Saturday, August 22, 2009

CABARAN OKU PENGLIHATAN DALAM TEMPOH 52 TAHUN MALAYSIA MENCAPAI KEMERDEKAAN

Pada tanggal 31 Ogos 2009, genaplah 52 tahun Malaysia mengecap nikmat kemerdekaan. Dalam tempoh tersebut seribu satu macam kemajuan dan pembangunan telah dicapai oleh rakyat Malaysia. Dari Perlis hingga ke Sabah terserlah kemakmuran dan kedamaian yang sedang dinikmati oleh warga Malaysia. Menjelang sambutan 52 tahun kemerdekaan kelihatan Jalur Gemilang berkibaran di seluruh pelusuk negara. Kibaran ini pasti melambangkan kegembiraan dan kebahagiaan rakyat. Secara sedar atau tidak dalam jutaan rakyat Malaysia terselit segolongan manusia yang diistilahkan sebagai orang kurang upaya pengliharan. Sebagai masyarakat yang telah matang harus merenung sejenak nasib mereka. Adakah golongan ini telah merdeka dalam erti kata yang sebenar? Kalau diamati secara fikiran terbuka masih banyak cabaran dan liku-liku yang terpaksa ditempuhi oleh mereka.

Semasa pasangan suami isteri inginkan zuriat yang sempurna dari segi fizikal mahupun mental. Alangkan sedih dan terharu sekali seandainya anak yang dilahirkan cacat, lebih-lebih lagi buta. Pastinya berbagai-badai persoalan dan andaian bermain-main di fikiran mereka. Kepada yang menerima hakikat, anak yang buta akan dipelihara dengan penuh kasih sayang dan diberi perhatian yang sewajarnya. Kepada pasangan yang tidak dapat menerima lumrah kehidupan anak yang buta akan dipelihara tanpa rela. Insan yang tidak berdosa akan terbiar dan tidak disosialisakan dengan sempurna. Terdapat segelintir kanak-kanak buta kerana pilih kasih keluarga kandung terpaksa dipelihara oleh keluarga angkat. Tidak menghairankan juga terdapat kanak-kanak buta yang tidak terbela dan mahu tidak mahu terpaksa ditempatkan di rumah-rumah kebajikan. Meskipun negara telah 52 tahun mencapai kemerdekaan terdapat kanak-kanak buta terus dihimpit kesengsaraan kasih sayang yang tulen berpunca daripada ibu bapa yang tidak merdeka dari segi moral dan keagamaan.

Kita harus menerima hakikat bahawa pendidikan OKU penglihatan di Malaysia telah dimulakan oleh penjajah Inggeris. Sekolah Princess Elizabeth secara rasminya telah dimulakan pada tahun 1948 dan Sekolah St. Nicholas, Pulau Pinang secara rasmunya telah dimulakan pada tahun 1951. Dari detik itulah kanak-kanak buta mula menerima pendidikan secara formal. Pada tahun ini mereka masih lagi menerima pendidikan dengan peralatan yang serba kekurangan. Sekitar tahun 70an sekolah-sekolah khas cacat penglihatan masih lagi berada di bawah seliaan NGO. PES umpamanya berada di bawah jagaan MAB. Pada tahap ini buku-buku teks dan peralatan khas disediakan oleh NGO yang berkenaan.

