Wednesday, December 23, 2009

PANGGILAN TELEFON DARI HOSPITAL SELAYANG

Pada 22 Disember 2009, jam 2.15 petang saya ke Ibu Pejabat Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) bertujuan mencetak ke tulisan Braille dua naskah Minit Mesyuarat AJK SBM Cawangan KL/Selangor. Pada masa sekarang SBM Cawangan KL?Selangor mempunyai 6 orang AJK dan 2 orang daripada kami menggunakan tulisan Braille. Setelah siap mencetak dokumen berkenaan saya pun bersembang dengan kerani am SBM untuk beberapa ketika. Saya tidak boleh melengahkan masa kerana Pengerusi Cawangan Encik Abas dan beberapa orang AJK sedang menunggu di cawangan untuk mengadakan perbincangan ringkas berkaitan jamuan akhir tahun.


Sebaik sahaja telefon berdering, Encik Bahari menjawab panggilan tersebut dan terus disambungkan kepada Cik Chok Siew Lee, Setiausaha Eksekutuf SBM. Saya meneruskan perbualan bersama Encik Bahari yang sedang menulis sesuatu di komputer dengan nada suara yang perlahan agar tidak mengganggu perbualan telefon. Setelah selesai berinteraksi dengan pemanggil berkenaan, Cik Chok terus mengajukan pertanyaan sama ada saya sudi atau tidak melakukan kerja sukarela. Oleh kerana soalannya terlalu umum, saya inginkan kepastian daripadanya tentang kerja sukarela yang dimaksudkan. Menurutnya, sebentar tadi beliau menerima panggilan dari Dr. Goh yang berkhidmat di hospital Selayang. Doktor berkenaan mempunyai seorang pesakit yang menghidap kencing manis. Akibat penyakitnya yang tidak terkawal matanya menjadi buta. Doktor pakar telah melakukan rawatan dan penglihatannya tidak dapat diselamatkan.


Menurut Dr. Goh Puan Sharifah berumur 50an dan berkhidmat sebagai guru. Doktor berkenaan meminta jasa baik Cik Chok agar dapat menghantar beberapa orang wakil SBM ke hospital Selayang bertujuan memberi dorongan dan perangsang kepada Puan Sharifah. Doktor yang merawatnya masih tidak mampu memulihkan tekanan perasaan dan jiwanya yang terganggu kerana hiang penglihatan. Kepada mana-mana ahli SBM yang berminat untuk mendampingi dan memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada Puan Sharifah bolehlah menghubungi Cik Chok Siew Lee Di SBM.


Berdasarkan kepada kisah ini dapat kita bayang dan renungkan betapa seksa dan menderita individu yang selama ini mempunyai penglihatan dengan secara mendadak hilang penglihatan. Sekian lama beliau bebas bergerak ke sana ke mari dengan menggunakan pengliahatannya tiba-tiba tidak dapat bergerak sendirian akibat tiada penglihatan. Bukan setakat tidak boleh bergerak pastinya beliau akan berasa sukar untuk melakukan sesuatu termasuklah menguruskan diri sendiri. Seandainya mempunyai anak. Anaklah yang akan membantunya dan membawanya ke sana dan ke mari. Asuhan dan didikan yang sempurna membolehkan anak-anak menghormati dan mengenang jasanya. Jika sebaliknya terpaksalah mengharapkan simpati orang lain.

Tuesday, December 22, 2009

SENARAI PEMENANG PEMAIN TERBAIK FIFA DARI TAHUN 1991 HINGGA TAHUN 2009

1. Tahun 2009 Lionel Messi (Argentina) mewakili pasukan Barcelona.
2. Tahun 2008 Cristiano Ronaldu (Portugal) mewakili pasukan Manchester United.
3. Tahun 2007 Kaka (Brazil) mewakili pasukan AC Milan.
4. Tahun 2006 Fabio Cannavaro (Itali) mewakili pasukan Real Madrid.
5. Tahun 2005 Ronaldinho (Brazil) mewakili pasukan Bercelona.
6. Tahun 2004 Ronaldinho (Brazil) mewakili pasukan Barcelona.
7. Tahun 2003 Zinedine Zidane (Perancis) mewakili pasukan Real Madrid.
8. Tahun 2002 Ronaldo (Brazil) mewakili pasukan Real Madrid.
9. Tahun 2001 Luis Figo (Pertugal) mewakili pasukan Real Madrid.
10. Tahun 2000 Zinedine Zidane (Perancis) mewakili pasukan Juventus.
11. Tahun 1999 Rivaldo (Brazil) mewakili pasukan Barcelona.
12. Tahun 1998 Zinedine Zidane (Perancis) mewakili pasukan Juventus.
13. Tahun 1997 Ronaldo (Brazil) mewakili pasukan Inter Milan.
14. Tahun 1996 Ronaldo (Brazil) mewakili pasukan Barcelona.
15. Tahun 1995 George Weah (Liberia) mewakili pasukan AC Milan.
16. Tahun 1994 Romario (Brazil) mewakili pasukan Barcelona.
17. Tahun 1993 Boberto Baggio (Itali) mewakili pasukan Juventus.
18. Tahun 1992 Marco van Basten (Belanda) mewakili pasukan AC Milan.
19. Tahun 1991 Lothar Matthaus (Jerman) Bayern Munich.

