Thursday, November 24, 2011

MOHON SIMPATI UMAT ISLAM NEGARA JIRAN UNTUK MEMBAIKI MASJUD DAN SURAU YANG TELAH DIROSAKKAN OLEH MUSUH

Pada pukul lima petang 24 November 2011 saya ke batu 4 Gombak bertujuan untuk membayar beberapa bil dan menghnantar surat menerusi perkhidmatan Poslaju di pejabat Pos Jalan Gombak. Untuk ke sana, saya lebih selesa berjalan di blok kedai berhampiran Pasaraya Ong Tai Kim. Pergerakan kaki saya terhenti setelah ditegur oleh seorang yang tidak dikenali. Rupa-rupanya dia ingin merayu sumbangan ikhlas untuk membina beberapa buah masjid dan surau yang rosak teruk di Selatan Thailand akibat serangan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab. Saya meluangkan masa sebenatar untuk melihat beberapa gambar masjid yang diranapkan oleh pengganas. Saya telah menghulurkan sumbangan seikhlas hati kerana dia telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan ada permit polis. Dia memperkenalkan dirinya sebagai imam di salah sebuah masjid yang telah menjadi mangsa musuh Islam.


Setelah beberapa langkah bergegas ke pejabat pos yang letaknya kira-kira 500 meter dari situ, saya teringat akan peristiwa tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan daerah Cha-airong, Narathiwat, Thailand. Perbuatan kejam ini telah mengakibatkan seramai 10 jemaah terbunuh ketika sedang menunaikan sembayang Isyak. Perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan ini berlaku pada 8 Jun 2009. kemungkinan berpunca kerana balas dendam ekoran terbunuhnya dua orang guru agama Buddha dan seorang penoreh getah yang berlaku empat hari sebelumnya.


Seterusnya masih segar dalam ingatan saya peristiwa serangan tentera Thailand terhadap umat Islam yang sedang bersembahyang berlaku di Masjid kerisik pada 28 Aptil 2004. Menurut sumber yang boleh dipercayai masjid ini ialah masjid yang pertama dalam sejarah kerajaan Islam Pattani. Masjid ini telah dibina pada tahun 1786 semasa pemerinyahan Sultan Muzaffar Syah. Dalam serangan yang menyayat perasaan ini seramai 92 umat Islam telah menjadi mangsa. Bermula dari serangan inilah telah berlaku beberapa episod serangan dan tembakan terhadap beberapa masjid di Thailand.


Orang Islam hanyalah minoriti dan kebanyakan daripada mereka menetap di Selatan Thailand. Sedikit perselisihan dan pertelingkahan yang berlaku antara umat Islam dan penganut agama Buddha di Thailand terlalu sukar untuk berdamai dan bersatu-padu. Akibat kemarahan dan rasa tidak puas hati akhirnya umat Islam ditindas dan diancam dengan menggunakan cara kekerasan.


Mungkin umat Islam yang tertindas di Selatan Thailand tiada tempat yang sesuai untuk mengadu masalah mereka. Suara pemimpin masyarakat Islam tidak mendapat layanan dan perhatian yang sewajarnya daripada pemerintah Thailand di Bangkok. Usaha-usaha membaik pulih masjid-masjid dan surau-surau yang rosak memerlukan sumber kewangan yang banyak. Peruntukan untuk ini mungkin dipandang sepi sahaja oleh pemerintah Thailand.


Sekumpulan umat Islam yang mewakili masyarakat Islam di Selatan Thailand telah merantau ke negara Malaysia untuk mendapatkan sumbangan bagi membaiki beberapa masjid dan surau yang telah musnah di sana akibat serangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Mereka terpaksa merayu simpati di tempat-tempat tertentu di Malaysia yang majoritinya penduduk Islam. Malaysia memang utuh dengan pegangan agama Islam. Umat Islam di malaysia berjaya mengekalkan agama Islam sebagai agama yang dominan dan diiktiraf sebagai agama rasmi negara. Dalam keadaan yang terdesak umat Islam yang ditindas di negara Thailand mahu tidak mahu terpaksa mengadu masalah mereka dan meminta sokongan dan perhatian daripada umat Islam di malaysia.


Pengajaran dan ikthibar yang boleh kita ambil di sini ialah semua umat Islam di malaysia mesti menjaga kesucian agama yang menjadi pegangan hidup kita agar tidak ditindas oleh musuh Islam yang sentiasa menunggu peluang yang sesuai. Umat Islam di malaysia harus bersatu dan tidak berpecah-belah. Pergaduhan sesama umat Islam perlu dielakkan sama sekali. Musuh Islam boleh diibaratkan seperti api. Api yang kecil sebagai kawan dan jika sudah marak akan menjadi lawan yang sukar dibendung.



No comments:

Post a Comment