Sunday, September 19, 2010

BUDAYA PEMBERIAN DUIT RAYA SEPANJANG HARI RAYA AIDIL FITRI

Dua minggu sebelum hari raya aidil fitri menjelang tiba mereka yang telah bekerja akan ke mana-mana bank untuk menukar wang sebagai duit raya. Setiap bank akan menyediakan wang kertas baru yang bernilai EM1, RM5, RM10, EM50 dan RM100. Biasanya pelanggan akan menukar wang RM1, RM5 dan RM10. Terlalu sedikit yang ingin menukar wang kertas RM50 dan RM100. Kalau ada pun untuk wang raya yang dikhususkan kepada anak-anak sendiri, ibu bapa dan datuk nenek. Jumlah wang yang ditukar bergantung kepada kemampuan seseorang dan jangkaan rambang jumlah kanak-kanak, saudara-mara, dan ahli keluarga terdekat yang akan diberikan duit raya.

Di Malayisa, pemberian duit raya telah terikut-ikut dengan budaya pemberian 'ang pau" setiap kali Tahun Baru Cina. Duit dimasukkan ke dalam sampul yang bewarna merah. Kalau tak silap saya pada awal tahun 1990an duit raya mula dimasukkan ke dalam sampul yang bewarna hijau. Pada peringkat awal, sampul duit raya boleh didapati di bank-bank perdagangan di seluruh negara. Mana-mana pelanggan yang melakukan urusan pertukaran wang untuk dijadikan duir raya, pihak bank akan memberikan sampul hijau kepada pelanggan berkenaan. Saya masih tidak dapat pastikan mana satu bank yang memulakan budaya ini. Syarikat-syarikat perniagaan tertentu turut sama meberi sampul hijau kepada pelanggan yang membeli barangan dan pelanggan yang berurusan dengan syarikat mereka. Di samping memberi sampul hajau secara percuna, cara ini juga merupakan strategi dalam usaha mempromosikan barangan dan perkhidmatan mereka.

Pemberian duit raya mula diberi kepada kanak-kanak 12 tahun ke bawah sebaik sahaja selesai sembahyang sunat aidil fitri. Orang-orang yang berkemampuan akan berdiri di pintu masuk masjid atau surau bertujuan memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Sebelum menerima duit raya, sebagai tanda hormat kanak-kanak akan bersalaman dan mencium tangan pemberi sumbangan. Budaya ini tidak berlaku di semua masjid atau suarau. Dapat kita perhatikan budaya ini menjadi amalan di penempatan yang masih mengekalkan semangat kekitaan dan tradisi kejiranan yang utuh. Budaya pemberian duit raya berlangsung sepanjang bulan Syawal. Kumpulan kanak-kanak akan mengunjungi rumah-rumah di sekitar kampung atau taman perumahan. Tujuan utama mereka ialah untuk bersalaman dan beraya dengan tuan rumah dengan harapan untuk memperolehi duit raya. Juadah hari raya akan dimakan di rumah pertama dan kedua sahaja, rumah seterusnya mereka hendak duit raya sahaja. Biasanya tuan rumah telah sedia maklum dengan telatah dan kerenah kanak-kanak. Mereka dengan ikhlas akan melayan kehendak kanak-kanak yang berlaku sekali setahun. Sikap kanak-kanak yang sebegini sebenarnya boleh menceriakan suasana hari raya aidil fitri yang disambut cuma sekali setahun.

Sepanjang bulan Syawal ramai umat Islam akan mengadakan rumah terbuka bertujuan meraikan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai. Mereka akan menyediakan juadah yang berupa pelbagai jenis makanan dan kuih-kuih yang boleh dinikmati oleh tetamu yang hadir. Sewaktu majlis rumah terbuka juga duit raya akan diberikan kepada kanak-kanak yang turut hadir bersama-sama tetamu yang dewasa. Tetamu yang berkunjung ke rumah terbuka pula secara adat akan membawa duit raya. Duit raya akan diberikan kepada anak-anak tuan rumah dan juga kepada kanak-kanak lain yang turut berada dalam majlis rumah terbuka tersebut. Sseorang tetamu yang telah bekerja sewajarnya mesti menghulurkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang berada di situ. Dia tidak boleh memilih kanak-kanak yang dikenali sahaja.

