Saturday, January 30, 2010

DILEMA SESEORANG PEKERJA OKU DI SESEBUAH ORGANISASI

Pekerja OKU (orang kelainan upaya) ialah seseorang penjawat di sesebuah organisasi sama ada kerajaan. badan berkanun, swasta dan juga badan bukan kerajaan yang mempunyai kekurangan sama ada dari segi pendengaran, penglihatan, fizikal dan akal fikiran. Apabila seseorang penjawat itu mempunyai kekurangan pastinya tugasan yang boleh dilakukannya terbatas berpunca daripada kekurangan yang ada pada dirinya. Biasanya seseorang penjawat OKU diberi tugas yang bersesuaian dengan kebolehan dan kemampuannya. Dalam pada itu, sekali-sekala beliau perlu dibantu oleh penjawat yang normal yang mempunyai sifat prihatian. Dalam tulisan ini saya akan fokuskan kepada pekerja OKU cacat penglihatan kerana saya sendiri ialah seorang yang cacat penglihatan dan mempunyai pengetahuan tentang kerjaya dan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan OKU penglihatan di tempat kerja.


Realitinya kebanyakan ketua jabatan mengganggap pekerja OKU penglihatan sebagai pekerja yang kurang produktif, tidak aktif dan kurang pengetahuan. Mereka beranggapan dengan tiadanya penglihatan atau mempunyai penglihatan yang terlalu terbatas mereka sukar melakukan tugas-tugas yang diberi atau yang diarahkan oleh ketua jabatan. Mereka membuat telahan dengan adanya pekerja OKU penglihatan keberhasikan kerja sukar untuk dicapai ke tahap yang diharapkan. Bagi mereka dalam sesebuah jabatan jika ada pekerja OKU penglihatan amat membebankan. Lebih-lebih lagi jika pekerja OKU berkenaan kerapkali meminta bantuan daripada perkerja lain. Beberapa kali juga berlaku di sektor awam, ketua jabatan tidak mahu menerima pekerja OKU penglihatan yang dihantar berkhidmat atau menjalani latihan di jabatan yang diterajuinya.


Dalam sesebuah jabatan atau organisasi mempunyai sekumpulan pekerja. Kumpulan ini diistilahkan sebagai rakan sekerja. Sesama rakan sekerja, dalam diri mereka telah tertanam konsep "memberi dan menerima". Bagi kebanyakan orang OKU penglihatan tidak boleh melakukan konsep ini dan mereka hanya ingin menerima sahaja dan sukar untuk memberi. Dengan lain perkataan, dia hanya ingin dibantu dan sukar untuk membalas jasa orang yang telah membantunya. Bagi kebanyakan orang tiada hasil jika rapat dengan orang buta. Mereka bukan boleh balas pertolongan orang. Jadi, dalam sesebuah organisasi hubungan antara pekerja OKU penglihatan dengan kebanyakan pekerja lain hanya sekadar kawan biasa iaitu setakat bersembang kosong sewaktu makan atau sewaktu bertembung di mana-mana.


Ketua jabatan biasanya sukar untuk menghormati pekerja OKU penglihatan sebagaimana beliau menghormati pekerja yang normal. Seandainya seseorang pekerja OKU dalam jabatyannya telah melakukan sedikit kesilapan atau kesalahan yang tidak disengajakan, dengan selamba beliau akan menegur pekerja berkenaan di mana sahaja beliau terjumpa. Tidak kiralah di hadapan pekerja lain ke, di hadapan pelajar ke, di khalayak ramai ke, semuanya jadi. Seandainya pekerja yang normal beliau akan panggil ke pejabat untuk ditegur. Kesalahan kecil yang dilakukan oleh pekerja OKU penglihatan akan diperbesar-besarkan. Dilema ini merupakan satu lumrah yang sukar dibendung. Mahu tidak mahu pekerja OKU penglihatan terpaksa bersabar sajalah.


Sudah menjadi kebiasaan, setiap tahun sesebuah organisasi akan memberi ganjaran kepada pekerja-pekerja yang telah melaksanakan tugas dengan sempurna. Seandainya ramai pekerja yang mempunyai prestasi yang cemerlang pemilihan akan dibaur berdasrkan kepada senioriti dsbnya. Dalam hal ini biasanya pekerja OKU penglihatan akan terpinggir meskipun telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang dan terpuji. Bila dibuat pengunduan bersama ketua jabatan dan pentadbir kanan, pekerja OKU yang telah tersenarai akan tewas dalam pengundian. Sehinggakan orang yang lebih junior dan kurang cemerlang daripada pekerja OKU berkenaan yang dipilih. Sebenarnya ini merupakan satu diskriminasi yang harus dihindari. Yang menghairaknakan aktiviti bercorak agama banyak, cakap pasal agama pandai, bila ada isu agama ingin jadi juara dsbnya. Malang sekali konsep keadilan dan perikemanusiaan langsung tiada dalam kebanyakan diri orang Melayu dan Islam. Secara tidak sedar mereka telah mendapat dosa kering.

Jika seseorang OKU penglihatan diberi peranan untuk mengetauai sesuatu jawatankuasa dan menyelaras sesuatu bahagian sangat sukar mendapat kerjasama dan komitmen daripada kebanyakan pekerja normal. Mereka menganggap jika berada di bawah OKU penglihatan jatuh taraf dan boleh menjejaskan maruah diri. Mereka juga bimbang akan dicemuh atau ditertawakan oleh rakan-rakan yang lain. Untuk mengelakkan diri berada di bawah telunjuk OKU penglihatan berbagai-bagai alasan yang dicanang kepada ketua jabatan. Jika mereka segan mengadu sendiri kepada ketua jabatan, mereka akan menggunakan pentadbir kanan yang rapat dengannya bagi menyuarakan niat buruk dan hasrat busuk hatinya untuk disampaikan kepada ketua jabatan.

