Sunday, July 24, 2011

CINTA ITU BUTA.

Siapakah yang mencipta ungkapan "cinta itu buta"? Tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan ini. Cuma yang kita tahu ungkapan ini telah sekian lama digunakan dalam masyarakat Melayu. Maknanya ungkapan ini dimiliki bersama oleh orang yang mengaku dirinya "orang Melayu". Orang melayu mengatakan "cinta itu buta" kerana tiada siapa pun yang dapat menjangkau cinta seseorang. hanya dirinya sahaja yang tahu cintanya sendiri. Jarang sekali orang akan membocorkan rahsia cintanya kepada orang lain. Adalah sesuatu perbuatan yang aib dan memalukan jika minat terpendam seseorang diketahui oleh orang lain. (Dalam tulisan ini saya fokuskan kepada cinta antara seseorang lelaki yang bukan muhrim dengan seseorang perenpuan dan sebaliknya).


Perasaan cinta mula meresap dalam diri seseorang tidak kira lelaki atau perempuan apabila umurnya mencapai akil baligh. Pada peringkat inilah seseorang akan terserlah sifat keremajaannya. Sewaktu berada di khalayak ramai lebih-lebih lagi dengan rakan sebaya, seseorang akan cuba menghias diri sekacak atau secantik yang boleh. Sebelum keluar rumah terlebih dahulu seseorang akan bertanya pada cermin muka sama ada dia telah bersedia berhadapan dengan orang ramai atau belum. Lebih-lebih lagi kepada seseorang yang masih mengintai-intai peluang dalam proses mencari teman istimewa bagi mengisi kesunyian jiwa.

Sepasang remaja dan teruna yang telah berjaya menempatkan diri mereka dalam kalangan orang-orang yang bercinta perlu memastikan bahawa cinta mereka benar-benar sejati dan sebati antara satu sama lain. Mereka perlu mengukir janji untuk menjadi teman istimewa yang bersopan dan bertatasusila. Sesuatu adegan yang menjadi larangan sebelum tiba masanya harus dihindarkan sama sekali. Mereka harus berikrar untuk menjadi sepasang merpati yang sejoli. Seandainya ikatan ini berjaya disemai dan hati mampu disatukan maka mereka merupakan pasangan yang beruntung kerana pertemuan yang tidak disangka membuahkan ikatan yang diharapkan.

Dalam arena kasih dan sayang yang begini mereka telah menempatkan diri mereka dalam kelompok cinta yang tertutup, Perasaan dan hati masing-masing telah dikunci antara satu sama lain. Dalam situasi ini tiada niat dan hasrat langsung untuk memikat dan menggoda orang lain. Rentetan yang telah mereka lalui telah membuatkan mereka menanamkan rasa setia yang tidak berbelah bagi. Secara sedar atau tidak mereka telah membawa diri mereka melalui arus yang dikatakan sebagai "cinta itu buta".

Pasangan yang berada dalam lingkungan "cinta itu buta" telah mencapai tahap climaks arau kemuncak. Mereka telah berjaya melepasi beberapa siri ujian dan mungkin rintangan dalam usaha mencapai cinta yang harmoni dan intim. Dalam situasi yang paling manis tiada siapa pun yang boleh mengganggu dan menggugat ketulusan hubungan mantap hati dan jiwa mereka. Mereka telah mengenali secara mendalam antara satu sama lian. Benar sekali dalam alunan cinta mesra mereka memang tepahat beberapa ungkapan yang menjadi teras kepada ikatan keikhlasan mereka. Antara ungkapan yang menjadi pegangan mereka termasuklah "hodoh di mata orang, cantik di mara saya", "haya dia seorang jantung hatiku dan tidak terbanding dengan yang lain", "berkasih biar satu, berkawan biar beribu", "hanya dikau seorang permata hatiku" dan banyak lagi ungkapan yang lain.

Tuesday, July 12, 2011

PERHIMPUNAN BERSIH 2.0, 9 JULAI 2011

Himpunan Bersih 2.0 yang telah berlangsung pada 9 Julao yang lalu adalah hasil anjuran 62 NGO dan diketuai oleh seorang peguan yang sangat berpengalaman iaitu S, Ambiga. Objektif utama himpunan ini bagi menuntut lapan perkara pincang yang perlu ditangani dengan ikhlas oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya. Himpunan ini tentu sekali mendapat sokongan yang padu daripada beberapa parti pembangkang utama di Malaysia termasuklah PKR, PAS dan DAP. Bermula dari bulan April lagi Himpunan Bersih secara aman telah disebarluaskan di beberapa media massa liberal dan berhaluan kiri. Berhaluan kiri di sini bermaksud pro kepada pembangkang. Beberapa orang pemimpin dari parti pembangkang pula menyatakan sokongan padu mereka kepada himpunan yang berbentuk protes dan menggambarkan kebangkitan rakyat. Tambahan pula butiran tuntutan dalam himpunan Bersih ini telah sekian lama diperjuangkan oleh semua parti pembangkang. Lapan perkara yang ingin diperjuangkan menerusi Himpunan Bersih 2.0 termasuklah:
1. Bersihkan senarai undi.
2. Menreformasi undi pos.
3. Guna dakwat kekal.
4. Masa kempen minima 21 hari.
5. Akses media yang bebas dan adil.
6. Kukuhkan institusi awam.
7. Hentikan rasuah.
8. Hentikan politik kotor.


