Friday, May 13, 2011
PENGALAMAN SEBAGAI SETIAUSAHA PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM) CAWANGAN KUALA LUMPUR/SELANGOR
Dalam tempoh masa yang agak lama berbagai-bagai pengalaman manis dan pahit yang telah saya lalui dan harungi. Pengalaman sesama ahli jawatankuasa tetap segar dalam ingatan dan terus disimpan dalam memori hidup. Paling tidak dilupakan sewaktu sama-sama bersusah-payah dan bertungkus-lumus dalam usaha menganjurkan sesuatu aktiviti yang telah dirancang. Matlamat saya dan kerabat kerja ialah aktiviti yang bakal dilaksanakan memberikan kepuasan yang paling maksimum kepada ahli-ahli yang berminat untuk turut serta. Salah satu aktiviti uang paling mencabar dan begitu berkesan selama saya menjawat jawatan setiausaha ialah sewaktu menganjurkan Kayuhan Basikal Tendom secara Konvoi ke Hutan SImpan FRIM, Kepong, Selangor. Dua tenaga utama yang telah berusaha dari awal hingga akhir tak lain dan tak bukan ialah saya dan Allahyarham Rusly Yaacob.
Selama saya aktif dengan SBM Cawangan KL/Selangor jika tiada sifat kesabaran sudah lama saya angkat kaki dan berlalu dengan meninggalkan cawangan terkapai-kapai tanpa setiausaha. Kerenah dan perilaku beberapa ahli jawatankuasa seringkali mencabar kesabaran. Atas semangat untuk membantu ahli dan ingin melihat pertubuhan terus bergiat aktif maka saua sanggup terus berada bersama-sama dengan ahli jawatankuasa yang masih setia. Jauh di sudut hati saya tidak mahu SBM Cawangan KL/Selangor dikritik dan dipersendakan oleh ahli-ahli dan kelompopk lain yang berpunca daripada perselisihan faham sesama ahli jawatankuasa. Masih saya ingat lagi bagaimana pergaduan antara Naib Pengerusi SBM Cawangan KL/Selango dan Bendahari. Pada mulanya berbalas percakapan dan bila hati sudah panas hampir bertumbuk. Perlakuna mereka seperti budak-budak dan memang tidak matang. Pada tahun 2002 atau 2003 dua orang AJK telah meletakkan jawatannya semata-mata kerana terpengaruh dengan hasutan AJK yang lain. Setelah berlaku peristiwa yang pahit ini agak sukar juga untuk melaksankan sesuatu aktiviti kerana kekurangan tenaga kerja. Tugasan yang ditinggalkan terpaksa diambilalih oleh AJK yang lalin. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan AJK yang ada dbebani dengan tugasan yang berat.
Dalam tempoh 14 tahun lamannya saya berkhidmat dengan SBM Cawangan KL/Selangor barisan AJK diterajui oleh empat orang Pengerusi iaitu Encik Ahmad ABdullah, Allahyarham Mohd Gjazali Tocheh, Puan Nurul Khairani Choi Abdullah dan Encik Abas Ashari. Maknanya saya telah begitu masak dengan cara kepimpinan mereka. Empat orang empat ragam. Sekali-sekala terpaksa juga berhadapan dengan ragam yang menggeramkan hati. Sekali fikir terasa hendak meletakkan jawatan. lima kali fikir saya dipujuk oleh perasaan sendiri agar terus berbakti kepada ahli-ahli. pedulikan sahaja perangai dan ragam yang tidak senonoh. Paling menguji kesabaran ada pengerusi yang gemar mewujudkan blok pengaruh. Saya dan beberapa AJK yang lain kononnya tidak sehaluan dengan mereka. Kalau diikutikan perasaan memang mengyakitkan hati memikirkan cebisan hati busuk yang dihulurkann kepada saya dan beberapa AJK yang lain. Satu lagi hal yang tidak sanggup untuk dihadapi ialah berhadapan denga pengerusi yang bersifat talam dua muka. Beliau gemar melaga-lagakan antara seorang AJK dengan AJK yang lain. Kesan yang terjadi tentulah hubungan sesama AJK tidak harmoni. Timbul syak wasangka antara satu satu lain dek peranan insan yang berwatak syaitan dan berwajah manusia.
