Thursday, December 8, 2011

AHLI PARLIMEN YANG TIDAK SETIA KEPADA PKR DAN PARTI MEMERLUKAN TRANSFORMASI

Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah parti politik yang diwujudkan setelah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan sama ada dalam UMNO mahupun kepimpinan dalam kerajaan. Parti ini diasaskan pada 4 April 1999. Pada Februari 2003, parti ini telah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia. Pada 3 Ogos 2003, parti ini dan PRM telah melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang bersimpati dengan persengketaan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tentu sekali mereka memang menyokong perjuangan Panasihat Umum PKR ini. Sebahagian besar penyokong parti ini ialah ahli-ahli dan mereka yang pernah menyokong UMNO.


Dalam pilihanraya umum 8 Mac 2008 PKR mendapat sokongan yang amat memberangsangkan daripada rakyat terutama sekali di negeri Selangor, PKR telah memenangi 9 kerusi parlimen. Begitu juga dengan negeri Kedah di mana PKR telah memenangi 5 kerusi parlimen. Di Pulau Pinang dan WP Kuala Lumpur dengan tidak diduga PKR telah memenangi masing-masing 4 kerusi parlimen. Di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia PKR mendapat perhatian rakyat di 5 kerusi parlimen iaitu 3 kerusi di negeri Kelantan dan 2 kerusi di negeri Pahang. Di Perak PKR telah memenangi 2 kerusi parlimen dan di Negeri Seimbilan 1 kerusi parlimen. Semuanya PKR telah berjaya mengumpulkan 30 kerusi parlimen. Pencapaian PKR sebenarnya telah mengejutkan banyak pihak terutama sekali Barisan Nasional Tidak salah kalau dikatakan kebanyakan ahli parlimen dan penyokong PKR ialah serpihan BN terutama sekali UMNO.

Entah apa masalah dalaman dan pertelingkahan yang melanda dalam PKR seorang demi seorang MPnya telah melompat pari dan menjadi MP bebas. Tidak menghairankan juga jika dorongan dan pujukan datangnya dari luar PKR. Krisis ini bermula pada 12 Februari 2010 Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim MP Bayan Baru keluar dari PKR dan mengisytiharkan dirinya sebagai MP bebas kerana tidak berpuashati dengan Lim Guan Eng. Tidak sampai sebulan lamanya iaitu pada 1 Mac 2010 Tan Tee Beng MP Nibong Tebal pula keluar parti dan menyertai parti KITA yang diasaskan oleh Datuk Zaid Ibrahim. Selang dua hari iaitu pada tanggal 3 Mac 2010 Mohsin Fadzli Samsuri MP Bagan Serai mengumumkan keluar parti dan menjadi MP bebas kerana tidak berpuashati dengan isu Allah. Kedukaan dalam PKR bertambah parah apabila Dato' Zulkifli Nordin MP Kulim-Bandar Baharu dipecar dari PKR dan terpaksa menganggotai parti bebas iaitu pada 6 Mac 2010 kerana tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti. Dari sebelah utara semenanjung gelora dalam PKR berjangkit pula di Kuala Lumpur di mana pada 14 Mei 2010 Wee Chee Keong MP Wangsa Maju telah keluar PKR dan menyertai parti bebas kerana tidak berpuashati dengan isu penjualan pasir oleh KSSB di Selangor. Dengan tidak diduga episod ini semakin parah apabila orang lantang dalam PKR iaitu Gobala Krishnan MP Padang Serai melatakkan semua jawatan dalam PKR dan mengangotai pari bebas berkuatkuasa pada 29 Januati 2011. Inilah mereka yang mengkhianati amanah rakyat dan dengan mudah berpaling tadah. Mereka tidak setia kepada parti dan mudah diperdayakan.



Satu tragedi yang amat memilukan dan tidak akan luput dari lipatan sejarah berlaku pada 4 Februari 2009 akibat perbuatan curang terhadap parti dan rakyat sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang. Tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak bukan kerana desakan dan pilihan rakyat tetapi kerana dua orang ADUNNYA yang mempunyai agenda peribadi. Mereka ialah Mohd Osman Mohd Jailu ADUN Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi ADUN Behrang yang telah melompat parti dan mengisytiharkan mereka sebagai parti bebas yang menyokong BN disolong pula oleh Hee Yit Foong ADUN Jelapang yang telah berpaling tadah dengan DAP dan bersetuju menjadi ADUN bebas.


PRU13 dijangkakan pada Mac 2012, untuk tujuan ini pucuk pimpinan tertinggi dalam PKR mesti melakukan transformasi dengan segera dan bersungguh-sungguh. Bakal-bakal ahli yang akan bertanding untuk kerisi Parlimen dan DUN perlu dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar setia pada parti dan mempunyai hasrat untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat, jika memenangi pilihanraya nanti. Isu ini perlu ditangani dengan serius agar pisang tidak berbuah dua kali. Mereka yang bakal dipilih juga mestilah mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan dikategorikan sebagai orang kaya dan mempunyai harta yang banyak. Mereka juga perlu mempunyai pekerjaan yang mantap dan tidak mempunyai bebanan hutang yang banyak. Jika tidak mereka agak senang diperdayakan oleh pihak tertentu yang boleh menjanjikan jumlah wang yang lumayan jika meninggalkan PKR dan sanggup membuat kenyataan akhbar bertujuan memburuk-burukkan PKR.