Secara kesimpulannya, Himpunan Bersih 2.0 mewakili rakyat yang berkehendakkan pilihan raya dilaksanakan secara adil dan telus, di samping beberapa tuntutan yang sekian lama menjadi bahan kempen beberapa parti pembangkang. Setiap kali pilihanraya inilah modal kempen yang tidak lekang daripada pemimpin-pemimpin pembangkang.


Pada pendapat saya, Himpunan Bersih 2.0 tidak boleh dikatakan sebagai himpunan haram kerana himpunan ini telah dirancang dan dilaksanakan oleh beberapa NGO yang mungkin berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Bersih 2.0 pula merupakan slogan yang digunakan oleh perancang himpunan ini sebagai cetusan idea bagi menarik perhatian rakyat agar menyokong tuntutan yang kononnya menguntungkan rakyat secara keseluruhannya. Mereka juga telah menjelaskan berulang kali bahawa Himpunan Bersih 2.0 akan dilaksanakan secara aman. Perlembagaan Malaysia Perkara 10 (1)(b) dengan jelas memberikan keizinan kepada rakyat untuk menyuarakan sesuatu perkara iaitu semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.


Pastinya beberapa rundingan telah dibuat oleh wakil Himpunan Bersih 2.0 dengan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan. Mereka tentunya telah membuat persidiaan yang rapi agar tidak berlaku sebarang provokasi dari mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan sengaja ingin menggagalkan Himpunan Bersih 2.0. Perkara paling penting yang dibuat oleh mereka ialah memohon permit daripada pihak polis untuk berhimpun secara aman. Walau bagaimanapun, mereka gagal mendapatkan permit dan Perhimpunan Bersih 2.0 tetap dilaksanakan tanpa mendapat restu daripada pihak kerajaan. Perhimpunan Bersih 2.0 tanpa permit boleh dikatakan sebagai perhimpunan haram. Bila berlaku perhimpunan haram polis bertindak dengan cara meminta mereka yang berhimpun secara beramai-ramai bersurai. Dalam rentetan inilah berlaku beberapa kejadian yang tidak enak mata memandang. Media tempatan sama ada yang berhaluan kanan dan kiri serta media asing menjadikan peristiwa pahit ini sebagai berita hangat yang menjadi tatapan tamai sama ada di dalam dan di luar negara.


Sewajarnya Kementerian Dalam negeri bertindak secara rasional dengan membenarkan penganjur melaksanakan Himpunan Bersih 2.0 secara bersyarat. Tepat sekali dengan saranan yang disyorkan oleh Perdana Menteri agar himpunan ini dilakukan du satu kawasan yang tidak mengganggu pergerakan orang ramai iaitu di stadium. Pihak polis yang berada di bawah KDN pula garus memberi permit kepada pihak penganjur. Dua pertubuhan lain mengambil kesempatan untuk berdemonstrasi kerana tidak sehaluan dengan pemikiran yang ingin dicetuskan oleh penganjur Himpunan Bersih 2.0. Mereka juga ada hak untuk medapatkan permit bagi tujuan berhimpunan. Dengan syarat berhimpun di lokasi yang yang berlainan dengan Himpunan Bersih bagi mengelakkan berlaku perselisihan faham yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Sewaktu perhimpunan berlangsung pihak polis harus berperanan mengawal keselamatan bagi menjamin perhimpunan dilakukan secara aman. Mereka harus bertindak dengan tegas jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab berniat jahat ingin melakukan provokasi. Pihak polis wajar mengawal secara ketat bebeberapa individu yang berarak secara aman ke Pintu istana agong bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulis Seri Paduka baginda Yang Dipertuan Agong. i

Thursday, June 16, 2011

RENTAK PERJUANGAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM PADA ZAMAN BELIA

Datuk Seri Anwar Ibrahin ialah seorang tokoh politik yang tiada tolok bandingnya. Beliau amat dikenali oleh semua rakyat Malaysia yang sering mengikuti perkembangan politik tanah air. Kerjaya politiknya amat unik kerana terkenal dan amat disegani dalam parti politik yang memerintah dan parti politik pembangkang. Jawatan yang paling tinggi dalam UMNO ialah Timbalan Presiden UMNO dan dalam dalam parti pembangkang pula Penasihat Parti Keadilan Rakyat. Sewaktu beraksi dalam parti yang memerintah beliau antara tokoh politik yang menjadi bahan dikritik pembangkang dan beliau juga begitu lantang mengkritik PAS. Setelah berlaku percanggahan pendapat dengan Presiden UMNO sekitar tahun 1997 dan tahun 1998 dan jalan penyelesaian buntu belaiu dilucutkan semua jawatan dan dipecat daripada UMNO. Orang berdarah politik tidak akan berganjak daripada kerjaya yang diminatinya. Atas dasar tidak mahu menyerah kalah beliau dan beberapa orang pengikutnya telah menubuhkan parti politik pembangkang, sekarang ini dberi nama Parti Keadilan Rakyat. Memang telah diketahui umum beliau amat ditakuti dan digeruni oleh parti yang memerintah kerana suaranya yang begitu lantang dalam Dewan Rakyat. Ada saja tuduhan dan cemuhan yang melampau terhadap dirinya. Setelah tamat sahaja penggantungan menghadiri sidang parlimen selama enam bulan, pada sedang dewan bertarikh 16 Jun 2011, beliau telah mengemukakan soalan tentang tindakan FELDA meminjam sebanyak 6 juta ringgit daripada KWSP tanpa mendapat kelulusan parlimen terlebih dahulu.