Bermua dari era 80an secara berperingkat-peringkat kerajaan menerusi Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran mula mengambilalih sekolah-sekolah khas. Secara percubaan, buku-buku Braille disediakan oleh Bahagian Percetakan, Unit Braille, Jabatan Pendidikan Khas. Buku-buku Braille yang dibekalkan ke sekolah-sekolah khas kurang berkualiti. Akibatnya, pelajar-pelajar buta tidak dapat menmanfaatkan bahan berkenaan secara berkesan. Pada dasarnya bahagian percetakan ini gagal beroperasi dengan sempurna dan dan jbatan Pendidikan Khas telah memilih beberap syarikat swasta yang menjurus kepada percetakan buku-buku Braille. Usaha ini juga gagal mengatasi pembekalan buku-buku teks yang sempurna ke sekolah-sekolah khas cacat penglihatan. Meskipun Malaysia telah 52 tahun mencapai kemerdekaan R & d dalam penyediaan buku-buku Braille untuk pelajar-pelajar OKU penglihatan masih belum mantap. Sehingga hari ini pelajar OKU penglihatan masih berhadapan dengan masalah ketiadaan dan ketidaksempurnaan buku teks Braille yang menjadi rujukan utama dalam proses p & p. Sepatutunya setelah separuh abad Malaysia mencapai kemerdekaan kemelut ini tidak seharusnya menjadi satu persoalan yang perlu ditangani dengan sewajarnya.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan dalam menempuh liku-liku pembelajaran, muncul beberapa OKU penglihatan yang mencapai kejayaan yang sangat cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya melayakkan mereka menjejakkan kaki ke menara gading. Di menara gading mereka pastinya berhadapan dengan tanggapan segelintir pensyarah yang kurang yakin dengan kemampuan OKU penglihatan sehingga tidak membenarkan OKU penglihatan menjurus kepada sesuatu bidang. Lebih memeritkan lagi keadaan ada beberapa orang pensyarah yang tidak membenarkan OKU penglihatan merakam kuliah mereka dengan menggunakan pita rakaman. dari tahun 1960an hingga ke tahun 1980an inilah satu cara OKU penglihatan mendapatkan nota kuliah. Sehingga kini tidak sampai 2% pun bahan rujukan dalam tulisan Braille. Mahu tidak mahu OKU penglihatan tanpa segan silu terpaksa mencari embaca sukarela. Bagi pelajar OKU penglihatan di peringkat sarjana dan doktor falsafah sebahagian daripada sumber kewangan mereka terpaksa digunakan untuk mengupah pembantu penyelidik. Senario sebegini ialah asam garam dalam kehidupan seorang siswa atau siswi cacat penglihatan walaupun Malaysia telah 52 tahun mencapai kemerdekaan.

Dalam tempoh 52 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan bidang pekerjaan yang boleh diceburi oleh OKU penglihatan sangat terhad. Pada awal 1960an OKU penglihatan boleh berkecimpung sebagai pembuat dan penjual bakul dari riumah ke rumah dan pendapatan mereka sekadar untuk menyara keluarga. Di kampung-kampung yang masih mengekalkan unsut tradisi segelintir OKU penglihatan bekerja sebagai tukang cerita yang digelat Tok Selampit, Tok BelangaPenglipur Lara dsbnya. Tidak kurang pula yang berkebolehan menjadi tok bomoh, dukun serta tukang urut. Pendapatan mereka agak kecil bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kebanyakan daripada mereka terpaksa bergantung harap kepada adik-beradik yang bersimpati.

Dari penghujung tahun 1960an hingga tahun 1990an OKU penglihatan yang bernasib baik diterima menjawat jawatan telefonis di sektor awam dan swasta. Mana-mana OKU penglihatan yang berkebolehan dan berkelulusan SPM atau STPM setelah mendapat latihan khas di Pusat Latihan Gurney diterima bekerja sebagai juru terengkas di sektor awam. Lebih ramai diambil pada tahun 1981 sempena Tahun Antarabangsa Bagi Orang-Orang Cacat. Semakin jauh Malaysia merdeka, nasib OKU penglihatan semakin terkebelakang kerana mereka yang berjawatan juru terangkas seorang demi seorang terpaksa bertugas sebagai telefonis walaupun gred jawatannya N17. Senario begini wujud kerana peralatan pejabat yang semakin canggih dan budaya kerja yang mula berubah. Peralatan khas yang digunakan oleh OKU penglihatan tidak dikemaskini sejajar dengan perkembangan semasa.

