Friday, January 8, 2010

TIGA GEREJA DILEMPAR BOM API ADALAH PERBUATAN KHIANAT YANG AMAT SENSITIF

Selepas selesai solat Maghrib saya berehat seketika sementara menantikan berita TV3 pada jam 8 malam. Pada jam 7. 47 petang saya telah menerima SMS daripada rakan lama yang berada di Pulau Pinang. Dia inginkan kepastian daripada saya tentang khabar-khabar angin berlakunya rusuhan di Kuala Lumpur. Menurutnya dia yang berada di Pulau Pinang pun berasa takut setelah mendengar berita duka di Kuala Lumpur. Saya terus bermonolog "takkanlah saya yang berada di KL pun belum tahu. Ketinggalan betul." Lantas, saya membalas SMSnya dengan mengatakan "saya perlu melayari internet terlebih dahulu untuk mengetahui kesahihan maklumat sensitif yang awak berikan". Sudah menjadi kebiasaan, jika berita panas saya akan mendapatkan maklumat tersebut pada akhbar yang berhaluan kanan dan berhaluan kiri. Pada mulanya saya merujuk akhbar Berita Harian dalam ruangan Mutakhir dengan tajuknya Tiga gereja dilempar bom api: KPM. Kemudian saya melatari Harakahdaily dalam ruangan berita dan merujuk tajuk Muslimat PAS kutuk serangan gereja. Dengan segera saya hubungi rakan tadi menerusi SMS dengan memberitahu bahawa bukannya rusuhan tetapi tiga gereja telah dilempar dengan bom api, hanya satu yang terbakar. Saya terus menambah dengan menyatakan kejadian ini berpunca daripada rasa tidak puas hati golongan tertentu terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan gereja katolik menggunakan perkataan Allah. Saya juga meyakinkannya supaya jangan takut pihak polis telah berjaga-jaga di kebanyakan tempat beribadat.

Menurut berita akhbar, tiga gereja yang menjadi sasaran mereka yang tidak bertanggungjawab ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati yang berlaku kira-kira pada 12 tengah malam. Bom api yang dilempar meletup dan menyebabkan kebakaran. Dua lagi kejadian berlaku di Gereja Assumption, Assunta di Petaling jaya pada jam 4 pagi dan di Gereja Chappel di Damansara pada jam 8 pagi. Bagaimanapun, bom api yang dilemparkan tidak meletup. Ekoran daripada peristiwa pahit ini, KPN mengarahkani pihak polis meningkatkan kawalan keselamatan di kebanyakan rumah ibadat di seluruh negara. Kawalan segera dilakukan bertujuan memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tindakan liar dan ganas ini tidak wajar dilakukan sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah tinggi tempoh hari. Sepatutnya mereka perlu mengadakan rundingan dan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak-pihak tertentu termasuklah institusi-institusi agama yang berkaitan, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa badan lain yang berkaitan. Kemudian barulah ditentukan jalan penyelesaian berdasarkan situasi menang menang.

Menuru Dewan Muslimat PAS Pusat perbuatan keji yang dicetuskan oleh mereka yang kurang mendalami ilmu agama menyalahi prinsip Islam dan bercanggah dengan perlembagaan negara yang mengamalkan kebebasan beragama dan islam sebagai agama rasmi. Tindakan ini bertentangan dengan prinsip Islam dan tidak melambangkan kesucian Islam. Islam pada dasarnya menjamin kesejahteraan ummah dan menghormati penganut agama lain.

Dengan meletusnya tragedi ini sedikit sebanyak telah menjejaskan keharmonian antara penganut agama yang berlainan di negara ini. Perasaan ini tidak diserlahkan secara terang-terangan. Pastinya terbuku dan terpendam di dalam hati. Golongan yang tidak rasional ini secara terburu-buru sengaja merosakkan rumah ibadat. Mereka telah menimbulkan kemarahan dan kebimbangan masyarakat secara keseluruhannya. Sikap samseng mereka telah menjejaskan hubungan masyarakat majmuk di negara ini. Jika pihak polis berjaya menjejaki dalang dan mereka yang terlibat. Mereka mesti ddakwa di mahkamah dan siandainya cukup bukti. Hukuman yang sewajarnya mesti dikenakan iaitu 20 tahun penjara.

No comments:

Post a Comment