Monday, October 19, 2009

PENJUALAN RUMAH PPR KEPADA RAKYAT. PRO DAN KONTRA.

Projek Perumahan Rakyat diperuntukkan kepada golongan yang mempunyai pendapatan rendah iaitu pendapatan isi keluarga asas di bawah RM2,500.00 ke bawah. Pendapatan yang dimaksudkan ialah pendapatan terkumpul suami isteri dan memelihara beberapa orang anak yang belum bekerja. Kadar ini merujuk kepada beberapa bandar utama di Malaysia yang telah pesat membangun dengan taraf hidup yang agak tinggi terutama sekali di Lembah Kelang. Jika di Kuala Lumpur mana-mana keluarga yang layak menyewa dan menduduki rumah PPR dikenakan sewa bulanan RM124.00 sahaja. Rumah PPR ini diselia dan diuruskan oleh majlis kerajaan tempatan. Di kuala Lumpur diselia oleh DBKL dan di Selangor diuruskan oleh PKNS. Mereka yang mnyewa tidak mempunyai pemilikan yang mutlak terhadap rumah yang diduduki malah mereka akan dipantau oleh bahagian pengurusan perumahan dan penguatkuasa majlis kerajaan tempatan setiap 3 hingga 6 bulan sekali. Rumah yang diduduki tidak boleh disewa kepada mana-mana pihak termasuklah saudara-mara terdekat. Setiap kali berlaku penambahan ahli keluarga mesti dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan yang menyelia perumahan berkenaan.


Menjelanag sahaja pilihanraya umum setiap 5 tahun sekali salah satu tuntutan rakyat ialah menuntut penjualan rumah PPR kepada penghuni yang telah sekian lama menyewa. Berbagai-bagai fakta dan pendapat yang diluahkan oleh rakyat dengan tujuan utama untuk memujuk kerajaan agar membenarkan mereka memiliki rumah PPR secara sewa beli atau ditawarkan secara jualan kepada mereka yang mampu. Desakan yang bertali arus ditujukan kepada wakil rakyat tertentu terutama sekali di sekitar Kuala Lumpur. Seribu satu macam alasan pula yang disuarakan oleh wakil rakyat tertentu kepada penduduk-penduduk yang diwaklinya. Mungkin kerana permintaan dan kehendak rakyat ini tidak dilayan sewajarnya oleh kerajaan maka beberapa kawasan parlimen di Kuala Lumpur mengalami kekalahan secara mengejut dalam pilihanraya yang ke-12 pada 8 Mac 2008.


Setelah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak meneraju pemerintahan negara sebagai perdana menteri pada 3 Mac 2009, dari awal lagi beliau telah mengatur strategi untuk menambat dan memulih sokongan rakyat kepada parti Barisan Nasional yang telah sekian lama memerintah negara dan agak merosot pungutan kerusi DUN dan parlimen pada pilihanraya yang ke-12. Menjelang 100 hari pemerintahannya bertarikh 11 Julai 2009 beliau telah mengumumkan 11 hadiah istimewa yang akan diberikan kepada rakyat. Kebanyakan hadiah disasarkan kepada rakyat yang berpendapatan rendah terutama sekali mereka yang tinggal di banadar dan berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi. Salah satu hadiah yang diumumkan oleh Perdana Menteri ialah memberi laluan kepada penyewa-penyewa rumah PPR dan rumah pangsa di bawah seliaan kerajaan tempatan membeli rumah yang diduduki selama ini. Perdana Menteri telah melancarkan penjualan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Kerinchi pada 10 Oktober 2009, jam 2.00 petang. Turut hadir dalam majlis ini ialah Dato' Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan. Harga yang ditawarkan antara RM21.500.00 hingga RM35,000.00 bergantung kepada saiz rumah dan jumlah bilik. Rumah-rumah ini akan ditawarkan kepada mereka yang telah menduduki PPR dan purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500.00.


Dengan penjualan 45.000 unit rumah PPR kepada rakyat diharapkan secara beransur-ansur akan dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada parti BN. Perdana Mneteri dan kerajaan begitu peka dan mengambil berat kepada kehendak rakyat yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri. Sememangnya penjualan rumah PPR merupakan hadiah kerajaan yang amat bermakna kepada rakyat yang mempunyai purata pendapatan bulanan RM2,500.00 ke bawah dan mempunyai anak yang ramai. Dengan pendekatan melayan rintihan dan permintaan rakyat menunjukkan kerajaan benar-benar bertanggungjawab terhadap keperluan rakyat dan memainkan peranan secara jujur dalam usaha membela nasib rakyat. Kerajaan memberi perhatian yang serius kepada golongan sasar iaitu mereka yang masih belum memiliki rumah sendiri. Dengan strategi yang berkesan ini sokongan rakyat kepada parti BN semakin bertambah. Tidak hairan dan mustahil dalam pilihanraya umum pada tahun 2012 nanti parti BN akan dapat merampas semula kerusi parlimen yang sebelum ini milik BN berjaya dirampas oleh pari pembangkang iaitu parti PAS, Keadilan Rakyat dan DAP.


