Saturday, October 1, 2011

Cerita Mat Indera dan Tukang Cerita Harapkan Insentif dan Pengiktirafan dari Kerajaan malaysia

Sejak dari 21 Ogos yang lalu isu tentang Mat Indera masih hangat diperkatakan oleh mereka yang berminat untuk mengetahui dan mendalami peristiwa-peristiwa sejarah tanah air. Sudah diketahui ramai isu kontroversi ini telah ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mat Sabu. Tambahan pula, perjuangan Mat Indera mempunyai perkaitan yang rapat dengan pergerakan Komunis di Balai Polis Bukit Kepong. Isu hangat ini memang menajadi perdebatan dan perbualan hangat, mana tidaknya pemukul canangnya pemimpin terkenal parti PAS. Tidak salah kalau dikatakan kedengaran bermacam mitos dan legenda berkaitan dengan Mat Indera. Berkaitan dengan peristiwa ini saya amat tertarik dan terangsang dengan satu episod cerita terkini yang saya baca dalam satu blog. Ceritanya mungkin ada kebenarannya dan mungkin ada sedikit tokok-tambah.


Alkisah tersebutlah satu cerita yang dilisankan oleh Encik Saparun. Menurut Saparun, beliau ialah anak kepada Sibun @ Tukyo Bin Ahmad. Menurutnya, Sibunlah yang telah berjaya memangkap Mat Indera dan menyerahkan kepada kerajaan British. Detik yang bersejarah ini telah berlaku pada 14 Oktober 1952 di Kampung Parit Warijo, Sri Medan Baru, Batu Pahat Johor. Setelah berada dalam genggaman kerajaan British, akhirnya Mat Indera telah dihukum gantung sampai mati di penajara Ayer Moleh, Johor Bahru. Satu perkara yang mengegumkan Che Sibun telah berjaya merampas tangkal yang ada pada Mat Indera. Setelah tiada tangkal pada dirinya sukarlah bagi Mat Indera untuk menghiangkan dirinya tanpa disedari oleh orang yang ada di sekelilingnya. Pahlawan Melayu yang sekongkol dengan pengganas Kominis telah berjaya ditangkap oleh Sibun dan dilenyapkan nyawanya oleh kerajaan British.

Menurut Saparun, sebagai menghargai jasa, keberanian dan ketangkasan ayahnya pihak British yang memerintah Semenanjung Tanah Melayu ketika itu telah menganugerahkan pingat dan sijil penghargaan kepada Che Sbun Ahmad. Anugerah berharga itu telah disampaikan oleh Pesuruhayaya Tinggi British ketika itu iaitu Sir Gerald Templer. Che Sibun juga telah menerima ganjaran berupa wang ringgit sebanyak $75,000.00.


Setelah maklumat ini disebarkan menerusi blog tertentu oleh waris Che Sibun, ada pihak yang beranggapan kerajaan Malaysia wajar memberi imbuhan dan saguhati kepada waris penangkap Mat Indera atas jasa ayahnya menangkap seseorang yang telah bersekongkol dengan Komunis dan tidak menyebelahi kerajaan. Maknanya orang yang telah menangkap Mat Indera telah dipinggirkan oleh kerajaan.


Bagi saya, kerajaan Malaysia setelah merdeka tidak boleh didesak memberi imbuhan dan penghargaan kepada orang yang telah menangkap Mat Indera ataupun mana-mana individu yang telah berjasa kepada pemerintah British. Sekitar tahun 1950 hingga tahun 1952 iaitu dari waktu berlakunya perisriwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong sehinggalah pada masa Mat Indera ditangkap pada tahun 1952 Tanah Melayu masih diperintah oleh British. Fakta yang jelas di sini ialah Mat Indera menentang pemerintah British dan Balai Polis Bukit Kepong pada ketika itu terletak di bawah pengawasan kerajaan British. Beliau tidak anti mana-mana pejuang Melayu yang sama-sama menentang penjajah Inggeris. Cuma yang boleh dipersoalkan beliau telah bersama-sama dengan pengganas Komunis menentang penjajah British.