Dalam situasi tertentu istilah pemberian duit raya bukan sahaja dikhususkan kepada kanak-kanak malah golongan dewasa yang terpilih dan istimewa juga menerima sumbangan duit raya. Biasanya orang kenamaan, orang kaya, pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) dsbnya akan mengadakan majlis khas bertujuan memberi sumbangan duit raya kepada golongan tertentu. Kumpulan yang disasarkan sebagai penerima duit raya termasuklah warga emas yang tidak berkemampuan, golongan OKU yang tidak berkemampuan dan golongan ibu tunbggal yang tidak berkemampuan. Pada hujung bulan Ramadan dan sepanjang bulan Sywal mereka yang prihatin dan NGO yang bersimpati dengan golongan yang memerlukan akan mengadakan majlis pemberian duit raya kepada golongan sasaran. Biasanya majlis ini diadakan secara rasmi dan mereka turut menjemput beberapa nedia bertujuan memberi makluman kepada masyarakat berkaitan sesuatu amalan murni yang dilakukan oleh mereka. Tujuan mereka bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk menggalakkan lebih ramai individu yang kaya dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil secara ikhlas membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Secara kesimpulannya, pemberian duit raya harus digalakkan dalam masyarakat Islam kerana banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak dan golongan yang memerlukan. Amalan ini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan semangat kekitaan sesama umat Islam. Disyorkan pemberian duit raya perlu juga diterima oleh para remaja yang masih belajar di sekolah menengah. Golongan ini memang memerlukan wang dan mereka masih belum boleh mencari nafkah sendiri. Bagi saya mereka juga layak menerima duit raya.


Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1431 HIJRAH

Saya, Mohd Jais Ismail dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir batin kepada semua penjengok blog ini. Manalh tahu tulisan saya selama ini secara tidak sengaja telah menyinggung dan memperlekehkan mana-mana pihak. Maklumlah saya pun manusia biasa, tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Untuk pengetahuan semua, bila saya menulis sesuatu topik, saya cuba sedaya upaya untuk menjaga hati semua golongan masayarakat. Jauh sekali untuk menyakiti atau menyinggung mana-mana pihak.

Hari raya tahun ini kami sekeluarga tidak pulang beraya di kampung. Kampung saya terletak di Peringat, Kota Bharu, kelantan dan kampung isteri saya berlokasi di Chetok, Pasir Mas Kelantan. Kalau kami sekeluarga berniat hendak pulang ke kampung, tiket bas atau kereta api mesti dibeli awal kerana terlalu cepat habis. Maklumlah rakyat Kelantan di perantauan sangat ramai.

Meskipun suasana dan gambaran beraya di Seri Gombak ni tidak sama seperti di kampung halaman tempat asal saya namun kemeriahannya dapat kami rasakan juga. Di sini saya beraya bersama-sama jiran yang terdekat. Dapat diperhatikan bahawa isteri saya tidak kesunyian kerana beberapa kali dikunjungi oleh jiran yang berhampiran dengan rumah kami. Dia dan anak-anak juga berkunjung ke beberapa buah rumah yang berhampiran. Awal-awal lagi dengan ditemani oleh hujan yang renyai-renai saya telah ke Masjid Khairiah, Taman Seri Gombak untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Mujurlah pada pagi ini ada perkhidmatan bas rapid. Pada jam 12.40 tengah hari saya ke Masjid Batu 6, Gombak untuk menunaikan solat Jumaat. Saya ke batu 6, Gombak kerana ada janji dengan sahabat. Dia minta saya tengokkan komputernya yang sedikit bermasalah. Pada sebelah petang, saya tidak ke mana-mana dan hanya berehat sahaja di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Raya puasa tahu ini kami tidak pulang ke kampung kerana anak sulung kami iaiatu Ain Asyirah akan menduduki peperiksaan UPSR sejurus berakhirnya cuti raya dan cuti sekolah. Dia akan menduduki UPSR dari 21 hingga 23 September, 2010. Kalau kami balik ke kampung dibimbangi kesihatannya terganggu. Dia begitu alah pada cuaca yang terlalu sejuk kerana mudah terkena penyakit asma. Kami terpaksa berkorban untuk memberinya ruang untuk belajar dan menjaga kesihatannya agar tidak terganggu. Insya Allah kalau tiada sebarang masalah kami sekeluarga akan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Wednesday, September 8, 2010

