Tuesday, August 25, 2009

MASALAH KEKURANGAN GULA DI PASARAN

1 Ramadhan 1430 Hijrah bersamaan 22 Osos 2009 bermulalah bulan puasa. Semua umat Islam menyambutnya dengan rasa gembira dan penuh keinsafan. Pada bulan yang mulia inilah umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadat mudah-mudahan hidup akan sempurna tanpa kerisauan di hati. Bagaimanapun muncul sahaja bulan puasa sekumpulan manusia sengaja menimbulkan masalah kepada penduduk di Malaysia iaitu sengaja mengurangkan bekalan gula di pasaran. Fenomena yang sedang berlaku ini memang menggusarkan rakyat kerana gula merupakan bahan utama dalam proses penyediaan makan dan minuman, lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan tidak lama lagi menjelangnya hari raya Aidil Firti.

Di media massa kita sering mendengar dan membaca berita tentang pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerap kali memberi amaran kepada mana-mana pemborong yang menyorok atau didapati mengeksport gula secara haram ke luar negara tindakan tegas akan diambil oleh pihak kementerian berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada. Sehingga kini larangan dan ugutan ini masih tidak memberikan kesan yang positif kerana tindakan dan cara yang digunakan oleh para pemborong gula sangat licik dan bijak sehingga sukar dikesan oleh pihak berkuasa. Beberapa tangkapan dan serbuan yang berjaya dilakukan oleh Penguatkuasa Kementerian terhadap segelintir pemborong sahaja. Rasanya ramai lagi pemborong yang masih bermaharajalela kerana sukar dihidu oleh pihak berkuasa.

Pada amatan saya dua tujuan utama para pemborong menyekat bekalan gula di paaran. Mereka ingin mendesak kerajaan menaikkan harga gula. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya meningkatkan harga kerana gula merupakan barang kawalan. Kesempatan ini juga diambil bertujuan untuk menjual gula di negara jiran menerusi agen-agen haram kerana operasi ini sangat menguntungkan. Tanpa berfihir secara rasional mereka menjadikan rakyat sebagai mangsa. Rakyat begitu susah dan tertekan kerana kebanyakan kedai runcit tiada bekalan guru. Kalau ada pun kedai-kedai tertentu yang membenarkan pengguna membeli sekilo gram sahaja. Tidak salah kalau dikatakan dalam kerumitan ini kuasa ekonomi lebih dominan dan berjaya mempermainkan kuasa politik. Masalah negara ini bukan sekali berlaku malah telah terjadi berulang-kali kali. Kalau boleh kita tidak hendak pisang berbuah berkali-kali.

Saya mencadangkan agar pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mewujudkan satu badan khas seperti badan berkanun bertujuan mengambilalih semua kilang gula di Malaysia dan juga bertindak sebagai pemborong-pemborong yang mengagihkan bekalan gula ke kedai-kedai runcit. Satu lagi cara ialah penguatkuasa perlu ditambah bagi memantau semua kilang dan para pemborong yang ada di seluruh negara. Penguatkuasaan undang-undang juga perlu dkemaskini dan pelaksanaan mesti tegas serta bersistem bagi menjamin keberkesanan.

No comments:

Post a Comment