Langkah saya menawarkan diri untuk menyandang jawatan setiausaha memang begitu banyak ilmu yang telah saya perolehi. Salah seorang pengerusi kerap memberikan saya idea dan tunjuk ajar selok-belok untuk menerajui sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Saya menimba pengetahua daripada beliau tidak secara formal tetapi menerusi perbualan sama ada di premis cawangan atau sewaktu minum di warong. Saya akan membuka topik dan mengajak beliau bercerita tentang pengalaman beliau menerajui beberapa pertubuhan sama ada pertubuhan berfokuskan kepada politik atau kebajikan. Maklumat daripada beliaulah saya rangkumkan dan oleh menjadi tersusun sehingga menjadi ilmu yang dapat saya gunakan ke arah mengaktifkan SBM Cawangan KL/Selangor. Cara beliau yang saya paling kagumi ialah tidak pernah meninggikan suara sewaktu berinteraksi dengan ahli meskipun pada situasi ahli-ahli sedang marah kerana sesuatu isu menimbulkan rasa tidakpuas hati ahli-ahli. Beliau akan cuba menggunakan psykokologi bagi menenangkan ahli-ahli.
Daripada pemerhatian dan penelitian saya pengerusi yang paling aktif mencari tajaan dan berjaya menghubungi pihak luar dan merencankan beberapa aktiviti yang baru untuk manfaat ahli-ahli ialah Allahyarham Mohd Ghazali Tocheh. Dalam usaha mendapatkan tajaan beliau sering berdiplomasi dengan pegawai Jabatan Kebudayaan. Beliau kerap berhubung dengan pegawai DBP dalam usaha mendapatkan tajaan bagi aktiviti yang berfokuskan kepada sastera dan seni. Beliau juga begitu lantang menyuarakan keperluan ahli-ahli dalam Mesyuarat MP. Jasa beliau tetap dikenang dalam lipatan memori SBM Cawangan KL/Selangor.
Secara khisana saya berkali-kali menyuarakan pendapat dan buah fikiran kepada penjawat-penjawat utama SBM agar mengadakan satu strategi bagi menggalakkan golongan belia yang cacat penglihatan bergiat aktif dengan SBM. Seterusnya berminat untuk menjawat beberapa jawatan utama di SBM sama ada di ibu pejabat atau cawangan/kawasan. Mereka tidak boleh diserap secara pendadak. Mereka mesti melalui satu proses berjinak-jinak dengan SBM. Dari sini sedikit sebanyak mereka akan tahu cara merancang, melaksana dan mentadbir SBM. Perkara yang paling penting mereka mesti kerap berkunjung ke SBM dan melihat serta memerhatikan corak pentadbiran SBM. Selian itu, mereka mesti ada minat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh SBM. Saya pun tidak selama-lamanya ingin menawarkan diri untuk menyandang jawatan setiausaha. Sampai masanya saya perlu berundur dan jawatan setiausaha perlu diisi oleh ahli yang berkebolehan dan ada semangat untuk berkhidmat secara sukarela dengan SBM Cawangan KL/Selangor. Saya perlu melakukan reformasi terhadap diri saya. Mungkin suatu ketika nanti saya ada semangat dan berminat bagi menawatkan diri untuk bertanding jawatan lain.
Thursday, May 5, 2011
PAS jangan tersilap langkah dengan taktik politik UMNO
Dalam keadaan yang terdesak, beberapa kali pucuk pimpinan dan beberapa pemimpin utama UMNO menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan PAS. Kita pun kurang pasti ajakan dan pelawaan tersebut jujur ataupun tidak. Mingkin juga mempunyai maksud yang tersirat untuk memerangkap parti PAS. Pemimpin UMNO amat berharap agar ada pemimpin PAS yang menyahut secara positif saranan dan seruan mereka untuk bekerjasama terutama sekali untuk mencari jalan bagi menyelesaikan perpaduan orang Melayu. Jika mereka terdengar sahaja ada suara-suara keramat pemimpin PAS yang menyokong mereka, maknanya jerat telah terjumpa mangsanya.
Masih segar dalam lipatan sejarah PAS pernah sehaluan dengan UMNO sehinggalah termetrinya satu ikatan persahabatan yang erat antara PAS dan UMNO. Pada waktu itu, PAS ditarajui oleh Datuk Mohd Asri Muda. Paling manis ialah wujud Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada tahun 1973. Jika dilihat dari luaran telah berlakunya perpaduan Melayu. Walaupun begitu UMNO masih tidak dapat menerima hakikat dan tidak bersetuju untuk mewujudkan pemerintahan yang bercorak Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.
Kesan awal yang merugikan parti PAS dari Kerajaan Campuran PAS-Perikatan ialah terdapat beberapa pemimpin yang dahulunya begitu setia dengan PAS telah meniggalkan PAS bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya. Salah seorang ulamak yang telah meniggalkan PAS pada waktu itu ialah Ustaz Yazid Jaafar. Golongan yang sehaluan dengan Ustaz Yazid tidak menyokong PAS duduk sebumbung dan bekerjasama dengan UMNO. Mereka telah mengagak dari awal bahawa kebanyakan pemimpin UMNO tidak ikhlas kerana mereka tidak bersetuju dengan perjuang PAS untuk mewujudkan negara Islam.
Menjelang tahun 1974 ikatan persahabatan PAS-Perikatan masih lagi erat. Parti PAS dan Perikatan sama-sama menubuhkan Barisan Nasional. Dengan wujudnya BN kedudukan PAS dalam BN semakin mantap, terdapat beberapa orang pemimpin yang menjadi menteri termasuklah Datuk Mohd Asri Muda yang telah menjadi Menteri Pembangunan Tanah dan Wilayah. PAS telah membetulkan beberapa amalan tradisi dalam apa-apa majlis rasmi dan keramaian yang dianjurkan oleh kerajaan. PAS meminta agar minuman keras dilarang sama sekali disediakan sewaktu majlis rasmi dan keramaian. Itulah salah satu jasa PAS yang terus digunapakai hingga ke hari ini.
Bermula tahun 1977 keretakan hubungan PAS dan Perikatan mula ketara. Bebebrapa pemimpin tertentu menjadi dalang untuk melaga-lahakan beberapa pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO. Kemuncak kepada tersingkirnya PAS dalam Perikatan apabila kebanyakan pemimpin PAS tidak bersetuju dengan Akta Darurat Kelantan pada tahun 1977. Kesannya PAS bukan sahaja disingkirkan dari Perikatan malah turut kehilangan kuasa di Kelantan. Antara tahun 1978 dan a982 merupakan zaman malap bagi parti PAS di Kelantan dan negeri-negeri lain di Malaysia. Dalam pilihan raya 1978 PAS hanya menang dua kerusi Parlimen sahaja.
Pada 30 April 2011 sewaktu berucap di Terengganu Datuk Seri Najib menasihatkan PAS agar jangan bekerjsama dengan DAP. Seandainya terus bekerjasam akan menguntungkan DAP. Beliau menyeru agar PAS bekerjsama dengan UMNO. Pada 5 Mei 2011 perkara yang sama turut disuarakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan mencadangkan agar PAS diijabkabulkan dengan UMNO dan BN. Dengan cara ini masalah perpaduan Melayu dan Islam akan selesai. Saranan ini sebenarnya mesti ada tujuan dan fokus tersembunyi yang ingin disasarkan oleh UMNO. Dalam waktu yang terdekat kita semua akan terdedah dengan berbagai-bagai pendapat yang menyatakan betapa murni sekali jika PAS dan UMNO bersahabat erat dari sudut politik.
Dalam situasi sekarang PAS jangan terperangkap dengan mainan politik halus pemimpin UMNO. Kawan sekutu UMNO dalam BN tak berkata apa-apa pun. Mereka terus diam dan membisu. Dari sini jelas sekali UMNO begitu terdesak inginkan sokongan orang-orang Melayu terutama sekali orang-orang Melayu yang berpendidikan. Jika kita menyorot kembali pilihanraya ke-12 pada tahun 2008. BN gagal mendapat sokongan di bandar-bandar, lebih-lebih lagi di ibu-ibu negeri yabng menjadi tonggak pemerintahan negeri. Di malaysia hanay empat ibu negeri sahaja yang dikuasai oleh parti yang memerintah iaitu Johoe Bharu, Kangar, Alor Star dan Kota Kinabalu. Bertitik tolak dari sinilah UMNO begitu dahagakan solongan orang Melayu.
Dalam situasi beberapa pemimpin UMNO yang menunjukkan sikap manis mulut yang penuh makna yang tersirat terhadap PAS. Mana-mana pemimpin PAS sewajarnya jangan memberikan sebarang komen lebih-lebih lagi menyokong saranan mereka. Tersilap langkah boleh tercetusnya perpecahan dalam parti PAS. Perpecahan yang dimaksudkan ialah sekumpulan menentang bekerjsama dengan UMNO dan satu pihak lagi menyolong kerjsama dengan UMNO.
Saranan agar PAS tinggalkan DAP penuh makna yang mendalam. Pemimpin PAS jangan terperangkap dengan saranan ini. Jika tersilap langkah boleh membuka tirai isu perkauman. Tidak dapat kita nafikan kebanyakan pemimpin DAP ialah orang Cina. Secara logiknya syor yang tidak matang ini boleh menggagalkan konsep 1Malaysia. Untuk menjayakan konsep 1Malaysia setiap rakyat Malaysia perlu berbaik-baik dan jangan timbul syak wasangka antara satu sama lain tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.
Pemimpin PAS sewajarnya mengambil sikap tutup mulut dan jangan mempedulikan cadangan dan saranan yang masih meragukan. pegang pada pepatah Melayu, jika bertepuk sebelah tangan, tak akan berbunyi. Jangan sesekali bersetuju untuk menerima pinangan UMNO. Jika berjaya diijabkabulkan nescaya tidak bertahan lama. Silap-silap tak sampai taga bulan, bercerai talak tiga. Punah ranah rumah tangga yang dibina. PAS akan kehilangan kuasa dan sokongan orang Melayu akan terhakis. Barisan pemimpin yang ada sewajarnya memiirkan cara untuk memantapkan parti dan menambahkan sokongan orang Islam dan bukan Islam. Seterusnya menang cemerlang dalam pilihanraya bersama-sama dengan parti pembangkan yang lain.
Saturday, April 9, 2011
Maksud tersirat di sebalik pantang larang dalam masyarakat Melayu
Monday, October 18, 2010
KAWALAN KESELAMATAN DI TEMPAT SAYA TELAH DIHENTIKAN
Ekoran daripada peristiwa tersebut, beberapa orang penghuni telah mengadakan mesyuarat tergempar bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah rompakan dan pecah rumah yang telah berlaku beberapa kali dalam tempoh beberapa bulan kebekalangan sebelum peristiwa tersebut. Satu persetujuan telah dicapai iaitu mengadakan pengawal keselamatan sepanjang lorong tempat saya tinggal. Mereka yang berkenaan terus menubuhkan Jawatankuasa Lorong bertujuan memastikan keselamatan lorong berkenaan terjamin. Beberapa orang ahli jawatankuasa terus menjalankan tugas mereka dengan bergerak dari rumah ke rumah bertujuan memberitahu hasrat murni mereka. Daripada maklum balas yang diterima majoriti menyokong dan ada segelintir penghuni yang menentang. Oleh kerana 95% penghuni menyokong kawapan keselamatan dimulakan pada bulan April di mana ketua sebuah rumah dikenakan bayaran RM135,00 seorang. Bermulalah dari bulan itu lorong tempat saya tinggal mula dikawal oleh RELA.
Kawalan keselamatan anggota RELA memang berkesan kerana dari bulan Aprul 2009 hingga pertengahan bulan Oktober 2010 tiada sebarang jenayah yang berlaku di lorong ini, iaitu tempoh kawalan keselamatan RELA beroperasi. Semua penghuni berasa selesa dan pada waktu malam mereka boleh tidur dengan nyenayak tanpa sebarang kebimbangan.
Dukacita kerana dari bulan ke bulan kadar kutipan bayaran bulanan semakin berkurangan. Semakin ramai ketua rumah tidak bertanggungjawab dan tidak mahu bekerjasama. Dari bulan Ogos hingga pertengahan Oktober 2010 beberapa orang jawapankuasa keselamatan lorong terpaksa menampung defesit dengan wang mereka. Tanpa segan silu mereka terpaksa bergerak dari rumah ke rumah bertujuan bagi memujuk ketua rumah yang tidak mahu menjelaskan bayaran bulanan. Jawatankuasa Keselanatan Lorong juga telah mengadakan dua pertemuan dengan penghuni lorong. Malang sekali masih ramai yang tidak mahu bertolak ansur dan bekerjasama. Mahu tidak mahu pada 16 Oktober 2010 kawalan keselamatan lorong oleh RELA telah ditamatkan.