Datuk Seri Anwar Bin Datuk Ibrahim Bin Abdul Rahman lahir pada 10 Ogos 1947 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Stowell, Bukit Mertajam. Dari tahun 1960 hingga 1966 beliau menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Di seinilah beliau bersahabat dengan Sanusi Junid, Kamaruddin Jaafar, Yahya Ahmad dan beberapa orang tokoh politik yang terkenal. Pada tahun 1967, beliau meneruskan pengajiannya di Universiti Malaya dalam Pengakian Melayu dan menjurus kepada Sastera.

Karisme beliau dalam kepimpinan dan politik telah terserlah sewaktu beliau di bangku sekolah menenagah lagi di mana beliau telah memimpin beberapa persatudan dan telah dilantik sebagai ketua pengawas di MCKK. Di Universiti Malaya sifat kepimpinannya lebih menonjol apabila beliau telah mengasaskan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Berikut ialah rentetan kegiatan dan perjuangan politiknya sewaktu zaman belia.

1. Beliau telah mengasaskan badan bukan kerajaan iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia.
2. Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama tiga tahun (1974 - 1976) kerana demonstrasi jalanan di UM nerhubung kemiskinan tragis di Baling, Kedah. Penduduk pedalaman Baling dibiarkan reput kerana persembunyian komunis.
3. Amwar pernah berada di pentas PAS bertujuan mengkritik Tunku Abdul Rahman berhubung ISA, akta pertubuhan, kemiskinan ekonomi dan lain-lain.
4. Pada tahun 1968 menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Presiden Kesatuan Kebangsan Penuntut Muslim Malaysia.
5. Pada tahun 1969, Anwar bersama dengan Dr. Mahathir Mahathir menggunakan platform PAS mengutuk Tunku Abdul Rahman dan menyebarkan surat layang.
6. Pada tahun 1971 beliau bertenggungjawab menubuhkan Angkatan Belai Islam Malaysia (ABIM) dengan rakan-rakan yang sama-sama pernah belajar di MCKK.
7. Beliau pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
8. Pada tahun 1973 beliau diberi kepercayaam senagai Penasihat Majlis Belia Bangsa-bangsa Bersatu.
9. Pada tahun 1979 beliau telah menerima Pingat Utama Iqbal 100 Tahun oleh Presiden Zia Ul Haq, Presiden Pakistan.
10. Seterusnya menerima gelaran Datuk daripada Sultan Ahmad Shah di Istana Pekan, Pahang dan dari Sultan Selangor kemudiaannya.
11. Pada 29 mac 1982 beliau meninggalkan ABIM dan menyertai UMNO. pada ketika itu, ABIM mempunyai 40 ribu orang ahli.

Pada tahun 1982 inilah ramai yang tidak menyangka dengan tindakan yang diambil oleh Anwar untuk menyertai UMNO. Ramai yang beranggapan beliau akan menyertai PAS> Encik Subki Latiff dalam tulisannya pernah mengatakan bahawa Anwarlah orang yang paling sesuai menggantuikan Datuk Asri Muda senagai peneraju Parti PAS. Beberapa orang kanan ABIM menjadi orang kuat PAS. Antara mereka termasuklah Datuk Fadhil Nor, Nakhaie Ahmad, Abdul Hadi Awang Badul Halim Arshad dan beberapa orang tokoh yang lain.

Sunday, May 15, 2011

BERSIMPATI DENGAN LUAHAN SEORANG BLOGGER, TETAPI...

Saya berasa kasihan dan terharu apabila membaca satu luahan perasaan yang bertajuk "Ketidakadilan UPSI kepada Orang OKU." Secara ringkas, tiga orang rakan blogger ini yang juga cacat penglihatan telah menerima surat temu duga daripada UPSI. Pada hari yang ditetapkan mereka ke tempat temu duga dengan segunung harapan. Kalau ada rezeki suatu hari nanti mendapat ijazah yang menjurus kepada pendidikan awal kanak-kanak. Malang sekali mereka hampa kerana pihak UPSI telah memberi alasan orang cacat penglihatan tidak boleh mengambil kursus berkenaan. Saya berharap blogger berkenaan mesti berfikiran secara matang. Jangan terus mengutuk dan mengkritik UPSI secara negatif. Blogger dan lepasan SPM serta STPM yang lain perlu tahu bahawa sebelum ini UPSI telah mengambil beberapa orang cacat penglihatan menntut di UPSI dalam beberapa jurusan. Setahu saya pendidikan awal kanak-kanak belum lagi. Kita harus fikirkan sejenak punca dan kekangan yang menyukarkan pihak UPSI mengambil penuntut cacat penglihatan belajar di institusi berkenaan. Tidak dinafikan bahawa ada beberapa OKU penglihatan yang cemerlang dan mendapat keputusan yang cemerlang di UPSI. Kita juga harus peka kepada senario yang sebaliknya. Perkara yang kita harus sedar ialah tanggapan kebanyakan orang terhadap orang cacat termasuk mereka yang nerkecimpung dalam bidang akademik. Saya harap blogger berkenaan dan rakan-rakannya yang lain harus renungkan peribahasa Melayu ini, kerana nila setitk rosak susu sebelanga.