Friday, December 18, 2009

BAJET 2010 HANYA LULUS DENGAN MAJORITI 3 UNDI SAHAJA DI DEWAN RAKYAT

Pada jam 11.15 malam, 14 Disember 2009 satu detik yang mencemaskan berlaku dalam Dewan Rakyat di mana bacaan kelai ketiga Bajet 2010 diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja. 66 undi yang menyokong daripada anggora Parlimen BN dan 63 undi membantah daripada amggota Parlimen PR. Mujurlah Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin bergegas ke Dewan Rakyat untuk sama-sama mengundi. Jika tidak sempat hanya satu undi sahaja majoriti. Sebelumnya kedua-dua pemimpin utama negara itu menghadiri tugas rasmi di ibu kota. Atas rasa tanggungjawab dan komitmen yang tinggi beliau berdua dengan segera ke Dewan Rakyat demi menjaga maruah parti yang memerintah.


Terdahulu Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengalami nasib yang lebih memalukan di mana bajet 2010 untuk kementeriannya hanya lulus dengan majoriti satu undi sahaja. Pada ketika itu perdana menteri dan timbalannya tidak dapat hadir kerana menghadiri majlis rasmi yang memerlukan komitmen mereka. Sebelumnya perdana menteri telah mengingatkan semua ahli parlimen BN agar hadir ke Dewan Rakyat bertujuan menyokong bajet bacaan kali ketiga untuk semua kementerian. Kehadiran semua ahli parlimen BN penting bagi memastikan jumlah ahli parlimen BN melebihi jumlah ahli parlimen Pakatan Rakyat.


Sebagai mewakili parti yang memerintah iaitu Barisan Nasional sebahagian besar ahli parlimen mesti menghadiri sidang Dewan Rakyat dengan penuh tanggungjawab. Mereka dipilih oleh rakyat dan mesti menunaikan janji kepada rakyat untuk menyuarakan segala keperluan dan kehendak serta menyokong dasar dan bajet yang diperuntukkan kepada rakyat. Dalam tempoh hampir dua bulan iaitu dari 19 Oktober hingga 17 Disember 2009 takkanlah kebanyakan ahli parlimen terlalu sibuk sehingga tiada ruang dan peluang langsung untuk sama-sama hadir ke Dewan Rakyat. Tempoh berkenaan ialah jadual yang telah ditetapkan kepada semua ahli parlimen bagi membahaskan, menyemak dan akhir sekali menyokong bagi meluluskan bajet secara keseluruhannya bagi tahun 2010. Pada 14 DIsember 2009 iaitu hari yang telah ditetapkan untuk menokong atau membantah belanjawan bagi tahun 2010 seramai 74 orang ahli parlimen BN yang tidak hadir dan hanya 48% sahaja yang hadir ke Dewan Rakyat berbanding parti pembangkang 77% yang hadir iaitu seramai 63 orang ahli parlimen.


Sudah menjadi dasar dan prinsip parti pembangkang yang sentiasa mencari kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh parti yang memerintah. Dalam hal ini tentunya mereka tidak akan menyokong bajet 2010 yang telah dibentangkan di parlimen. Pada sesi perbahasan di parlimen ketua pembangkan di parlimen iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan dan mengetengahkan beberapa kelemahan yang terserlah dalam bajet 2010. Setelah bacaan kali ketiga dan dibuat undi belah bahagian tentunya semua ahli parlimen pembangkan yang hadir tidak menyokong bajet 2010. Mujurlah parti BN mendapat majoriti 3 undi bagi menjamin belanjawan tahun 2010 dapat digunakan oleh semua kementerian.


Seamdaomya beberapa ahli parlimen BN tidak sempat untuk ke parlimen dalam tempoh yang ditetapkan memungkinkan parti BN kalah dalam undian secara belah bahagian dan bajet tahun 2010 tidak diluluskan. Jika ini yang berlaku kerajaan sukar beroperasi. Mengikut konvensyen yang diamalkan di negara-negara lain termasuk negara Komanwel, Parlimen akan dibubarkan dan Perdana Menteri digantikan jika bajet nasional tidak diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menjelaskan perkara ini kepada semua ahli patlimen yang hadir. Secara tegas beliau mengatakan bahawa sekiranya pembentangan bajet tidak diambil serius oleh ahli Parlimen, terutama sekali penyokong kerajaan, maka kerajaan terpaksa membubarkan Parlimen untuk menghadapi pilihan raya sekali lagi. Secara konvensyen apabila ini yang berlaku kerajaan kalah dalam undian dan seolah-olah undi tidak percaya kepada kerajaan yang memerintah. Kesannya Dewan Rakyat terpaksa dibubarkan. Bila pilihanraya perlu diadakan akan melibatkan pengguinaan wang yang banyak.

Peristiwa pahir ini merupakan satu pengajaran yang harus dipandang serius oleh Perdana Menteri dan Timbalannya, semua menteri dan timbalan menteri. Semua yang terlibat harus sedar bahawa mereka dipilih oleh rakyat dan mereka merupakan insan terpilih yang dihormati oleh rakyat. Mereka harus menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat secara jujur kepada rakyat. Dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat perkara seumpama ini tidak harus berulang lagi. Mereka tidak seharusnya menyalahkan pembangkang kerana dasar mereka sentiasa mencari kesalahan yang dilakukan oleh parti yang memerintah. Menghadiri sidang Dewan Rakyat merupakan kemestian bagi semua Ahli Parlimen.

Thursday, December 17, 2009

TERIMA KASIH PASUKAN BOLA SEPAK BAWAH 23 TAHUN MALAYSIA

Dengan tidak disandarkan dengan harapan yang menggunung, pasukan bola sepak di bawah bimbingan jurulatih yang tidak pernah mengenal putus asa telah berjaya menggondol pingat emas dengan menewaskan pasukan Vietnam 1-0 yang disebut-sebut sebagai pasukan yang paling unggul dalam arema permainan bola sepak di Asia Tenggara. Pada pusngan awal pasukan Malaysia tidak diberikan harapan langsung untuk menang dan berjaya layak je pertandingan akhir kerana diletakaan dalam kumpulan A bersama-sama dengan pasukan Thailand dan pasukan Viernama. Kedua-dua pasukan ini dijangkakan mempunyai harapan yang tinggi untuk layak ke perlawanan akhir.


Ribuan penyokong Vietnam menyaksikan kemenangan Malaysia ke atas negara mereka di Stadium National Laos. Dalam usaha beberapa pemain Vietnam cuba sedaya upaya untuk mempertahankan gawang mereka agar tidak dibolos oleh tendangan pemain-pemain Malaysia. Rembatan Syafik Rahim terkena pada pemain Vietnam iaitu Main Xuan Hop dan bola terus melencong masuk ke dalam pintu gol tanpa dapat diselamatkan oleh pejaga gol mereka. Gol jaringan sendiri ini telah memberi peluang kepada Malaysia menggondol pingat emas dalam temasya Sukan Sea yang ke XXV. Kali terakhir Malaysia memenangi emas untuk acara bola sepak dalam temasya Sukan Sea ialah pada tahun 1989 di Kuala Lumpur. Maknanya penantian selama 20 tahun telah membuahkan kejayaan. Tidak sia-sialah TV2 dan TV3 berusaha untuk menyiarkan secara langsung perlawanan akhir ini. Rakyat malaysia yang berminat dengan sukan bola sepak dapat menyaksikan dan meraikan kejayaan Malaysia secara terus dari Stadium National Laos.


Setelah Malaysia layak ke peringkat akhir jurulatih Vietnam, Henrique Calisto begitu gembira sekali. Pada anggapannya inilah peluang terbaik Vietnam setelah tiga kali berturut-turut hanya mendapat pingat perak. Musuh tradisinya Thailand telah ditewaskan oleh Malaysia 2-1 pada peringkat awal. Beliau masih tidak sedar bahawa kejayaan Malaysia menundukkan juara bola sepak Sukan Sea lapan kali berturut-turut menandakan pasukan Malaysia telah mulai mantap dan agak kuat. Baginya Malaysia tiada masalah untuk ditewaskan kerana pada pusngan awal dengan mudah pemian Vietnam berjaya menewaskan Malaysia dengan kedudukan 3-1. Menurutnya kesebelasan pemain Vietnam memang bersedia untuk bertarung dengan pasukan Malaysia yang dianggap pasukan belasahan.