Memnurut YB Azmin Ali PKR mensasarkan untuk bertanding di 97 kerusi parlimen. Bagi parti pembangkang hasrat itu merupakan satu hajat untuk dominan dalam Pakatan Rakyat. Untuik merealisasikan azam mereka PKR mesti merancang satu perjumpaan yang melibatkan semua mereka yang bakal bertanding untuk DUN dan parlimen. Dicadangkan pucuk pimpinan PKR terutama sekali Penasihat Umum dan Presiden mesti memberi amanat yang berupa kata-kata perangsang. Ceramah motivasi juga perlu diperdengarkan kepada mereka yang bertanding untuk kerusi DUN dan parlimen.





Tuesday, November 29, 2011

RUU HIMPUNAN AMAN 2011 TELAH DILULUSKAN OLEH SOKONGAN MAJORITI MP DI DEWAN RAKYAT. REAKSI PEMBANGKANG DAN MAJLIS PEGUAM

Pada 30 November 2011 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 telah lulus dengan sokongan sebulat suara daripada ahli parlimen BN yang hadir di Dewan Rakyat. Pada 24 November 2011 RUU ini telah dibcakan buat kali pertama di dewan rakyat oleh PM. Mulalah kedengaran kritikan dan rasa tidak puas hati yang ketara daripada MP pembangkang. RUU ini telah menimbulkan kontroversi dengan tentangan dan bantahan yang hebat daripada ahli parlimen pembangkang. Di luar dewan Majlis Peguam turut bertindak menyuarakan pendapat dan buah fikiran mereka yang menentang RUU ini. Kemuncak kepada protes ini pada pukul 3.15 petang, semua MP pembangkan yang hadie ke dewan rakyat telah beramai-ramai keluar dewan. Mereka bertindak demikian setelah Speaker Dewan menolak cadangan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (MP Permatang Pauh) agar RUU ini dibawa terlebih dahulu ke jawatankuasa terpilih parlimen untuk perbincangan teliti terlebih dahulu. Mereka juga bertindak keluar dewan kerana Speaker Dewan hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang sahaja yang diberi peluang membahaskan isu ini.

Usul pindaan yang dibuat melibatkan fasal 9(1) untuk memnida tempoh yang ditetapkan kepada penganjur untuk memberikan notis mengadakan perhimpunan kepada polis daripada 30 kepada 10 hari.

Fasal 12(1) RUU tersebut turut dipinda untuk memendekkan tempoh untuk polis memaklumkan kepada pihak yang berkepentingan berhubung perhimpunan tersebut - daripada 48 jam kepada 24 jam.

Tempoh untuk pihak berkepentingan membuat bantahan kepada polis ke atas notis perhimpunan berkenaan pula dipendekkan daripada lima hari kepada 24 jam, menurut usul pindaan ke atas fasal 12(2).

Selian itu, tempoh untuk polis memberikan respons ke atas bantahan berkenaan juga dipendekkan daripada 12 hari kepada lima hari, menurut pindaan ke atas fasal 14.

Pindaan ke atas fasal 16 pula memendekkan tempoh rayuan yang dikenakan ke atas penganjur perhimpunan untuk membuat rayuan kepada menteri.

Rayuan berkenaan adalah berhubung sekatan dan syarat perhimpunan oleh polis yang turut melibatkan tarikh, masa, tempat dan cara perhimpunan.

Kerajaan bagaimanapun tidak meminda kuasa yang luas pada RUU berkenaan yang mencetus bantahan keras pelbagai pihak kerana mengharamkan semua bentuk demonstrasi jalanan.

Kerajaan mengambil keputusan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman atas alasan untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam secara keseluruhannya terpelihara. Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional pada dasarnya amat menitikberatkan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sejajar dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Atas hakikat inilah kerajaan sanggup dan rela menerima cemuhan dan kutukan yang bermotifkan politik demi memantapkan kedamaian dan kesejahteraan rakyat terbela.

Dalam usaha kerajaan mahu leluluskan RUU ini dengan kadar segera Majlis Peguan Malaysia yang merupakan pengamal uncang-undang yang sistematik di negara kita amat tidak bersetuju dengan RUU ini. Peguam-peguan yang berbaung di bawah Majlis Peguan Malaysia telah berhimpun di di Kelab Taman Perdana Diraja di Kuala Lumpur dan bergerak ke parlimen bertujuan meluahkan bantahab dan tentangan terhadap penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011. Perarakan ini diberi nama "Walk for Freedom". Mereka menganggap RUU itu merampas dan menafikan hak rakyat yang dengan nyata dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyeru peguam-peguam di Malaysia tidak harus membiarkan kebebasan rakyat disekat tanpa membuat sebarang tindakan. Lngkah pertama yang diambil oleh mereka ialah berhimpun secara aman sebagai tanda bantahan kepada RUU yang menyekat kebebasan rakyat untuk berhimpun bagi menyuarakan pendirian dan keperluan mereka kepada kerajaan.