Kesanggupan kerajaan memberi peluang kepada rakyat yang berpendapatan rendah membeli rumah PPR dengan harga di bawah pasaran akan mewujudkan satu golongan masyarakat yang berupaya memiliki rumah sendiri. Mereka tidak perlu lagi menyewa rumah pangsa yang diuruskan oleh kerajaan tempatan. Jika di Kuala Lumpur diuruskan oleh DBKL. Meskipun mereka bekerja dan tinggal di bandar yang tinggi kos hidupnya namun masih mampu memiliki rumah yang sekurang-kurangnya mempunyai satu bilik hingga tiga bilik. Pemilikan jenis rumah bergantung kepada pendapatan seisi keluarga dan jumlah anggota keluarga. Dengan subsidi harga yang diberikan oleh kerajaan, mereka yang mempunyai pendapatan di bawah RM2,500.00 sebulan mampu memiliki harta di bandar sekurang-kurangnya sebuah rumah kos rendah.

Dengan berkonsepkan Rumah Mampu Milik sebahagian besar mereka yang berhijrah ke bandar serta mempunyai pendapatan rendah mampu memiliki rumak kos rendah. dengan langkah kerajaan yang memberi keistimewaan kepada mereka berkaitan pembelian dan pemilikan rumah, tentunya mereka akan terus menetap di bandar. Secara langsung langkah ini merupakan satu strategi dalam usaha menyeimbangkan penduduk yang berbilang kaum di bandar. Pendudukan di bandar tidak akan didominan oleh kaum-kaum tertentu sahaja. Di bandar-bandar utama juga penduduknya tidak hanya tertumpu kepada mereka yang berpendapatan tinggi sahaja. Dengan cara ini mereka yang berpendapatan rendah juga akan mampu dan berupaya menetap di bandar.

Dengan memiliki rumah sendiri, seseorang ketua keluarga tidak perlu lagi bersusah payah menghubungi, menulis surat dan mengisi borang bertujuan untuk kajian semula untuk terus tinggal di rumah pangsa kendalian kerajaan tempatan. Tempoh kajian semula bergantung kepada surat tawaran dan perjanjian yang diterima oleh seseorang pemohon. Biasanya dalam tempoh 1. 3 atau lima tahun. Mereka tidak akan menghadapi risiko ditamatkan tempoh penyewaan, diarahkan berpindah ke lokasi lain dan sebagainya. Pembeli akan dapat terus tinggal di rumah yang dimiliki selagi dia menjslaskan hutangnya kepada bank tertentu. Setelah tamat bayaran, rumah yang dibeli akan menjadi miliknya secara mutlak.

Setelah mencapai tempoh tertentu rumah yang dibeli akan dapat disewa kepada sesiapa sahaja yang ingin mencari tempat tinggal yang berhampiran dengan kemudahan pengangkutan awam. Kebanyakan rumah PPR dibina di kawasan yang strategik dan berhampiran dengan bandar. Penghuni atau penyewa mudah berurusan dengan bank , jabatan kerajaan, mendapatkan rawatan kesihatan dsbnya. Pemilik rumah akan menawarkan rumah mereka dengan kadar sewaan RM450.00 hingga RM500.00 sebulan. Pemilik rumah yang menyewa rumah mereka boleh tinggal di rumah anak-anak yang telah bekerja dan mampu membeli rumah. Dengan cara ini mereka boleh menambahkan pendapatan dan taraf hidup juga akan bertambah baik.

Tidak dapat dinafikan kerajaan sentiasa peka dan begitu prihatin dengan kehendak dan tuntutan rakyat. Dalam isu penjulana Projek Perumahan Rakyat kepada mereka yang telah sekian lama menetap di Bandar adalah satu langkah yang dialu-alukan. Bagaimanapun, kerajaan tidak sewajarnya menjual semua PPR kepada rakyat. PPR yang dikhususkan untuk disewa perlu ada pada setiap masa. Kadar sewa yang dikenakan oleh DBKL dan kerajaan tempatan yang lain amat mesra rakyat dan mampu dibayar oleh mereka yang berpendapatan rendah. Justeru, kerajaan melalui agensinya iaitu seperti DBKL dsbnya harus melaksanakan penjualan ini secara berhati-hati. Mereka yang layak membeli juga harus dibuat penilaian dan pemilihan yang teliti. Pengagihan dan penjulana PPR secara adil dan saksama sebetulnya harus dijadikan sebagai prosedur yang utama. Pastikan tiada rakyat yang teraniaya. Penawaran penyewaan rumah pangsa DBKL mesti sentiasa dibuka kepada mereka yang menghuni di Kuala Lumpur. Permohonan bagi menyewa PPR tidak seharusnya dibekukan, jika disekat sama ada sementara waktu atau berterusan semmemangnya telah menyekat hak asasi rakyat.

Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, rumah PPR akan dijual kepada mereka yang telah sekian lama menghuni secara berperingkat-peringkat. Jika benar maklumat ini secara bernasur-ansur juga rumah yang ditawarkan untuk disewa oleh warga kota yang berpendapatan rendah semakin berkurangan. Dalam jangka masa panjang sikap murah hati kerajaan ini lebih menyusahkan rakyat kerana generasi baru yang berpendapatan rendah akan sukar untuk menyewa rumah pangsa kendalian DBKL. Secara terpaksa mereka mesti menyewa rumah dengan kadar sewa bulanan RM450.00 hingga RM600.00. Kadar sewa bergantung kepada lokasi rumah, kelengkapan rumah, kemudahan-kemudahan sosial dsbnya. Setelah dijual, rumah yang dahulunya cuma RM124.00 setelah dijual akan bertambah nilai secara mendadak, Mereka yang tinggal di kota akan dibelenggu dengan kos hidup yang terlalu tinggi. Sebagai jalan penyelesaian mereka akan cuba mencari kerja tambahan seperti pemandu teksi, berniaga secara kecil-kecilan dsbnya.

Dalam jangka masa panjang penjualan rumah PPR kepada penghuni-penghuni yang sekian lama menyewa sebenarnya menyusahkan rakyat. Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal dan bekerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown dsbnya. Rumah sewa di bawah seliaan kerajaan tempatan semakin berkurangan dan jumlah rakyat yang layak menyewa juga akan dukurangkan jumlahnya. Sebenarnya masih ramai lagi mereka yang bekerja dan tinggal di bandar-bandar besar memperolehi purata pendapatan di bawah RM2,000.00 sebulan. Dengan taraf hidup yang semakin meningkat dan harga barangan yang sentiasa bertambah akak membebankan keluarga yang tinggal di bandar. Dicengkam pula dengan masalah kadar sewa rumah yang sangat tinggi. Justeru itu, kerajaan tidak sewajarnya menual rumah PPR sewenang-wenangnya kepada rakyat.

Seandainya penjualan rumah PPR ini diteruskan secara berleluasa tanpa memikirkan generasi yang akan datang, sudah semestinya akan wujud jurang perbezaan yang ketara di antara mereka yang berada dengan mereka yang dikategorikan sebagai miskin kerana mempunyai pendapatan yang rendah dan terpaksa pula membayar sewa rumah yang tinggi. Yang dimaksudkan dengan mereka yang berada di sini ialah mereka yang mempunyai pekerjaan yang agak lumayan di samping mempunyai beberapa buah rumah yang disewakan kepada pengjuni-penghuni kota. Kebanyakan rumah pangsa di Kuala Lumpur kadar sewa yang terendah pun sekitar RM400.00 hingga RM500.00. Bayangkan mereka yang mempunyai purata pendapatan RM1,500.00 hingga RM2,000.00 dan terpaksa menyewa rumah pada kadar sewa berkenaan amat membebankan. Lebih terasa bagi pasangan suami isteri yang mempunyai anak yang ramai. Mahu tidak mahu kerajaan tempatan seperti DBKL mesti memberi peluang dan ruang kepada mereka yang berpendapatan rendah menyewa rumah pangsa DBKL yang menawarkan sewa bulanan RM94.00 sebulan hingga RN250.00 sebulan.

Pada hakikat yang sebenar langkah kerajaan menawarkan rumah PPR untuk dijual kepada penghuni-penghuni yang telah sekian lama menyewa adalah satu langkah yang harus dipuji. Mereka yang selama ini hanya menyewa diberi hak pula untuk membeli sememangnya menguntungkan rakyat. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai sedikit harta di bandar. Sebelum ini hanya mereka yang berpendapatan tinggi sahaja yang mampu memiuliki harta di bandar. Pada masa yang sama kerajaan harus memikirkan nasib generasi pewaris yang kurang mampu dan bekerja di bandar. Atas sebab inilah rumah PPR tidak harus dijual semuanya. Kerajaan di bawah agensinya kerajaan tempatan mesti memperuntukan jumlah rumah tertentu hanya disewa kepada rakyat yang memerlukan. Dasar perumahan harus dirancang dan dilaksanakan secara berhati-hati. Jika tersilap percaturan kerajaan akan menghadapi masalah desakan dan tekanan yang tidak henti-henti daripada rakyat yang tertindas.








No comments:

Post a Comment