Sunday, September 6, 2009

KEMELUT POLITIK UMNO TERENGGANU MERUGIKAN RAKYAT

Setelah tamatnya pilihanraya umum yang ke-12, UMNO Terengganu boleh berbangga dan berpuas hati kerana telah memenangi 24 kerusi DUN daripada 32 kerusi yang dipertandingkan. PAS hanya menang 8 kerusi sahaja. Pimpinan tertinggi UMNO boleh berasa lega kerana negeri Terengganu menyumbang 7 kerusi BN di parlimen. Bagaimanapun setelah diadakan pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 akibat kematian Ahli Parlimennya Datuk Razali Ismail, kerusi berkenaan telah terlepas ke tangan PAS dengan kemenagan Encik Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan Datuk Wan Ahmad Farid dengan Majoriti 2,631 undi. Jangkaan kita dan kebanyakan penganalisis politik tiada sebarang masalah yang akan timbul dalam politik parti pemerintah di negeri Terengganu. Mereka juga boleh membentuk kerajaan negeri dengan selesa ditambah pula dengan hanya 8 orang pembangkang sahaja daripada parti PAS. Suara penentang dan pengganggu hanya segelintir dan parti yang memerintah mendapat majoriti 2/3.

Kemelut politik Terengganu diketahui umum apabila tercetusnya masalah pelantikan menteri besar. Rakyat Terengganu khususnya, peminat perkembangan politik dan penganalisis politik tertunggu-tunggu siapakah bakal menteri besar yang direstui oleh pihak istana Terengganu. Setelah dua minggu menanti akhirnya Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) mewakili Pemangku Raja Terengganu telah berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar kepada ADUN Kijal, Dato' Ahmad Said. Semua pihak yang mengikuti perkembangan ini ingin tabu benar sebab MPPR tidak melantik menteri besar yang dulu, datuk Seri Idris Jusoh. Tidak salah kalau dikatakan mungkin Datuk Seri Idris Jusoh telah melakukan sesuatu atau bertindak secara tidak profesional sehingga menimbulkan kemurkaan pihak istana yang diterajui oleh MPPR mewakili pemangku Raja Terengganu kerana Sultan Terengganu sedang bertugas sebagai DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

Setelah pelantikan ini dibuat semua 23 ADUN BN tidak bersetuju (kecuali Dato' Ahmad Said). Protes telah dibuat oleh wakil mereka Dato' Rosol Wahid menerusi sidang media yang berlangsung di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu. Menurutnya "Mana-mana calon selain Idris, kami tidak akan terima. Malah ada di kalangan kami yang sanggup meletak jawatan (sebagai ADUN) jika beliau (Idris tidak dipilih," kata Rosol yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu. Kenyataan ini sangat biadab dan mencabar kewibawaan terhadap institusi Istana Terengganu kerena sebelum ini para pemimpin BN Terengganu, khususnya Idris Jusoh sendiri, telah menyatakan kesediaan mereka akan menerima apa jua keputusan yang bakal ditentukan oleh pihak istana.

Sebelum dilantik sebagai menteri besar, satu tindakan keras telah dibuat oleh Dato' Rosol wahid, Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu kepada Dato, Ahmad Said dengan menghantar surat ketidak sahihahan Dato, Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terangganu kepada Presiden UMNO dan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu yang ditandatanganinya sendiri. Surat itu mengingatkan semua ahli parti supaya mematuhi perlembagaan parti dengan mengambil tindakan yang bertentangan dengan arahan presiden. Satu kesalahan jika menerima pelantikan sebagai menteri besar tanpa menerima watikah presiden parti. Jika engkar keahlian parti boleh terlucut. Tan Seri Muhyiddin Yasin mengingatkan Dato' Ahmad Said agar menolak watikah pelantikan dari istana dengan alasan bertentangan dengan prinsip parti. Dalam hal ini dapat kita lihat berlakunya pertikaian pendapat dan pelantikan antara golongan istana dan parti UMNO. Akhirnya masalah rumit ini dapat diselesaikan secara diplomasi dan Dato' Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai mneteri besar pada 30 Mac 2009 di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah. Istiadat ini turut dihadiri 22 ADUN UMNO Terengganu dan diterima sebagai Menteri Besar Terengganu yang sah. Sebagai tanda setiakawan mereke semua bersalaman tanda segala kemelut yang berlaku selama ini selesai. Menteri besar turut bersalaman dengan Datuk Seri Idris Jusoh dengan penuh emosi. Jika dilihat dengan mata kasar seolah-olah tiada masalah yang bakal timbul dan sidang DUN akan berlangsung dengan aman. Semua akan bekerja untuk rakyat.