Setelah berjaya menewaskan Laos 3-1 pada peringkat separuh akhir semangat pasukan Malaysia terus membara untuk memburu kejayaan pada perlawanan akhir menentang pasukan Vietnam yang amat digeruni. Dengan tunjuk ajar yang diketuai oleh K. Rajagopal akhirnya dengan tidak diduga sama sekali kilauan emas menjadi milik Malaysia. Kali terakhir Malaysia menggondol emas di gelanggang asing ialah pada tahun 1979 di Jakarta. Pada waktu ini pasukan Malaysia diketuai oleh penyerang berbisa Mokhtar Dahari yang kini menjadi legenda bola sepak Malaysia.

Dengan kejayaan ini diharapkan semangat "Malaysia Boleh" akan terus tertanam dalam jiwa setiap pemain Malaysia dan terus melakar kejayaan dalam pertandingan-pertandingan lain di peringkat antarabangsa. Pasukan bola sepak Malaysia dari sekarang mesti bersedia sekurang-kurangnya layak ke Sukan Asia pada tahun hadapan.




Wednesday, December 9, 2009

TERANGSANG DENGAN SEBUAH LAGU DALAM "YOU TUBE"

Pada 8 Disember 2009 saya bangun daripada tidur pada pukul 3.10 pagi kerana terlelap awal. Lantas saya padamkan suis televisyen yang telah tamat siaran. Sekadar mengisi masa lapang pada awal pagi, terdorong di hati untuk mendengar lagu Saleem yang sekian lama tak saya dengari. Saya begitu meminati kemerduan dan lenggokan suaranya yang mendayu-dayu. Saya hanya memilih lagu-lagu yang betul-betul saya minati sambil mengimbas kenangan lalu bersama-sama rakan-rakan di asrama SMPK Setapak dan di asrama ke-7 Universiti Malaya.


Sedang seronok memerhatikan tajuk lagu yang dipopularkan oleh Sallem, terjumpa lagu "Namun Ku Punya Hati" yang dinyanyikan oleh Saleem. Masih segar dalam ingatan penyanyi asalnya lagu ini ialah Freedy Penandez. Sebenarnya saya kurang berminat untuk mendengar satu-satu lagu yang dinyanyikan oleh bukan penyanyi asal lagu berkenaan. Kali ini teragak pula hendak mendengar lagu "Namun Ku Punya Hati" yang dinyanyikan oleh Saleem.


Dengan segera saya terus klik tetikus ke lagu berkenaan. Saya sangat teruja dan terangsang apabila melihat gambar latar tempat yang ditayangkan ialah di Bengkel MAB yang terletak bersebelahan dengan Bank Simpanan Nasional. Kini bengkel tersebut cuma tinggal kenangan kerana telah terbakar pada tahun 2002. Dapat saya perhatikan, Juru kamera telah memfokuskan kamera videonya kepada aktiviti-aktiviti orang buta di bengkel termasuklah Pak Lah dan arwah isterinaya sedang membungkus skeru, Begitu juga dengan Kak Leha dan arwah suaminya, Turut difokuskan kepada Encik Ismail Bajan dan isterinya dan beberapa orang pembungkus sekeru yang lain. Tidak Ketinggalan Encik Ramli Yusof dengan bakul sampahnya. Juru kamera juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar Encik Fairuz yang sedang melaksanakan tugasnya iaitu menulis laporan hariannya dengan menggunakan mesin Braille.


Lanser kamerenya juga turut dihalakan kepada sekumpulan orang cacat penglihatan sedang berbual-bual di ruang legar bengkel. Mereka yang sedang berbual semuanya saya kenali. Antara mereka termasuklah Encik Ahmad Abddullah yang kerap ke sana setelah selesai bertugas di Perpustakaan MAB. Kawan saya Encik Azman Sukerman yang saya kenali sejak di tingkatan empat. Kelihatan Encik Azman sedang ketawa. Mungkin topik yang sedang dibualkan menggelikan hatinya. Kawan rapat saya sejak tahun 1994, Encik Yusof Mamat yang sedang ber-bual-bual dengan begitu riang sekali sambil bermian-main dengan tongkatnya. Kelihatan tongkat digeselkan ke hidung dan terus turun ke mulut. Agak melucukan juru kamera tidak melepaskan peluang merakam Encik Yusof menjilat tongkatnya. Turut berada di situ ialah kawan baik saya sejak di bangku sekolah rendah lagi, Encik Muhamad Mohd Ali. Sewaktu gambar diambil dia kelihatan sedikit kurus dan rambut masih menebal di kepada berbianding sekarang sedikit gemuk dan mula mengalami keguguran rambut.


