Tuesday, June 1, 2010

PANGGILAN YANG MENDEBARKAN PADA JAM 9.19 PAGI

Tepat pada jam 9.19 pagi, 1 Jun 2010 telefonku berdering. Seperti biasa, sebelum menjawab panggilan aku akan melihat nombor telefon yang terpapar di skrin. Hatiku mula gelisah kerana panggilan itu datangnya daripada adikku yang bekerja di Pejabat Tanah Pasir Puteh. Jika tiada hal yang benar-benar mustahak atau kecemasan, dia tidak akan melefonku pada waktu siang. Aku menlayan panggilannya dengan tenang meskipun di dalam fikiranku telah terbayang hal yang bukan-bukan. Pada waktu itu aku sedang mengawasi 4 orang pelajar tingkatan 4B yang sedang menjawab soalan peperiksaan Sivik. Empat orang pelajar telah selesai menjawab dan mereka berbual sesama sendiri dengan nada suara yang perlahan agar tidak mengganggu pelajar lain yang masih terus menjawab. Sebagai permulaan perbualan, dia bertanya beberapa soalan lazim setiap kali menghubungiku. Antara soalannya, sihat ke? sedang berada di mana? dsbnya.

Dengan perasaan yang agak serius dia memberitahu bahawa emak kami telah dicekik, ditendang, ditampar dan diterajang oleh individu yang tidak dikenali. Dia sendiri tidak dapat menjelaskan cerita lanjut kerana dia sendiri ketika itu baru sahaja mengetahui berita sedih ini daripada sepupu yang tinggal tidak jauh dari rumah emak. Sewaktu di dalam kelas aku tidak menunjukkan reaksi sedih kepada pelajar-pelajar. Aku melayan pertanyaan mereka seperti biasa. Peristiwa pahit ini langsung aku tidak ceritakan kepada mereka.

Tepat pada jam 10.15 pagi, aku menelefon abangku untuk mengetahui cerita selanjutnya. Menurutnya, dia baru sahaja menghantar emak kami ke sebuah klinik di Melor untuk melakukan pemeriksaan terhadap emak kami yang telah berusia 66 tahun. Sewaktu dia dan kakak iparku menemui emak di rumah, emak kelihatan begitu letih dan tidak bermaya. Dia sukar untuk bangun menuju ke kereta kerana sakit pinggang. Kakak iparkulah yang membantunya masuk ke dalam kereta. Menurutnya lagi mujurlah emak sempat menyepak orang itu dengan sepenuh tenaga dan mengakibatkan orang itu terlentang ke lantai. Kesempatan ini diambil oleh emak dengan terus berlari ke rumah adiknya yang tidak jauh dari rumah. Setelah mengetahui kejadian tersebut, beberapa orang yang sedang berada di kedai bapa saudara kami dengan segera ke rumah emak dan didapati individu berkenaan telah lari. Agaknya dia bimbang seandainya ditangkap dan dibelasaha oleh beberapa orang yang menuju ke rumah emak dengan segera setelah mengetahui akan perlakuan jahatnya daripada emak.

Setelah mendapat penjelasan daripada abang yang juga seorang guru yang bertugas di SMK Long Ghafar, aku terus menghubungi adik bongsu kami yang bertugas di Pusat Jagaan Kanak-kanak Nakal di Rusila, Terengganu. Pada awalnya aku bertanya khabar terlebih dahulu. Suaranya pun agak perlahan kerana sedang berehat di rumah. Jangkanya pada jam 3.00 petang dia perlu ke Setiu untuk berkursus selama 3 hari. Setelah dia agak selesa dan bersedia untuk berbual denganku, aku terus memberitahunya kejadian yang telah terjadi atas diri emak kami. Dengan segera dia terus terkejut dan suaranya bernada tinggi. Lantas dia pun menceritakan padaku bahawa 2 hari lepas dengan tiba-tiba dia menangis di tempat kerja kerana terlalu rindu pada emak yang berada di kampung. baginya mungkin itu sebagai petanda. Pada petang hari yang sama dia menelefon kakak ipar kami bertujuan untuk bertanyakan kesihatan emak. Dia berasa bersyukur setelah kakak ipar kami menyatakan emak sihat dan dia masih seperti biasa. Setelah dia mengetahui peristiwa pahit yang menimpa emak, dia terus menukar jadualnya dengan mesti pulang ke kampung terlebih dahulu untuk melihat dan bertanya khabar emak. Setelah berada di rumah selama 2 atau tiga jam barulah dia ke Setiu untuk berkursus.

Aku dan seisi keluarga yang berada jauh di Selangor tidak dapat pulang untuk bertemu emak yang masih lagi terngiang-ngiang akan peristiwa yang menimpa dirinya. Hatiku melonjak untuk pulang, bagaimanapun apakan daya aku tidak punya kenderaan dan tidak mampu membawa kenderaan. Ain Asyirah, anak sulung aku pula masih bertungkus-lumus dengan soalan-soalan peperiksaan pertengahan tahun. Pada tahun ini juga dia akan menduduki peperiksaan UPSR. Untuk menghilangkan rasa rindu dan mengetahui tahap kesihatan emak, aku kerap menghubungi adikku yang bertugas di Pejabat Tanah Pasir Puteh, Kelantan.


No comments:

Post a Comment