Majoriti penghuni lorong ini berasa kecewa dengan sikap negarif yang dirunjukkann oleh 30% penghuni lorong yang mementingkan diri sendiri. Kebanyakan alasan yang diberikan tidak masuk akal kerana mereka bukan tidak mampu. Majoriti rumah di lorong ini mempunyai dua buah kenderaan. Mereka sebenarnya berkemampuan tetapi sengaja menunjukkan sikap keras kepala.
Sunday, September 19, 2010
BUDAYA PEMBERIAN DUIT RAYA SEPANJANG HARI RAYA AIDIL FITRI
Di Malayisa, pemberian duit raya telah terikut-ikut dengan budaya pemberian 'ang pau" setiap kali Tahun Baru Cina. Duit dimasukkan ke dalam sampul yang bewarna merah. Kalau tak silap saya pada awal tahun 1990an duit raya mula dimasukkan ke dalam sampul yang bewarna hijau. Pada peringkat awal, sampul duit raya boleh didapati di bank-bank perdagangan di seluruh negara. Mana-mana pelanggan yang melakukan urusan pertukaran wang untuk dijadikan duir raya, pihak bank akan memberikan sampul hijau kepada pelanggan berkenaan. Saya masih tidak dapat pastikan mana satu bank yang memulakan budaya ini. Syarikat-syarikat perniagaan tertentu turut sama meberi sampul hijau kepada pelanggan yang membeli barangan dan pelanggan yang berurusan dengan syarikat mereka. Di samping memberi sampul hajau secara percuna, cara ini juga merupakan strategi dalam usaha mempromosikan barangan dan perkhidmatan mereka.
Pemberian duit raya mula diberi kepada kanak-kanak 12 tahun ke bawah sebaik sahaja selesai sembahyang sunat aidil fitri. Orang-orang yang berkemampuan akan berdiri di pintu masuk masjid atau surau bertujuan memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Sebelum menerima duit raya, sebagai tanda hormat kanak-kanak akan bersalaman dan mencium tangan pemberi sumbangan. Budaya ini tidak berlaku di semua masjid atau suarau. Dapat kita perhatikan budaya ini menjadi amalan di penempatan yang masih mengekalkan semangat kekitaan dan tradisi kejiranan yang utuh. Budaya pemberian duit raya berlangsung sepanjang bulan Syawal. Kumpulan kanak-kanak akan mengunjungi rumah-rumah di sekitar kampung atau taman perumahan. Tujuan utama mereka ialah untuk bersalaman dan beraya dengan tuan rumah dengan harapan untuk memperolehi duit raya. Juadah hari raya akan dimakan di rumah pertama dan kedua sahaja, rumah seterusnya mereka hendak duit raya sahaja. Biasanya tuan rumah telah sedia maklum dengan telatah dan kerenah kanak-kanak. Mereka dengan ikhlas akan melayan kehendak kanak-kanak yang berlaku sekali setahun. Sikap kanak-kanak yang sebegini sebenarnya boleh menceriakan suasana hari raya aidil fitri yang disambut cuma sekali setahun.
Sepanjang bulan Syawal ramai umat Islam akan mengadakan rumah terbuka bertujuan meraikan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai. Mereka akan menyediakan juadah yang berupa pelbagai jenis makanan dan kuih-kuih yang boleh dinikmati oleh tetamu yang hadir. Sewaktu majlis rumah terbuka juga duit raya akan diberikan kepada kanak-kanak yang turut hadir bersama-sama tetamu yang dewasa. Tetamu yang berkunjung ke rumah terbuka pula secara adat akan membawa duit raya. Duit raya akan diberikan kepada anak-anak tuan rumah dan juga kepada kanak-kanak lain yang turut berada dalam majlis rumah terbuka tersebut. Sseorang tetamu yang telah bekerja sewajarnya mesti menghulurkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang berada di situ. Dia tidak boleh memilih kanak-kanak yang dikenali sahaja.