Parti PAS pula akan mencabar dan mendakwa RUU Perhimpunan Aman 2011 ini di mahkamah. Pihak PAS menerusi peguamnya Mohamed Hanipa Maiden akan menyiapkan dokumen untuk pendakwaan secepat mungkin. Jika tiada masalah yang merintang Kes ini akan dibawa ke mahkamah pada Jumaat ini. Alasan yang digunakan oleh PAS ialah RUU ini bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia iaitu perkara 10(1)(b), iaitu hak untuk berhimpun.

Di Parlimen, sewaktu perbahasan beberapa ahli parlimen pembangkan lantang mengkritik dan membidas RUU ini. Antara mereka termasuklah MP Marang, Terenggany, MP Permatang Pauh, Pulau Pinang, MP Pagoh, Pulau Pinang dan MP Ipoh Timur, Perak. Situasi ini menggambarkan MP pembangkang sebulat suara menetang RUU ini sekeras-kerasnya.

Secara sedar atau tidak RUU Perhimpunan Aman 2011 ini telah memberi ruang dan peluang kepada parti pembangkang sebagai modal untuk kempen pilihanraya ke-13 nanti. Dalam usaha untuk menyekat orang ramai yang biasanya didalangi oleh parti pembangkang melakukan demonstrasi di jalanan BN terpaksa berhadapan dengan risiko kesempatan yang diambil sebaik mungkin oleh parti berhaluan kiri untuk berkempen. Kelemahan dan kepincangan yang dapat dicungkil dalam RUU ini akan dijadikan bahan kempen bagi mempengaruhi rakyat menyokong dan menyebelahi parti pembangkang. Kini strategi dan jalan penyelesaian perlu disegerakan bagi menyekat dan membidas tohmahan parti pembangkang.

Pada saya RUU ini kurang mantap dan beberapa perkara yang dipinda boleh dipertikaikan. Pindaan yang ingin dilakukan tidak boleh tergesa-gesa. Sekumpulan pakar undang-undang perlu dipilih bagi tujuan meneliti pindaan yang telah dirangka. Melalui proses ini pembetulan dan pengubahsuaian dapat dimurnikan. Pada peringkat awal, Majlis Peguam Malaysia telah mengkritik pndaan ini kerana bercanggah dengan Perlembagaan malaysia iaitu menyekat orang ramai untuk berhimpun. Dengan fakta yang telah diberikan oleh Majlis Peguam, parti pembangkang tidak melepaskan peluang dan terus masuk gelanggang menentang kerajaan BN. Mereka sentiasa menuggu masa terbaik untuk menghentam parti BN, bak kata peribahasa Melayu "orang mengantuk disorongkan bantal".

Meskipun berhadapan dengan tentangan yang hebat di luar dan di dalam dewan, dengan kelebihan majoriti 2/3 parti yang memerintah di dewan rakyat, RUU ini tanpa kembimbangan dan kerisauan telahpun lulus. Sama-samalah kita nantikan keberkesanan pelaksanaannya. Sama-sama juga kita saksikan protes dan tindakan yang bakal dilakukan oleh parti pembangkang dan NGO yang berhaluan kiri.

Thursday, November 24, 2011

MOHON SIMPATI UMAT ISLAM NEGARA JIRAN UNTUK MEMBAIKI MASJUD DAN SURAU YANG TELAH DIROSAKKAN OLEH MUSUH

Pada pukul lima petang 24 November 2011 saya ke batu 4 Gombak bertujuan untuk membayar beberapa bil dan menghnantar surat menerusi perkhidmatan Poslaju di pejabat Pos Jalan Gombak. Untuk ke sana, saya lebih selesa berjalan di blok kedai berhampiran Pasaraya Ong Tai Kim. Pergerakan kaki saya terhenti setelah ditegur oleh seorang yang tidak dikenali. Rupa-rupanya dia ingin merayu sumbangan ikhlas untuk membina beberapa buah masjid dan surau yang rosak teruk di Selatan Thailand akibat serangan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab. Saya meluangkan masa sebenatar untuk melihat beberapa gambar masjid yang diranapkan oleh pengganas. Saya telah menghulurkan sumbangan seikhlas hati kerana dia telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan ada permit polis. Dia memperkenalkan dirinya sebagai imam di salah sebuah masjid yang telah menjadi mangsa musuh Islam.


Setelah beberapa langkah bergegas ke pejabat pos yang letaknya kira-kira 500 meter dari situ, saya teringat akan peristiwa tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan daerah Cha-airong, Narathiwat, Thailand. Perbuatan kejam ini telah mengakibatkan seramai 10 jemaah terbunuh ketika sedang menunaikan sembayang Isyak. Perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan ini berlaku pada 8 Jun 2009. kemungkinan berpunca kerana balas dendam ekoran terbunuhnya dua orang guru agama Buddha dan seorang penoreh getah yang berlaku empat hari sebelumnya.


