan bahan atau rujukan yang disediakan dan dijual kepada pelajar telah diterjemahkan oleh beliau dan beberapa tokoh akademik yang sealiran dengannya.

Setelah berfikir secara mendalam saya terdorong untuk mendaftar kursus ini. Pada sesi 1991-1992 seramai 87 orang yang menjadikan Kursus Pemikiran Islam sebagai pilihan mereka. Masih segar lagi dalam ingatan saya pada hari pertama saya memasuki bilik kuliah pensyarah berkenaan telah cuba meyakinkan kami semua bahawa Syiah adalah fahaman yang terbaik dan harus diikuti. Pada hari itu juga beliau memberi amaran kepada saya agar jangan sesekali merakam semua kuliahnya. Seandainya saya didapati engkar saya tidak dibenarkan menghadiri kuliah. Saya akur dengan perintahnya dan saya tahu beliau ingin menjaga keselamatan dirinya. Bagi saya larangan ini tidak menjadi masalah dan sedikit pun tidak menimbulkan kerisauan di hati. Sebelum saya diberi amaran saya telah mengerti prinsip dirinya yang tidak membenarkan sesiapa merakam kuliahnya walaupun pelajar cacat penglihatan.

Sekatan yang dikenakan kepada saya sedikit pun tidak melenturkan semangat untuk mendalami kursus ini. Sebenarnya dari peringkat awal saya telah membuat perancangan dan mengatur strategi cara untuk mendapatkan nota kuliah yang telah disalin oleh pelajar-pelajar lain. Untuk memastikan saya tidak terpinggir saya telah berbaik-baik dengan dua orang rakan bertujuan untuk meminjam nota kuliah. Meskipun berhadapan dengan sedikit masalah saya cukup selesa menimba pengetahuan menerusi Kursus Pemikiran Islam. Setiap kali kuliah fikiran saya sentiasa berfungsi dengan menyelami maklumat dan butiran yang disampaikan oleh Dr. Lutfi Ibrahim.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari iaitu pada pertengahan bulan September tahun 1991 dan saya tidak dapat mengingati tarikh yang tepat, dengan tidak diduga pensyarah berkenaan telah menarik tali beg saya lalu mengambil beg saya untuk digeledah. Peristiwa ini berlaku tepat jam 5.00 petang setelah tamatnya kuliah selama sejam. Beliau telah mengambil pita rakaman saya bertujuan untuk mendapatkan kepastian sama ada saya merakam atau tidak kuliah yang disampaikannya selama ini. Rupa-rupanya selama dua bulan lebih saya mengikuti kuliahnya beliau menyimpan keraguan yang sangat mendalam. Sebenarnya perkara ini tidak saya duga sama sekali. Memanglah setiap kali saya ke kuliahnya saya akan membawa beg dan pita rakaman kerana dari jam 3.00 hingga 4.00 petang saya mengikuti Kursus Sejarah Asia Tenggara. Kejujuran saya selama ini disalahertikan oleh pensyarah berkenaan.

Pada hakikat yang sebenar saya berasa amat malu kerana semua mahasiswa dan mahasiswi yang berada dalam dewan kuliah D yang sedang mengemaskan fail masing-masing terus tertumpu dan terpaku melihat gelagat pensyarah berkenaan. Mungkin ramai yang menganggap saya telah melakukan kesalahan yang besar sehingga memaksa pensyarah bertindak sedemikian. Keesokan harinya beberapa rakan sekursus mengajukan persoalan berkaitan kejadian yang berlaku. Dengan nada yang bersahaja sambil berseloroh saya menjelaskan keadaan yang sebenar.

No comments:

Post a Comment