Thursday, August 30, 2012

SAKIT! CABUT BANG...

Tersebutlah alkisah di sebuah rumah yang baru melangsaikan kenduri kahwin. Keluarga perempuan bersyukur ke hardat Illahi kerana telah selamat menerima menantu. Mengikut kebiasaan dan adat orang Melayu, menantu mesti bermalam di rumah keluarga perempuan. Nak jaga hati keluarga perempuan, mestilah makan malam dan beramah mesra sebelum masuk ke bilik tidur. Malam pertama, hati, jiwa dan perasaan meronta-ronta, memang mencabar kesabaran. Nasib baik dikurniakan fikiran yang waras.

Tepat pukul 12.00 malam, ayah mertua pura-pura mengantuk dan terus ke bilik tidur diikuti oleh ibu mertua dan adik-beradik yang lain. Masing-masing sedia maklum dengan perangai dan gelagat dalaman pengantin baru. Dengan penuh sopan pengantin perempuan menuju ke bilik pengantin yang telah dihias indah oleh mak andam siang tadi. Setelah wajah pengantin perempuan hilang pandangan dari ruang tamu, pengantin lelaki terus bergerak ke bilik mereka dengan langkahan yang bersahaja. Pintu terus ditutup dengan perlahan. Maka bermulalah adegan sulit mereka.

Selang beberapa ketika keluarga terdekat perempaun terdengar suara pelik dari bilik pengantin. Sakit bang! sakit bang! sakit bang! Cabutlah bang! Cabutlah bang! saya tak tahan ni. Sakit sangat. Sabarlah sayang! Cabut esok, ye. Esok janji! mesti cabut.

Dengan tidak berfikir panjang, ayah mertua terus menendang pintu hingga kunci tercabut dan pintu terus terbuka. "kau nak seksa anak aku ke jantan gelojoh?" soalan bernada marah terus terpacul dari mulut ayah mertua. "Esok baru nak cabut! kau ingat anak aku binatang ke?" begitu marah sekali. "minta maaf ayah, sebenarnya, ayang saya ni sakit gigi. esok pagi baru boleh ke klinik untuk cabut gigi. malam semua klinik tutup" jawab menantu dengan penuh sopan.
              

Friday, April 6, 2012

TUJUAN UTAMA ORANG BERKAHWIN

Perkahwinan ialah ikatan perhubungan sosial yang terjalin secara lahiriah dan batiniyah antara seorang lelaki dengan seorang perempuan atau beberapa orang perempuan. Seorang lelaki dibenatkan memiliki beberapa orang isteri tertakluk kepada kepercayaan agama tertentu dan norma serta adat sesuatu masyarakat. Setelah sah bergelar suami dan isteri maka mereka boleh tinggal serumah siang dan malam tanpa sebarang gangguan. Mereka boleh berhubung dan bergaul secara sulit tanpa batasan. Segala kemahuan berkasih sayang dan keinginan seks dapat dinikmati dengan sepuas-puasnya.

Tidak dapat dinafikan jauh di sudut hati semua manusia normal sifatnya matlamat utama mereka mendirikan rumah tangga ialah untuk melayan nafsu seks mereka yang sekian lama terpendam. Mengikut perkembangan fisiologi, nafsu seks mula hadir secara lengkap dalam naluri seseorang setelah mencapai umur baligh. Pada tahap inilah tidak kira sama ada lelaki atau perempuan mula berminat untuk menyayangi seseorang dan berharap disayangi oleh orang yang diminatinya. Secara semulajadi manusia juga mula mengerti tentang hubungan seks antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Mujurlah manusia dikurniakan akal bagi membolehkan seseorang berfikir secara rasional. Seseorang manusia dilarang sekeras-kerasnya oleh agama dan kebanyakan masyarakat melakukan hubungan seks sebelum berkahein. Manusia hanya dibenarkan bercinta dan mencurahkan rasa sayang dengan batasan-batasan tertentu. Akibat tegahan inilah manusia perlu bersabar bertahun-tahun lamanya.

