Wednesday, September 8, 2010

KONTRAKTOR TEMPATAN SUKAR CARI MAKAN AKIBAT WUJUD KONTRAKTOR KECIL WARGA ASING

Dalam akhbar Berita Harian bertarikh 8 September 2010, saya teruja dengan tajuk "Ramai Pekerja Asing jadi Kontraktor Kecil: MBAM". Maknanya dewasa kini semakin ramai warga asing menjadi kontraktor kecil secara tidak sah kerana tidak mendaftar dengan Pendaftar Syarikat (ROC). Mereka semakin ghairah menjadi kontraktor kerana mendapat galakan dan sambutan daripada penduduk tempatan.

Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) berasa agak bimbang kerana dengan bercambahnya kontraktor pengubahsuaian warga asing ini secara aktif akan mengancam dan menjejaskan kerjaya dan sumber pendapatan kontraktor tempatan. Bagi mengelakkan kegiatan warga asing dalam sektor pembinaan bergerak secara aktif dan berleluasa MBAM mencadangkan agar pihak kerajaan mendaftar dan mengawal selia semua kontraktor kecil di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pemininaan (CIDB) bertujuan mewajibkan ekuiti tempatan dan syarat berkaitan yang lain sebelum membenarkan mereka menjadi kontraktor kecil atau pengubahsuaian.

Jika diperhalusi semasak-masaknya orang ramai lebih cenderung mengupah kontraktor warga asing untuk pengubahsuaian premis atau rumah mereka kerana kontraktor asing terutama sekali orang Indonesi lebih mesra pelanggan. Mereka akan mengikut segala arahan dan kehendak pengguna tanpa ada bantahan. Mereka sanggup meluangkan masa untuk berbincang dengan pengguna dan mengikut waktu yang ditentukan oleh pengguna. Segala aduan dan bantahan pengguna berkaitan kerja-kerja yang telah dilakukan didengar dengan teliti dan segera membetulkan kesilapan yang telah dilakukan tanpa ada rungutan. Inilah faktor utama yang mendorong orang ramai lebih gemar mengambil kontraktor asing yang beroperasi secara kecil-kecilan.

Dalam usaha memancing pengguna kontaraktor asing akan menawarkan harga yang lebih murah berbanding kontraktor tempatan. Mereka mampu mengenakan bayaran yang agak murah bukan mereka tidak mengambil untung yang banyak. Mereka juga ketagih untung. Sudah menjadi matlamat mereka, bila merantau ke tempat orang mesti cari harta dan kekayaan. Cara yang mereka gunakan ialah mereka akan cuba mengurangkan kos pembinaan. Mereka menjadi taukeh dan mereka jugalah yang melaksanakan kerja serta sanggup menjadi buruh binaan. Matlamat utama mereka ialah wang. Untuk memudahkan kerja, mereka akan mencari beberapa orang pekerja yang rapat dengannya. Jumlah pekerja yang diambil bergantung kepada banyak dan jenis pengubahsuaian yang perlu dilakukan serta tempoh masa yang ditentukan oleh pelanggan. Dengan cara ini mereka boleh mengurangkan kos operasi. Berbeza pula dengan kebanyakan kontraktor kecil warga tempatan yang bertindak sebagai taukeh dan tidak berfungsi sebagai buruh binaan. Mereka akan mengupah pekerja asing yang dibayar mengikut jumlah jam dan hari bekerja.

Kebanyakan orang lebih gemar mengambil kontraktor asing kerana mereka lebih cekap berbanding kontraktor tempatan. Seseorang warga asing yang ingin menjadi kontraktor, dia akan pastikan dahulu yang dia telah mempunyai beberapa tahun pengalaman sebagai buruh binaan dan telah tahu sedikit sebanyak selok-belok untuk menjadi kontraktor kecil. Mereka juga telah mengenali ramai penduduk tempatan dan telah mendalami budaya hidup penduduk tempatan. Dengan cara ini mereka akan bersedia untuk mendampingi pelanggan bagi mendapatkan tender secara kecil-kecilan. Biarpun tidak boleh mendapatkan tender kerajaan dan syarikat-syarikat tertentu kerana beroperasi secara tidak sah, mereka berusaha sedaya upaya mendapatkan projek secara kecil-kecilan daripada individu. Berbeza pula dengan kontraktor tempatan yang kurang mempunyai pengalaman sebagai buruh binaan. Mereka hanya mampu mengupah warga asing sebagai pekerja mereka. Segala masalah yang timbul berkaitan pengubahsuaian kontraktor tempatan terpaksa merujuk kepada pekerja mereka.

Bagi membendung senario ini agar tidak berterusan dan bercambah di Malaysia rakyat tempatan yang ingin menjadi kontraktor kecil harus ada pengalaman berkaitan kerja-kerja pembinaan dan mesti mempelajari secara mendalam cara-cara untuk menjadi seorang kontraktor. Hal ini penting agar mereka tidak menghadapi masalah setelah menjadi seorang kontraktor. Jika tidak diambil tindakan yang sewajarnya kontraktor kecil tempatan terutama sekali bumiputera akan mudah gulung tikar. Jangan kita harapkan kerajaan semata-mata. Kerajaan telah menyediakan berbagai-bagai insisiatif dalam usaha membantu kontraktor kecil tempatan.

No comments:

Post a Comment