Saturday, April 9, 2011

Maksud tersirat di sebalik pantang larang dalam masyarakat Melayu

Secara ringkas pantang larang ialah perlakuan atau perbuatan yang ditegah dalam masyarakat Melayu. Pantang larang terus kekal dalam masyarakat Melayu yang masih mengekalkan beberapa elemen yang diwarisi daripada nenek moyang secara turun-temurun. Tidak dapat dinafikan bahawa unsur ini semakin terhakis sedikit demi sedikit diakibatkan oleh masyarakat melayu beransur berubah corak kehidupan kepada carak kehidupan moden. Orang melayu ialah suatu masayarakat yang tidak mudah melupakan unsur teradisi yang menjadi amalan zaman berzaman. Setinggi mana sekalipun kemajuan teknologi yang dicapai dan cara kehidupan berstatus Melayu elit, jika dalam sesuatu kelompok masyarakat itu majoriti komunitinya terdiri daripada orang-orang Melayu beberapa pantang lapang masih menjadi unsur nasihat kepada anak-anak dan generasi muda. Tidak salah kalau saya katakan pantang larang ini merupakan sautu peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh masyarakat melayu jika seseorang itu berada dalam kelompok yang masih mengekalkan tradisi ini. Unik sekali kerana undang-undang yang berbentuk nasihat dan sindiran ini disampaikan kepada ahli masyarakat secara lisan. Berbekalkan teknologi sebaran maklumat yang terkini ribuan pantang larang telah dihasilkan dalam bentuk tulisan oleh mereka yang ada inisiatif untuk mengekalkan dan menyegarkan taboo ini dalam ingatan masyarakat Melayu. Dengan cara ini pantang larang tidak akan luput ditelan zaman. Elemen ini juga tidak akan terhapus dibawa arus pemodenan. Masyarakat Melayu ialah golongan manusia yang sensitif sifatnya dan mudah terasa. segala larangan, nasihat dan teguran harus disampaikan secara khiasan atau simbolik. Jika disampaikan secara terus terang pasti ada hati orang Melayu yang akan tersinggung dan terusik. Bila terusik akam muncullah perasaan malu kepada mereka yang ada di sekeliling. Salah satu usaha untuk menjaga hati dan perasaan orang-orang Melayu terciptalah pantang larang yang menjadi pembina sahsiah dan personaliti masyarakat Melayu. Dengan berpegang teguh kepada pantang larang masyarakat Melayu akan hidup penuh dsiplin dengan perlakuan dan pertuturan yang begitu sopan-santun. Dalam tulisan ini, saya akan perturunkan beberapa pantang larang yang disertai dengan maksud yang tersiarat. Maksud tersirat inilah merupakan tegahan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh orang-orang Melayu. Dengan adanya pantang larang ini orang-orang Melayu tidak akan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan norma dan nilai dalam masyarakat Melayu. Saya penuh yakin ramai orang kerap terdengar ungkapan "jangan duduk di atas bantal, nanti akan naik bisul di ponggong". Unsur nasihat di sini ialah kita dilarang sama sekali duduk di atas bantal kerana bantal ialah tempat kita meletakkan kepada sewaktu tidur. Memang tidak senonoh perangai meletakkan ponggong di atas bantal. Dengan menggunakan ponggong kita duduk di merata tempat tidak kira tempat itu kotor atau bersih. manusia juga mengeluarkan najis menerusi lubang di anatara kedua-dua belah ponggong. Memang tidak lekang daripada mulut orang-orang Melayu "orang perempuan jangan menyanyi di dapur, kalau menyanyi di dapur akan dapat suami tua". Kalau difikirkan secara logik perempuan muda tidak akan hendak bersuamikan orang-orang tua. Menerusi pantang larang ini orang perempuan dilarang menyanyi di dapur kerana sewaktu menyanyi boleh terleka. Manusia sukar untuk melakukan dua perkara dalam satu masa dengan sempurna. Jika menyanyi sewaktu menghiris bawang dibimbangi jari terluka. Jika menyanyi sambil memasak makanan ditakuti ada rencah-rencah tertentu yang tidak dibubuh dalam masakan. Akibatnya makanan yang dimasak tidak sempurna. Kesannya ahli keluarga atau sesiapa yang makan makanan tersebut akan tidak berselera. Kebanyakan daripada kita juga sering terdengar "orang mengandung jangan memukul ular, nanti anak yang dilahirkan akan cacat atau tidak sempurna sifatnya". Berdasarkan pantang larang ini, orang perempuan yang mengandung tidak boleh melakukan perkara yang lasak contohnya memukul ular. Jika seseorang memukul ular dia akan pukul dengan penuh geram dan sekuat hati. Jika perbuatan ini dilakukan oleh perempuan yang mengandung dibimbangi anak yang berada dalam kandungan akan mengalami keguguran. Ditakuti juga orang yang mengandung akan terjatuh. Akibatnya akan berlaku kecederaan kepada ibu dan mungkin juga kepada anak dalam kandungan. Di kampung Melayu yang masih mengekalkan unsur tradisi silam, Waktu makan malam ditentukan selepas sembahyang Maghrib. Jika ada ahli keluarga yang ingin makan awal akan dapat didengar ungkapan "jangan makan waktu senja, nanti semangat padi akan hilang". Maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada orang Melayu ialah Seisi keluarga hendaklah makan bersama-sama iaitu selepas sembahyang Maghrib. Dengan cara ini akan mengeratkan tali selaturahim sesama ahli keluarga. Anak yang masih remaja dilarang makan awal dibimbangi lauk tidak mencukupi untuk ahli keluarga yang lain. Lauk yang ada perlu dikongsi bersama. Masyarakat Melayu zaman dahulu jarang menyediakan lauk yang banyak kerana ingin berjimat. Pendapatan yang diperolehi tidak lumayan. Mereka perlu menabung duit untuk pergi ke tanah suci Makkah. Ribuan pantang larang yang diilhamkan oleh masayarakat melayu zaman dahulu harus menjadi ingatan dan ikutan masyarakat Melayu zaman kini. Peraturan yang terhasil menerusi idea bernas masyarakat Melayu ini harus dikemaskini dan dijadikan undang-undang yang bertulis. Gabungan udang-undang sekular yang diasaskan oleh orang-orang Inggeris, undang-undang Islam dan undang-undang tradisi yang berupa pantang larang menjadi pelengkap kepada masyarakat Melayu sebagai salah satu pedoman dan panduan untuk hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Masyarakat Melayu terkanal sebagai jutaan manusia yang bersopan santun dan berbudi bahasa kerana berpegang teguh kepada pantang larang yang menjadi teras dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment