Saturday, May 15, 2010

PKR DALAM ANCAMAN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang begitu bergaya memenangi 31 kerusi parlimen dalam pilihanraya yang ke-12 semakin tergugat kerana kelemahannya berjaya dihidu oleh musuh politiknya. Setelah ditilik dan diperhatikan secara serius akhirnya terjelmalah unsur negatif yang ada dalam parti PKR. Gejala tidak sihat yang dapat dicungkil oleh musuh politiknya ialah ketidaksetiaan dan kejujuran beberapa orang pemimpin dengan parti itu sendiri. Mereka sebenarnya masih belum bersedia untuk menjadi pembangkang yang kental dan sedia berhadapan dengan risiko seandainya ditekan dan diugut oleh parti pemerintah yang juga musuh utamanya. Berbeza dengan ramai pemimpin PAS dan DAP mereka begitu bersemangat dan berjiwa besar untuk bertindak sebagai pembangkang yang bakal membongkar segala penyelewengan dan kepincangan yang dilakukan oleh parti pemerintah. Mereka juga mempunyai sikap seriakawan dan berani. Seandainya diugut dan diancam oleh musuh politik, mereka akan sama-sama berjuang untuk menegakkan kebenaran.

Satu strategi dan propaganda yang menjadi kemarahan dan cabaran parti pemerintah apabila Ketua Umum PKR menyebarkan khabar angin dengan mengatakan sekurang-kurangnya 35 orang ahli parlimen BN akan lompat parti dan Barisan Alternatif sedia ke Putrajaya untuk memerintah Malaysia. Bagaimanapun strategi ini telah gagal dan BN pula yang mengatur strategi bagi memastikan beberapa orang PKR lompat parti. Entah apa strategi sulit yang digunakan dan entah apa imbuhan yang dijanjikan serta diberikan, setakat ini lima orang ahli parlimen PKR yang telah lompat parti. Di samping itu kerusi parlimen Ulu Selangor berjaya dirampas semula dalam pilihanraya kecil yang telah diadakan pada 25 April 2010 dan penamaan calon pada 17 Apri 2010. Begitu pelik lagi ajaib dan mungkin secara kebetulan majoriti yang diperolehi oleh BN sebanyak 1,725 undi. Setakat ini 6 kerusi parlimen telah berkurangan dan tinggal 25 kerusi sahaja di parlimen. Tidak mustahil seandainya sindrom lompat parti tidak dapat dibendung oleh kepimpinan PKR BN akan mendapat majoriti 2/3 di parlimen.

Berita sensasi dan terkini pada 14 Mei 2010 Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong telah mengumumkan secara tergesa-gesa perletakan jawatannya sebagai ahli parlimen PKR dan menjadi ahli parlimen bebas. Beliau juga mengisytiharkan perletakan semua jawatannya dalam PKR. Alasan yang diberikan ialah beliau tidak berpuashati dengan cara kerajaan negeri Selangor menangani isu skandel pasir di Selangor yang dikaitkan dengan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. Satu lagi alasan yang diberikan ialah tidak berpuashati dengan pucuk pimpinan PKR. Alasan ini sebenarnya terhambur daripada kelima-lima ahli parlimen PKR yang lompat parti. Setelah diamati alasan yang diberikan berkenaan pasir tiada kaitan secara langsung dengannya. Beliau sebenarnya harus memberi tumpuan kepada kawasan parlimen Wangsa Maju bukannya bersusah payah memikirkan masalah di Selangor. Entah apa habuan yang diperolehinya sehingga sanggup menggadaikan maruah dengan cara lompat parti. Beliau juga tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepadanya untuk memimpin kawasan parlimen Wangsa Maju di bawah naungan PKR. Sebenarnya kerjaya politiknya akan berakhir pada pilihanraya yang ke-13 nanti. Sesiapa yang sebelum ini menjadi ahli parlimen pembangkang dan bertindak lompat parti, secara jelasnya kerjaya politiknya akan berakhir bila tempohnya sebagai ahli parlimen matang.

Dalam percaturan politik dan tindakan sulit yang dilakukan oleh musuh politik PKR dalam usaha memujuk dan memperdayakan ahli parlimen yang lain lompat parti, tindakan segera dan berkesan harus disegerakan oleh pucuk pimpinan PKR bagi menyekat dan mengekang ahli parlimennya lompat parti. Harus diselidik dan ditinjau apakah bentuk imbuhan dan ganjaran yang diperoelhi oleh ahli parlimen PKR yang lompat parti. Pada 10 Mei 2010 bekas Ketua Pemuda Keadilan telah mendapat hadiah yang berharga setelah sekian lama berpaling tadah. Beliau telah bergelar senator dan boleh bergaya kerana mendapat salah satu tempat di Dewan Negara. Jika terus duduk dalam PKR agaknya bau Dewan Negara pun tak berpeluang.

