Friday, May 13, 2011

PENGALAMAN SEBAGAI SETIAUSAHA PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM) CAWANGAN KUALA LUMPUR/SELANGOR

Sudah sekian lama saya memegang jawatan Setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor. Seingat saya dari pertengahan Mei 1997 hingga kini saya masih setia dan sanggup berkhidmat secara sukarela dengan SBM Cawangan KL/Selangor. Jika dihitung hampir 14 tahun lamanya saya telah menaburkan bakti kepada ahli-ahli SBM Cawangan KL/Selangor. Saya mula bergiat aktif dengan SBM Cawangan KL/Selangor semenjak berstatus bujang dan kini telah beristeri dan mempunyai tiga orang anak. Anak sulung telah meningkat remaja. usia pada ketika itu hujung 20an masih dikategorikan dalam golongan belia dan kini telah berusia 44 tahun dan tergolong dalam kelompok pakcik.

Dalam tempoh masa yang agak lama berbagai-bagai pengalaman manis dan pahit yang telah saya lalui dan harungi. Pengalaman sesama ahli jawatankuasa tetap segar dalam ingatan dan terus disimpan dalam memori hidup. Paling tidak dilupakan sewaktu sama-sama bersusah-payah dan bertungkus-lumus dalam usaha menganjurkan sesuatu aktiviti yang telah dirancang. Matlamat saya dan kerabat kerja ialah aktiviti yang bakal dilaksanakan memberikan kepuasan yang paling maksimum kepada ahli-ahli yang berminat untuk turut serta. Salah satu aktiviti uang paling mencabar dan begitu berkesan selama saya menjawat jawatan setiausaha ialah sewaktu menganjurkan Kayuhan Basikal Tendom secara Konvoi ke Hutan SImpan FRIM, Kepong, Selangor. Dua tenaga utama yang telah berusaha dari awal hingga akhir tak lain dan tak bukan ialah saya dan Allahyarham Rusly Yaacob.

Selama saya aktif dengan SBM Cawangan KL/Selangor jika tiada sifat kesabaran sudah lama saya angkat kaki dan berlalu dengan meninggalkan cawangan terkapai-kapai tanpa setiausaha. Kerenah dan perilaku beberapa ahli jawatankuasa seringkali mencabar kesabaran. Atas semangat untuk membantu ahli dan ingin melihat pertubuhan terus bergiat aktif maka saua sanggup terus berada bersama-sama dengan ahli jawatankuasa yang masih setia. Jauh di sudut hati saya tidak mahu SBM Cawangan KL/Selangor dikritik dan dipersendakan oleh ahli-ahli dan kelompopk lain yang berpunca daripada perselisihan faham sesama ahli jawatankuasa. Masih saya ingat lagi bagaimana pergaduan antara Naib Pengerusi SBM Cawangan KL/Selango dan Bendahari. Pada mulanya berbalas percakapan dan bila hati sudah panas hampir bertumbuk. Perlakuna mereka seperti budak-budak dan memang tidak matang. Pada tahun 2002 atau 2003 dua orang AJK telah meletakkan jawatannya semata-mata kerana terpengaruh dengan hasutan AJK yang lain. Setelah berlaku peristiwa yang pahit ini agak sukar juga untuk melaksankan sesuatu aktiviti kerana kekurangan tenaga kerja. Tugasan yang ditinggalkan terpaksa diambilalih oleh AJK yang lalin. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan AJK yang ada dbebani dengan tugasan yang berat.

