Sunday, May 15, 2011

BERSIMPATI DENGAN LUAHAN SEORANG BLOGGER, TETAPI...

Saya berasa kasihan dan terharu apabila membaca satu luahan perasaan yang bertajuk "Ketidakadilan UPSI kepada Orang OKU." Secara ringkas, tiga orang rakan blogger ini yang juga cacat penglihatan telah menerima surat temu duga daripada UPSI. Pada hari yang ditetapkan mereka ke tempat temu duga dengan segunung harapan. Kalau ada rezeki suatu hari nanti mendapat ijazah yang menjurus kepada pendidikan awal kanak-kanak. Malang sekali mereka hampa kerana pihak UPSI telah memberi alasan orang cacat penglihatan tidak boleh mengambil kursus berkenaan. Saya berharap blogger berkenaan mesti berfikiran secara matang. Jangan terus mengutuk dan mengkritik UPSI secara negatif. Blogger dan lepasan SPM serta STPM yang lain perlu tahu bahawa sebelum ini UPSI telah mengambil beberapa orang cacat penglihatan menntut di UPSI dalam beberapa jurusan. Setahu saya pendidikan awal kanak-kanak belum lagi. Kita harus fikirkan sejenak punca dan kekangan yang menyukarkan pihak UPSI mengambil penuntut cacat penglihatan belajar di institusi berkenaan. Tidak dinafikan bahawa ada beberapa OKU penglihatan yang cemerlang dan mendapat keputusan yang cemerlang di UPSI. Kita juga harus peka kepada senario yang sebaliknya. Perkara yang kita harus sedar ialah tanggapan kebanyakan orang terhadap orang cacat termasuk mereka yang nerkecimpung dalam bidang akademik. Saya harap blogger berkenaan dan rakan-rakannya yang lain harus renungkan peribahasa Melayu ini, kerana nila setitk rosak susu sebelanga.

Untuk pengetahuan blogger berkenaan saya dan rakan-rakan saya yang lain pernah mengalami situasi dan peristiwa yang lebih pahit daripada anda semua. Bak kata peribahasa Melayu juga, saya dan rakan-rakan saya yang lain telah lebih dahulu yang makan gatam dan hempedu. Sebetulnya telah lalui dengan rasa masin dan pahit dalam usaha meneruskan pengajian dan mendapatkan pekerjaan yang setarad dengan kelulusan yang ada. Kami juga pernah mengeluh dan perintih. Kadang-kadang terasa putus asa dan terlintas juga menyalahkan nasib yang menimpa diri. Itulah hakikat sebenar yang terpaksa dihadapi dan ditempuhi oleh kebanyakan OKU penglihatan.

Satu cara yang boleh dilakukan oleh rakan-rakan anda ialah cuba berdiplomasi dengan pihak UPSI. Bentuk satu kumpulan yang sealiran dan buat janji temu dengan pihak UPSI. Jika pihak UPSI sanggup mengundang kumpulan anda berjumpa dengan mereka, itu satu petanda yang positif. Salah satu fakta yang boleh kumpulan anda kemukakan ialah katakan kepada mereka fikiran dan sikap orang buta tidak sama antara satu sama lain. Kemudian merayulah dengan bahasa bersopan-santun. Dengan cara ini nescara hati mereka akan lembut dan membenarkan beberapa irang cacat penglihatan meneruskan pengajian di UPSI.

Saya tahu kebanyakan lepasan SPM dan STPM berhasrart benar untuk ke UPSI atau mana-mana institusi yang menawarkan iajazah pendidikan. Dengan harapan setelah tamat pengajian dalam masa beberapa builan sahaja terus mendapat pekerjaan sebagai guru. Semua lepasan SPM dan STPM terutama sekali bekas anak-anak murid saya jangan putus asa teruskan usaha untuk menuntut ilmu di menara gadung. Walaupun berhadapan dengan beraneka macam kesulitan dan kepayahan. Semua itu boleh dihindarkan dengan cara berusaha sedaya upaua. Usaha yang dimaksudkan ialah bersedia untuk memajukan diri sendiri ke arah menjadi seorang yang berguna dengan menggunakan akal dan fikiran yang dikurnialan Tuhan.

No comments:

Post a Comment