Inilah iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh kepimpinan PKR. Calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya harus ada jatidiri yang mantap dan perlu kasih dan setia pada parti. Untuk menjadi pemimpin pembangkang, kepentingn peribadi harus dihindarkan. Seseorang pemimpin pembangkang harus ada semangat perjuangan. Perjuangan yang ikhlas harus ada pengorbanan. Kadang-kadang pengorbanan menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang pemimpin. Seseorang yang ingin bergiat secara aktif dan terbuka dalam parti pembangkang mesti ada sumber kewangan yang mencukupi dalam menyara hidup diri sendiri dan keluarga. Jika semua unsur-unsur ini tiada dalam diri seseorang yang berjuang dalam parti pembangkang pastinya perjuangan dan semangatnya akan terhenti di pertengahan jalan. Bila dalam keadaan terdesak dan tertekan seseorang yang tidak stabil dengan unsur-unsur ini dengan mudah dipengaruhi oleh musuh politik. Dengan cara ini lambat-laun parti akan menjadi lemah,

Dakam waktu yang masih belum kritikal PKR harus mengorak langkah untuk menantapakan parti dengan memilih calon-calon yang benar-banar bersedia untuk bertanding. Calon yang dipilih juga perlu mempunyai prinsip hidup yang mantap dan betul-betul bersedia untuk berkhidmat untuk parti. Kemelut yang sedang melanda jika tidak dibendung dengan segera boleh mengakibatkan parti PKR lemah dan tidak mendapat kepercayaan rakyat. Akibatnya pemimpin-pemimpin yang aktif dalam parti akan bertelagah sesama sendiri. Jika masalah lompat parti ini berterusan dan tidak berjaya disekat akhirnya parti PKR akan rebah sepertimana yang pernah berlaku pada parti Semangat 46.

Sunday, May 2, 2010

GANGGUAN PSIKOLOGI TERHADAP KERAJAAN NEGERI KELANTAN

Setelah lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan secara terus tanpa memberi laluan kepada BN didapati tiada tentangan yang hebat daripada rakyat Kelantan secara keseluruhannya. Pemimpin-pemimpin negeri yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima mandat yang padu daripada rakyat Kelantan. Dalam Pilihanraya yang ke 12 pada Mac 2008 hanya dua kerusi Parlimen dan 6 kerusi DUN terlepas kepada BN. Maknanya sokongan rakyat Kelantan terhadap parti PAS memang mantap dan tidak boleh dipertikaikan lagi.


Dalam kempen pilihanraya yang ke 12, begitu hebat sekali perang saraf yang dilakukan oleh parti UMNO bertujuan untuk menambat hati rakyat Kelantan dan bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan PAS yang sekian lama padu menerintah negeri Cik Siti Wang Kembang. Antara slogan yang boleh dilihat di sana sini ialah "18 tahun pade doh". Pada waktu itu Menantu Pak Lah iaitu Khairi Jamaludiin begitu aktif berkempen di Kelantan. Gambar Awang Adek Hussein yang dijangka bakal menjadi Menteri Besar Kelantan terlihat di sana sini. Beraneka macam janji manis yang diluahkan oleh pemimpin BN dalam usaha menambat hati rakyat Kelantan semuanya tidak menjadi. Gula-gula pilihraya yang disuapkan ke mulut rakyat Kelantan habis begitu sahaja, Ini menunjukkan kebanyakan rakyat negeri Kelantan begitu selesa dan yakin di bawah pimpinan parti PAS.


