Friday, October 16, 2009

IMBASAN KURSUS DI INTAN

Dari 11 hingga 16 Oktober 2009 saya dan 50 guru OKU penglihatan dari seluruh Malaysai telah menghadiri Kursus Persediaan Tahap Kecekapan (Modul Umum) Bagi Guru-Guru OKU Penglihatan di INTAN Bukit Kiara. Kursus ini telah dirancang oleh dua orang guru iaitu Encik Saifuddin Muhammad dan Encik Mohd Fekkeri Mat Jusoh yang mewakili Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Komputer Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Kursus yang melibatkan sebahagian besar guru-guru OKU penglihatan ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Pekerjaan dan Pembangunan Komputer SBM dengan dibiaya dan diselia sepenuhnya oleh pihak INTAN. Bahagian Pendidikan Khas turut memberi kerjasama dengan memberi pelepasan kepada guru-guru yang terlibat untuk menyertai kursus ini. BPKhas juga menaggung tambang perjalanan pergi dan balik setiap peserta dari rumah atau sekolah masing-masing ke Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dan sebaliknya. Pihak INTAN menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari MAB ke lokasi kursus iaitu INTAN, Bukit Kiara.

Pada 11 Oktober jam 4.00 petang saya dan rakan-rakan senasib tiba di perkarangan INTAN dan disambut oleh beberapa orang pekerja INTAN. Institut latihan yang berperanan memberi latihan kepada pegawai-pegawai kerajaan ini amat strategik tempatnya. Mana-mana pegawai kerajaan yang diarahkan atau berpeluang berkursus di sini mereka pastinya dapat memberi perhatian kepada ilmu yang dipelajari. Suasana di sini begitu aman dan tenteram kerana kawasan ini terletak agak jauh dari jalan yang sibuk. Jika hendak ke sini kita mesti menaiki teksi atau bas atau jika secara berkumpulan mesti menaiki bas yang disewa atau disediakan oleh pihak INTAN. Tiada sebuah pun bas awam yang berulang-alik sekitar perkarangan INTAN. Saya berasa amat tenang dan ceria selama 6 hari berada di INTAN. Tiada kedengaran bunyi bas dan lori yang selalunya boleh mengganggu fikiran dan perasaan. Pada waktu petang terasa sedikit kesunyian kerana pada waktu inilah saya dan rakan-rakan sering minum dan bersembang di warong mamak. Kalaulah berhampiran dengan perhentian bas awam sudah tentu saya akan ke Brickfields selama dua jam untuk bersama-sama rakan-rakan bertujuan untuk bersembang sambil menghirup kopi.

Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur dan pihak INTAN kerana telah berjaya menganjurkan satu kursus yang bermakna kepada guru-guru OKU penglihatan. Sebagai OKU penglihatan masalah terbesar yang terpaksa dihadapi ialah kesukaran untuk mendapatkan sumber rujukan bagi menduduki peperiksaan PTK. Dengan 13 siri kuliah yang disampaikan oleh pensyarah-pengsyarah INTAN yang lengkap dengan pengetahuan dan pengalaman sedikit sebanyak telah membolehkan kami membuat persediaan untuk menduduki PTK kertas umum pada tahun hadapan. Pihak INTAN juga telah membekalkan kami dengan nota-nota ringkas yang mudah difahami.

Walaupun jarak antara bilik kuliah dengan srama penginapan tidak jauh pihak INTAN telah menyediakan bas untuk kami berulang-alik dari asrama ke Dewan Kuliah Anggerik. Pada saya berjalan kaki pun tiada masalah. Kurang-kurang dapat juga kami melakukan senaman ringan. Makan empat kali sehari. Semua lauk yang disajikan enak-enak belaka. Kami sama ada rabun atau buta diminta duduk bila tiba di dewan makan. Pihak INTAN meminta petugas-petugas yang menyediakan makanan mengambil makanan untuk kami. Layanan yang diterima oleh kami semua amat baik sekali. Kami ditempatkan di asrama yang sepatutnya dikhususkan kepada mereka yang berstatus N/S/dg48 bukan taraf kami yang kebanyakannya dg27, dg32 dan dg41. Saya amat berbangga kerana pihak INTAN memberikan layanan kelas pertama kepada kami. Jarang sekali kami menikmati layanan yang sebaik itu.