Tidak kurang lima kali saya mengulangi lagu berkenaan semata-mata ingin melihat suasana dan gambaran di bengkel MAB. Terimbas kembali sewaktu saya dan rakan-rakan melepak di bengkel MAB kalau tak silap saya dari tahun 1994 hingga tahun 2002. Banyak peristiwa suka dan duka terkenang kembali bersama-sama rakan-rakan sewaktu melepak di bengkel MAB. Dengan terjumpanya lagu Namun Ku Punya Hati nyanyian saleem menerusi You Tube dapatlah saya melihat beberapa aktiviti yang dilakukan oleh orang cacat penglihatan di Bengkel MAB. Bila terasa bosan saya akan melihat beberapa gelagat rakan-rakan saya yang melucukan.

Sunday, December 6, 2009

MALU MENGAKU SEBAGAI GURU YANG MENGAJAR PELAJAR CACAT

Pada 12 November 2009 saya ke Dewan Serbaguna E12, Kompleks Kerajaan, Putarajaya bersama 3 orang guru dan seorang Pembantu Am Rendah. Kami ke sana bertujuan untuk raptai Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bagi Tahun 2008. Salah seorang daripada kami telah mempelawa saya menumpang keretanya. Lega rasa di hati kerana dengan menaiki kenderaan awam pada waktu tengah hari agak panas dan memenatkan. Kami tiba di Dewan Serbaguna E12 pada pukul 1.20 tengah hari. Sebelum raptai bermula kami menikmati makanan yang disediakan oleh pihak penganjur. Semua penerima anugerah masih dalam kelompok masing-masing.


Tepat pada pukul 2.15 petang, pihak penganjur iaitu Bahagian Pendidikna khas, kementerian Pelajaran Malaysia menyebut nama pemenrima anugerah dan ditempatkan di meja tertentu. Saya ditempatkan bersama-sama guru dari SMPK Setapak Kuala Lumpur,, SMPK Persekutuan Pulau Pinang dan SMPK Indahpura. Kulai, Johor. Sementara menantikan raptai bermula kami berkenalan dan berbual-bual. Pada mulanya topik perbualan tertumpu kepada rasa tidak puas hati terhadap pengendalian raptai Majlis APC. Masing-masing melontarkan komen dan kemudian memberikan pendapat dan pandangan yang sia-sia kerana tidak diluahkan kepada pihak yang sepatutnya. Cuma didengar sesama mereka sahaja.

Saya terangsang dan agak terkilan dengan sebabak dialog antara dua orang guru. Seorang daripada mereka mengajar di sekolah menengah masalah penglihatan dan yang seorang lagi mengajar di sekolah menengah masalah pendengaran. dialog yang agak menarik dan boleh mengguris hati orang cacat ialah:
"cikgu pekak ke", tanya sipulan. Sambil ketawa dia terus meminta maaf kokonnya soalan yang diajukan agak kasar. "saya, kalau balik kampung, saya tak mengaku mengajar orang pekak" jawab cikgu berkenaan dengan selamba. "yalah, kalau dia orang tahu macam-macam soalan yang ditanya, boleh mengajar ke, tak ada masalah ke, orang pekak boleh faham ke" tambah sipulan sambil mengiakan kata cikgu berkenaan.

Meskipun dialog yang saya tuliskan daripada perbualan mereka agak ringkas namun di dalamnya penuh dengan maksud yang tersirat. Jika begitulah anggapan mereka, mereka tidak mempunyai hati yang tulus dan ikhlas untuk mengajar pelajar cacat. Mereka mendidik pelajar cacat mungkin dihantar oleh bahagian penempatan ke sekolah cacat. Hakikat yang sebenar hati mereka tidak rela dan terpaksa bertugas demi wang. Mungkin juga mereka memohon pendidikan khas setelah tiada peluang untuk memohon jurusan atau jawatan lain. Pada suatu ketika pendidikan khaslah mempunyai peluang kerjaya yang luas kerana beberapa universiti menawarkan kursus pendidikan khas. Mereka bekerja semata-mata kerana wang dan kebendaan bukannya niat suci untuk mendidik pelajar cacat.

Tidak salah rasanya saya beranggapan semua kategori cacat tidak disukai dan dibenci oleh manusia yang normal fizikal dan mentalnya. Atas hakikat inilah setiap Institut Pendidikan Guru dan universiti yang menawarkan kursus pendidikan khas harus mewajibkan semua pelatih atau penunututnya mengikuti kursus orientasi dan motivasi bertujuan memupuk dan membimbing mereka agar mempunyai rasa sayang kepada pelajar cacat yang bakal diajar kelak. Di samping mempunyai ilmu pendidikan khas mereka juga perlu diasimilasikan dengan pelajar cacat. Hal ini penting supaya mereka tidak janggal dan berasa jijik untuk bergaul mesra dengan pelajar cacat. Tanpa penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan pelajar cacat, objektif pengajaran dan pembelajaran sukar untuk dicapai. Dalam proses mendidik pelajar-pelajar cacat Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia harus mencontohi negara-negara barat yang telah sekian lama berjaya mendidik pelajar-pelajar cacat. Mereka benar-benar menghayati dan mempraktikkan konsep "caring society".