KONTRAKTOR TEMPATAN SUKAR CARI MAKAN AKIBAT WUJUD KONTRAKTOR KECIL WARGA ASING

Dalam akhbar Berita Harian bertarikh 8 September 2010, saya teruja dengan tajuk "Ramai Pekerja Asing jadi Kontraktor Kecil: MBAM". Maknanya dewasa kini semakin ramai warga asing menjadi kontraktor kecil secara tidak sah kerana tidak mendaftar dengan Pendaftar Syarikat (ROC). Mereka semakin ghairah menjadi kontraktor kerana mendapat galakan dan sambutan daripada penduduk tempatan.

Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) berasa agak bimbang kerana dengan bercambahnya kontraktor pengubahsuaian warga asing ini secara aktif akan mengancam dan menjejaskan kerjaya dan sumber pendapatan kontraktor tempatan. Bagi mengelakkan kegiatan warga asing dalam sektor pembinaan bergerak secara aktif dan berleluasa MBAM mencadangkan agar pihak kerajaan mendaftar dan mengawal selia semua kontraktor kecil di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pemininaan (CIDB) bertujuan mewajibkan ekuiti tempatan dan syarat berkaitan yang lain sebelum membenarkan mereka menjadi kontraktor kecil atau pengubahsuaian.

Jika diperhalusi semasak-masaknya orang ramai lebih cenderung mengupah kontraktor warga asing untuk pengubahsuaian premis atau rumah mereka kerana kontraktor asing terutama sekali orang Indonesi lebih mesra pelanggan. Mereka akan mengikut segala arahan dan kehendak pengguna tanpa ada bantahan. Mereka sanggup meluangkan masa untuk berbincang dengan pengguna dan mengikut waktu yang ditentukan oleh pengguna. Segala aduan dan bantahan pengguna berkaitan kerja-kerja yang telah dilakukan didengar dengan teliti dan segera membetulkan kesilapan yang telah dilakukan tanpa ada rungutan. Inilah faktor utama yang mendorong orang ramai lebih gemar mengambil kontraktor asing yang beroperasi secara kecil-kecilan.

Dalam usaha memancing pengguna kontaraktor asing akan menawarkan harga yang lebih murah berbanding kontraktor tempatan. Mereka mampu mengenakan bayaran yang agak murah bukan mereka tidak mengambil untung yang banyak. Mereka juga ketagih untung. Sudah menjadi matlamat mereka, bila merantau ke tempat orang mesti cari harta dan kekayaan. Cara yang mereka gunakan ialah mereka akan cuba mengurangkan kos pembinaan. Mereka menjadi taukeh dan mereka jugalah yang melaksanakan kerja serta sanggup menjadi buruh binaan. Matlamat utama mereka ialah wang. Untuk memudahkan kerja, mereka akan mencari beberapa orang pekerja yang rapat dengannya. Jumlah pekerja yang diambil bergantung kepada banyak dan jenis pengubahsuaian yang perlu dilakukan serta tempoh masa yang ditentukan oleh pelanggan. Dengan cara ini mereka boleh mengurangkan kos operasi. Berbeza pula dengan kebanyakan kontraktor kecil warga tempatan yang bertindak sebagai taukeh dan tidak berfungsi sebagai buruh binaan. Mereka akan mengupah pekerja asing yang dibayar mengikut jumlah jam dan hari bekerja.

Kebanyakan orang lebih gemar mengambil kontraktor asing kerana mereka lebih cekap berbanding kontraktor tempatan. Seseorang warga asing yang ingin menjadi kontraktor, dia akan pastikan dahulu yang dia telah mempunyai beberapa tahun pengalaman sebagai buruh binaan dan telah tahu sedikit sebanyak selok-belok untuk menjadi kontraktor kecil. Mereka juga telah mengenali ramai penduduk tempatan dan telah mendalami budaya hidup penduduk tempatan. Dengan cara ini mereka akan bersedia untuk mendampingi pelanggan bagi mendapatkan tender secara kecil-kecilan. Biarpun tidak boleh mendapatkan tender kerajaan dan syarikat-syarikat tertentu kerana beroperasi secara tidak sah, mereka berusaha sedaya upaya mendapatkan projek secara kecil-kecilan daripada individu. Berbeza pula dengan kontraktor tempatan yang kurang mempunyai pengalaman sebagai buruh binaan. Mereka hanya mampu mengupah warga asing sebagai pekerja mereka. Segala masalah yang timbul berkaitan pengubahsuaian kontraktor tempatan terpaksa merujuk kepada pekerja mereka.