Sebaik sahaja memenangi pilihanraya yang ke-12, awal-awal lagi telah dapat dilihat bibit-bibit gangguan dalam politik di Kelantan. Gangguan secara perlahan-perlahan ini dicetuskan oleh ahli parlimen Pasir Mas. Dalam kempen pilihanraya nadanya menyokong parti PAS dengan berbaik-baik dengan ramai pimpinan PAS negeri termasuk Tuan Guru. Yang peliknya bertanding atas tiket bebas dengan menggunakan lambang Bulan. Percaturan politiknya mendapat persetujuan Tuan Guru walaupun mendapat tentangan daripada beberapa orang pemimpin PAS. Akhirnya mereka semua akur dengan harapan individu ini akan menyokong PAS dan seterusnya kemungkinan besar menyertai parti PAS secara mantap. Strategi politiknya berjaya menambat hati rakyat Pasr Mas dengan memnangi kerusi parlimen Pasit Mas dengan majoriti 8.991 undi. Harapan rakyat Kelantan beliau menyokong pimpinan PAS kelantan dan berusaha memajukan negeri. Sebaliknya beliau mula mengkritik dan mengutuk kerajaan PAS dan pembangkang yang lain. Alasan yang diberikan beliau adalah wakil parlimen bebas dan mempunyai hak untuk mengkritik dan menyolong. Pendapatnya betul dan tidak salah dalam sebuah negera yang mengamalkan demokrasi. Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sifat setiakawan dan boleh dikatakan sebagai "kacang melupakan kulit". Sedikit sebanyak telah memberi tekanan dan kesan negatif kepada kerajaan negeri Kelantan dan pimpinan PAS secara keseluruhannya. Lain kali pimpinan PAS perlu lebih berhati-hati.


Beberapa bulan lepas masyarakat umum dihidangkan dengan masalah dalaman yang kononnya berlaku dalam institusi beraja dan berita pahit manis dalam istana negeri Kelantan. Media perdana yang menjadi tatapan orang ramai tidak putus-putus menyiarkan masalah dalaman yang hangat membelenggu institusi raja di Kelantan. Begitu glamour sekali kerabat diraja Kelantan. Masalah dan konflik ini sedikit sebanyak telah mengganggu pentadbiran kerajaan negeri. Mujurlah pemerintahan negeri Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Nik Aziz boleh bersabar dan bertahan. Disokong pula oleh penggerak ekonomi dan pentadbirannya yang mantap dan begitu kuat mentalnya iaitu Datuk Husam Musa. Meskipun berhadapan dengan pelbagai kerenah dan tekanan beliau masih dapat mentadbir kerajaan negeri Kelantan dengan sempurna.


Dalam era teknologi maklumat yang kian canggih dan sangat meluas serta telah dapat dilayari oleh sebahagain besar ahli masyarakat, sebaran maklumat kononnya pihak PAS telah memperunttukkan sebanyak 4 juta dalam usaha melakukan perang saraf terhadap kerajaan BN dan menonjolkan kelemahan pemimpin-pemimpin tertentu dalam BN. Apabila berita sensasi ini tersebar terbayanglah di fikiran pembaca bahawa komplot ini mesti melibatkan beberapa pemimpin dalam kerajaan negeri Kelantan. Khabar angin yang didengar berkaitan berita yang belum tentu kesahihannya dihebahkan oleh individu yang sebelum ini begitu akrab dengan pemimpin-pemimpin terntentu dalam PAS. Senario ini amat mendukacitikan kerana kawan makan kawan. Mungkin kerana motif-motif tertentu individu ini sanggup menjadi lawan pula kepada sahabat rapatnya selama ini. Tidak salah kalau dikatakan tindak-tanduk individu ini boleh diibaratkan sebagai "duri dalam daging". Kononnya akan disiasat oleh SPRM. Namun setakat ini tiada kedengaran sebarang bukti yang jelas untuk melakukan dakwaan terhadap pemimpin-pemimpin terntentu dalam PAS. Parti PAS dan pemimpin kerajaan negeri Kelantan mengambil sikap "tunggu dan lihat". Memang wajar tindakan parti PAS dan pemimpin negeri kelantan kerana mereka mempunyai dan berhadapan dengan banyak isu lain yang harus diambil perhatian. Mereka juga perlu menumpukan perhatian kepada pentadbiran dan rakyat negeri Kelantan. Perkara remeh-temeh sepatutnya tidak harus dilayan.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan kerana telah melaksanakan pentadbiran yang jujur dan telus. Sebahagian besar rakyat Kelantan berbangga dan setia di bawah kerajaan negeri yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin PAS yang terdiri daripada para ulama dan profesional. Jika kita amati secara halus, Kelantanlah negari yang paling aman dan stabil dari segi politik. Tiada kedengaran percakaran dan pertelingkahan yang serius berkaitan kepimpinan negeri. Segala masalah yang wujud diselesaikan secara perbincangan yang sihat.