.

Thursday, November 12, 2009

Tanggapan songsang perkataan "BUTA" dalam masyarakat Melayu

"BUTA" bolehlah diertikan sebagai tidak dapat melihat. Secara luaran, mata yang digunakan untuk melihat tidak boleh berfungsi langsung. Mata dimiliki oleh benda-benda hidup seperti manusia, binatang dan makhluk-makhluk lain yang wujud di dunia. Tiada pandangan mungkin berpunca daripada kecacatan mata yang dialami oleh benda-benda hidup sejak dilahirkan. Barangkali juga penyakit yang meneyerang mata seperti glukoma dsbnya. Mata tidak boleh sembuh seperti asal yang akhirnya menyebabkan buta. Dengan tidak diduga hidupan tertentu ditimpa kemalangan dan mencederakan bahagian muka termasuk mata. Kecederaan mata yang teruk boleh mengakibatkan buta. Semua hidupan tidak mahu dirinya buta. Jika buta, pergerakan akan terbatas dan hari-hari yang dilalui penuh dengan cabaran dan rintangan yang terpaksa ditempuhi. Peluang untuk bekerja amat terhad dan jika terlalu terdesak terpaksa menghrap simpati orang. Orang yang buta mesti menghadapi berbagai-bagai persepsi dan tanggapan daripada masyarakatnya sendiri.


Masyarakat Melayu amat peka dengan segala bentuk sifat, perlakuan dan tabiat hidupan yang berlaku di dalam dan di luar lingkungan kelompok mereka. Sama ada baik atau sebaliknya sesuatu perlakuan dan sifat itu kelompok masyarakat yang kreatif akan jadikan sebagai peribahasa, pantun, gurindak seloka dan sebagainya. Jika kita amati secara mendalam masyarakat Melayu memang terkenal dengan tutur katanya yang lembut dan bersopan. Bila menegur atau menasihati orang tidak secara terus terang. Untuk menjaga hati dan perasaan orang khiasan dan sindiran digunakan secara berhati-hati. Bagaimanapun, kita harus menerima hakikat bahawa masyarakat Melayu tidak suka dengan sifat buta yang ada pada setiap hidupan terutama sekali manusia. Banyak sekali gambaran dan perlambangan berkaitan dengan unsur-unsur negatif dan perbuatan songsang dikaitkan dengan perkataan "buta". Begitu hina dan jijik sekali konsep "buta" dalam masyarakat Melayu. Tidak salah kalau dikatakan butalah jenis kecacatan yang paling ditakuti oleh masyarakat Melayu. Tidak hairanlah dalam sesebuah keluarga Melayu jika dalam kalangan ahli keluarganya ada yang buta. Tentunya dia tidak akan berperanan dalam keluarganya. Kalau berperanan pun pada situasi yang mempersenda atau memperkecil-kecilkan ahli keluarga berkenaan. Sememangnya si buta akan berasa bosan dan terus memendam rasa. Sesiapa yang pernah membaca cerita lama orang Melayu yang telah dibukukan iaitu Hikayat Malim Demam akan terjumpa kalimat "yang kurap memikul buluh, yang pekak memalu gong, yang kudung menghalau ayam, yang buta meniup tepung". Secara tersurat hikayat ini menggambarkan peranan yang boleh diberi kepada orang cacat. Secara tersiratnya peranan yang ditonjolkan oleh masyarakat Melayu terhadap orang cacat seolah-oleh mengejek sambil menghina.


Kehidupan tradisi orang Melayu masih terkongkong. Mereka begitu menaruh prasangka dan bersikap prajudis terhadap orang cacat terutama sekali terhadap orang-orang buta. Bagi mereka, bila tiada penglihatan mereka sukar untuk memahami dan mengetahui sesuatu perkara dengan jelas. Jika orang buta bercakap sukar dipercayai kerana si buta akan memberi maklumat yang salah dan terpesong. Jika kerap bergaul dengan orang Melayu dan jika kerap membaca buku peribahasa pasti akan terjumpa dengan kalimat "seperti orang buta meraba gajah". Kalimat ini menggambarkan orang yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu perkara dan memberi maklumat kepada orang lain secara tidak tepat dan tersasar sama sekali. Jelas di sini betapa teruknya pandangan orang-orang Melayu terhadap orang buta. Tanpa berfikir panjang, pakar motivasi, penceramah agama dan kaunselor yang berbangsa Melayu akan menggunakan kalimat ini bagi menggambarkan masayarakat yang tidak berpengetahuan dan sering memberi tanggapan yang salah terhadap sesuatu perkara terutama isu-isu agama dan isu-isu politik masa kini.