Seterusnya masih segar dalam ingatan saya peristiwa serangan tentera Thailand terhadap umat Islam yang sedang bersembahyang berlaku di Masjid kerisik pada 28 Aptil 2004. Menurut sumber yang boleh dipercayai masjid ini ialah masjid yang pertama dalam sejarah kerajaan Islam Pattani. Masjid ini telah dibina pada tahun 1786 semasa pemerinyahan Sultan Muzaffar Syah. Dalam serangan yang menyayat perasaan ini seramai 92 umat Islam telah menjadi mangsa. Bermula dari serangan inilah telah berlaku beberapa episod serangan dan tembakan terhadap beberapa masjid di Thailand.


Orang Islam hanyalah minoriti dan kebanyakan daripada mereka menetap di Selatan Thailand. Sedikit perselisihan dan pertelingkahan yang berlaku antara umat Islam dan penganut agama Buddha di Thailand terlalu sukar untuk berdamai dan bersatu-padu. Akibat kemarahan dan rasa tidak puas hati akhirnya umat Islam ditindas dan diancam dengan menggunakan cara kekerasan.


Mungkin umat Islam yang tertindas di Selatan Thailand tiada tempat yang sesuai untuk mengadu masalah mereka. Suara pemimpin masyarakat Islam tidak mendapat layanan dan perhatian yang sewajarnya daripada pemerintah Thailand di Bangkok. Usaha-usaha membaik pulih masjid-masjid dan surau-surau yang rosak memerlukan sumber kewangan yang banyak. Peruntukan untuk ini mungkin dipandang sepi sahaja oleh pemerintah Thailand.


Sekumpulan umat Islam yang mewakili masyarakat Islam di Selatan Thailand telah merantau ke negara Malaysia untuk mendapatkan sumbangan bagi membaiki beberapa masjid dan surau yang telah musnah di sana akibat serangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Mereka terpaksa merayu simpati di tempat-tempat tertentu di Malaysia yang majoritinya penduduk Islam. Malaysia memang utuh dengan pegangan agama Islam. Umat Islam di malaysia berjaya mengekalkan agama Islam sebagai agama yang dominan dan diiktiraf sebagai agama rasmi negara. Dalam keadaan yang terdesak umat Islam yang ditindas di negara Thailand mahu tidak mahu terpaksa mengadu masalah mereka dan meminta sokongan dan perhatian daripada umat Islam di malaysia.


Pengajaran dan ikthibar yang boleh kita ambil di sini ialah semua umat Islam di malaysia mesti menjaga kesucian agama yang menjadi pegangan hidup kita agar tidak ditindas oleh musuh Islam yang sentiasa menunggu peluang yang sesuai. Umat Islam di malaysia harus bersatu dan tidak berpecah-belah. Pergaduhan sesama umat Islam perlu dielakkan sama sekali. Musuh Islam boleh diibaratkan seperti api. Api yang kecil sebagai kawan dan jika sudah marak akan menjadi lawan yang sukar dibendung.



Saturday, October 1, 2011

Cerita Mat Indera dan Tukang Cerita Harapkan Insentif dan Pengiktirafan dari Kerajaan malaysia

Sejak dari 21 Ogos yang lalu isu tentang Mat Indera masih hangat diperkatakan oleh mereka yang berminat untuk mengetahui dan mendalami peristiwa-peristiwa sejarah tanah air. Sudah diketahui ramai isu kontroversi ini telah ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mat Sabu. Tambahan pula, perjuangan Mat Indera mempunyai perkaitan yang rapat dengan pergerakan Komunis di Balai Polis Bukit Kepong. Isu hangat ini memang menajadi perdebatan dan perbualan hangat, mana tidaknya pemukul canangnya pemimpin terkenal parti PAS. Tidak salah kalau dikatakan kedengaran bermacam mitos dan legenda berkaitan dengan Mat Indera. Berkaitan dengan peristiwa ini saya amat tertarik dan terangsang dengan satu episod cerita terkini yang saya baca dalam satu blog. Ceritanya mungkin ada kebenarannya dan mungkin ada sedikit tokok-tambah.


Alkisah tersebutlah satu cerita yang dilisankan oleh Encik Saparun. Menurut Saparun, beliau ialah anak kepada Sibun @ Tukyo Bin Ahmad. Menurutnya, Sibunlah yang telah berjaya memangkap Mat Indera dan menyerahkan kepada kerajaan British. Detik yang bersejarah ini telah berlaku pada 14 Oktober 1952 di Kampung Parit Warijo, Sri Medan Baru, Batu Pahat Johor. Setelah berada dalam genggaman kerajaan British, akhirnya Mat Indera telah dihukum gantung sampai mati di penajara Ayer Moleh, Johor Bahru. Satu perkara yang mengegumkan Che Sibun telah berjaya merampas tangkal yang ada pada Mat Indera. Setelah tiada tangkal pada dirinya sukarlah bagi Mat Indera untuk menghiangkan dirinya tanpa disedari oleh orang yang ada di sekelilingnya. Pahlawan Melayu yang sekongkol dengan pengganas Kominis telah berjaya ditangkap oleh Sibun dan dilenyapkan nyawanya oleh kerajaan British.