Secara kesimpulannya kebanyakan pekerja OKU penglihatan sentiasa berada dalam situasi tidak tenang dan kadang kala memberontak secara senyap akibat daripada sikap pilih kasih dan prasangka yang dilemparkan oleh ketua jabatan dan pentadbir kanan. Bagi OKU penglihatan yang tidak sanggup berhadapan dengan kerenah yang melampau mahu tidak mahu memohon untuk bertukar ke tempat lain. Dengan harapan tempat bertugas yang baru dapat memberi keselesaan kepada OKU penglihatan yang tertindas. Sewajarnya ketua jabatan dan pentadbir kanan yang mempunyai tanggapan negarif kepada OKU penglihatan perlu diberi bimbingan dam kesedaran agar sedikit demi sedikit boleh menghindarkan rasa prajudis dan prasangka yang berterusan kepada pekerja OKU penglihatan.

Friday, January 8, 2010

TIGA GEREJA DILEMPAR BOM API ADALAH PERBUATAN KHIANAT YANG AMAT SENSITIF

Selepas selesai solat Maghrib saya berehat seketika sementara menantikan berita TV3 pada jam 8 malam. Pada jam 7. 47 petang saya telah menerima SMS daripada rakan lama yang berada di Pulau Pinang. Dia inginkan kepastian daripada saya tentang khabar-khabar angin berlakunya rusuhan di Kuala Lumpur. Menurutnya dia yang berada di Pulau Pinang pun berasa takut setelah mendengar berita duka di Kuala Lumpur. Saya terus bermonolog "takkanlah saya yang berada di KL pun belum tahu. Ketinggalan betul." Lantas, saya membalas SMSnya dengan mengatakan "saya perlu melayari internet terlebih dahulu untuk mengetahui kesahihan maklumat sensitif yang awak berikan". Sudah menjadi kebiasaan, jika berita panas saya akan mendapatkan maklumat tersebut pada akhbar yang berhaluan kanan dan berhaluan kiri. Pada mulanya saya merujuk akhbar Berita Harian dalam ruangan Mutakhir dengan tajuknya Tiga gereja dilempar bom api: KPM. Kemudian saya melatari Harakahdaily dalam ruangan berita dan merujuk tajuk Muslimat PAS kutuk serangan gereja. Dengan segera saya hubungi rakan tadi menerusi SMS dengan memberitahu bahawa bukannya rusuhan tetapi tiga gereja telah dilempar dengan bom api, hanya satu yang terbakar. Saya terus menambah dengan menyatakan kejadian ini berpunca daripada rasa tidak puas hati golongan tertentu terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan gereja katolik menggunakan perkataan Allah. Saya juga meyakinkannya supaya jangan takut pihak polis telah berjaga-jaga di kebanyakan tempat beribadat.

Menurut berita akhbar, tiga gereja yang menjadi sasaran mereka yang tidak bertanggungjawab ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati yang berlaku kira-kira pada 12 tengah malam. Bom api yang dilempar meletup dan menyebabkan kebakaran. Dua lagi kejadian berlaku di Gereja Assumption, Assunta di Petaling jaya pada jam 4 pagi dan di Gereja Chappel di Damansara pada jam 8 pagi. Bagaimanapun, bom api yang dilemparkan tidak meletup. Ekoran daripada peristiwa pahit ini, KPN mengarahkani pihak polis meningkatkan kawalan keselamatan di kebanyakan rumah ibadat di seluruh negara. Kawalan segera dilakukan bertujuan memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tindakan liar dan ganas ini tidak wajar dilakukan sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah tinggi tempoh hari. Sepatutnya mereka perlu mengadakan rundingan dan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak-pihak tertentu termasuklah institusi-institusi agama yang berkaitan, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa badan lain yang berkaitan. Kemudian barulah ditentukan jalan penyelesaian berdasarkan situasi menang menang.

Menuru Dewan Muslimat PAS Pusat perbuatan keji yang dicetuskan oleh mereka yang kurang mendalami ilmu agama menyalahi prinsip Islam dan bercanggah dengan perlembagaan negara yang mengamalkan kebebasan beragama dan islam sebagai agama rasmi. Tindakan ini bertentangan dengan prinsip Islam dan tidak melambangkan kesucian Islam. Islam pada dasarnya menjamin kesejahteraan ummah dan menghormati penganut agama lain.

Dengan meletusnya tragedi ini sedikit sebanyak telah menjejaskan keharmonian antara penganut agama yang berlainan di negara ini. Perasaan ini tidak diserlahkan secara terang-terangan. Pastinya terbuku dan terpendam di dalam hati. Golongan yang tidak rasional ini secara terburu-buru sengaja merosakkan rumah ibadat. Mereka telah menimbulkan kemarahan dan kebimbangan masyarakat secara keseluruhannya. Sikap samseng mereka telah menjejaskan hubungan masyarakat majmuk di negara ini. Jika pihak polis berjaya menjejaki dalang dan mereka yang terlibat. Mereka mesti ddakwa di mahkamah dan siandainya cukup bukti. Hukuman yang sewajarnya mesti dikenakan iaitu 20 tahun penjara.