Untuk pengetahuan blogger berkenaan saya dan rakan-rakan saya yang lain pernah mengalami situasi dan peristiwa yang lebih pahit daripada anda semua. Bak kata peribahasa Melayu juga, saya dan rakan-rakan saya yang lain telah lebih dahulu yang makan gatam dan hempedu. Sebetulnya telah lalui dengan rasa masin dan pahit dalam usaha meneruskan pengajian dan mendapatkan pekerjaan yang setarad dengan kelulusan yang ada. Kami juga pernah mengeluh dan perintih. Kadang-kadang terasa putus asa dan terlintas juga menyalahkan nasib yang menimpa diri. Itulah hakikat sebenar yang terpaksa dihadapi dan ditempuhi oleh kebanyakan OKU penglihatan.

Satu cara yang boleh dilakukan oleh rakan-rakan anda ialah cuba berdiplomasi dengan pihak UPSI. Bentuk satu kumpulan yang sealiran dan buat janji temu dengan pihak UPSI. Jika pihak UPSI sanggup mengundang kumpulan anda berjumpa dengan mereka, itu satu petanda yang positif. Salah satu fakta yang boleh kumpulan anda kemukakan ialah katakan kepada mereka fikiran dan sikap orang buta tidak sama antara satu sama lain. Kemudian merayulah dengan bahasa bersopan-santun. Dengan cara ini nescara hati mereka akan lembut dan membenarkan beberapa irang cacat penglihatan meneruskan pengajian di UPSI.

Saya tahu kebanyakan lepasan SPM dan STPM berhasrart benar untuk ke UPSI atau mana-mana institusi yang menawarkan iajazah pendidikan. Dengan harapan setelah tamat pengajian dalam masa beberapa builan sahaja terus mendapat pekerjaan sebagai guru. Semua lepasan SPM dan STPM terutama sekali bekas anak-anak murid saya jangan putus asa teruskan usaha untuk menuntut ilmu di menara gadung. Walaupun berhadapan dengan beraneka macam kesulitan dan kepayahan. Semua itu boleh dihindarkan dengan cara berusaha sedaya upaua. Usaha yang dimaksudkan ialah bersedia untuk memajukan diri sendiri ke arah menjadi seorang yang berguna dengan menggunakan akal dan fikiran yang dikurnialan Tuhan.

Friday, May 13, 2011

PENGALAMAN SEBAGAI SETIAUSAHA PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLIHATAN MALAYSIA (SBM) CAWANGAN KUALA LUMPUR/SELANGOR

Sudah sekian lama saya memegang jawatan Setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor. Seingat saya dari pertengahan Mei 1997 hingga kini saya masih setia dan sanggup berkhidmat secara sukarela dengan SBM Cawangan KL/Selangor. Jika dihitung hampir 14 tahun lamanya saya telah menaburkan bakti kepada ahli-ahli SBM Cawangan KL/Selangor. Saya mula bergiat aktif dengan SBM Cawangan KL/Selangor semenjak berstatus bujang dan kini telah beristeri dan mempunyai tiga orang anak. Anak sulung telah meningkat remaja. usia pada ketika itu hujung 20an masih dikategorikan dalam golongan belia dan kini telah berusia 44 tahun dan tergolong dalam kelompok pakcik.

Dalam tempoh masa yang agak lama berbagai-bagai pengalaman manis dan pahit yang telah saya lalui dan harungi. Pengalaman sesama ahli jawatankuasa tetap segar dalam ingatan dan terus disimpan dalam memori hidup. Paling tidak dilupakan sewaktu sama-sama bersusah-payah dan bertungkus-lumus dalam usaha menganjurkan sesuatu aktiviti yang telah dirancang. Matlamat saya dan kerabat kerja ialah aktiviti yang bakal dilaksanakan memberikan kepuasan yang paling maksimum kepada ahli-ahli yang berminat untuk turut serta. Salah satu aktiviti uang paling mencabar dan begitu berkesan selama saya menjawat jawatan setiausaha ialah sewaktu menganjurkan Kayuhan Basikal Tendom secara Konvoi ke Hutan SImpan FRIM, Kepong, Selangor. Dua tenaga utama yang telah berusaha dari awal hingga akhir tak lain dan tak bukan ialah saya dan Allahyarham Rusly Yaacob.