Menurut Saparun, sebagai menghargai jasa, keberanian dan ketangkasan ayahnya pihak British yang memerintah Semenanjung Tanah Melayu ketika itu telah menganugerahkan pingat dan sijil penghargaan kepada Che Sbun Ahmad. Anugerah berharga itu telah disampaikan oleh Pesuruhayaya Tinggi British ketika itu iaitu Sir Gerald Templer. Che Sibun juga telah menerima ganjaran berupa wang ringgit sebanyak $75,000.00.


Setelah maklumat ini disebarkan menerusi blog tertentu oleh waris Che Sibun, ada pihak yang beranggapan kerajaan Malaysia wajar memberi imbuhan dan saguhati kepada waris penangkap Mat Indera atas jasa ayahnya menangkap seseorang yang telah bersekongkol dengan Komunis dan tidak menyebelahi kerajaan. Maknanya orang yang telah menangkap Mat Indera telah dipinggirkan oleh kerajaan.


Bagi saya, kerajaan Malaysia setelah merdeka tidak boleh didesak memberi imbuhan dan penghargaan kepada orang yang telah menangkap Mat Indera ataupun mana-mana individu yang telah berjasa kepada pemerintah British. Sekitar tahun 1950 hingga tahun 1952 iaitu dari waktu berlakunya perisriwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong sehinggalah pada masa Mat Indera ditangkap pada tahun 1952 Tanah Melayu masih diperintah oleh British. Fakta yang jelas di sini ialah Mat Indera menentang pemerintah British dan Balai Polis Bukit Kepong pada ketika itu terletak di bawah pengawasan kerajaan British. Beliau tidak anti mana-mana pejuang Melayu yang sama-sama menentang penjajah Inggeris. Cuma yang boleh dipersoalkan beliau telah bersama-sama dengan pengganas Komunis menentang penjajah British.


Friday, September 16, 2011

Haji Mohamad Sabu Mengimbas Kembali Ingatan Rakyat Terhadap Peristiwa Berdarah di Balai Polis Bukit Kepong

Pada 21 Ogos 2011 di Pulau pinang secara ringkas Mat Sabu telah menceritakan serba sedikit tentang peristiwa berdarah yang berlaku di Rumah Pasong, Bukit Kepong. Sebenarnya beliau ingin mengaitkan peristiwa berdarah tersebut dengan perjuangan tokoh tertentu ke arah untuk memperoleh lemerdekaan daripada British. Beliau berceramah bersempena dengan sambutan kemerdekaan yang ke-54. Beliau telah mencetuskan kontroversi dengan mengatakan bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang yang menentang British. Bagi Mat Sabu Beliau telah merealisasikan semangat nasionalismenya dengan cara menyertai Briged ke-10 pasukan Komunis. Pada masa itu hanya pasukan Komunis yang bersenjata dan mampu melancarkan serangan secara terbuka untuk menentang British. Menurut beliau fakta yang mengatakan Mat Indera ialah pejuang yang menentang British diperolehinya menerusi "Buku Pengukir Nama Johor yang ditulis oleh Prof. Dr. Abu Bakar Hamid dan Mat Ismail Zamzam dan disahkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Buku ini diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Pada tahun 1950 semua balai polis di Semenanjung Tanah Melayu dikuasai oleh British. Anggota polis kebanyakannya berbangsa Melayu dan bekerja dengan British. Satu lagi kontroversi yang diilhamkan oleh mat Sabu dengan mengatakan orang Melayu yang berkhidmat sebagai polis ialah polis British. Timbul persoalan sama ada mereka setia kepada perjuangan menentang British atau setia kepada pemerintah British.


Setelah gendang dipalu oleh Mat Sabu maka ramailah orang yang berjoget lambak. Rentak tarinya masih kita dapat dengar hingga ke hari ini. Semua lapisan masyarakat bercerita tentang peristiwa Bukit Kepong. Ahli politik menerusi pentas ceramah dan media massa yang sekongkol dengan perjuangan masing-masing. Para Cendiakiawan dan pakar sejarah yang sentiasa membuat rujukan dan bercakap berlandaskan fakta sibuk meluahkan pendapat dan buah fikiran masing-masing. Kakitangan awam dan swasta tiba sahaja waktu rehat sambil menikmati teh atau kopi tidak kiralah sebelah petang atau pagi tidak ketinggalan bercerita tentang isu yang dipopularkan oleh mat Sabu. Sehingga ada yang sanggup bertegang urat dan bertelagah demi menegakkan idea masing-masing. Begitu juga dengan pak tani dan penoreh getah sebelum ke kebun atau ke ladang atau setelah selesai menoreh pada awal pagi, tempat yang dituju tentunya kedai kopi. Di sinilah pentas yang sesuai untuk mereka bercerita tentang isu yang dihangatkan oleh Mat Sabu. Mungkin sebelum ini mereka langsung tidak tahu menahu tentang peristiwa Bukit Kepong. Setelah Mat Sabu membuat satu kenyataan yang boleh dipertikaikan oleh masyarakat. Golongan ini juga turut mencedok ilmu daripada bahan bacaan yang menjadi dolongan mereka termasuklah akhbar dan majalah berhaluan kanan dan kiri. Media masa elektronik televisyen, radio dsbnya. Maklumat hangat ini juga turut disebatkan secara lisan.