Dalam situasi tertentu istilah pemberian duit raya bukan sahaja dikhususkan kepada kanak-kanak malah golongan dewasa yang terpilih dan istimewa juga menerima sumbangan duit raya. Biasanya orang kenamaan, orang kaya, pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) dsbnya akan mengadakan majlis khas bertujuan memberi sumbangan duit raya kepada golongan tertentu. Kumpulan yang disasarkan sebagai penerima duit raya termasuklah warga emas yang tidak berkemampuan, golongan OKU yang tidak berkemampuan dan golongan ibu tunbggal yang tidak berkemampuan. Pada hujung bulan Ramadan dan sepanjang bulan Sywal mereka yang prihatin dan NGO yang bersimpati dengan golongan yang memerlukan akan mengadakan majlis pemberian duit raya kepada golongan sasaran. Biasanya majlis ini diadakan secara rasmi dan mereka turut menjemput beberapa nedia bertujuan memberi makluman kepada masyarakat berkaitan sesuatu amalan murni yang dilakukan oleh mereka. Tujuan mereka bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk menggalakkan lebih ramai individu yang kaya dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil secara ikhlas membantu mereka yang tidak berkemampuan.
Secara kesimpulannya, pemberian duit raya harus digalakkan dalam masyarakat Islam kerana banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak dan golongan yang memerlukan. Amalan ini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan semangat kekitaan sesama umat Islam. Disyorkan pemberian duit raya perlu juga diterima oleh para remaja yang masih belajar di sekolah menengah. Golongan ini memang memerlukan wang dan mereka masih belum boleh mencari nafkah sendiri. Bagi saya mereka juga layak menerima duit raya.
Friday, September 10, 2010
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1431 HIJRAH
Hari raya tahun ini kami sekeluarga tidak pulang beraya di kampung. Kampung saya terletak di Peringat, Kota Bharu, kelantan dan kampung isteri saya berlokasi di Chetok, Pasir Mas Kelantan. Kalau kami sekeluarga berniat hendak pulang ke kampung, tiket bas atau kereta api mesti dibeli awal kerana terlalu cepat habis. Maklumlah rakyat Kelantan di perantauan sangat ramai.
Meskipun suasana dan gambaran beraya di Seri Gombak ni tidak sama seperti di kampung halaman tempat asal saya namun kemeriahannya dapat kami rasakan juga. Di sini saya beraya bersama-sama jiran yang terdekat. Dapat diperhatikan bahawa isteri saya tidak kesunyian kerana beberapa kali dikunjungi oleh jiran yang berhampiran dengan rumah kami. Dia dan anak-anak juga berkunjung ke beberapa buah rumah yang berhampiran. Awal-awal lagi dengan ditemani oleh hujan yang renyai-renai saya telah ke Masjid Khairiah, Taman Seri Gombak untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Mujurlah pada pagi ini ada perkhidmatan bas rapid. Pada jam 12.40 tengah hari saya ke Masjid Batu 6, Gombak untuk menunaikan solat Jumaat. Saya ke batu 6, Gombak kerana ada janji dengan sahabat. Dia minta saya tengokkan komputernya yang sedikit bermasalah. Pada sebelah petang, saya tidak ke mana-mana dan hanya berehat sahaja di rumah bersama isteri dan anak-anak.
Raya puasa tahu ini kami tidak pulang ke kampung kerana anak sulung kami iaiatu Ain Asyirah akan menduduki peperiksaan UPSR sejurus berakhirnya cuti raya dan cuti sekolah. Dia akan menduduki UPSR dari 21 hingga 23 September, 2010. Kalau kami balik ke kampung dibimbangi kesihatannya terganggu. Dia begitu alah pada cuaca yang terlalu sejuk kerana mudah terkena penyakit asma. Kami terpaksa berkorban untuk memberinya ruang untuk belajar dan menjaga kesihatannya agar tidak terganggu. Insya Allah kalau tiada sebarang masalah kami sekeluarga akan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha.
Wednesday, September 8, 2010
KONTRAKTOR TEMPATAN SUKAR CARI MAKAN AKIBAT WUJUD KONTRAKTOR KECIL WARGA ASING
Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) berasa agak bimbang kerana dengan bercambahnya kontraktor pengubahsuaian warga asing ini secara aktif akan mengancam dan menjejaskan kerjaya dan sumber pendapatan kontraktor tempatan. Bagi mengelakkan kegiatan warga asing dalam sektor pembinaan bergerak secara aktif dan berleluasa MBAM mencadangkan agar pihak kerajaan mendaftar dan mengawal selia semua kontraktor kecil di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pemininaan (CIDB) bertujuan mewajibkan ekuiti tempatan dan syarat berkaitan yang lain sebelum membenarkan mereka menjadi kontraktor kecil atau pengubahsuaian.