Sunday, April 11, 2010

PENYEDIAAN DOKUMEN UNTUK MESYUARAT AGUNG SBM CAWANGAN KL/SELANGOR

Setelah selesai menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek, Jalan Tun Perak saya terus ke premis SBM Cawangan KL/Selangor. Sebelum ke sana saya telah meminta agar Encik Abas iaitu Pengerusi SBM Cawangan KL/Selangor berada di sana. Senanglah sediit untuk saya selesaikan tugas penyerahan dolumen kepadanya untuk tindakan susulan.

Sampai di premis cawangan, Encik Yusof selaku Bendahari telah berada di sana. Beliau sedang melaksanakan tugasnya iaitu menyiapkan butiran perbelanjaan untuk bulan Mac 2010. Selang 15 minit Encik Abas muncul di cawangan dengan membawa beberapa khabar berkenaan Mesyuarat Dwitahunan SBM yang jangkanya akan diadakan di Kedah pada bulan Jun nanti. Saya medengar sambil mengemaskini butiran dolumen agar tidak terdapat kesalahan dan kesilapan sebelum diserahkan kepada Encik Abas.

Tugas terpenting saya ialah menyiapkan laporan tahunan bagi tahun 2009 dan menyediakan minir mesyuarat agung bil. 22, tahun 2009. Di samping beberapa dolumen lain termasuklah agenda mesyuarat, notis mesyuarat, perbelanjaan tahunan bagi tahun 2009 dsbnya. Semua tugasan ini saya lakukan sendirian dengan mengambil masa kira-kira sebulan setengah lamanya. Sedikit masa terluang yang ada saya terus menyiapkan tanggungjawab sebagai seorang setiausaha. Saya anggap tugasan ini sebagai sampingan sahaja dan sekadar untuk mengisi masa lapang. Dengan cara ini juga saya dapat menimba banyak pengetauan dan pengalaman berkenaan tugasan-tugasan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan di sesebuah NGO. Walaupun ini merupakan kerja sukarela saya harus lakukannya dengan sempurna agar tidak menjejaskan aktiviti dan perjalanan NGO yang saya sertai. Saya juga mengamalkan prinsip setiakawan dan semangat kekitaan sesama ahli jawatankuasa yang dipilih oleh ahli-ahli menerusi proses pengundian. Bagaimanapun, saya tidak sama sekali mengabaikan tugas utama saya iaitu sebagai seorang guru. Kerjaya mesti diutamakan kerana itulah sumber untuk saya mencari rezeki dan menanggung seisi keluarga. Saya tidak sewenang0wenangnya mengambil cuti untuk tugas-tugas pertubuhan.

tepat pada jam 4.00 petang semua dokumen yang telah disiapkan saya serahkan kepada Encik Abas dalam bentuk soft copy. Tugas Encik Abas ialah membawa dokumen tersebut ke ibu pejabat SBM untuk diemboss iaiatu dicetak dalam bentuk Braille. Senaskah tulisan Biasa Encik Abas mesti serahkan kepada Encik Yusof untuk diperbanyakkan. Ahli-ahli pertubuhan yang rabun biasanya memerlukan dokumen tulisan Biasa. Sebelum itu beberapa dolumen telah ditandatangan oleh saya sendiri, Encik Abas dan Encik Yusof. Beliau juga perlu berjumpa dengan Tuan Haji Nazari untuk minta tandatangan dokumen minit mesyuarat untuk tujuan pengesahan. Senaskah dokumen cetakan Braille perlu diserahkan kepada Encik Ng Yoo Khon untuk tujuan rakaman, Ada juga ahli pertubuhan yang lebih suka mendengar dalam bentuk audio kerana mereka tidak minat membaca atau kurang mahir membaca tulisan Braille. pihak pertubuhan mesti menyiapkan dolumen mesyuarat dalam tiga versi iaitu cetakan tulisan biasa, catakan tulisan Braille dan versi rakaman.

Setelah semua dolumen diemboss iaitu siap dalam versi Braille. Ahli jawatankuasa yang lain termasuklah Encik Kadir dan Encik Esa ditugaskan untuk menjilidkan bahan-bahan yang telah siap diembos. Tugas ini juga memerlukan tumpuan dan penelitian agar tidak tersalah muka suarat dsbnya. Seboleh-bolehnya semua ahli jawatankuasa bekerjasama dan memberikan komitmen yang jitu dalam usaha menyediakan dokumen mesyuarat. Jika berlaku kesilapan dan kesalahan barisan ahli jawatankuasa akan dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang mempersoalkan tugas kami sebagai ahli jawatankuasa. Semua pertanyaan perlu dilayan dan dijawab dengan baik kerana semua ahli jawatankuasa dipilih oleh ahli-ahli. Peranan ahli jawatankuasa tentunya menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan oleh ahli-ahli.