Lima atau enam ayat yang dilontarkan oleh Mat Sabu telah menjadi perbualan hangat dan isu panas yang diperkatakan di sana sini. Rujukan utama Mat Sabu ialah Buku Pengukir Nama Johor. Kita pun sedia maklum bahawa Mat Sabu ialah orang yang kedua terpenting dalam Parti PAS. Tentunya beliau menerima kritikan dan kutukan daripada orang-orang UMNO segenap lapisan iaitu peringkat atasan sehinggalah peringkat bawahan. Bermacam-macam tohmahan dan herdikan yang diterima oleh Mat sabu. Beraneka persoalan dan tanda tanya ditimbulkan oleh orang ramai. Penulis dan orang yang memberi pengesahan kepada fakta yang terkandung dalam buku yang menjadi rujukan utama Mat Sabu menjadi serba salah dan tidak senang duduk. Mungkin kerana ingin menjaga hati pihak tertentu dan merasakan fakta yang ditulis adalah benar, mereka mengambil pendirian berdiam diri. Jikalau mengeluarkan sebarang kenyataan akan menghangatkan lagi keadaan.


Menurut kata Mat Sabu beliau ingin membetulkan fakta sejarah dan rakyat sedar bahawa terdapat ramai lagi invidu yang berjuang untuk kemerdekaan termasuk Mat Indera. Bagi Mat Sabu yang ditonjolkan hanyalah mereka yang menyokong UMNO. Ekoran daripada kenyataannya yang penuh dengan kontroversi, wujud dua golongan yang menyokong kata-kata Mat Sabu dan yang menentang sekeras-kerasnya kata-katanya itu. Mereka yang menyokongnya pula terbahagi kepada dau golongan juga, ada yang menyokongnya dengan mengemukakan hujah-hujah dan fakta-fakta sejarah. Segolongan lain pula menyolongnya secara membuta-tuli, iaitu penyolong PAS yang mengikut sahaja pendapat dan buah fikiran pemimpin mereka. Betul atau tidak tidak menjadi soal. Mereka yang menyokong UMNO sudah tentu mengutuk dan mencaci Mat Sabu habis-habisan. Mereka menganggap Mat Sabu sebagai pengkhianat kerana telah memutar-belitkan fakta sejarah. Mereka juga berpendapat bahawa Mat Sabu menyokong perjuangan Komunis kerana jelas sekali pada tahun 1950 pihak Komunis yang menyerang Rumah Pasong Bukit Kepong. Bagi mereka tindakan sewajatnya mesti dikenakan ke atas Mat sabu dan beliau tidak layak menjadi Timbalan Presiden kepada parti yang memperjuangkan negara Islam.


Kata-kata yang diluahkan oleh orang politik memang berbisa dan mendapat liputan yang meluas. Lebih-lebih lagi kalimat yang diucapkannya menimbulkan berbagai-bagai tafsiran dan boleh dipertikaikan. Berkait dengan isu yang dicetuskan oleh Mat Sabu segala dokumen dan bahan yang ada sangkut-paut dengan Balai Polis Bukit Kepong dicari untuk dijadikan rujukan dan bukti. Bila bercakap disertakan sekali dengan fakta barulah ada makna dan tidak diumpamakan seperti tin kosong. Beberapa pihak mestilah berterima kasih kepada Mat Sabu, dengan tidak disangka-sangka buku yang mereka keluarkan menjadi laris dengan tiba-tiba. Dua jodol buku yang tentunya laris ialah Novel Bikit Kepong karya Ismail Johari, pernah menjadi anggota polis. Keluarga terdekatnya akan mendapat royalti hasil larisan Novel Bukit Kepong. Begitu jugalah dengan Yayaasan Warisan Johor. Buku Pengukir Nama Johor turut sama laris. Rasanya lebih laris daripada Novel Bukit Kepong. Penyelidik dan pengkaji sejarah pula segera ke perpustakaan mana-mana universiti untuk mendapatkan bahan rujukan tentang peristiwa berdarah di Bukit Kepong. Arkib Negara tidak ketinggalam. turut sama dikunjungi olep pengkaji, penyelidik dan peminat sejarah. Pendek kata, dalam tempoh beberapa bulan Arkib Negara didatangi ramai pengunjung semata-mata untuk mendapatkan fakta sejarah berkaitan peristiwa berdarah di rumah Pasong Bukit Kepong.