Selama saya aktif dengan SBM Cawangan KL/Selangor jika tiada sifat kesabaran sudah lama saya angkat kaki dan berlalu dengan meninggalkan cawangan terkapai-kapai tanpa setiausaha. Kerenah dan perilaku beberapa ahli jawatankuasa seringkali mencabar kesabaran. Atas semangat untuk membantu ahli dan ingin melihat pertubuhan terus bergiat aktif maka saua sanggup terus berada bersama-sama dengan ahli jawatankuasa yang masih setia. Jauh di sudut hati saya tidak mahu SBM Cawangan KL/Selangor dikritik dan dipersendakan oleh ahli-ahli dan kelompopk lain yang berpunca daripada perselisihan faham sesama ahli jawatankuasa. Masih saya ingat lagi bagaimana pergaduan antara Naib Pengerusi SBM Cawangan KL/Selango dan Bendahari. Pada mulanya berbalas percakapan dan bila hati sudah panas hampir bertumbuk. Perlakuna mereka seperti budak-budak dan memang tidak matang. Pada tahun 2002 atau 2003 dua orang AJK telah meletakkan jawatannya semata-mata kerana terpengaruh dengan hasutan AJK yang lain. Setelah berlaku peristiwa yang pahit ini agak sukar juga untuk melaksankan sesuatu aktiviti kerana kekurangan tenaga kerja. Tugasan yang ditinggalkan terpaksa diambilalih oleh AJK yang lalin. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan AJK yang ada dbebani dengan tugasan yang berat.

Dalam tempoh 14 tahun lamannya saya berkhidmat dengan SBM Cawangan KL/Selangor barisan AJK diterajui oleh empat orang Pengerusi iaitu Encik Ahmad ABdullah, Allahyarham Mohd Gjazali Tocheh, Puan Nurul Khairani Choi Abdullah dan Encik Abas Ashari. Maknanya saya telah begitu masak dengan cara kepimpinan mereka. Empat orang empat ragam. Sekali-sekala terpaksa juga berhadapan dengan ragam yang menggeramkan hati. Sekali fikir terasa hendak meletakkan jawatan. lima kali fikir saya dipujuk oleh perasaan sendiri agar terus berbakti kepada ahli-ahli. pedulikan sahaja perangai dan ragam yang tidak senonoh. Paling menguji kesabaran ada pengerusi yang gemar mewujudkan blok pengaruh. Saya dan beberapa AJK yang lain kononnya tidak sehaluan dengan mereka. Kalau diikutikan perasaan memang mengyakitkan hati memikirkan cebisan hati busuk yang dihulurkann kepada saya dan beberapa AJK yang lain. Satu lagi hal yang tidak sanggup untuk dihadapi ialah berhadapan denga pengerusi yang bersifat talam dua muka. Beliau gemar melaga-lagakan antara seorang AJK dengan AJK yang lain. Kesan yang terjadi tentulah hubungan sesama AJK tidak harmoni. Timbul syak wasangka antara satu satu lain dek peranan insan yang berwatak syaitan dan berwajah manusia.

Langkah saya menawarkan diri untuk menyandang jawatan setiausaha memang begitu banyak ilmu yang telah saya perolehi. Salah seorang pengerusi kerap memberikan saya idea dan tunjuk ajar selok-belok untuk menerajui sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Saya menimba pengetahua daripada beliau tidak secara formal tetapi menerusi perbualan sama ada di premis cawangan atau sewaktu minum di warong. Saya akan membuka topik dan mengajak beliau bercerita tentang pengalaman beliau menerajui beberapa pertubuhan sama ada pertubuhan berfokuskan kepada politik atau kebajikan. Maklumat daripada beliaulah saya rangkumkan dan oleh menjadi tersusun sehingga menjadi ilmu yang dapat saya gunakan ke arah mengaktifkan SBM Cawangan KL/Selangor. Cara beliau yang saya paling kagumi ialah tidak pernah meninggikan suara sewaktu berinteraksi dengan ahli meskipun pada situasi ahli-ahli sedang marah kerana sesuatu isu menimbulkan rasa tidakpuas hati ahli-ahli. Beliau akan cuba menggunakan psykokologi bagi menenangkan ahli-ahli.

Daripada pemerhatian dan penelitian saya pengerusi yang paling aktif mencari tajaan dan berjaya menghubungi pihak luar dan merencankan beberapa aktiviti yang baru untuk manfaat ahli-ahli ialah Allahyarham Mohd Ghazali Tocheh. Dalam usaha mendapatkan tajaan beliau sering berdiplomasi dengan pegawai Jabatan Kebudayaan. Beliau kerap berhubung dengan pegawai DBP dalam usaha mendapatkan tajaan bagi aktiviti yang berfokuskan kepada sastera dan seni. Beliau juga begitu lantang menyuarakan keperluan ahli-ahli dalam Mesyuarat MP. Jasa beliau tetap dikenang dalam lipatan memori SBM Cawangan KL/Selangor.