Wednesday, February 24, 2010

GEJALA SOSIAL MENGAKTIFKAN EKONOMI

Gejala sosial ialah segala perbuatan dan perlakuan sama ada dilakukan secara perseorangan atau berkumpulan yang boleh mengganggu ketenteraman individu dan sekumpulan manusia yang menjadi sasaran. Tindakan negatif ini juga boleh menjatuhkan maruah diri, moral dan melunturkan keperibadian mereka yang terlibat. Perbuatan yang tidak direstui oleh kebanyakan masyarakat dan salah di sis semua agama biasanya dilakukan oleh orang yang tidak berperikemanusian dan jiwanya telah dirasuk oleh unsur-unsur jahat yang hanya memikirkan kepentingan diri sendiri semata-mata. Mereka seringkali dipesong oleh anasir-anasir nakal yang bertindak sebagai agen bertujuan mendorong individu-individu tertentu melakukan aktiviti liar yang boleh menimbulkan keseronokan dan keuntungan dengan mudah sambil merosakkan akhlak mereka yang terpengaruh.


Mengaktifkan ekonomi ialah sesuatu aktiviti dan urusan yang dilakukan oleh manusia yang boleh menjana dan menambah sumber pendapatan serta memperolehi sumber-sumber makanan untuk meneruskan kehidupan. Bagi mencapai tujuan ini, manusia perlu berinteraksi dan beroperasi ke arah melakukan perkara-perkara yang boleh memberi perkhidmatan kepada manusia yang lain. Dengan cara ini manusia akan memperolehi ganjaran dalam bentuk wang atau barangan.


Harus diingat sumber pendapatan dan kegiatan ekonomi juga boleh wujud dalam keadaan yang tidak diiktiraf dan disukai oleh kebanyakan ahl masyarakat. Perkara ini jarang sekali dibincangkan dan didedahkan kepada umum kerana kegiatan ini terpesong daripada nilai-nilai murni hidup bermasyarakat. Perlakuan dan aktiviti yang berhaluan kiri ini juga dipandang hina oleh masyarakat. Akibat kegiatan yang tidak bermaruah dan tidak bermoral ini menyebabkan ramau orang menjadi mangsa akan kerugian harta dan wang serta menimbulkan suasana yang tidak aman dan damai. Golongan masyarakat yang menjadi sasaran akan sentiasa berada dalam ketakutan dan kebimbangan.


Vandalisme atau merosakkan harta benda awam biasanya dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Dalam hati mereka sentiasa tersemat niat buruk terhadap orang lain. Mereka berasa puas hati setelah melihat orang lain mengalami kesusahan dan kerumitan. Antara perbuatan jahat yang kerap dilakukan oleh mereka ialah merosakaan telefon awam, merosakkan tempat menunggu bas, menconteng tandas awam dan banyak lagi.

Ketidaksempurnaan pada kemudahan awam tidak wajar dibiarkan sekian lama. Pihak berwajib seperti kerajaan tempatan harus mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan yang diakibatkan oleh gejala sosial yang menjadi amalan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Proses inilah akan berlakunya pergerakan ekonomi. Pihak berwajib akan membuka tender kepada mana-mana syarikat yang berdaftar dan berkelayakan bertujuan menyelenggara dan membaiki kerosakan pada bangunan atau kemudahan awam yang telah mengalami kerosakan. Pihak kerajaan tempatan umpamanya akan membayar sejumlah wang yang telah dipersetujui kepada syarikat yang telah berjaya mendapatkan tender untuk tujuan berkenaan. Syarikat berkenaan akan melaksanakan peranan mereka dengan memberi peluang pekerjaan kepada golongan sasar. Dengan wujudnya peluang pekerjaan para pekerja akan memperolehi sumber pendapatan.

Penyalahgunaan dadah merupakan masalah sosial yang paling serius di negara kita. Paling memalukan ialah remaja Melayu yang paling ramai terjebak dengan pengambilan dadah secara tidak sah. Bagi pendapat saya punca utama yang mendorong mereka terpikat dengan dadah ialah remaja Melayu menghadapi beraneka cabaran dalam prosese mereka meniti usia dewasa. Dalam usaha mencari arah dan tujuan yang selesa mereka buntu dan kecundang di pertengahan jalan. pada waktu inilah mereka akan tertekan dan sebagai escapism mereka mudah terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah seperti syabu, kokain, dan sebagainya.