Mat Sabu cuba mencari populariti dengan meminta rakyat meneliti semula fakta sejarah dengan merujuk kepada serangan ke atas rumah Pasong Bukit Kepong. Mereka begitu marah dengan menganggap Mat Sabu telah memutar-belitkan fakta sejarah yang sebenar. Tambahan pula Mat Sabu menganggap pemerintah hanya memperingati jasa mereka yang menyebelahi UMNO sahaja yang berusaha ke arah mencapai kemerdekaan. Padahal ramai lagi, cuma pada waktu itu mereka tidak berjuang di bawah payung UMNO. Kemarahan golongan ini sampai ke peringkat ganas di mana mereka telah mengugut untuk membakar rumah Mat Sabu. Menerusi perisitiwa ini kita dapati memang ramai mereka yang memang geram dengan tindakan Mat Sabu dan mereka menganggap Mat Sabu menyokong perjuangan Komunis.


Setelah Mat Sabu menerima seribu satu macam kritikan dan kutukan menerusi media massa dan sumber-simber lain, kemuncak kepada episod ini akhirnya Mat Sabu telah didakwa di Mahkamah Sesyen. Butterworth, Pulau Pinang pada 21 September 2011. Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 kerana menfitnah yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun jika sabit kesalahan. Beliau diwakili oleh beberapa orang peguam yang diketuai oleh Hanipa Maidin. Mat Sabu mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM15,000.00. Sama-samalah kita nantikan perbicaraan yang pasti hangat dan mendapat perhatian umum. Menurut mereka yang menyebelahi Mat Sabu pendakwaan ini pelik dan aneh, Bagi mereka perselisihan fakta sejartah sepatutnya diselesaikan menerusi perbincangan dan perdebatan bukannya diselesaikan di mahkamah.

















Friday, August 19, 2011

Orang Islam di Malaysia Berpecah Kepada Tiga Kumpulan

Dalam meneliti berita dan maklumat dalam Malaysiakini, Saya terangsang dengan satu pendapat yang diluahkan oleh mantan PM iaitu Tun Dr. M. Menurutnya sekarang ini beliau cukup bimbang dengan orang Islam di Malaysia yang berpecah kepada tiga kumpulan. Beliau menyuarakan kerisauannya dalam majlie berbuka puasa di Masjid Al-Ehsan, Batu 3, Kodiang, Jerlun baru-baru ini. Pada pemahaman saya, tiga kumpulan orang Islam yang dikatakan berpecah itu ialah yang menyebelahi parti politik iaitu UMNO, PAS dan Parti Keadilan Rakyat.

Sebenarnya Orang Islam yang menyebelahi UMNO dan orang Islam yang menyebelahi PAS telah sekian lama berlaku di Malaysia. Sejak wujudnya Parti PAS iaitu pada 23 Og0s atau 24 November 1951 memang akan wujud orang Islam yang menyebelahi PAS. Puncanya sudah menjadi prinsip Parti PAS ingin menegakkan pemerintahan dan pentadbiran yang mengikut undang-undang dan bercirikan Islam. Maknanya Parti PAS berazam ingin mewujudkan sebuah negara Islam. Sudah tentu menjadi saingan kuat kepada PARTI UMNO yang ahli-ahli juga ialah orang Islam. Bezanya Parti UMNO memperjuangkan pemerintahan dan pentadbiran yang bercirikan Demokrasi Berparlimen. Islam merupakan salah satu unsur dalam pentadbiran dan pemerintahan iaitu penerapan nilai-nilai Islam. Secara nyata dari segi cara dan ideologi politik jelas berbeza antara orang lsam yang bernaung di bawah parti PAS dengan orang Islam yang bernaung di bawah parti UMNO.

Satu lagi parti yang majoritinya orang Islam ialah Parti Keadilan Rakyat yang mula beroperasi secara aktif pada 3 Ogos 2003. Nama PKR wujud setelah penggabungannya dengan PRM. Meskipun keanggotaannya dibuka kepada semua kaum namun majoriti penyokongnya ialah orang Islam. Matlamat utama perjuangan mereka ialah keadilan dan menentang segala penyelewengan dan rasuah. Tokoh dan idola parti ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perbezaan orang Islam dalam PKR dan UMNO cumalah daripada aspek idologi politik sahaja. Mereka memang tidak sehaluan dengan orang Islam dalam UMNO. Mereka berkawan dengan orang Islam dalam pari Islam demi kerana dalam satu barisan akternatif. Matlamat mereka ialah untuk menentang Barisan Nasional.

Kita semua sedia maklum wujudnya kumpulan orang Islam yang ketiga ini bermula pada tahun 1998. Punca utama ialah ketidaksefahaman dalam pemerintahan dan pentadbirtan antara dua orang pemimpin pada waktu itu. Setelah penyelesaiaan menemui jalan buntu berlakulah pergaduhan dan berakhir dengan pemecatan. Bermula dari peristiwa inilah wujudnya Parti Keadilan Nasional. Sama-samalah kita fikirkan siapa yang menjadi dalang sehingga berlakunya perpecahan dan wujudnya kumpulan ketiga orang Islam.