Secara khisana saya berkali-kali menyuarakan pendapat dan buah fikiran kepada penjawat-penjawat utama SBM agar mengadakan satu strategi bagi menggalakkan golongan belia yang cacat penglihatan bergiat aktif dengan SBM. Seterusnya berminat untuk menjawat beberapa jawatan utama di SBM sama ada di ibu pejabat atau cawangan/kawasan. Mereka tidak boleh diserap secara pendadak. Mereka mesti melalui satu proses berjinak-jinak dengan SBM. Dari sini sedikit sebanyak mereka akan tahu cara merancang, melaksana dan mentadbir SBM. Perkara yang paling penting mereka mesti kerap berkunjung ke SBM dan melihat serta memerhatikan corak pentadbiran SBM. Selian itu, mereka mesti ada minat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh SBM. Saya pun tidak selama-lamanya ingin menawarkan diri untuk menyandang jawatan setiausaha. Sampai masanya saya perlu berundur dan jawatan setiausaha perlu diisi oleh ahli yang berkebolehan dan ada semangat untuk berkhidmat secara sukarela dengan SBM Cawangan KL/Selangor. Saya perlu melakukan reformasi terhadap diri saya. Mungkin suatu ketika nanti saya ada semangat dan berminat bagi menawatkan diri untuk bertanding jawatan lain.

Thursday, May 5, 2011

PAS jangan tersilap langkah dengan taktik politik UMNO

Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan cabaran utama sokongan orang Melayu kepada UMNO. Realitinya, wujudnya pasti PAS mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO. UMNO amat mengharapkan sokongan dan dokongan orang Melayu dalam usaha memantapkan parti UMNO yang merupakan tunjang dalam BN. Dengan adanya PAS sokongan orang Melayu terhadap UMNO tidak menyeluruh kerana orang Melayu yang inginkan perjuangan politik secara Islam tentu sekali akan menyokong PAS. Bersesuaian dengan matlamat utama parti PAS iaitu berusaha dan berazam menegakkan sebuah negara Islam dan Islam untuk semua. Memang tidak dapat disangsikan lagi UMNO memang takut dengan semangat perjuangan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin PAS.

Dalam keadaan yang terdesak, beberapa kali pucuk pimpinan dan beberapa pemimpin utama UMNO menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan PAS. Kita pun kurang pasti ajakan dan pelawaan tersebut jujur ataupun tidak. Mingkin juga mempunyai maksud yang tersirat untuk memerangkap parti PAS. Pemimpin UMNO amat berharap agar ada pemimpin PAS yang menyahut secara positif saranan dan seruan mereka untuk bekerjasama terutama sekali untuk mencari jalan bagi menyelesaikan perpaduan orang Melayu. Jika mereka terdengar sahaja ada suara-suara keramat pemimpin PAS yang menyokong mereka, maknanya jerat telah terjumpa mangsanya.

Masih segar dalam lipatan sejarah PAS pernah sehaluan dengan UMNO sehinggalah termetrinya satu ikatan persahabatan yang erat antara PAS dan UMNO. Pada waktu itu, PAS ditarajui oleh Datuk Mohd Asri Muda. Paling manis ialah wujud Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada tahun 1973. Jika dilihat dari luaran telah berlakunya perpaduan Melayu. Walaupun begitu UMNO masih tidak dapat menerima hakikat dan tidak bersetuju untuk mewujudkan pemerintahan yang bercorak Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.

Kesan awal yang merugikan parti PAS dari Kerajaan Campuran PAS-Perikatan ialah terdapat beberapa pemimpin yang dahulunya begitu setia dengan PAS telah meniggalkan PAS bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya. Salah seorang ulamak yang telah meniggalkan PAS pada waktu itu ialah Ustaz Yazid Jaafar. Golongan yang sehaluan dengan Ustaz Yazid tidak menyokong PAS duduk sebumbung dan bekerjasama dengan UMNO. Mereka telah mengagak dari awal bahawa kebanyakan pemimpin UMNO tidak ikhlas kerana mereka tidak bersetuju dengan perjuang PAS untuk mewujudkan negara Islam.

Menjelang tahun 1974 ikatan persahabatan PAS-Perikatan masih lagi erat. Parti PAS dan Perikatan sama-sama menubuhkan Barisan Nasional. Dengan wujudnya BN kedudukan PAS dalam BN semakin mantap, terdapat beberapa orang pemimpin yang menjadi menteri termasuklah Datuk Mohd Asri Muda yang telah menjadi Menteri Pembangunan Tanah dan Wilayah. PAS telah membetulkan beberapa amalan tradisi dalam apa-apa majlis rasmi dan keramaian yang dianjurkan oleh kerajaan. PAS meminta agar minuman keras dilarang sama sekali disediakan sewaktu majlis rasmi dan keramaian. Itulah salah satu jasa PAS yang terus digunapakai hingga ke hari ini.

Bermula tahun 1977 keretakan hubungan PAS dan Perikatan mula ketara. Bebebrapa pemimpin tertentu menjadi dalang untuk melaga-lahakan beberapa pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO. Kemuncak kepada tersingkirnya PAS dalam Perikatan apabila kebanyakan pemimpin PAS tidak bersetuju dengan Akta Darurat Kelantan pada tahun 1977. Kesannya PAS bukan sahaja disingkirkan dari Perikatan malah turut kehilangan kuasa di Kelantan. Antara tahun 1978 dan a982 merupakan zaman malap bagi parti PAS di Kelantan dan negeri-negeri lain di Malaysia. Dalam pilihan raya 1978 PAS hanya menang dua kerusi Parlimen sahaja.

