Friday, August 21, 2009

PENGALAMAN BERHARGA SEBAGAI PEKERJA SEMENTARA DI PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM)

Pada pertengahan bulan April tahun 1994 maka tamatlah pengajian saya di Universiti Malaya dalam jurusan Sosio Budaya di Jabatan Pengajian Melayu. Selama beberapa bulan saya menganggur dan jika dibiarkan fikiran boleh menjadi buntu. Saya cuba mencari kerja dengan mendaftar di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, namun tiada sebarang jawapan yang positif. Sebaliknya saya telah menerima surat pembayaran balik pinjaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang mensyaratkan saya membayar balik 25% sahaja kerana saya telah lulus Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas 2 (atas). Saya telah membalas surat JPA bertujuan memohon penangguhan bayaran selama beberapa bulan dan dibenarkan oleh JPA.

Pada awal bulan Oktober, saya ke Kuala Lumpur dengan hasrat untuk mencari pekerjaan. Buat sementara waktu saya menumpang di bilik kawan dengan hanya membayar bil air dan letrik cuma RM10.00 sebulan. Pada pertengahan bulan November, saya telah menemani rakan ke Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia untuk ditemuduga jawatan kerani am. Pada waktu yang sama Setiausaha Eksekutif SBM telah menawarkan kerja kepada saya sebagai pekerja sementara. Tanpa berfikr panjang saya terus menerima tanpa bertanya jumlah gaji yang bakal diterima oleh saya. Pada 1 Disember tahun 1994 saya pun mula bekerja di ibu pejabat SBM dengan gaji yang ditawarkan cuma RM290.00 sahaja. Setelah dipotong KWSP dan PERKESO saya hanya menerima RM260.00 sahaja.

Di SBM saya banyak belajar cara-cara mengurus dan mentadbir sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO). Selama ini saya hanya mengetahui NGO menerusi pembacaan dan media massa. Maknanya saya hanya tahu dari sudut teori sahaja. Setelah bekerja dengan SBM saya telah dapat memerhati dan mendalami selok-belok mentadbir sebuah organisasi bukan kerajaan.

Di SBM banyak tugasan dan urusan yang saya lakukan menggunakan komputer. Kesempatan ini saya manfaatkan secukup-cukupnya untuk meluaskan pengetahuan saya berkaitan penggunaan komputer. Saya kerap diminta menulis surat-surat tertentu kepada semua cawangan dan kawasan SBM. Saya juga diajar cara mengemaskini maklumat dan disusun di dalam fail tertentu dengan format yang betul. Di SBM saya mula pandai menggunakan Microsoft Word. Di Universiti Malaya, sekitar tahun 1991 hingga 1993 saya hanya menggunakan Wor Star dan Word Perfect dalam usaha menyiapkan tugasan dan assighment.

Di SBM jugalah saya didedahkan dengan urusan kewangan. Seminggu sekali Setiausaha Eksekutif meminta saya ke Oriental Bank untuk menghantar cek-cek yang didermakan oleh syarikat-syarikat dan orang awam. Pihak SBM memperuntukkan tambang kepada saya RM10.00 sahaja untuk pergi ke bank dan balik semula ke SBM.

Jika ada masa yang terluang secara sukarela saya diminta melipat surat rayuan derma dan seterusnya dimasukkan ke dalam sampul. Walaupun kerja ini kelihatan mudah namun memerlukan kemahiran melipat dan perlu dilakukan secara berhati-hati. Jika tidak sukar untuk diamasukkan ke dalam sampul.

Setelah bekerja dengan SBM, Pengetahuan saya tentang SBM terus bertambah. Dalam Proses pengagihan tugas SBM mempunyai beberapa jawatankuasa termasuklah jawatankuasa Sukan dan Rekrasi, Jawatankuasa Kebajikan SBM, Jawatankuasa Pekerjaan SBM dsbnya. Semua jawatankuasa ini diketuai oleh seorang AJK yang bertindak atas nama Pengerusi. Saya berpeluang memerhatikan cara-cara beberapa jawatankuasa memainkan peranan masing-masing. Setelah diteliti, sebenarnya SBM merupakan sebuah pertubuhan yang dikendalikan oleh golongan cacat penglihatan secara tersusun dan sistematik. Peruntukan kewangan untuk setiap jawatankuasa diagihkan secara berhemah.

Saya hanya mampu bertahan di SBM sebagai pekerja sementara setakat 5 bulan sahaja. Saya meletakkan jawatan bukan kerana saya mendapat peluang yang lebih baik tetapi kadar gaji yang terlalu rendah tidak mengizinkan saya untuk terus bekerja. Ditambah pula dengan kos hidup yang terlalu tinggi. Terlintas juga di hati sampai bila hendak menumpang di bilik kawan. Dengan hati yang tulus saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada SBM kerana telah menyediakan landasan dan persediaan untuk saya bekerja di tempat lain. Pengalaman mengajar erti kehidupan yang sebenar. Untuk Pengetahuan semua, sehingga ke saat ini saya terus menyumbangkan tenaga dan aktif dengan SBM Cawangan Kuala Lumpur/Selangor sebagai Setiausaha. Saya telah menjadi Setiausaha SBM Cawangan Kula Lumpur/Selangor selama 13 tahun.

No comments:

Post a Comment