Friday, January 20, 2012

PEMUZIK JALANAN

Pemuzik jalanan ialah mereka yang bermain muzik di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Mereka tidak boleh mengatakan bahawa lokasi tertentu ialah tempat mereka. Bagaimanapun, jika mereka kerap bermain di sesuatu lokasi tertentu mereka yang sekerjaya dengan mereka tidak akan mengganggu tempat tersebut. Mereka akan mencari tempat yang selesa dan selamat untuk bermain muzik dan dapat menarik perhatian orang ramai mendengar alunan suara mereka dan melihat gaya persembahan yang mereka tonjolkan. Dapat diperhatikan bahawa ada yang beraksi secara individu dan ada yang lebih gemar bermain secara berkumpulan sama ada dua atau tiga orang sekumpulan. Jika terhibur dengan nyanyian dan persembahan mereka, tentu sekali mereka mengharapkan ganjaran dalam bentuk wang. Mereka tidak menentukan jumlah dan orang ramai boleh memberikan wang seikhlas hati mereka.

Secara realiti, inilah satu cara terkini mereka yang mempunyai bakat dalam bidang seni sauara dan muzik menonjolkan kebolehan mereka kepada masyarakat umum. Dengan hanya memiliki sebuah gitar atau sebuah keyboard dan dilengkapi dengan paluan drum yang ringkas mereka mampu menyerlahkan keistimewaan yang ada pada mereka untuk mencari rezeki. Berbekalkan daya usaha dan tabah menghadapi dugaan daripada segelintir masyarakat yang tidak mampu menilai seni muzik, mereka beroleh rezeki hasil titik peluh mereka sendiri.

Bila direnungkan sejenak mereka yang berbakat dalam bidang muzik dan seni suara tidak dapat mengetengahkan bakat mereka menerusi penjualan cakera padat dsbnya. Syarikat-syarikat rakaman dan penerbitan album kurang berminat megeluarkan album kerana tidak laku di pasaran. Kecanggihan teknologi maklumat telah menyebabkan album-album penyanyi tempatan dan luar ngeri disalin dengan begitu mudah dan pelbagai cara. Atas hakikat inilah mereka yang berkebolehan dalam bidang seni suara dan muzik terpaksa mencari inisiatif lain bagi mendapatkan sumber pendapatan menerusi bidang seni suara dan muzik. Bagi mereka yang ditaja dan mempunyai sumber kewangan yang banyak mereka boleh menganjurkan persembahan pentas dan konsert. Menerusi tiket yang berharga puluhan dan ratusan ringgit mereka bolehlah menjana sumber pendapatan. Bagi mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai modal, cara terbaik ialah bertindak sebagai seniman jalanan.

Bermain muzik di loasi yang menjadi tumpuan ramai ialah salah satu pekerjaan yang harus mendapat pengikhtirafan daripada masyarakat dan kerajaan. Mereka yang menceburi bidang ini semakin bertambah terutama sekali di bandar-bandar besar kerana peluang pekerjaan yang ada tidak dapat menampung pertambahan penduduk yang memerlukan pekerjaan bagi menyara hidup. Banyak pekerjaan yang ada ditawarkan kadar gaji yang rendah berbanding kos hidup yang semakin tinggi. Sudah sampai masanya kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan membawa usul di Dewan Rakyat agar kerjaya ini akhirnya mendapat pengikhtirafan daripada kerajaan dengan beberapa syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi. Salah satu syarat terpenting ialah mereka yang berminat untuk menjadi pemuzik jalanan perlu memohon lesen daripada jabatan kerajaan yang berkenaan. Mereka juga perlu dipantau oleh pegawai tertentu dari semasa ke semasa bertujuan meninjau pendapatan yang mampu diperolehi oleh mereka. Jika purata pendapatan bulananya mencapai empat hingga lima ribu ringgit sebulan. Mereka perlu membayar cukai kepada kerajaan menerusi LHDN.

Diharapkan suatu hari nanti kerjaya ini akan mendapat pengesahan dan pengikhtirafan daripada kerajaan. Dengan cara ini peluang pekerjaan akan bertambah dan dapat diceburi terutama sekali oleh rakyat Malaysia yang mempunyai bakat dalam bidang muzik dan seni suara. Mereka tidak akan dipandang serong oleh masyarakat. Pemuzik jalanan akan dihormati dan pastinya mereka akan diundang untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan, rumah terbuka dsbnya. Secara logiknya mereka perlu dihargai kerana mempunyai bakat. Dengan bakat yang ada mereka berupaya menghiburkan masyarakat. Masyarakat yang terhibur akan memberi ganjaran kepada mereka.

No comments:

Post a Comment