Suasana harmoni dan tenteram dalam politik UMNO tidak bertahan lama. Perasaan dendam dan sakit hati terhadap Menteri Besar, Dato, Ahmad Said timbul semula. Pada bulan April yang lalu terdapat khabar angin yang tidak dapat dipastikan kesahihannya tentang usul undi tidak percata kepada menteri besar. Bila khabar angin ini mula bertiup dan tiba ke telinga Dato, Ahmad Said, beliau mula bertindak awal. Beliau lantas mengingatkan jika ada ADUN UMNO yang mengemukakan usul undi tidak percaya kepadanya, pasti dia akan berhadapan dengan tindakan disiplin dan boleh dipecat. seandainya usul tersebut diluahkan oleh ADUN pembangkan mudah bagi dewan menolak usul berkenaan sebab wakil BN majoriti dalam dewan undangan negeri. Bagaimanapun, khabar angin ini dinafikan sama sekali oleh ADUN Ajil, Dato, Rosol Wahid. Beliau mengatakan bagi pihaknya langsung tiada cadangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Dato, Ahmad Said.

Pada 14 April lalu 10 ADUN BN Terengganu termasuk bekas meneteri besar tidak menghadiri sidang dewan kerana takutkan ugutan yang mengamcam keselamatan diri mereka menerusi SMS. Kononnya SMS ini datangnya dari pejabat MB. Dato' Ahmad Said menadikan sama sekali bahawa SMS ugutan itu bukan berpunca dari pejabatnya. Beliau langsung tidak mengetahui dan langsung tidak terlibat. Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib mengarahkan 10 ADUN kembali bersidang. Kemudiannya polis melakukan siasatan. Beberapa individu turut dipanggil untuk siasatan termasuklah Datuk Dr. Ahmad Ramzi Muhamad Zubir yang bertanding dalam pilihanraya ke-12 dan tewas di Parlimen Marang. Beliau ditahan kerana turut memberi kenyataan berkenaan tiga ADUN BN yang menerima SMS. Polis ingin mendapat kepastian sama ada beliau juga turut menerima SMS tersebut atau tidak. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Meneteri Besar, Dauk Seri Idris Jusoh.

Pada hujung bulan Mei lalu sesi bertentang mata dan mencurahkan rasa hati antara ADUN BN Terengganu, 8 Badan Perhubungan UMNO Terengganu dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein di Putrajaya. Dalam sesi ini semua wakil diberi peluang meluahkan rasa hati masing-masing dalam usaha menyelesaikan kemelut yang sedang melanda. Usaha ini sebenarnya masih gagal menyelesaikan masalah dalaman yang timbul. Datuk Seri Hishamuddin masih tidak berjaya mengubat hati ADUN yang terluka. Masing-masing masih menyimpan perasaan marah.

Pada 26 Ogos yang lalu MB Terengganu cuba menenangkan hatinya dengan mengatakan telah ada perkembangan positif ADUN BN terhadap kepimpinannya. Masing-masing telah mula beri tindak balas yang baik dan penentangan terhadapnya tidak nyata. Bagaimanapun beliau tidak menafikan masih ada 3 atau 4 orang ADUN BN yang masih tidak mahu bekerjsama dengannya. Beliau berharap suasana yang kurang matang ini akan terus tenang sedikit demi sedikit. Beliau turut diminta memberi penjelasan tentang sikap ADUN BN yang membisu semasa sidang DUN berlangsung. Kebanyakan mereka enggan memberi pendapat dan buah fikiran. Kebanyakan daripada mereka bertindak pasif dan hanya mengangguk sahaja. Seolah-olah mereka membantah dan marah dalam diam. Menurut Dato' Ahmad Said dalam usaha mendorong mereka tertentu bercakap sukar baginya buat masa ini kerana beliau tiada remote control yang boleh mengarahkan secara automatik mereka bersuara dan memberi pendapat.