Dalam tempoh 14 tahun lamannya saya berkhidmat dengan SBM Cawangan KL/Selangor barisan AJK diterajui oleh empat orang Pengerusi iaitu Encik Ahmad ABdullah, Allahyarham Mohd Gjazali Tocheh, Puan Nurul Khairani Choi Abdullah dan Encik Abas Ashari. Maknanya saya telah begitu masak dengan cara kepimpinan mereka. Empat orang empat ragam. Sekali-sekala terpaksa juga berhadapan dengan ragam yang menggeramkan hati. Sekali fikir terasa hendak meletakkan jawatan. lima kali fikir saya dipujuk oleh perasaan sendiri agar terus berbakti kepada ahli-ahli. pedulikan sahaja perangai dan ragam yang tidak senonoh. Paling menguji kesabaran ada pengerusi yang gemar mewujudkan blok pengaruh. Saya dan beberapa AJK yang lain kononnya tidak sehaluan dengan mereka. Kalau diikutikan perasaan memang mengyakitkan hati memikirkan cebisan hati busuk yang dihulurkann kepada saya dan beberapa AJK yang lain. Satu lagi hal yang tidak sanggup untuk dihadapi ialah berhadapan denga pengerusi yang bersifat talam dua muka. Beliau gemar melaga-lagakan antara seorang AJK dengan AJK yang lain. Kesan yang terjadi tentulah hubungan sesama AJK tidak harmoni. Timbul syak wasangka antara satu satu lain dek peranan insan yang berwatak syaitan dan berwajah manusia.

Langkah saya menawarkan diri untuk menyandang jawatan setiausaha memang begitu banyak ilmu yang telah saya perolehi. Salah seorang pengerusi kerap memberikan saya idea dan tunjuk ajar selok-belok untuk menerajui sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Saya menimba pengetahua daripada beliau tidak secara formal tetapi menerusi perbualan sama ada di premis cawangan atau sewaktu minum di warong. Saya akan membuka topik dan mengajak beliau bercerita tentang pengalaman beliau menerajui beberapa pertubuhan sama ada pertubuhan berfokuskan kepada politik atau kebajikan. Maklumat daripada beliaulah saya rangkumkan dan oleh menjadi tersusun sehingga menjadi ilmu yang dapat saya gunakan ke arah mengaktifkan SBM Cawangan KL/Selangor. Cara beliau yang saya paling kagumi ialah tidak pernah meninggikan suara sewaktu berinteraksi dengan ahli meskipun pada situasi ahli-ahli sedang marah kerana sesuatu isu menimbulkan rasa tidakpuas hati ahli-ahli. Beliau akan cuba menggunakan psykokologi bagi menenangkan ahli-ahli.

Daripada pemerhatian dan penelitian saya pengerusi yang paling aktif mencari tajaan dan berjaya menghubungi pihak luar dan merencankan beberapa aktiviti yang baru untuk manfaat ahli-ahli ialah Allahyarham Mohd Ghazali Tocheh. Dalam usaha mendapatkan tajaan beliau sering berdiplomasi dengan pegawai Jabatan Kebudayaan. Beliau kerap berhubung dengan pegawai DBP dalam usaha mendapatkan tajaan bagi aktiviti yang berfokuskan kepada sastera dan seni. Beliau juga begitu lantang menyuarakan keperluan ahli-ahli dalam Mesyuarat MP. Jasa beliau tetap dikenang dalam lipatan memori SBM Cawangan KL/Selangor.

Secara khisana saya berkali-kali menyuarakan pendapat dan buah fikiran kepada penjawat-penjawat utama SBM agar mengadakan satu strategi bagi menggalakkan golongan belia yang cacat penglihatan bergiat aktif dengan SBM. Seterusnya berminat untuk menjawat beberapa jawatan utama di SBM sama ada di ibu pejabat atau cawangan/kawasan. Mereka tidak boleh diserap secara pendadak. Mereka mesti melalui satu proses berjinak-jinak dengan SBM. Dari sini sedikit sebanyak mereka akan tahu cara merancang, melaksana dan mentadbir SBM. Perkara yang paling penting mereka mesti kerap berkunjung ke SBM dan melihat serta memerhatikan corak pentadbiran SBM. Selian itu, mereka mesti ada minat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh SBM. Saya pun tidak selama-lamanya ingin menawarkan diri untuk menyandang jawatan setiausaha. Sampai masanya saya perlu berundur dan jawatan setiausaha perlu diisi oleh ahli yang berkebolehan dan ada semangat untuk berkhidmat secara sukarela dengan SBM Cawangan KL/Selangor. Saya perlu melakukan reformasi terhadap diri saya. Mungkin suatu ketika nanti saya ada semangat dan berminat bagi menawatkan diri untuk bertanding jawatan lain.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment