Sunday, August 23, 2009

KONSEP TELUR DALAM MASYARAKAT MELAYU

Bila sebut sahaja pasal telur, kita terus terbayang telur yang dihasilkan oleh ayam, itik, angsa, burung, penyu, ikan dsbnya. Umum telah ketahui secara semulajadi telur terhasil akibat daripada perhubungan jenis yang berlaku antara binatang jantan dan betina. Inilah jenis telur yang dimakan dan dijadikan bahan utama dalam proses menghasilkan berbagai jenis kuih-muih oleh manusia.

Dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu mereka tidak dapat dipisahkan dengan telur. Telur menjadi salah satu elemen yang sangat penting dalam sosio budaya masyarakat Melayu. Tidak salah kalau dikatakan segala aspek yang berkaitan dengan keagamaan dan kepercayaan orang-orang Melayu telur merupakan pelengkap dalam merealisasikan sesuatu upacara sama ada dipraktikkan secara rasmi atau tidak rasmi. Jika kita tinjau dan perhatikan masyarakat Melayu yang tinggal di kampung-kampung terutama sekali penempatan masyarakat Melayu yang masih mengekalkan unsur-unsur tradisinya setiap rumah mesti memelhara ayam atau itik. Tujuan utama mereka memelihara hidupan ini adalah untuk mendapatkan sumber telur yang diistilahkan sebagai telur ayam kampung atau telur itik kampung. Ayam atau itik yang dupelihara dibiarkan hidup bebas mencari makanan sendiri di samping makanan yang diberi sekali atau dua kali sehari. Makanan yang diberikan kepada peliharaan mereka biasanya sisa-sisa makanan mansusia dan lebihan makanan. Dipercayai binatang yang hidup bebas dan pandai mencari makanan sendiri biasanya menghasilkan telur yang berkualiti serta berzat.

Setiap kanak-kanak lelaki Melayu dan Islam mesti dikhatankan dalam lingkungan umur 8 hingga 12 tahun. Mengikut tradisi orang-orang Melayu sebelum kanak-kanak lelaki dikhatankan satu upacara perlu dilakukan oleh ibu bapa mereka. Beberapa proses yang diwarisi turun-temurun perlu dilakukan oleh kanak-kanak yang ingin dikhatankan. salah satu acara yang masih kekal hingga ke hari ini makan pulut kuning bersama telur. Telur disediakan dalam dua keadaan iaitu telur goreng yang dipotong halus-halus dan memanjang untuk hiasan pulut kuning dan telur rebus yang dpacak sekeliling pulut kuning secara bulatan. Simboliknya upacara ini ialah kanak-kanak yang bakal dikhatankan diharapkan akan menjadi teruna yang tulen dari segi mental dan fizikalnya. Moga-moga dia akan berfungsi sebagai lelaki yang sejati.

Seseorang anak dara atau teruna yang telah dewasa dan matang serta mampu berdikari akan diuruskan perkahwinan mereka oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing. Pada masa dahulu ibu bapa akan menjodohkan pasangan untuk anak masing-masing kerana pergerakan seseorang individu tidak meluas dan mereka jarang terdedah dengan masyarakat luas. Pada masa kini seseorang individu akan mencari pasangan masing-masing dan meminta persetujuan ibu bapa. Salah satu unsur tradisi dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu ialah pemberian telur dalam bakul kecil atau karung yang dihias cantik. Pemberian ini dilakukan oleh wakil keluarga pengantin yang mempunyai kaitan persaudaraan. Jika diamati pemberian telur mempunyai maksud yang tersendiri. Dalam perkahwinan telur melambangkan zuriat kepada paangan pengantin. Khiasan di sini ialah mudah-mudahan pasangan pengantian akan mendapatkan zuriat kerana matlamat utama perkahwinan untuk mendapatkan anak. Anak merupakan aset yang amat bernilai dalam masyarakat Melayu.

Masyarakat Melayu amat mementingkan penjagaan kesihatan. Beraneka jenis akar kayu digunakan sebagai ubat jika berlaku gangguan kesihatan dan dalam usaha menguatkan serta memantapkan tenaga fizikal. Tenaga fizikal yang kuat dan kental amat mustahak kerana mereka bekerja di kebun getah, menanam dan menuai padi di sawah, menangkan ikan di laut, dsbnya. Tidak dapat dinafikan telur merupakan bahan yang amat penting dalam usaha mereka memantapkan kesihatan diri. Cara yang biasa dilakukan oleh mereka ialah sebutir telur ayam kampung yang mentah akan dicampurkan dengan sebotol air sarsi. Campuran ini akan diminum bertujuan untuk menguatkan tenaga fizikal dan boleh mengurangkan ketegangan urat. Kata mereka campuran ini panas. Konsep panas begitu penting dalam proses ketahanan badan.