Bagi membendung senario ini agar tidak berterusan dan bercambah di Malaysia rakyat tempatan yang ingin menjadi kontraktor kecil harus ada pengalaman berkaitan kerja-kerja pembinaan dan mesti mempelajari secara mendalam cara-cara untuk menjadi seorang kontraktor. Hal ini penting agar mereka tidak menghadapi masalah setelah menjadi seorang kontraktor. Jika tidak diambil tindakan yang sewajarnya kontraktor kecil tempatan terutama sekali bumiputera akan mudah gulung tikar. Jangan kita harapkan kerajaan semata-mata. Kerajaan telah menyediakan berbagai-bagai insisiatif dalam usaha membantu kontraktor kecil tempatan.

Wednesday, September 1, 2010

BAZAR RAMADHAN DATUK KERAMAT ANTARA YANG TERMURAH DI KUALA LUMPUR

Pada jam 4.30 petang tadi saya telah di Pasar Datuk Keramt dengan tujuan untuk membeli 2kg daging dan seekor ayam. Di Taman Seri Gombak, tempat tinggal saya bukan tiada pasar. Saya kerap ke Pasar Datuk Keramat kerana daging yang dijual banyak pilihan dan penjual sudi memotong daging yang dibeli mengikut kemahuan pelanggan. Ayam yang dijual pula dijamin tidak lama dan berbau kerana di situ ada pusat penyembelihan ayam.

Setelah selesai membeli keperluan keluarga di pasar, dengan senagaja saya melalui perkarangan bazar Ramadhan kerana hendak melihat suasana dan gambaran sekitar kawasan tersebut. Pada mulanya tiada niat langsung untuk mebeli kuih-muih di situ. Kalau beli pun nanti di bazar Ramadhan Taman Seri Gombak sambil membawa anak berjalan-jalan menghilangkan rasa bosan mereka seharian duduk di rumah. Saya dapat mendengar beberapa orang peniaga mempromosikan beraneka jenis kuih dan lauk-pauk yang dijual mereka. Saya tertarik dan terpengaruh dengan dua iklan secara spontan yang berbunyi "kuih tiga seringgit dan "mee atau beehun seringgit sebungkus". Sepanjang bulan Ramadhan ini, saya mempunyai pengalaman di empat bazar Ramadhan iaitu di bazar Ramadhan Taman Seri Gombak, Pinggitan Batu Caves, Wangsa Maju Seksyen 1 dan Datuk Keramat. Semua tempat menjual kuih-muih 5 RM2.00 kecuali Bazar Ramadhan Datuk Keramat yang masih menjual kuih tiga seringgit. Mee atau beehun dijual RM2.00 sebungkus berbanding Datuk Keramat hanya seringgit sebungkus. Kuantitinya sama sahaja.

Kepada sesiapa yang berkesempatan dan kebetulan melalui atau menaiki LRT bolehlah singgah di Bazar Ramadhan Datuk Keramat. Di situ boleh didapati beraneka jenis nasi dan lauk-pauk serta kuih-muih Melayu yang agak sedap. Jika kita ke sana pasti kita seromok membuat pilihan jenis nasi, lauk-pauk dan kuih-muih mengikut selera kita dengan harga yang agak murah. Jika kita pandai memilih tempat untuk membeli juadah sebagai persediaan untuk berbuka, kita boleh berjimat-cermat. Dengan jumlah wang yang diperuntukkan kita boleh membeli kuantiti yang lebih banyak di Bazar Ramadhan Datuk Keramat berbanding bazar Ramadhan yang lain. Syaratnya tempat tinggal kita tidak terlalu jauh dari lokasi yang dinyatalkan. Kalau tempat tinggal kita agak jauh membazir masa, minyak kenderaan atau tambang jika menggunakan pengangkutan awam.