Untuk memasuki gerbang perkahwinan tidak semudah yang diimpi-impikan sewaktu zaman remaja. Seorang teruna dan dara perlu betul-betul bersedia untuk meninggalkan zaman bujang dan memulakan hidup secara berkeluarga. Seseorang lelaki yang bakal bertindak sebagai ketua keluarga mesti mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang secukupnya untuk menyara seorang isteri dan anak-anak yang bakal dilahirkan. Lantaran desakan nafsu seks seseorang lelaki sewajarnya perlu aktif mencari pekerjaan yang boleh menjana pendapatan yang secukupnya bagi mengetuai sebuah keluarga. Demi desakan nafsu seks, seseorang perempuan mungkin menggalakkan teman lelakinya bekerja dengan rajin dan bertindak matang agar dapat melangsungkan perkahwinan secepat mungkin.

Istilah "malam pertama" sering dikaitkan dengan mereka yang baru mendirikan rumah tangga. Setelah diijabkabul bagi orang Islam dan setelah didaftarkan bagi penganut agama lain, pada malam tersebutlah pasangan mempelai sah di sisi agama dan masyarakat melakukan hubungan seks. Ibu bapa mereka sedia maklum dan tentu sekali menyiapkan sebuah bilik yang dilengkapi dengan hiasan dan katil yang selesa. pada detik itulah mereka boleh melepaskan nafsu seks yang sekian lama terpendam. Bagi lelaki wajar sekali memiliki alat kelamin yang boleh berfungsi dengan sempurna. Alangkah bahagia dan ceria seandainya mampu memberi kepuasan yang maksima kepada isterinya. Bak kata pepatah Melayu, jika alu yang baik buatannya bertemu dengan lesung yang serasi dengannya akan menghasilkan sambal yang sedap dan menyelerakan.

Sekiranya seseorang lelaki sering tewas sewaktu beraksi dengan pasangannya, kemungkinan dia memiliki alat kelamin yang kurang kental dan kurang bertenaga. Langkah segera perlu diambil bagi mengatasi masalah alat kelaminnya. Cara yang terbaik ialah boleh mendapatkan khidmat tukang urut batin yang benar-benar pakar dan berkebolehan. Disyorkan juga berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat bagi mendapatkan ubat kuat yang tidak menjejaskan kesihatan.

Dalam usaha memenuhi kehendak nafsu seks manusia yang terbatas dan tidak terbatas pelbagai jenis ubatan, makanan tambahan dan beraneka jenis minuman boleh didapati di pasaran. Mengikut pada iklan yang sering kita dengar pelbagai produk ini mampu menguatkan alat kelamin lelaki yang tidak mampu berfungsi dengan baik. Terdapat beberapa jenis produk yang mampu merangsang nafsu seks lelaki dan perempuan. Syarikat jualan langsung begitu ageresif memperkenalkan barangan mereka yang mampu mengubati pelbagai jenis penyakit tidak terkecuali mampu merangsang nafsu seks. Terdapat syarikat jualan langsung begitu berani sekali meyakinkan pasangan yang bermasalah dalam hubungan seks sekiranya mengamlkan makanan tambahan atau ubatan keluarannya dalam tempoh beberapa minggu pasangan suami isteri yang bermasalah akan bahagia dan terus mengecap nikmat kasih sayang.

Tidak dapat disangkal salah satu faktor penceraian ialah suami tidak mampu memuaskan nafsu seks pasangannya. Pada satu peringkat tertentu pula isteri bersikap dingin seks dan tidak mahu melayan kehendak seks suaminya. Dalam situasi lain pula terdapat pasangan yang mantap ekonomi tetapi tidak mampu beraksi di ranjang dengan sempurna. Tanpa memikirkan larangan agama dan demi memenuhi mafsu seks ada individu yang sanggup curang dengan pasangan sendiri dan beraksi dengan orang lain. Jelaslah bahawa nafsu seks amat penting dan merupakan satu tuntutan dalam kehidupan manusia. Manusia sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit demi memuaskan nafsu seks.

Tuesday, March 20, 2012

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir keluar UMNO. Apa Motifnya yang tersirat?