Dalam tempoh yang sama juga jawatan telefonis semakin berkurangan. Bersesuaian dengan sistem telekomukasi yang semakin canggih sektor awam dan juga syarikat-syarikat swasta gemar menggunakan sistem telefon jawab secara automatik. Dengan cara ini mereka akan dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu mengambil ramai pekerja. Akibatnya OKU penglihatan yang berkelulusan SPM semakin sukar mendapat pekerjaan yang boleh menjamin kebahagiaan hidup.

Dalam lingkungan 52 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan telah ramai OKU penglihatan yang bergelar siswazah dari peringkat sarjana muda hinggalah ke peringkat doktor falsafah. Kesukaran mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan terus membelenggu OKU penglihatan yang berkelulusan tinggi. Kalau ada pun seorang dua sahaja yang menyandang jawatan pegawai. Jawatan guru pula ditawarkan secara bermusim kepada OKU penglihatan. Jika timbul rungutan dan rasa tidak puashati pihak-pihak tertentu pastinya Bahagian Pengambilan Guru akan mengamalkan dasar tutup pinti. Akibatnya OKU penglihatan tersisih di negara sendiri meskipun telah sekian lama mencapai kemerdekaan.

Bermula dari hujung tahun 80an hingga kini salah satu pekerjaan yang boleh diceburi oleh OKU penglihatan ialah juru urut. Pekerjaan ini diceburi oleh semua golongan OKU penglihatan tidak kira setakat mana taraf pendidikan mereka. Mujurlah juru urut buta masih diyakini dan terus mendapat perhatian masyarakat secara keseluruhannya. Yang menimbulkan masalah kini ialah terlalu ramai OKU penglihatan menceburi kerjaya ini sehinggakan kebanyakan daripada mereka sukar mendapatkan pelanggan yang mencukupi. Kesannya pendapatan bulanan mereka terjejas.

meskipun negara kita telah 52 tahun mencapai kemerdekaan dan sedang membangun dengan begitu pesat, sektor kerajaan mahupun swasta tidak berupaya memberi peluang pekerjaan dan menolong semua warga cacat penglihatan. Harus diakui hakikat bahawa kemampuan dan kebolehan serta sikap golongan cacat penglihatan berbeza-beza. Ramai juga OKU penglihatan yang terpaksa atau sengaja mengharapkan simpati masyarakat di sekitar Lembah Kelang dan sekitar banda-bandar utama di Malaysia. Sudah menjadi lumrah masa kini, orang-orang yang gemar makan di medan selera pasti akan ditegur oleh orang buta bersama temannya yang celik dengan satu tujuan inginkan wang. Senario ini sukar dihapuskan kerana pada masa ini kerajaan hanya mampu memberi bantuan Elaun Pekerja Cacat cuma RM3000.00 sebulan.

Meskipun telah separuh abad kita mengecap nikmat kemerdekaan nasib golongan cacat penglihatan secara keseluruhannya masih kurang terbela. Mereka perlu berhadapan dengan cabaran, ranjau, serta rintangan dalam menempuh kehidupan yang kian mencengkam. Yidak salah kalau dikatakan, dengan terciptanya peralatan yang serba canggih serta perkembangan sains dan teknologi sedikit sebanyak telah memberikan manfaat kepada golongan cacat penglihatan dan paling malang menjejaskan peluang OKU penglihatan untuk mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan pekerjaan yang diwujudkan memerlukan penglihatan yang normal. Walau bagaimanapun, buta tidak harus dijadikan penghalang untuk terus berdikari. OKU penglihatan mesti kuat semangat dengan memanfaatkan insentif-insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Tenaga Kerja. Setelah 52 tahun Malaysia merdeka OKU penglihatan perlu terus berjuang dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan menjaga imej diri.

2 comments:

  1. salam ziarah dari saya rasasayang79. tahniah atas blog. jemput ke blog saya: www.myazhar4u.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. slm,sy sangat berminat untuk mengkaji syarikat percetakan utk org yg kurang upaya,sekiranya En. mengetahui mana2 syarikat percetakan di sekitar selangor@KL sila e-mail kepada sy: cycloops_v@yahoo.com.
    terima kasih.

    ReplyDelete