Melihatkan kepada ketegangan politik Terengganu yang terus berlanjutan sehingga kini pada 4 September lalu Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan diri menjadi orang tengah dalam proses menyelesaikan krisis yang masih tiada jalan penyelesaian yang mantap. Kemungkinan beliau akan berjumpa semua pihak yang berkaitan selepas hari raya nanti. Menurutnya beliau mesti bertindak segera kerana negeri Terengganu merupakan kubu kuat UMNO dan beliau bimbang seandainya tidak ditangani segera akan mengikis kepercayaan rakyat. Seterusnya boleh menjejaskan sokongan pada pilihanraya akan datang. Selepas pertemuan dengannya beliau amat berharap semua perselisihan faham yang berlaku akan dapat diselesaikan secara terancang dan harmoni.

Pada hakikatnya kemelut dan masalah dalam politik BN Terengganu yang berlanjutan merugikan rakyat. Mereka semua iaitu ADUN Terengganu yang merupakan majoriti dalam DUN tidak mampu berfungsi untuk membela nasib rakyat. Mereka jarang sekali dapat membincangkan secara serius tentang tuntutan dan kehendak rakyat. Rakyat Terengganu hanya mendengr percakaran sesama wakil rakyat yang dipilih mereka dalam pilihanraya umum ke-12. Harapan mereka selama ini dipersiakan begitu saja oleh ADUN yang masih tidak bertanggungjawab.

Pada masa kni jelas dapat dilihat terdapat tiga kelompok dalam DUN Terengganu. Kelompok utama ialah yang mendokong mantan menteri besar dan begitu taksub dengan Dato' Idris Jusoh. Kelompok kedua ialah pengikut Dato' Ahmad Said yang mendapat watikah pelantikan sebagai menteri besar daripada pihak istana. Kelompok ketiga pula ialah barisan 8 orang pembangkang dan semuanya daripada parti PAS. Kelompok ketiga sering bertepuk tangan dan bersorak jika mendengar dua kelompok BN berkelahi. Maknanya tanpa gangguan daripada ADUN PAS mereka sendiri yang bertelagah. Tidak salah kalau dikatakan dua kelompok BN sebenarnya mahu menjagi kepentingan kroni masing-masing. Kroni mana yang berkuasa atau dominan dalam arena politik Terengganu akan mendapat manfaat.

Dalam keadaan ekonomi yang mendesak pimpinanUMNO Terengganu harus memperjuangkan untuk mendapatkan semula royalti minyak untuk Terengganu. Kerajaan pusat harus menyerahkan royalti berkenaan kepada kerajaan Terengganu dan kerajaan negerilah yang berperanan mengagihkan wang berkenaan untuk pembangunan yang ditujukan kepada rakyat. Pada masa sekarang negeri Terengganu mempunyai jumlah rakyat yang kedua paling miskin di Malaysia selepas Sabah. Agak menghairankan kedua-dua negeri ini merupakan pengeluar minyak yang utama di Malaysia tetapi mempunyai jumlah rakyat miskin yang paling ramai.

Langkah segera harus dimbil oleh pucuk pimpinan UMNO dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berpanjangan. Pergeseran politik ini bermula selepas pilihanraya umum ke-12 dan berpunca daripada ketidakpuasan hati mereka terhadap watikah pelantikan MB Terengganu yang ditentukan oleh pihak istana. Sepatutnya perkara ini tidak harus dibesar-besarkan kerana mereka bekerja dan bertindak dalam satu pasukan. Bila telah dipilih menjadi wakil rakyat niat di hati bekerja untuk rakyat bukannya mengejar kekayaan peribadi. Jika niat jujur bagi memperjuangkan nasib rakyat masalah remeh ini tidak mungkin timbul. Sikap inilah harus disemai oleh pucuk pimpinan kepada semua wakil rakyat UMNO.

No comments:

Post a Comment