Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1431 HIJRAH

Saya, Mohd Jais Ismail dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir batin kepada semua penjengok blog ini. Manalh tahu tulisan saya selama ini secara tidak sengaja telah menyinggung dan memperlekehkan mana-mana pihak. Maklumlah saya pun manusia biasa, tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Untuk pengetahuan semua, bila saya menulis sesuatu topik, saya cuba sedaya upaya untuk menjaga hati semua golongan masayarakat. Jauh sekali untuk menyakiti atau menyinggung mana-mana pihak.

Hari raya tahun ini kami sekeluarga tidak pulang beraya di kampung. Kampung saya terletak di Peringat, Kota Bharu, kelantan dan kampung isteri saya berlokasi di Chetok, Pasir Mas Kelantan. Kalau kami sekeluarga berniat hendak pulang ke kampung, tiket bas atau kereta api mesti dibeli awal kerana terlalu cepat habis. Maklumlah rakyat Kelantan di perantauan sangat ramai.

Meskipun suasana dan gambaran beraya di Seri Gombak ni tidak sama seperti di kampung halaman tempat asal saya namun kemeriahannya dapat kami rasakan juga. Di sini saya beraya bersama-sama jiran yang terdekat. Dapat diperhatikan bahawa isteri saya tidak kesunyian kerana beberapa kali dikunjungi oleh jiran yang berhampiran dengan rumah kami. Dia dan anak-anak juga berkunjung ke beberapa buah rumah yang berhampiran. Awal-awal lagi dengan ditemani oleh hujan yang renyai-renai saya telah ke Masjid Khairiah, Taman Seri Gombak untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Mujurlah pada pagi ini ada perkhidmatan bas rapid. Pada jam 12.40 tengah hari saya ke Masjid Batu 6, Gombak untuk menunaikan solat Jumaat. Saya ke batu 6, Gombak kerana ada janji dengan sahabat. Dia minta saya tengokkan komputernya yang sedikit bermasalah. Pada sebelah petang, saya tidak ke mana-mana dan hanya berehat sahaja di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Raya puasa tahu ini kami tidak pulang ke kampung kerana anak sulung kami iaiatu Ain Asyirah akan menduduki peperiksaan UPSR sejurus berakhirnya cuti raya dan cuti sekolah. Dia akan menduduki UPSR dari 21 hingga 23 September, 2010. Kalau kami balik ke kampung dibimbangi kesihatannya terganggu. Dia begitu alah pada cuaca yang terlalu sejuk kerana mudah terkena penyakit asma. Kami terpaksa berkorban untuk memberinya ruang untuk belajar dan menjaga kesihatannya agar tidak terganggu. Insya Allah kalau tiada sebarang masalah kami sekeluarga akan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha.

No comments:

Post a Comment