Pada 30 April 2011 sewaktu berucap di Terengganu Datuk Seri Najib menasihatkan PAS agar jangan bekerjsama dengan DAP. Seandainya terus bekerjasam akan menguntungkan DAP. Beliau menyeru agar PAS bekerjsama dengan UMNO. Pada 5 Mei 2011 perkara yang sama turut disuarakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan mencadangkan agar PAS diijabkabulkan dengan UMNO dan BN. Dengan cara ini masalah perpaduan Melayu dan Islam akan selesai. Saranan ini sebenarnya mesti ada tujuan dan fokus tersembunyi yang ingin disasarkan oleh UMNO. Dalam waktu yang terdekat kita semua akan terdedah dengan berbagai-bagai pendapat yang menyatakan betapa murni sekali jika PAS dan UMNO bersahabat erat dari sudut politik.

Dalam situasi sekarang PAS jangan terperangkap dengan mainan politik halus pemimpin UMNO. Kawan sekutu UMNO dalam BN tak berkata apa-apa pun. Mereka terus diam dan membisu. Dari sini jelas sekali UMNO begitu terdesak inginkan sokongan orang-orang Melayu terutama sekali orang-orang Melayu yang berpendidikan. Jika kita menyorot kembali pilihanraya ke-12 pada tahun 2008. BN gagal mendapat sokongan di bandar-bandar, lebih-lebih lagi di ibu-ibu negeri yabng menjadi tonggak pemerintahan negeri. Di malaysia hanay empat ibu negeri sahaja yang dikuasai oleh parti yang memerintah iaitu Johoe Bharu, Kangar, Alor Star dan Kota Kinabalu. Bertitik tolak dari sinilah UMNO begitu dahagakan solongan orang Melayu.

Dalam situasi beberapa pemimpin UMNO yang menunjukkan sikap manis mulut yang penuh makna yang tersirat terhadap PAS. Mana-mana pemimpin PAS sewajarnya jangan memberikan sebarang komen lebih-lebih lagi menyokong saranan mereka. Tersilap langkah boleh tercetusnya perpecahan dalam parti PAS. Perpecahan yang dimaksudkan ialah sekumpulan menentang bekerjsama dengan UMNO dan satu pihak lagi menyolong kerjsama dengan UMNO.

Saranan agar PAS tinggalkan DAP penuh makna yang mendalam. Pemimpin PAS jangan terperangkap dengan saranan ini. Jika tersilap langkah boleh membuka tirai isu perkauman. Tidak dapat kita nafikan kebanyakan pemimpin DAP ialah orang Cina. Secara logiknya syor yang tidak matang ini boleh menggagalkan konsep 1Malaysia. Untuk menjayakan konsep 1Malaysia setiap rakyat Malaysia perlu berbaik-baik dan jangan timbul syak wasangka antara satu sama lain tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

Pemimpin PAS sewajarnya mengambil sikap tutup mulut dan jangan mempedulikan cadangan dan saranan yang masih meragukan. pegang pada pepatah Melayu, jika bertepuk sebelah tangan, tak akan berbunyi. Jangan sesekali bersetuju untuk menerima pinangan UMNO. Jika berjaya diijabkabulkan nescaya tidak bertahan lama. Silap-silap tak sampai taga bulan, bercerai talak tiga. Punah ranah rumah tangga yang dibina. PAS akan kehilangan kuasa dan sokongan orang Melayu akan terhakis. Barisan pemimpin yang ada sewajarnya memiirkan cara untuk memantapkan parti dan menambahkan sokongan orang Islam dan bukan Islam. Seterusnya menang cemerlang dalam pilihanraya bersama-sama dengan parti pembangkan yang lain.