Setelah bergelar penagih dadah mahu tidak mahu mereka terpaksa mendapatkan dadah dengan apa cara sekalipun. Dadah tidak boleh diperolehi secara percuma. Bahan ini perlu dibeli dengan harga yang agak mahal dan agak sukar untuk diproses sendiri. Golongan ini digelar sebagai sampah masyarakat kerana mereka tidak mampu memberi perhatian kepada jawatan yang disandang. Mereka akan berpeleseran dan hidup tidak tentu arah dan tujuan.

Dalam keadaan yang terdesak untuk mendapatkan sumberi kewangan bagi membeli dadah mereka akan mencuri apa sahaja barangan yang ada dalam rumah mereka. Paling penting barang yang dicuri ada nilai pasaran. Dapat kita perhatikan kegaitan ekonomi telah mula bergerak. Penghuni rumah yang tinggal bersamanya pasti tidak selesa jika barangan yang kerap digunakan seperti jam tangan, komputer riba, pakaian yang mahal, barang kemas dsbnya. Harta yang hilang akibat dicuri dan dijual oleh ahli keluarga mereka yang terjebak dengan gejala penyalaggunaan dadah. Ahli keluarga yang kehilangan barang keperluan terpaksa membeli dan mendapatkannya di pasaran. Sekali lagi aktiviti ekonomi beroperasi. Jika tiada barangan keperluan kehidupan seharian tidak akan sempurna.

Penagih dadah tidak akan jujur dalam masyarakat. Mereka sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan sumberi kewangan bagi membeli dadah. Mereka sanggup berbuat apa sajaka demi wang walaupun tindakannya menyalahi undang-undang dan agama. Lambat-laun mereka akan dimasukkan ke pusat serenti akibat ditangkap oleh pihak berkuasa atau dihantar sendiri oleh ahli keluarga yang tidak tahan dengan tabiatnya sewaktu berada di rumah.

Di pusat serenti mereka akan menjalani proses rawatan dan bimbingan sekurang-kurangnya selama dua tahun. Di pusat pelbagai proses rawatan mental dan fizikal disediakan kepada para penagih. Mereka juga diberikan pelbagai latihan kerjaya sebagai persediaan untuk mereka bekerja setelah tamat siri latihan di pusat serenti. Dapat kita perhatikan di pusat serenti berbagai-bagai tender diwujudkan daripada pembekalan sumber makanan sehinggalah pembekalan pelbagai sumber bahan mentah untuk latihan pertanian, pertukangan dan jahitan. Dengan wujudnya pusat serenti untuk penagih dadah pelbagai cabang aktiviti ekonomi dapat diwujudkan. Menerusi proses ini ramai orang dapat membuka syarikat dan memberi peluang pekerjaan kepada ribuan orang. Banyak syarikar berlumba-lumba untuk mendapatkan apa-apa tender di pusat serenti kerana satu sahaja tender diperolehi dalam keadaan tertentu boleh digelar sebagai ahli korporat yang berjaya.

Kegiatan menyamun, merompak dan mencuri merupakan aktiviti yang nekad dan berani untuk mendapatkan sumber kewangan dengan cepat. Gejala sosial ini memang berlaku di mana-mana kerana dalam masyarakat ada sahaja orang yang jahat dan tidak berperikemanusiaan. Dalam dunia tanpa sempadan ini negara kita dibanjiri oleh warga asing yang datang secara tidak sah dan digelar sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). Sebetulnya tidak semua antara mereka yang mendapatkan pekerjaan. Mahu tidak mahu demi sumber kewangan mereka sanggup merompak, menyamun, merogol dan mencuri dengan cara yang ganas. Sasaran mereka tentunya rumah-rumah yang penghuninya mempunyai sumber pendapatan yang tinggi dan tiada pengawak keselamatan.

Apabila mereka berjaya memasuki rumah atau bangunan yang disasarkan tanpa izin, mereka akan mengugut penghuni rumah atau bangunan berkenaan dengan meminta wang dan barang-barang yang berharga. Jika penghuni cuba melawan mereka akan menggunakan kekerasan dan senjata. Akibatnya berjadilah kecederaan. Apabila ini berlaku penghuni rumah yang telah mengalami kerugian dalam bentuk wang dan harta benda yang berharga akan cuba mendapatkan semula barangan berkenaan di pasaran. Dalam keadaan yang terdesak juga mereka terpaksa membuat pinjaman wang di bank. Mereka yang cedera akan mendaparkan rawatan di klinik dan hospital yang berdekatan. Semua proses susulan yang dilakukan setelah diganggu dan harta-harta berharga dirampas oleh perompak merupakan perlakuan yang mengaktifkan ekonomi.

