Thursday, August 20, 2009

KADAR JENAYAH SEMAKIN MENINGKAT DI SEKITAR LEMBAH KELANG

Kuala Lumpur dan kawasan yang berhampiran dengannya termasuklah Bandar Kelang, Petaling Jaya, Gombak, Kelana Jaya, Subang Jaya Puchong Ulu Klang, Ampang merupakan kawasan yang sangat padat dengan penduduk. Kawasan ini juga menjadi tumpuan warga asing sama ada yang datang secara sah atau menyusup masuk ke negara ini secara tidak sah. Mereka ini digelar pendatang asing tanpa izin atau (pati). Kehadiran mereka secara beramai-ramai memang tidak disenangi oleh penduduk tempatan. Sekitar Lembah Kelang menjadi tumpuan ramai kerana di sinilah lubuk untuk mencari rezeki. Banyak peluang pekerjaan yang boleh dicari, asalkan tidak memilih pekerjaan. Cuma dalam keadaan ekonomi yang sedang meleset kadar upah yang ditawarkan agak rendah berbanding kos hidup yang semakin meningkat. Pada hakikat yang sebenar kehendak manusia sukar dibatasi dan kadangkala meminggirkan keperluan yang menjadi kemestian dalam kehidupan.

Bila fenomena ini semakin ketara dalam masyarakat yang tinggal di bandar-bandar besar maka lahirlah sekumpulan manusia yang mendapatkan sumber kewangan dengan cepat dan rakus tanpa ada perasaan belas kasihan. Mereka sanggup merompak, mencuri menyamun, peras ugut, ragut dan sebagainya. Lokasi yang menjadi sasaran mereka ialah kawasan perumahan yang tiada pengawal keselamatan seperti rumah teres, banglo, rumah pangsa kos sederhana. Sejak kebelakangan ini paling menakutkan orang ramai ialah rompakan bersenjata yang biasanya dilakukan oleh warga asing yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Golongan wanita pula seringkali menjadi mangsa kepada peragut-peragut yang tidak berperikemanusiaan. Kebanyakan daripada mereka merupakan penagih dadah tegar yang telah beberapa kali menjalani pemulihan di pusat serenti. Bagi membolehkan mereka bertindak lebih berani dan ganas, dengan fikiran yang kurang waras mereka akan menelan pil syabu. Kesan yang paling drastik adalah mereka akan melakukan jenayah empat serangkai iaitu rompak, rogol, bunuh dan bakar. Tujuan mangsa dibakar bagi menyukarkan pihak polis mendapatkan bahan bukti dalam proses siasatan.

Penjenayah tidak menghadapi masalah untuk menjual barangan yang telah dirompak atau dicuri. Mereka akan menawarkan beraneka barangan curi dengan harga yang murah di pasar karat yang terletak di sepanjang Jalan Petaling. Pasar karat ialah tempat orang memperagakan dan memperniagakan hasil rompakan dan barangan curi. Lazimnya pasar karat beroperasi dari kam 2.00 pagi hingga 4.30 pagi. Antara barangan yang biasanya dijual termasuklah komputer riba, jam tangan, kasut lelaki, beg tangan, pakaian, barang kemas dan berameka jenis barangan yang mudah dibawa serta diminati ramai. Sebenarnya orang ramai yang berkunjung ke sini dengan tujuan untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah tidak bermoral dan salah di sisi ajaran agama. Mereka yang gemar membeli barangan curi secara langsung memberi dorongan dan perangsang kepada penjenayah untuk terus merompak dan mencuri. Seandainya pihak polis melakukan rondaan dan serbuan semua mereka yang berada di situ akan ditangkap dan ditahan dalam lokap. Mereka yang terlibat akan disoal siasat dan sekiranya didapati bersalah akan dipenjarakan dan didenda. Pastinya mereka yang berkunjung ke pasar karat sama ada dengan tujuan untuk membeli atau lepak-lepak pada awal pagi berisiko ditahan polis.

No comments:

Post a Comment