Perkataan buta dapat kita dengar dan perhatikan dalam semua ruang lingkup masyarakat Melayu yang berfokuskan kepada unsur negatif. Hidup kita bukan sentiasa sihat, sekali-sekala kita diuji oleh tuhan dengan berbagai-bagai jenis penyakit. Kebanyakan penyakit ada ubat dan penawarnya. Sejenis penyakit kulit yang disebabkn oleh hama yang biasanya menyerang di celaj-celah jari atau pelipat badan manusia. Hama ini akan meyebabkan kegatalan terutama sekali pada waktu malam. Masyarakat Melayu menamakan penyakut ini sebagai kudis buta. Dalam istilah perubatan disebut sebagai Scabies. Penyakit ini diberi nama kudis buta mungkin kerana kulit yang diserang penyakut ini kelihatan kotor dan jijik untuk dipandang.


Kita semua sedia maklum bahawa setiap manusia mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Sudah menjadi dasar KBSR iaitu mendidik murid untuk menguasai (4M) iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Tidak hairan sekiranya dalam tempoh enam tahun di sekolah rendah terdapat segelintir murid yang masih tidak mampu membaca. Otak mereka sukar berfungsi untuk menterjemahkan gabungan huruf-huruf tertentu dalam bentuk perkataan. Masyarakat Melayu menggelarkan mereka yang tidak tahu membaca sebagai buta huruf. Pada hakikat yang sebenar mata mereka nampak huruf cuma kesinambungan di antara otak dan mata yang menimbulkan masalah. Dalam proses menimba ilmu pengetahuan masalah tidak tahu membaca paling ditakuti oleh ibu bapa. Jika anak-anak tidak tahu membaca mereka tidak akan dapat mengikuti pelajaran dengan sempurna. Memandangkan perkara ini paling negataf dalam proses belajar, masyarakat Melayu terus memadankan perkataan buta dengan huruf, Jadilah buta huruf.


Masyarakat Melayu begitu peka dengan waktu. pada zaman dahulu sebelum mereka pandai menggunakan jam, waktu ditentukan dengan cara melihat perubahan matahari dan bulan. Pada waktu siang antara pukul 6.00 pagi hingga 7.00 petang kita dapat melihat alam sekelulung dengan jelas tanpa bantuan alat-alat ciptaan masnusia semperti lampu dsbnya. Pada waktu malam suasana sekeliling menjadi gelap dan kawasan sekitar akan dipasang dengan lampu, pelita dsbnya. Jika kita mendongak ke langit dapat dilihat cahaya bulan atau bintang. Pada hari-hari tertentu bulan tidak bersinar dan bintang tidak berkerdipan. Suasana begina disebuat oleh masayarakat Melayu sebagai malam-malam buta. Maknanya keadaan yang helap gelita digambarkan dengan perkataan buta. Pada waktu malam beginilah masayarakat Melayu melarang berjalan-jalan di luar rumah. Mereka bimbang seandainya diganggu oleh makhluk luarbiasa atau diserang oleh binatang dsbnya. Dalam situasi begini perkataan "buta" juga sesuai digunakan.


Dalam kalangan masyarakat Melayu jika seseorang individu atau sekumpulan manusia melakukan sesuatu kerja atau tugasan secara tidak bertanggungjawab dan tidak berhati-hati, tentunya akan dikutuk dan dikecam oleh orang yang mempunyai kaitan dan kepentingan dengan tugasan yang tidak sempurna itu. Oleh kerana perbuatan seumpama ini sangat tidak disukai dan dibenci oleh kebanyakan orang Melayu, mereka yang berkenaan dikatakan melakukan tugasan atau kerja secara membuta-tuli. Betapa sinisnya kata majmuk ini yang menggunakan dua perkataan yang dirujuk kepada hidupan yang cacat iaitu buta dan tuli. Mereka ingin menggambarkan individu atau sekumpulan orang yang menyelesaikan sesuatu perkara dengan tidak sempurna ini tidak mendengar nasihat dan penerangan terlebih dahulu dan tidak memerhatikan dengan penuh perhatian sewaktu arahan dan tunjuk ajar diberikan. khiasan yang diberikan kepada orang yang melakukan kerja tanpa berfikir tidak setakat itu sahaja. Gambaran yang lebih dahsyat dan sinis turut ditonjolkan oleh masayarakat Melayu. Kita pasti sering terdengar peribahasa "membabi buta". Mereka menjamakkan dua perkataan iaitu "babi dan "buta". Sesuai sangatlah padanan yang diberikan babi berlari secara lurus tanpa melihat apa yang ada di hadapannya. buta pula dirujuk kepada tidak dapat melihat dan memandang sesuatu. Peribahasa ini sebenarnya memang menghina orang buta kerana perkataan buta dipadankan dengan babi yang merupakan binatang najis bagi orang Islam dan kebanyakan orang Melayu beragama Islam.