Jika gejala sosial ini semakin berleluasa dan sukar dibendung persatuan penduduk terpaksa berpakat bagi menjaga keselamatan setempat dengan mengambil pengawal keselamatan untuk bertugas 24 jam. Dengan cara ini sekali lagi mengaktifkan ekonomi. Syarikat pengawal keselamatan akan memperolehi lebih banyak kawasan dan mereka aakan memperolehi lebih banyak sumber pendapatan. Apabila prosese ini berlaku syarikat berkenaan akan menambahkan bilangan pekerja dan ramai ahli masyarakat yang akan memperolehi pekerjaan.

Secara kesimpulannya, apabila dunia semakin moden dan fikiran manusia semakin berkembang dengan segala kelengkapan dan perlatan yang canggih semakin banyak berlakunya gejala sosial yang sukar untuk ditangani. Secara sedar atau tidak gejala sosial yang diwujudkan oleh manusia boleh mengaktifkan ekonomi. Proses ini sebenarnya akan berlaku secara berterusan dan tidak boleh dibendung dan disekat. Cuma masyarakat hanya boleh mengurangkan kebanyaakan gejala sosial agar tidak menjadi barah dalam masyarakat dan akhirnya boleh mendapangkan mudarat kepada bangsa dan negara.



Saturday, January 30, 2010

DILEMA SESEORANG PEKERJA OKU DI SESEBUAH ORGANISASI

Pekerja OKU (orang kelainan upaya) ialah seseorang penjawat di sesebuah organisasi sama ada kerajaan. badan berkanun, swasta dan juga badan bukan kerajaan yang mempunyai kekurangan sama ada dari segi pendengaran, penglihatan, fizikal dan akal fikiran. Apabila seseorang penjawat itu mempunyai kekurangan pastinya tugasan yang boleh dilakukannya terbatas berpunca daripada kekurangan yang ada pada dirinya. Biasanya seseorang penjawat OKU diberi tugas yang bersesuaian dengan kebolehan dan kemampuannya. Dalam pada itu, sekali-sekala beliau perlu dibantu oleh penjawat yang normal yang mempunyai sifat prihatian. Dalam tulisan ini saya akan fokuskan kepada pekerja OKU cacat penglihatan kerana saya sendiri ialah seorang yang cacat penglihatan dan mempunyai pengetahuan tentang kerjaya dan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan OKU penglihatan di tempat kerja.


Realitinya kebanyakan ketua jabatan mengganggap pekerja OKU penglihatan sebagai pekerja yang kurang produktif, tidak aktif dan kurang pengetahuan. Mereka beranggapan dengan tiadanya penglihatan atau mempunyai penglihatan yang terlalu terbatas mereka sukar melakukan tugas-tugas yang diberi atau yang diarahkan oleh ketua jabatan. Mereka membuat telahan dengan adanya pekerja OKU penglihatan keberhasikan kerja sukar untuk dicapai ke tahap yang diharapkan. Bagi mereka dalam sesebuah jabatan jika ada pekerja OKU penglihatan amat membebankan. Lebih-lebih lagi jika pekerja OKU berkenaan kerapkali meminta bantuan daripada perkerja lain. Beberapa kali juga berlaku di sektor awam, ketua jabatan tidak mahu menerima pekerja OKU penglihatan yang dihantar berkhidmat atau menjalani latihan di jabatan yang diterajuinya.


Dalam sesebuah jabatan atau organisasi mempunyai sekumpulan pekerja. Kumpulan ini diistilahkan sebagai rakan sekerja. Sesama rakan sekerja, dalam diri mereka telah tertanam konsep "memberi dan menerima". Bagi kebanyakan orang OKU penglihatan tidak boleh melakukan konsep ini dan mereka hanya ingin menerima sahaja dan sukar untuk memberi. Dengan lain perkataan, dia hanya ingin dibantu dan sukar untuk membalas jasa orang yang telah membantunya. Bagi kebanyakan orang tiada hasil jika rapat dengan orang buta. Mereka bukan boleh balas pertolongan orang. Jadi, dalam sesebuah organisasi hubungan antara pekerja OKU penglihatan dengan kebanyakan pekerja lain hanya sekadar kawan biasa iaitu setakat bersembang kosong sewaktu makan atau sewaktu bertembung di mana-mana.