Setelah beberapa bulan berada di pentas ceramah dan sesi penerangan yang tidak sehaluan dengan perjuangan UMNO kini, akhirnya pada 19 Mac 2012 Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir telah mengisytiharkan dirinya keluar dari parti UMNO. Beliau yang sebelum ini bersusah-payah dan bersenang-lenang dalam UMNO selama 56 tahun telah bertindak menyisihkan dirinya dari parti yang sekian lama menaikkan namanya dalam arena politik tanah air. Beliau dilahirkan pada 4 Jun 1939 di Kampung Tawar, Kulim, Kedah. Beliau berkelulusan Undang-Undang dari Lincoln,s inn London pada tahun 1970. Seingat saya beliau pernah menjadi Menteri Penerangan dari tahun 2004 hingga tahun 2006. Tidak dinafikan jasanya pada UMNO dan Malaysia harus dipuji. Beliau juga sekian lama memenangi kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baru, Kedah.

Peminat politik tertanya-tanya sindrom apakah yang telah melanda Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sehingga tergamak mengutuk habis-habisan parti politik yang disayanginya selama ini. Parti UMNO jugalah yang telah mempopularkan Tan Sri Abdul Aziz di pentas politik negeri Kedah. Sewaktu beliau menjadi ahli parlimen selama beberapa penggal, beliau amat dikagumi dan dihormati oleh kebanyakan pengundi di Kulim-Bandar Baru. Dengan tiba-tiba kita didedahkan dengan maklumat yang disebarkan oleh Tan Sri Abdul Aziz berkaitan kelemahan-kelamahan dan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO masa kini. tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memujuk pemimpin UMNO agar tidak bergelumang dengan dosa rasuah. Memandangkan UMNO kini telah banyak tersasar dari landasan asal dan tujuan murni penubuhan UMNO. Tanpa ragu dan segan silu, beliau mengambil keputusan untuk menceritakan segala kepincangan dan budaya kronisme yang wujud dalam UMNO.

Tindakan luar jangka yang dimbil oleh beliau telah mengejutkan banyak pihak. Seorang Tan Sri yang sebelum ini begitu setia dengan UMNO telah berpaling tadah dan begitu lantang menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap UMNO. Keputusannya keluar dari UMNO saya teliti dengan penuh berhati-hati. Bagi saya tiga jangkaan beliau sanggup keluar dari UMNO. Pertama, Beliau beranggapan pemimpin UMNO masa kini telah terpesong dari perjuangan asal penubuhan UMNO. Lantaran itu, Pemimpin tertentu sanggup memungkiri amanh rakyat dengan melakukan rasuah dsbnya. Kedua, Beliau terpikat dan yakin dengan reformasi dan pendekatan politik yang sedang dirancang dan telah dilaksanakn oleh Pakatan Rakyat. Mungkin beliau menyelami beberapa dasar dan pelaksanaan pembangunan di empat negeri di bawah Pakatan Rakyat menjurus terus kepada rakyat. Ketiga, barang kemungkinan beliau dijadikan alat untuk menyusup masuk ke dalam parti pembangkang dan merosakkan parti pembangkang dari dalam. Bak kata pepatah Melayu "gunting dalam lipatan". Perkara ini pernah berlaku di Perak pada tahun 2009 di mana ADUN Bota, Nasarudin Hashim berpura-pura menyertai PKR dan selang beberapa hari selepas itu kembali semula kepada BN.

Lantaran itu, Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP harus berhati-hati dengan reaksi dan perilaku yang ditunjukkan oleh Tan Sri Abdul Kadi Sheikh Fadzir. Pemimpin Pakatan Rakyat boleh berbaik-baik dengan beliau tetapi dalam keadaan berjaga-jaga. Rahsia dan strategi parti dalam usaha memenangi hati rakyat dan merampas negeri-negri lain yang masih dikuasai oleh BN mesti disembunyikan daripada beliau. Kawan dalam politik memang tidak boleh dipercayai. Kita harus menghayati sejarah Melaka, peranan jahat yang dimainkan oleh Kitul telah menyebabkan perselisihan faham sesama pembesar Melaka pada ketika itu. Pakatan Rakyat pun telah ada banyak pengalaman beberapa ahli parlimennya yang berpaling tadah. Seterusnya mengutuk Pakatan Rakyat di parlimen dan medan politik yang lain. Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang telah mempermainkan parti PAS di Pasir MAS. Setelah beberapa lama mendapat mandat daripada rakyat Pasir Mas. Sedikit demi sedikit menghina dan mencerca pemimpin PAS. Bak kata peribahasa Melayu "melepaskan anjing yang tersepit".