Kursus yang berkaitan PTK diadakan dari jam 8.30 pagi - 4.30 petang. Semua kuliah disampaikan oleh tenaga pengajar dari INTAN. Mereka cuba sedaya upaya memberi penerangan untuk sesuatu tajuk dengan ayat yang mudah difahami oleh kami semua. Sekali-sekala diselitkan dengan unsur humor bagi mengelakkan kami semua mengantuk. Salah seorang tenaga pengajar iaitu Encik Hishamuddin Ismail yang juga imam di INTAN sewaktu belajar di sekolah menengah dulu merupakan sahabat baik kepada salah seorang rakan kami iaitu Cikgu Mohd Arif Sairi yang mengjar di Kelang. Pada mukadimah kuliahnya beliau sempat menceritakan bagaimana Cikgu Arif menjadi cacat penglihatan dan kali terakhir beliau terjumpa dengan Cikgu Arif sewaktu rakannya itu ingin menghantar borang permohonan untuk memasuki maktab perguruan. Sewaktu di tingkatan 6 saya pun pernah setingkatan dengan Cikgu Arif. Pada waktu itu beliau telah menjadi seorang yang OKU penglihatan.

Pada sebelah malam pihak penganjur hanya mengadakan aktiviti untuk dua hari sahaja iaitu hari Isnin dan hari Selasa. Pada Isnin, jam 8.30 malam - 10.00 malam Encik Rahman Pegawai Bahagian Latihan dan Khidmat Bantu dari BPKhas telah memberikan sedikit taklimat dan seterusnya sanggup mendengar masalah, keperluan dan pujian daripada kami semua berkaitan dengan kerjaya dan situasi di sekolah masing-masing. Encik Rahman menjawab semua persoalan yang ditimbulkan oleh peserta kursus. Mana-mana masalah yang bukan di bawah bidang kuasanya beliau cuba salurkan kepada pegawai yang berkenaan di BPKhas. Pada selasa, dari jam 8.30 - 10.30 malam Puan Loke dari NUTP memberi penerangan tentang kemudahan dan kebaikan menyertai NUTP. Ramai juga guru-guru yang mengisi borang menjadi ahli. Seterusnya dua orang ejen insuran Takaful dengan kerjasama NUTP hadir bagi memberi penjelasan tentang kebaikan menyertai Pelan Takaful Kelompok. Bayarannya pun tak mahal cuma RM30.00 untuk setiap pemegang polisi.

Malam-malam yang lain kami diberi peluang melakukan aktiviti sendiri di bilik penginapan. Saya ditempatkan sebilik dengan Cikgu Anjang yang telah lama saya kenali. Kini dia mengajar di SMK Bukit Payumg Terengganu. Saya dan Cikgu Anjang cuma berehat di bilik sambil berbual-bual tentang cerita-cerita lama dan cerita-cerita terkini. Setiap malam kami menikmati minuman Nescafe dan Milo 3 dalam 1 serta roti dan biskut yang dibeli di Koperasi INTAN. Di setiap bilik pihak INTAN menyediakan dengan cerek letrik, cawan dan pinggan. Kami tidak mempunyai masalah untuk menyediakan minuman atau makanan.

Pada petang khamis setelah selesai kulaih jam 4.30 petang, saya telah menemani Cikgu Anjang dan Cikgu Sa membeli beberapa jodol buku di Pekan Buku cawangan INTAN. Saya turut membantu mereka dengan membacakan tajuk-tajuk buku. Setelah beberapa minit berada dalam kedai buku saya terimbas kembali beberapa peristiwa sewaktu belajar di UM sekitar tahun 1990 hingga 1994. Puncanya ialah Pekan Buku di INTAN adalan cawangan Pekan Buku di UM dan cara susunan buku dan raknya seolah-olah sama seperti di UM. Banyak juga buku yang dibeli oleh Cikgu Sa dan Cikgu Anjang. Saya cuma membeli sebuah buku kecil berkaitan contoh-contoh karangan untuk murid sekolah rendah. Buku tersebut telah saya berikan kepada Ain, anak saya yang belajar di tahun 5, SRK Taman Seri Gombak 2. Pada petang itu kami bertiga pulang sendiri ke asrama kerana bas hanya menunggu kami sehingga jam 5.00 petang. Dalam perjalanan pulang kami tersesat selama 20 minit dalam bangunan pentadbiran dan dewakn kuliah INTAN. Bentuk bangunanya yang memanjang dan bertingkat-tingkat sukar bagi kami mencari jalan keluar. Setelah sekian lama mencuba sendiri akhirnya saya terpaksa bertanya dengan salah seorang pekerja INTAN dan beliau membawa kami ke Asrama Anggerik. Jalannya tidak jauh cuma sedikit bengkang-bengkok. Saya dan dua rakan berasa sedikit kepenatan kerana terpaksa naik dan turun tangga selama 20 minit.

Saya dan rakan-rakannya yang lain amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oloeh pekerja INTAN dari bilik kuliah sehinggalah ke dewan makan. Di surau pun kami sentiasa dibantu oleh pekerja-pekerja INTAN yang sangat prihatin.

1 comment:

  1. Salam..sekadar bertanya...ader tak portal untuk mencari jodoh bagi orang kurang upaya(blind)...kesian kan nasib blind people yang tak der pasangan..boleh sama2 tolong...klu ader info..thanks..

    ReplyDelete