Saturday, April 9, 2011

Maksud tersirat di sebalik pantang larang dalam masyarakat Melayu

Secara ringkas pantang larang ialah perlakuan atau perbuatan yang ditegah dalam masyarakat Melayu. Pantang larang terus kekal dalam masyarakat Melayu yang masih mengekalkan beberapa elemen yang diwarisi daripada nenek moyang secara turun-temurun. Tidak dapat dinafikan bahawa unsur ini semakin terhakis sedikit demi sedikit diakibatkan oleh masyarakat melayu beransur berubah corak kehidupan kepada carak kehidupan moden. Orang melayu ialah suatu masayarakat yang tidak mudah melupakan unsur teradisi yang menjadi amalan zaman berzaman. Setinggi mana sekalipun kemajuan teknologi yang dicapai dan cara kehidupan berstatus Melayu elit, jika dalam sesuatu kelompok masyarakat itu majoriti komunitinya terdiri daripada orang-orang Melayu beberapa pantang lapang masih menjadi unsur nasihat kepada anak-anak dan generasi muda. Tidak salah kalau saya katakan pantang larang ini merupakan sautu peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh masyarakat melayu jika seseorang itu berada dalam kelompok yang masih mengekalkan tradisi ini. Unik sekali kerana undang-undang yang berbentuk nasihat dan sindiran ini disampaikan kepada ahli masyarakat secara lisan. Berbekalkan teknologi sebaran maklumat yang terkini ribuan pantang larang telah dihasilkan dalam bentuk tulisan oleh mereka yang ada inisiatif untuk mengekalkan dan menyegarkan taboo ini dalam ingatan masyarakat Melayu. Dengan cara ini pantang larang tidak akan luput ditelan zaman. Elemen ini juga tidak akan terhapus dibawa arus pemodenan. Masyarakat Melayu ialah golongan manusia yang sensitif sifatnya dan mudah terasa. segala larangan, nasihat dan teguran harus disampaikan secara khiasan atau simbolik. Jika disampaikan secara terus terang pasti ada hati orang Melayu yang akan tersinggung dan terusik. Bila terusik akam muncullah perasaan malu kepada mereka yang ada di sekeliling. Salah satu usaha untuk menjaga hati dan perasaan orang-orang Melayu terciptalah pantang larang yang menjadi pembina sahsiah dan personaliti masyarakat Melayu. Dengan berpegang teguh kepada pantang larang masyarakat Melayu akan hidup penuh dsiplin dengan perlakuan dan pertuturan yang begitu sopan-santun. Dalam tulisan ini, saya akan perturunkan beberapa pantang larang yang disertai dengan maksud yang tersiarat. Maksud tersirat inilah merupakan tegahan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh orang-orang Melayu. Dengan adanya pantang larang ini orang-orang Melayu tidak akan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan norma dan nilai dalam masyarakat Melayu. Saya penuh yakin ramai orang kerap terdengar ungkapan "jangan duduk di atas bantal, nanti akan naik bisul di ponggong". Unsur nasihat di sini ialah kita dilarang sama sekali duduk di atas bantal kerana bantal ialah tempat kita meletakkan kepada sewaktu tidur. Memang tidak senonoh perangai meletakkan ponggong di atas bantal. Dengan menggunakan ponggong kita duduk di merata tempat tidak kira tempat itu kotor atau bersih. manusia juga mengeluarkan najis menerusi lubang di anatara kedua-dua belah ponggong. Memang tidak lekang daripada mulut orang-orang Melayu "orang perempuan jangan menyanyi di dapur, kalau menyanyi di dapur akan dapat suami tua". Kalau difikirkan secara logik perempuan muda tidak akan hendak bersuamikan orang-orang tua. Menerusi pantang larang ini orang perempuan dilarang menyanyi di dapur kerana sewaktu menyanyi boleh terleka. Manusia sukar untuk melakukan dua perkara dalam satu masa dengan sempurna. Jika menyanyi sewaktu menghiris bawang dibimbangi jari terluka. Jika menyanyi sambil memasak makanan ditakuti ada rencah-rencah tertentu yang tidak dibubuh dalam masakan. Akibatnya makanan yang dimasak tidak sempurna. Kesannya ahli keluarga atau sesiapa yang makan makanan tersebut akan tidak berselera. Kebanyakan daripada kita juga sering terdengar "orang mengandung jangan memukul ular, nanti anak yang dilahirkan akan cacat atau tidak sempurna sifatnya". Berdasarkan pantang larang ini, orang perempuan yang mengandung tidak boleh melakukan perkara yang lasak contohnya memukul ular. Jika seseorang memukul ular dia akan pukul dengan penuh geram dan sekuat hati. Jika perbuatan ini dilakukan oleh perempuan yang mengandung dibimbangi anak yang berada dalam kandungan akan mengalami keguguran. Ditakuti juga orang yang mengandung akan terjatuh. Akibatnya akan berlaku kecederaan kepada ibu dan mungkin juga kepada anak dalam kandungan. Di kampung Melayu yang masih mengekalkan unsur tradisi silam, Waktu makan malam ditentukan selepas sembahyang Maghrib. Jika ada ahli keluarga yang ingin makan awal akan dapat didengar ungkapan "jangan makan waktu senja, nanti semangat padi akan hilang". Maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada orang Melayu ialah Seisi keluarga hendaklah makan bersama-sama iaitu selepas sembahyang Maghrib. Dengan cara ini akan mengeratkan tali selaturahim sesama ahli keluarga. Anak yang masih remaja dilarang makan awal dibimbangi lauk tidak mencukupi untuk ahli keluarga yang lain. Lauk yang ada perlu dikongsi bersama. Masyarakat Melayu zaman dahulu jarang menyediakan lauk yang banyak kerana ingin berjimat. Pendapatan yang diperolehi tidak lumayan. Mereka perlu menabung duit untuk pergi ke tanah suci Makkah. Ribuan pantang larang yang diilhamkan oleh masayarakat melayu zaman dahulu harus menjadi ingatan dan ikutan masyarakat Melayu zaman kini. Peraturan yang terhasil menerusi idea bernas masyarakat Melayu ini harus dikemaskini dan dijadikan undang-undang yang bertulis. Gabungan udang-undang sekular yang diasaskan oleh orang-orang Inggeris, undang-undang Islam dan undang-undang tradisi yang berupa pantang larang menjadi pelengkap kepada masyarakat Melayu sebagai salah satu pedoman dan panduan untuk hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Masyarakat Melayu terkanal sebagai jutaan manusia yang bersopan santun dan berbudi bahasa kerana berpegang teguh kepada pantang larang yang menjadi teras dalam kehidupan.