Friday, January 20, 2012

PEMUZIK JALANAN

Pemuzik jalanan ialah mereka yang bermain muzik di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Mereka tidak boleh mengatakan bahawa lokasi tertentu ialah tempat mereka. Bagaimanapun, jika mereka kerap bermain di sesuatu lokasi tertentu mereka yang sekerjaya dengan mereka tidak akan mengganggu tempat tersebut. Mereka akan mencari tempat yang selesa dan selamat untuk bermain muzik dan dapat menarik perhatian orang ramai mendengar alunan suara mereka dan melihat gaya persembahan yang mereka tonjolkan. Dapat diperhatikan bahawa ada yang beraksi secara individu dan ada yang lebih gemar bermain secara berkumpulan sama ada dua atau tiga orang sekumpulan. Jika terhibur dengan nyanyian dan persembahan mereka, tentu sekali mereka mengharapkan ganjaran dalam bentuk wang. Mereka tidak menentukan jumlah dan orang ramai boleh memberikan wang seikhlas hati mereka.

Secara realiti, inilah satu cara terkini mereka yang mempunyai bakat dalam bidang seni sauara dan muzik menonjolkan kebolehan mereka kepada masyarakat umum. Dengan hanya memiliki sebuah gitar atau sebuah keyboard dan dilengkapi dengan paluan drum yang ringkas mereka mampu menyerlahkan keistimewaan yang ada pada mereka untuk mencari rezeki. Berbekalkan daya usaha dan tabah menghadapi dugaan daripada segelintir masyarakat yang tidak mampu menilai seni muzik, mereka beroleh rezeki hasil titik peluh mereka sendiri.

Bila direnungkan sejenak mereka yang berbakat dalam bidang muzik dan seni suara tidak dapat mengetengahkan bakat mereka menerusi penjualan cakera padat dsbnya. Syarikat-syarikat rakaman dan penerbitan album kurang berminat megeluarkan album kerana tidak laku di pasaran. Kecanggihan teknologi maklumat telah menyebabkan album-album penyanyi tempatan dan luar ngeri disalin dengan begitu mudah dan pelbagai cara. Atas hakikat inilah mereka yang berkebolehan dalam bidang seni suara dan muzik terpaksa mencari inisiatif lain bagi mendapatkan sumber pendapatan menerusi bidang seni suara dan muzik. Bagi mereka yang ditaja dan mempunyai sumber kewangan yang banyak mereka boleh menganjurkan persembahan pentas dan konsert. Menerusi tiket yang berharga puluhan dan ratusan ringgit mereka bolehlah menjana sumber pendapatan. Bagi mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai modal, cara terbaik ialah bertindak sebagai seniman jalanan.

Bermain muzik di loasi yang menjadi tumpuan ramai ialah salah satu pekerjaan yang harus mendapat pengikhtirafan daripada masyarakat dan kerajaan. Mereka yang menceburi bidang ini semakin bertambah terutama sekali di bandar-bandar besar kerana peluang pekerjaan yang ada tidak dapat menampung pertambahan penduduk yang memerlukan pekerjaan bagi menyara hidup. Banyak pekerjaan yang ada ditawarkan kadar gaji yang rendah berbanding kos hidup yang semakin tinggi. Sudah sampai masanya kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan membawa usul di Dewan Rakyat agar kerjaya ini akhirnya mendapat pengikhtirafan daripada kerajaan dengan beberapa syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi. Salah satu syarat terpenting ialah mereka yang berminat untuk menjadi pemuzik jalanan perlu memohon lesen daripada jabatan kerajaan yang berkenaan. Mereka juga perlu dipantau oleh pegawai tertentu dari semasa ke semasa bertujuan meninjau pendapatan yang mampu diperolehi oleh mereka. Jika purata pendapatan bulananya mencapai empat hingga lima ribu ringgit sebulan. Mereka perlu membayar cukai kepada kerajaan menerusi LHDN.

