Wednesday, December 23, 2009

PANGGILAN TELEFON DARI HOSPITAL SELAYANG

Pada 22 Disember 2009, jam 2.15 petang saya ke Ibu Pejabat Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) bertujuan mencetak ke tulisan Braille dua naskah Minit Mesyuarat AJK SBM Cawangan KL/Selangor. Pada masa sekarang SBM Cawangan KL?Selangor mempunyai 6 orang AJK dan 2 orang daripada kami menggunakan tulisan Braille. Setelah siap mencetak dokumen berkenaan saya pun bersembang dengan kerani am SBM untuk beberapa ketika. Saya tidak boleh melengahkan masa kerana Pengerusi Cawangan Encik Abas dan beberapa orang AJK sedang menunggu di cawangan untuk mengadakan perbincangan ringkas berkaitan jamuan akhir tahun.


Sebaik sahaja telefon berdering, Encik Bahari menjawab panggilan tersebut dan terus disambungkan kepada Cik Chok Siew Lee, Setiausaha Eksekutuf SBM. Saya meneruskan perbualan bersama Encik Bahari yang sedang menulis sesuatu di komputer dengan nada suara yang perlahan agar tidak mengganggu perbualan telefon. Setelah selesai berinteraksi dengan pemanggil berkenaan, Cik Chok terus mengajukan pertanyaan sama ada saya sudi atau tidak melakukan kerja sukarela. Oleh kerana soalannya terlalu umum, saya inginkan kepastian daripadanya tentang kerja sukarela yang dimaksudkan. Menurutnya, sebentar tadi beliau menerima panggilan dari Dr. Goh yang berkhidmat di hospital Selayang. Doktor berkenaan mempunyai seorang pesakit yang menghidap kencing manis. Akibat penyakitnya yang tidak terkawal matanya menjadi buta. Doktor pakar telah melakukan rawatan dan penglihatannya tidak dapat diselamatkan.


Menurut Dr. Goh Puan Sharifah berumur 50an dan berkhidmat sebagai guru. Doktor berkenaan meminta jasa baik Cik Chok agar dapat menghantar beberapa orang wakil SBM ke hospital Selayang bertujuan memberi dorongan dan perangsang kepada Puan Sharifah. Doktor yang merawatnya masih tidak mampu memulihkan tekanan perasaan dan jiwanya yang terganggu kerana hiang penglihatan. Kepada mana-mana ahli SBM yang berminat untuk mendampingi dan memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada Puan Sharifah bolehlah menghubungi Cik Chok Siew Lee Di SBM.


Berdasarkan kepada kisah ini dapat kita bayang dan renungkan betapa seksa dan menderita individu yang selama ini mempunyai penglihatan dengan secara mendadak hilang penglihatan. Sekian lama beliau bebas bergerak ke sana ke mari dengan menggunakan pengliahatannya tiba-tiba tidak dapat bergerak sendirian akibat tiada penglihatan. Bukan setakat tidak boleh bergerak pastinya beliau akan berasa sukar untuk melakukan sesuatu termasuklah menguruskan diri sendiri. Seandainya mempunyai anak. Anaklah yang akan membantunya dan membawanya ke sana dan ke mari. Asuhan dan didikan yang sempurna membolehkan anak-anak menghormati dan mengenang jasanya. Jika sebaliknya terpaksalah mengharapkan simpati orang lain.

No comments:

Post a Comment