Wednesday, December 9, 2009

TERANGSANG DENGAN SEBUAH LAGU DALAM "YOU TUBE"

Pada 8 Disember 2009 saya bangun daripada tidur pada pukul 3.10 pagi kerana terlelap awal. Lantas saya padamkan suis televisyen yang telah tamat siaran. Sekadar mengisi masa lapang pada awal pagi, terdorong di hati untuk mendengar lagu Saleem yang sekian lama tak saya dengari. Saya begitu meminati kemerduan dan lenggokan suaranya yang mendayu-dayu. Saya hanya memilih lagu-lagu yang betul-betul saya minati sambil mengimbas kenangan lalu bersama-sama rakan-rakan di asrama SMPK Setapak dan di asrama ke-7 Universiti Malaya.


Sedang seronok memerhatikan tajuk lagu yang dipopularkan oleh Sallem, terjumpa lagu "Namun Ku Punya Hati" yang dinyanyikan oleh Saleem. Masih segar dalam ingatan penyanyi asalnya lagu ini ialah Freedy Penandez. Sebenarnya saya kurang berminat untuk mendengar satu-satu lagu yang dinyanyikan oleh bukan penyanyi asal lagu berkenaan. Kali ini teragak pula hendak mendengar lagu "Namun Ku Punya Hati" yang dinyanyikan oleh Saleem.


Dengan segera saya terus klik tetikus ke lagu berkenaan. Saya sangat teruja dan terangsang apabila melihat gambar latar tempat yang ditayangkan ialah di Bengkel MAB yang terletak bersebelahan dengan Bank Simpanan Nasional. Kini bengkel tersebut cuma tinggal kenangan kerana telah terbakar pada tahun 2002. Dapat saya perhatikan, Juru kamera telah memfokuskan kamera videonya kepada aktiviti-aktiviti orang buta di bengkel termasuklah Pak Lah dan arwah isterinaya sedang membungkus skeru, Begitu juga dengan Kak Leha dan arwah suaminya, Turut difokuskan kepada Encik Ismail Bajan dan isterinya dan beberapa orang pembungkus sekeru yang lain. Tidak Ketinggalan Encik Ramli Yusof dengan bakul sampahnya. Juru kamera juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar Encik Fairuz yang sedang melaksanakan tugasnya iaitu menulis laporan hariannya dengan menggunakan mesin Braille.


Lanser kamerenya juga turut dihalakan kepada sekumpulan orang cacat penglihatan sedang berbual-bual di ruang legar bengkel. Mereka yang sedang berbual semuanya saya kenali. Antara mereka termasuklah Encik Ahmad Abddullah yang kerap ke sana setelah selesai bertugas di Perpustakaan MAB. Kawan saya Encik Azman Sukerman yang saya kenali sejak di tingkatan empat. Kelihatan Encik Azman sedang ketawa. Mungkin topik yang sedang dibualkan menggelikan hatinya. Kawan rapat saya sejak tahun 1994, Encik Yusof Mamat yang sedang ber-bual-bual dengan begitu riang sekali sambil bermian-main dengan tongkatnya. Kelihatan tongkat digeselkan ke hidung dan terus turun ke mulut. Agak melucukan juru kamera tidak melepaskan peluang merakam Encik Yusof menjilat tongkatnya. Turut berada di situ ialah kawan baik saya sejak di bangku sekolah rendah lagi, Encik Muhamad Mohd Ali. Sewaktu gambar diambil dia kelihatan sedikit kurus dan rambut masih menebal di kepada berbianding sekarang sedikit gemuk dan mula mengalami keguguran rambut.


Tidak kurang lima kali saya mengulangi lagu berkenaan semata-mata ingin melihat suasana dan gambaran di bengkel MAB. Terimbas kembali sewaktu saya dan rakan-rakan melepak di bengkel MAB kalau tak silap saya dari tahun 1994 hingga tahun 2002. Banyak peristiwa suka dan duka terkenang kembali bersama-sama rakan-rakan sewaktu melepak di bengkel MAB. Dengan terjumpanya lagu Namun Ku Punya Hati nyanyian saleem menerusi You Tube dapatlah saya melihat beberapa aktiviti yang dilakukan oleh orang cacat penglihatan di Bengkel MAB. Bila terasa bosan saya akan melihat beberapa gelagat rakan-rakan saya yang melucukan.

No comments:

Post a Comment