Dalam kelompok masyarakat Melayu lama jodoh seseorang teruna atau dara akan ditentukan oleh ibu bapa atau saudara terdekat masing-masing. Urusan pinang-meminang, nertunang dan akhir sekali bernikah akan diselia oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Salah satu ciri yang menjadi pertimbangan ialah rupa paras dan pekerjaan. Barulah dikata orang bagai pinang dibelah dua. Masa kini keadaan telah berubah. teruna atau dara akan mencari sendiri jodoh masing-masing. Bila antara mereka telah sehati sejiwa barulah hasrat disampaikan kepada ibu bapada dan saudara terdekat. Banyak juga pasangan yang mendapat tentangan keluarga kerana tidak setaraf dan sebagainya. Kata orang Melayu tak sekufu. Biasanya keluarga terdekat terpaksa terima kerana pasangan tetap tidak mahu berganjak dan cuba meyakinkan keluarga sedaya upaya yang boleh. Situasi beginilah disebut oleh orang Melayu "cinta itu buta". Buruk di nata orang, cantik di mata saya. Jelasnya cinta seseorang kita tidak boleh menilai dengan mata kasar. Penilaian yang kita jangkakan terhadap sesetengah pasangan tidak tepat. Hanya empunya diri sahaja yang tahu dan dapat menjiwai cinta mereka. Maksudnya di sini ketidakmampuan mata kasar menanggapi nilai cinta sepasang suami isteri dan pasangan yang sedang bercinta dikhiaskan dengan "buta".

Dalam soal nikah kahwin masyarakat Melayu perkataan "buta" juga digunakan dan sangat melucukan. serta agak sensitif. Mengikut ajaran Islam cerai talak tiga tidak boleh dirujuk semula. Kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Sewaktu terlalu geram dan sangat marah cerai dilafazkan dengan talak tiga. Setelah sekian lama menyesal pula dan sesetengahnya gila talak. Dalam soal nilah kahwin orang Melayu sangat kreatif. Dia cipta satu kata majmuk yang dinamakan sebagai "cina buta". Mengikut budaya maysarakat Melayu cina buta bermaksud seseorang yang telah bercerai talak tiga dan ingin rujuk semula, si perempuan perlu mendapatkan seorang lelaki lain dan berkahwin dalam tempoh tertentu. Setelah bercerai dengan pak sanggup sebagai suami sementara barulah boleh berkahwin semula dengan suami asal. Setelah saya bertanya sana sini untuk mendapatkan penjelasan bagaimana wujudnya istilah "cina buta". Tiada satu pun jawapan yang mantap dan meyakinkan. Persoalan yang masih bermain-main dalam fikiran saya ialah situasi apakah yang boleh wujudnya cantuman dua perkataan yang melibatkan bangsa dan kecacatan.

Jika kita teliti dan perhatikan banyak lagi perkataan "buta" yang digunakan dalam segala aspek kehidupan orang Melayu. Perkataan :buta" diselitkan dan disesuaikan dalam peribahasa, pantun, khiasan, ejekan, perbualan cerita rakyat dsbnya. Saya hanya membicarakanbeberapa sahaja yang seringkita dengan dan digunakan secara meluas dalam masyarakat Melayu dari dulu sehingga kini.

Secara kesmpulannya, perkataan "buta" yang digunakan dalam masayarakat Melayu semuanya dalam bentuk yang negatif. Tidak hairanlah dalam sesetengah keadaan dan situasi orang buta memang terasing dan tersisih dalam masayarakat Melayu. Dalam usaha kita menghala ke era Melayu moden unsur-unsur seperti ini harus dikikis dan dipinggirkan sedikit demi sedikit. Masayarakat Melayu yang kaya dengan sopan santan dan lemah lembut mesti menghapuskan sikap menghina orang cacat terutamas sekali orang buta. Saya berkata begini bukan kerana saya menyebelahi orang-orang buta. Pada hakikat yang sebebanar perkataan "buta" paling kerapa digunakan bagi menggambarkan sesuatu keadaan dan sikap yang sumbang dan terpesong.