Dalam usaha mengubati sesuatu penyakit, orang Melayu juga menggunakan khidmat bomoh. Tok bomoh merupakan kelompok yang dhormati dalam measyarakat Melayu. Lebih-lebih lagi jika seseorang bomoh itu bertindak cekap sebagai agen menyembuhkan penyakit yang sebelum ini tidak mampu diusuhakan oleh bomoh-bomoh yang lain. Seandainya penyakit disebabkan oleh jangkitan kuman mereka akan menggunakan akar kayu atau daun-daun tertentu sebagai ubat. Sekiranya penyakit disebabkan oleh gangguan makhluk halus atau makhluk luar biasa mereka akan menggunakan khidmat bomoh. Sudah menjadi lumrah, seseorang yang ingin melaksanakan proses penyembuhan mereka berkehendakkan pengeras. Antara pengeras yang mesti dicari oleh keluarga pesakit ialah telur. Telur yang diperlukan bukan mudah diperolehi. Seseorang bomoh akan menentukan kategorinya. Antara Kategori yang pernah saya dengar ialah telur ayam kampung, ayam yang bertelur mestilah berwarna kuning dan hitam, ayam itu juga mesti belum pernah mempunyai anak dan jenis ayam yang tidur di atas pokok. Telur yang diperolehi akan digunakan sebagai habuan kepada makhluk halus yang membantu bonoh berkenaan sewaktu mengubati seseorang pesakit.

Dalam masyarakat Melayu sebutan "telur" dijadikan sebagai bahan gurauan dan lawak jenaka. Dengan kata lian telur dijadikan sebagai unsur humor dalam kalangan orang-orang Melayu. Contohnya seorang Melayu berjumpa dengan kawan rapatnya.

"kau datang tak bawa apa-apa ke?", tanya Ahmad kepada Husin.
"tak adalah, aku nak cepat tadi, tak sempat beli apa-apa pun untuk kau, cuma bawa yang melekat kat badan aku ni satu batang dan dua telur", Jawab Husin sambil bergurau.

Jika didengar ungkapan tersebut mempunyai unsur kelucahan walau bagaimanapun telah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat Melayu. Dalam perbualan yang tidak formal ungkapan ini telah menjadi iebiasaan dan boleh diterima oleh masyarakat.

Seseorang lelaki Melayu biasanya akan disindir dan diperli jika mempunyai sifat penakut dan pengecut. Keberanian dan kegagahan merupakan sifat yang dituntut dalam masyarakat Melayu. Tidak hairanlah orang Melayu bangga dengan pahlawan Hang Tuahnya. Kata-kata Hang Tuah akan terus diingat hingga akhir zaman iaitu "takkan Melayu hilang di dunia". Ungkapan "kau tak ada Telur" melambangkan seseorang yang penakut dan pengecut. Begitu juga seseorang yang tidak berani menegakkan kebenaran. Ungkapan "ada telur" menandakan sifat kelelakian yang tulen.

Pada asasnya telur merupakan makanan sokongan utama bagi masyarakat Melayu. Berbagai-bagai jenis masakan boleh dibuat sama ada goreng, rebus, telur sambal dsbnya. Betapa kreatif dan kritisnya fikiran orang-orang Melayu telur telah dijadikan sebagai elemen penting dalam seluruh kehidupan masyarakat Melayu terutama sekali dalam aspek agama, ekonomi dan sosial. pada masa kini kita harus menerima hakikat bahawa penggunaan telur dalam sesetengah keadaan telah berubah mengikut edaran zaman. Masyarakat Melayu moden telah mula melunturkan penggunaan telur dalam majlis kenduri kahwin. di sana sini kita dapat perhatian pemberian telur telah digantikan dengan pemberian gula-gula atau kek. Bagi mereka pemberian gula-gula lebih menjimatkan dan pemberian kek melambangkan status atau darjat pengantin yang baru mendirikan rumahtangga.

1 comment:

  1. Salam,En. Jais.

    Terima kasih atas konsep telur itu. Saya ni syazana azri dan seorang pelajar Politeknik Johor Bahru jurusan Rekabentuk Grafik ingin membuat kajian selidik tentang tujuan pemberian telur untuk projek akhir dan seni lukisan semester akhir.



    Boleh tak saya ada beberapa menanya dengan tuan tentang tujuan telur, pemberian telur mengikut adat melayu dan sejarahnya yang lengkap melalui email?


    Saya juga seorang istimewa (bermasalah pendengaran).



    Harap tuan ingin mempertimbangkan ini dan bekerjasama dengan saya.


    Terima kasih


    Anna,

    Pelajar Politeknik Johor Bahru

    anna_syaz7@yahoo.com

    ReplyDelete