Sunday, September 19, 2010

BUDAYA PEMBERIAN DUIT RAYA SEPANJANG HARI RAYA AIDIL FITRI

Dua minggu sebelum hari raya aidil fitri menjelang tiba mereka yang telah bekerja akan ke mana-mana bank untuk menukar wang sebagai duit raya. Setiap bank akan menyediakan wang kertas baru yang bernilai EM1, RM5, RM10, EM50 dan RM100. Biasanya pelanggan akan menukar wang RM1, RM5 dan RM10. Terlalu sedikit yang ingin menukar wang kertas RM50 dan RM100. Kalau ada pun untuk wang raya yang dikhususkan kepada anak-anak sendiri, ibu bapa dan datuk nenek. Jumlah wang yang ditukar bergantung kepada kemampuan seseorang dan jangkaan rambang jumlah kanak-kanak, saudara-mara, dan ahli keluarga terdekat yang akan diberikan duit raya.

Di Malayisa, pemberian duit raya telah terikut-ikut dengan budaya pemberian 'ang pau" setiap kali Tahun Baru Cina. Duit dimasukkan ke dalam sampul yang bewarna merah. Kalau tak silap saya pada awal tahun 1990an duit raya mula dimasukkan ke dalam sampul yang bewarna hijau. Pada peringkat awal, sampul duit raya boleh didapati di bank-bank perdagangan di seluruh negara. Mana-mana pelanggan yang melakukan urusan pertukaran wang untuk dijadikan duir raya, pihak bank akan memberikan sampul hijau kepada pelanggan berkenaan. Saya masih tidak dapat pastikan mana satu bank yang memulakan budaya ini. Syarikat-syarikat perniagaan tertentu turut sama meberi sampul hijau kepada pelanggan yang membeli barangan dan pelanggan yang berurusan dengan syarikat mereka. Di samping memberi sampul hajau secara percuna, cara ini juga merupakan strategi dalam usaha mempromosikan barangan dan perkhidmatan mereka.

Pemberian duit raya mula diberi kepada kanak-kanak 12 tahun ke bawah sebaik sahaja selesai sembahyang sunat aidil fitri. Orang-orang yang berkemampuan akan berdiri di pintu masuk masjid atau surau bertujuan memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Sebelum menerima duit raya, sebagai tanda hormat kanak-kanak akan bersalaman dan mencium tangan pemberi sumbangan. Budaya ini tidak berlaku di semua masjid atau suarau. Dapat kita perhatikan budaya ini menjadi amalan di penempatan yang masih mengekalkan semangat kekitaan dan tradisi kejiranan yang utuh. Budaya pemberian duit raya berlangsung sepanjang bulan Syawal. Kumpulan kanak-kanak akan mengunjungi rumah-rumah di sekitar kampung atau taman perumahan. Tujuan utama mereka ialah untuk bersalaman dan beraya dengan tuan rumah dengan harapan untuk memperolehi duit raya. Juadah hari raya akan dimakan di rumah pertama dan kedua sahaja, rumah seterusnya mereka hendak duit raya sahaja. Biasanya tuan rumah telah sedia maklum dengan telatah dan kerenah kanak-kanak. Mereka dengan ikhlas akan melayan kehendak kanak-kanak yang berlaku sekali setahun. Sikap kanak-kanak yang sebegini sebenarnya boleh menceriakan suasana hari raya aidil fitri yang disambut cuma sekali setahun.

Sepanjang bulan Syawal ramai umat Islam akan mengadakan rumah terbuka bertujuan meraikan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-handai. Mereka akan menyediakan juadah yang berupa pelbagai jenis makanan dan kuih-kuih yang boleh dinikmati oleh tetamu yang hadir. Sewaktu majlis rumah terbuka juga duit raya akan diberikan kepada kanak-kanak yang turut hadir bersama-sama tetamu yang dewasa. Tetamu yang berkunjung ke rumah terbuka pula secara adat akan membawa duit raya. Duit raya akan diberikan kepada anak-anak tuan rumah dan juga kepada kanak-kanak lain yang turut berada dalam majlis rumah terbuka tersebut. Sseorang tetamu yang telah bekerja sewajarnya mesti menghulurkan duit raya kepada semua kanak-kanak yang berada di situ. Dia tidak boleh memilih kanak-kanak yang dikenali sahaja.

Dalam situasi tertentu istilah pemberian duit raya bukan sahaja dikhususkan kepada kanak-kanak malah golongan dewasa yang terpilih dan istimewa juga menerima sumbangan duit raya. Biasanya orang kenamaan, orang kaya, pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) dsbnya akan mengadakan majlis khas bertujuan memberi sumbangan duit raya kepada golongan tertentu. Kumpulan yang disasarkan sebagai penerima duit raya termasuklah warga emas yang tidak berkemampuan, golongan OKU yang tidak berkemampuan dan golongan ibu tunbggal yang tidak berkemampuan. Pada hujung bulan Ramadan dan sepanjang bulan Sywal mereka yang prihatin dan NGO yang bersimpati dengan golongan yang memerlukan akan mengadakan majlis pemberian duit raya kepada golongan sasaran. Biasanya majlis ini diadakan secara rasmi dan mereka turut menjemput beberapa nedia bertujuan memberi makluman kepada masyarakat berkaitan sesuatu amalan murni yang dilakukan oleh mereka. Tujuan mereka bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi untuk menggalakkan lebih ramai individu yang kaya dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil secara ikhlas membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Secara kesimpulannya, pemberian duit raya harus digalakkan dalam masyarakat Islam kerana banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak dan golongan yang memerlukan. Amalan ini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan semangat kekitaan sesama umat Islam. Disyorkan pemberian duit raya perlu juga diterima oleh para remaja yang masih belajar di sekolah menengah. Golongan ini memang memerlukan wang dan mereka masih belum boleh mencari nafkah sendiri. Bagi saya mereka juga layak menerima duit raya.


No comments:

Post a Comment