Jika diperhalusi semasak-masaknya orang ramai lebih cenderung mengupah kontraktor warga asing untuk pengubahsuaian premis atau rumah mereka kerana kontraktor asing terutama sekali orang Indonesi lebih mesra pelanggan. Mereka akan mengikut segala arahan dan kehendak pengguna tanpa ada bantahan. Mereka sanggup meluangkan masa untuk berbincang dengan pengguna dan mengikut waktu yang ditentukan oleh pengguna. Segala aduan dan bantahan pengguna berkaitan kerja-kerja yang telah dilakukan didengar dengan teliti dan segera membetulkan kesilapan yang telah dilakukan tanpa ada rungutan. Inilah faktor utama yang mendorong orang ramai lebih gemar mengambil kontraktor asing yang beroperasi secara kecil-kecilan.
Dalam usaha memancing pengguna kontaraktor asing akan menawarkan harga yang lebih murah berbanding kontraktor tempatan. Mereka mampu mengenakan bayaran yang agak murah bukan mereka tidak mengambil untung yang banyak. Mereka juga ketagih untung. Sudah menjadi matlamat mereka, bila merantau ke tempat orang mesti cari harta dan kekayaan. Cara yang mereka gunakan ialah mereka akan cuba mengurangkan kos pembinaan. Mereka menjadi taukeh dan mereka jugalah yang melaksanakan kerja serta sanggup menjadi buruh binaan. Matlamat utama mereka ialah wang. Untuk memudahkan kerja, mereka akan mencari beberapa orang pekerja yang rapat dengannya. Jumlah pekerja yang diambil bergantung kepada banyak dan jenis pengubahsuaian yang perlu dilakukan serta tempoh masa yang ditentukan oleh pelanggan. Dengan cara ini mereka boleh mengurangkan kos operasi. Berbeza pula dengan kebanyakan kontraktor kecil warga tempatan yang bertindak sebagai taukeh dan tidak berfungsi sebagai buruh binaan. Mereka akan mengupah pekerja asing yang dibayar mengikut jumlah jam dan hari bekerja.
Kebanyakan orang lebih gemar mengambil kontraktor asing kerana mereka lebih cekap berbanding kontraktor tempatan. Seseorang warga asing yang ingin menjadi kontraktor, dia akan pastikan dahulu yang dia telah mempunyai beberapa tahun pengalaman sebagai buruh binaan dan telah tahu sedikit sebanyak selok-belok untuk menjadi kontraktor kecil. Mereka juga telah mengenali ramai penduduk tempatan dan telah mendalami budaya hidup penduduk tempatan. Dengan cara ini mereka akan bersedia untuk mendampingi pelanggan bagi mendapatkan tender secara kecil-kecilan. Biarpun tidak boleh mendapatkan tender kerajaan dan syarikat-syarikat tertentu kerana beroperasi secara tidak sah, mereka berusaha sedaya upaya mendapatkan projek secara kecil-kecilan daripada individu. Berbeza pula dengan kontraktor tempatan yang kurang mempunyai pengalaman sebagai buruh binaan. Mereka hanya mampu mengupah warga asing sebagai pekerja mereka. Segala masalah yang timbul berkaitan pengubahsuaian kontraktor tempatan terpaksa merujuk kepada pekerja mereka.
Bagi membendung senario ini agar tidak berterusan dan bercambah di Malaysia rakyat tempatan yang ingin menjadi kontraktor kecil harus ada pengalaman berkaitan kerja-kerja pembinaan dan mesti mempelajari secara mendalam cara-cara untuk menjadi seorang kontraktor. Hal ini penting agar mereka tidak menghadapi masalah setelah menjadi seorang kontraktor. Jika tidak diambil tindakan yang sewajarnya kontraktor kecil tempatan terutama sekali bumiputera akan mudah gulung tikar. Jangan kita harapkan kerajaan semata-mata. Kerajaan telah menyediakan berbagai-bagai insisiatif dalam usaha membantu kontraktor kecil tempatan.