Diharapkan suatu hari nanti kerjaya ini akan mendapat pengesahan dan pengikhtirafan daripada kerajaan. Dengan cara ini peluang pekerjaan akan bertambah dan dapat diceburi terutama sekali oleh rakyat Malaysia yang mempunyai bakat dalam bidang muzik dan seni suara. Mereka tidak akan dipandang serong oleh masyarakat. Pemuzik jalanan akan dihormati dan pastinya mereka akan diundang untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan, rumah terbuka dsbnya. Secara logiknya mereka perlu dihargai kerana mempunyai bakat. Dengan bakat yang ada mereka berupaya menghiburkan masyarakat. Masyarakat yang terhibur akan memberi ganjaran kepada mereka.

Thursday, January 5, 2012

Minta Beli Kereta

Sudah dua hari anak kedua saya menjejakkan kakinya ke alam persekolahan. Saya memilih SK Zon 1 Wangsa Maju kerana berdekatan dengan rumah. Perancangan saya dan isteri, setiap hari dia berjalan kaki ke sekolah dengan ditemani kakaknya yang secara kebetulan terus menuju ke SM Zon R1 Wangsa Manju. Hari pertama, ibu dan kakaknya berada di sekolah sehingga waktu rehat. Biasalah untuk mengajar dia membeli makanan di kantin dan ke tandas serta mengingatkan beberapa peraturan sekolah yang mesti dipatuhi. Dari pemerhatian kakaknya sedikit sebanyak dia dapat menyesuaikan dirinya dengan peraturan sekolah dan selesa bergaul dengan kawan-kawan sebaya.

Pada hari kedua persekolahannya, dia dihantar oleh kakaknya ke sekolah. Sebelum keluar rumah, isteri saya telah memastikan dia betul-betul faham beberapa perkara yang perlu diingat dan dipatuhi. Pesanan terpenting ialah setelah sekolah tamat jangan keluar dari pagar sekolah sehungga ternampak ayah, ibu atau kakak menjemputnya di sekolah.

Petang tadi, saya dan adiknya berkesempatan menjemputnya di sekolah. Dia kelihatan begitu riang dan gembita setelah ternampak kami berdua sedang meninggunya di tepi pahar sekolah. Sambil berjalan pulang ke rumah dia beberapa kali menegur kawan yang sekelas dengannya. Dia ternampak dua orang kawannya dijemput oleh ibu mereka dan pulang ke rumah dengan menaiki kereta. Saya menjemputnya dan berjalan kaki sahaja pulang ke rumah. Dia terus memberi cadangan agar saya membeli kereta dan dapatlah dia naik dan duduk dengan selesa. saya terus bertanya, kereta dipandu oleh siapa sambil menguji pengetahuannya tentang penglihatan ayahnya. Dia terus menjawab dengan yakin, "siapa lagi, ayahlah". Saya tidak berkata apa-apa dengan harapan tiada lagi soalan susulan. Dua menyambung cadangannya dengan meminta saya membeli kereta seperti kereta Mak Longnya yang berada di Kelantan.

Rupa-rupanya pada usianya enam tahun empat bulan, dia masih belum mengenali gerak-geri dan kelemahan yang ada pada ayahnya. Dia masih tidak mengetahui mengapa warna biji mata saya berbeza dengan biji mata orang yang normal penglihatan. Jelasnya dia masih tidak mengerti yang ayahnya rabun penglihatan dan tidak mampu memandu kenderaan. Saya masih tidak menjelaskan kepadanya bahawa saya tidak boleh memandu kenderaan. Nanti banyak pula soalan susulan . Sehingga kini dia terus menunggu dengan penuh harapan agar saya membeli sebuah kereta untuk membawanya pulang dari sekolah.