Saturday, August 6, 2011

TIBA-TIBA KU LI DIKAITKAN DENGAN PARTI PEMBANGKANG

Tersebar luas di akhbar aliran perdana dan beberapa blog bahawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dipelawa menjadi ketua pembangjang. Pelawaan ini berikutan jangkaan bahawa kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim kemungkinan merengkok dalam penjara kerana kes liwatnya dengan Saiful Bukhari. Isu panas ini telah didedahkan oleh Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Daruk Seri Zahrain Mohamed Hashim. Menurut beliau, naklumat ini diperolehio daripada rakan-rakanya yang masih setia dengan PKR. Adakah maklumat ini benar dan sahih? Saya sendiri amat meragui berita konteroversi ini kerana penyebarannya tidak dilakukan sendiri oleh mana-mana pemimpin PKR sebaliknya disebarkan oleh bekas ahli Parlimen PKR dan kini telah berpaling tadah menjadi ahli parlimen bebas. Dia keluar dari PKR kerana tidak berpuashati dengan pucuk pimpinan PKR. Saya dapat jangkakan inilah strategi terbaru untuk melemahkan parti PKR. Sekurang-kurangnya pasti ada segelintir ahli PKR yang mempercayai berita ini dan secara beransur-ansur melunturkan keyakinan mereka terhadap PKR. Dalam hak ini rata-rata ahli PKR harus berfikiran secara rasional jika mendengar atau terbaca berita yang menragukan. Jangan terus percaya, buat penelitian dan pemerhatian terlebih dahulu.

Secara kebetulan pula, beberapa hari sebelum berita panas ini disebarluaskan Ku Li telah mengetuai satu pertubuhan baru yang diberi nama Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH). Pertubuhan ini telah dilancarkan pada 22 Julai 2011 bertempat di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Motif terpenting petubuhan ini ialah mengembalikan semangat kepada Bapa Kemerdekaan. Keahlian pula terbuka kepada semua kaum dan semua parti politik. Secara jelasnya pertubuhan ini boleh menyaingi PERKASA yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali.

Sebenarnya ada pihak tertentu berasa tidak senang dengan langkah Tengku Razaliegh dan kumpulannya menubuhkan AMANAH. Secara prinsipnya pertubuhan ini tidak menyebelahi mana-mana-parti politik dan beliau bersifat liberal. Tambahan pula terdapat beberapa anggotanya yang telah mengkritik secaara membina beberapa isu yang hangat diperkatakan dewasa ini. Justeru itu bangkit Datuk Seri Zahrain memukul canang dengan mengatakan parti pembnangkang telah mula berminat dengan Ku Li dan berhasrat melamar Ku Li. Dalam hal ini Ku Li masih tidak bersuara dan hanya mengambil sikap berdiam diri sahaja. Begitu juga dengan pemimpin parti pembangkang tidak ingin melayan perkara yang remeh-temeh yang sengaja ditimbulkan oleh mereka yang berkepentingan ingin menjatuhkan populariti parti pembangkang. masih banyak lagi isu lain yang perlu dilayan dan ditangani oleh PKR dan parti pembangkang yang lain terutama sekali isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat. Maknanya majoriti pemimpin parti pembangkang telah berhati-hati dan tidak mudah melatah.

Setelah menyedari isu ini tidak mendapat layanan daripada pemimpin parti pembangkang, akhbar arus perdana dengan berita popularnya telah meminta Nik Aziz memperjelaskan isu pelawa Tengku Razaleigh. Satu desakan agar pemimpin yang disegani dan dihormati cuba diseret bagi memperkarakan isu ini. Mereka tertunggu-tunggu dengan penuh minat komen dan kata-kata daripada Tok Guru. Kemudian akan wujudlan beraneka macam ulasan negatif dan positif berkaitan isu ini. Mereka pastinya akan mengambil kesempatan untuk memanipulasikan kata-kata Tok Guru. Saya rasa dalam hal ini Tok Guru memang bijak memberi penjelasan dan penjelasannya sukar dipermainkan oleh pihak-pihak yang berniat songsang. Tok Guru begitu berpengalaman dalam bidang politik dan apa yang diperkatakan berlandaskan kepada agama Islam.

Pada hemat saya, Isu yang panas ini masih tidak mampu melunturkan kepercayaan pengikut parti pembangkang. Zaman kini masyarakat telah mula matang dan kebanyakan daripada mereka telah celik ICT. Segala maklumat boleh dirujuk dengan mudah menerusi ICT. Mereka tidak mampu menjatuhkan maruah Datuk Seri Anwar serta melaga-lagakan Daruk Seri Anwar dengan Tengku Razaleigh. Umum tentu masih ingat tentang manis pahit Tengku Razaleigh meminpin Semangay 46 suatu ketika dajulu. Akhirnya Semangat 46 tidak mampu bertahan dan Ku Li kembali kepada parti asalnya dengan kata yang sinis menjilat ludahnya kembali.