Sunday, July 24, 2011

CINTA ITU BUTA.

Siapakah yang mencipta ungkapan "cinta itu buta"? Tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan ini. Cuma yang kita tahu ungkapan ini telah sekian lama digunakan dalam masyarakat Melayu. Maknanya ungkapan ini dimiliki bersama oleh orang yang mengaku dirinya "orang Melayu". Orang melayu mengatakan "cinta itu buta" kerana tiada siapa pun yang dapat menjangkau cinta seseorang. hanya dirinya sahaja yang tahu cintanya sendiri. Jarang sekali orang akan membocorkan rahsia cintanya kepada orang lain. Adalah sesuatu perbuatan yang aib dan memalukan jika minat terpendam seseorang diketahui oleh orang lain. (Dalam tulisan ini saya fokuskan kepada cinta antara seseorang lelaki yang bukan muhrim dengan seseorang perenpuan dan sebaliknya).


Perasaan cinta mula meresap dalam diri seseorang tidak kira lelaki atau perempuan apabila umurnya mencapai akil baligh. Pada peringkat inilah seseorang akan terserlah sifat keremajaannya. Sewaktu berada di khalayak ramai lebih-lebih lagi dengan rakan sebaya, seseorang akan cuba menghias diri sekacak atau secantik yang boleh. Sebelum keluar rumah terlebih dahulu seseorang akan bertanya pada cermin muka sama ada dia telah bersedia berhadapan dengan orang ramai atau belum. Lebih-lebih lagi kepada seseorang yang masih mengintai-intai peluang dalam proses mencari teman istimewa bagi mengisi kesunyian jiwa.

Sepasang remaja dan teruna yang telah berjaya menempatkan diri mereka dalam kalangan orang-orang yang bercinta perlu memastikan bahawa cinta mereka benar-benar sejati dan sebati antara satu sama lain. Mereka perlu mengukir janji untuk menjadi teman istimewa yang bersopan dan bertatasusila. Sesuatu adegan yang menjadi larangan sebelum tiba masanya harus dihindarkan sama sekali. Mereka harus berikrar untuk menjadi sepasang merpati yang sejoli. Seandainya ikatan ini berjaya disemai dan hati mampu disatukan maka mereka merupakan pasangan yang beruntung kerana pertemuan yang tidak disangka membuahkan ikatan yang diharapkan.

Dalam arena kasih dan sayang yang begini mereka telah menempatkan diri mereka dalam kelompok cinta yang tertutup, Perasaan dan hati masing-masing telah dikunci antara satu sama lain. Dalam situasi ini tiada niat dan hasrat langsung untuk memikat dan menggoda orang lain. Rentetan yang telah mereka lalui telah membuatkan mereka menanamkan rasa setia yang tidak berbelah bagi. Secara sedar atau tidak mereka telah membawa diri mereka melalui arus yang dikatakan sebagai "cinta itu buta".

Pasangan yang berada dalam lingkungan "cinta itu buta" telah mencapai tahap climaks arau kemuncak. Mereka telah berjaya melepasi beberapa siri ujian dan mungkin rintangan dalam usaha mencapai cinta yang harmoni dan intim. Dalam situasi yang paling manis tiada siapa pun yang boleh mengganggu dan menggugat ketulusan hubungan mantap hati dan jiwa mereka. Mereka telah mengenali secara mendalam antara satu sama lian. Benar sekali dalam alunan cinta mesra mereka memang tepahat beberapa ungkapan yang menjadi teras kepada ikatan keikhlasan mereka. Antara ungkapan yang menjadi pegangan mereka termasuklah "hodoh di mata orang, cantik di mara saya", "haya dia seorang jantung hatiku dan tidak terbanding dengan yang lain", "berkasih biar satu, berkawan biar beribu", "hanya dikau seorang permata hatiku" dan banyak lagi ungkapan yang lain.

No comments:

Post a Comment