Ketua jabatan biasanya sukar untuk menghormati pekerja OKU penglihatan sebagaimana beliau menghormati pekerja yang normal. Seandainya seseorang pekerja OKU dalam jabatyannya telah melakukan sedikit kesilapan atau kesalahan yang tidak disengajakan, dengan selamba beliau akan menegur pekerja berkenaan di mana sahaja beliau terjumpa. Tidak kiralah di hadapan pekerja lain ke, di hadapan pelajar ke, di khalayak ramai ke, semuanya jadi. Seandainya pekerja yang normal beliau akan panggil ke pejabat untuk ditegur. Kesalahan kecil yang dilakukan oleh pekerja OKU penglihatan akan diperbesar-besarkan. Dilema ini merupakan satu lumrah yang sukar dibendung. Mahu tidak mahu pekerja OKU penglihatan terpaksa bersabar sajalah.


Sudah menjadi kebiasaan, setiap tahun sesebuah organisasi akan memberi ganjaran kepada pekerja-pekerja yang telah melaksanakan tugas dengan sempurna. Seandainya ramai pekerja yang mempunyai prestasi yang cemerlang pemilihan akan dibaur berdasrkan kepada senioriti dsbnya. Dalam hal ini biasanya pekerja OKU penglihatan akan terpinggir meskipun telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang dan terpuji. Bila dibuat pengunduan bersama ketua jabatan dan pentadbir kanan, pekerja OKU yang telah tersenarai akan tewas dalam pengundian. Sehinggakan orang yang lebih junior dan kurang cemerlang daripada pekerja OKU berkenaan yang dipilih. Sebenarnya ini merupakan satu diskriminasi yang harus dihindari. Yang menghairaknakan aktiviti bercorak agama banyak, cakap pasal agama pandai, bila ada isu agama ingin jadi juara dsbnya. Malang sekali konsep keadilan dan perikemanusiaan langsung tiada dalam kebanyakan diri orang Melayu dan Islam. Secara tidak sedar mereka telah mendapat dosa kering.

Jika seseorang OKU penglihatan diberi peranan untuk mengetauai sesuatu jawatankuasa dan menyelaras sesuatu bahagian sangat sukar mendapat kerjasama dan komitmen daripada kebanyakan pekerja normal. Mereka menganggap jika berada di bawah OKU penglihatan jatuh taraf dan boleh menjejaskan maruah diri. Mereka juga bimbang akan dicemuh atau ditertawakan oleh rakan-rakan yang lain. Untuk mengelakkan diri berada di bawah telunjuk OKU penglihatan berbagai-bagai alasan yang dicanang kepada ketua jabatan. Jika mereka segan mengadu sendiri kepada ketua jabatan, mereka akan menggunakan pentadbir kanan yang rapat dengannya bagi menyuarakan niat buruk dan hasrat busuk hatinya untuk disampaikan kepada ketua jabatan.

Secara kesimpulannya kebanyakan pekerja OKU penglihatan sentiasa berada dalam situasi tidak tenang dan kadang kala memberontak secara senyap akibat daripada sikap pilih kasih dan prasangka yang dilemparkan oleh ketua jabatan dan pentadbir kanan. Bagi OKU penglihatan yang tidak sanggup berhadapan dengan kerenah yang melampau mahu tidak mahu memohon untuk bertukar ke tempat lain. Dengan harapan tempat bertugas yang baru dapat memberi keselesaan kepada OKU penglihatan yang tertindas. Sewajarnya ketua jabatan dan pentadbir kanan yang mempunyai tanggapan negarif kepada OKU penglihatan perlu diberi bimbingan dam kesedaran agar sedikit demi sedikit boleh menghindarkan rasa prajudis dan prasangka yang berterusan kepada pekerja OKU penglihatan.

Friday, January 8, 2010

TIGA GEREJA DILEMPAR BOM API ADALAH PERBUATAN KHIANAT YANG AMAT SENSITIF

Selepas selesai solat Maghrib saya berehat seketika sementara menantikan berita TV3 pada jam 8 malam. Pada jam 7. 47 petang saya telah menerima SMS daripada rakan lama yang berada di Pulau Pinang. Dia inginkan kepastian daripada saya tentang khabar-khabar angin berlakunya rusuhan di Kuala Lumpur. Menurutnya dia yang berada di Pulau Pinang pun berasa takut setelah mendengar berita duka di Kuala Lumpur. Saya terus bermonolog "takkanlah saya yang berada di KL pun belum tahu. Ketinggalan betul." Lantas, saya membalas SMSnya dengan mengatakan "saya perlu melayari internet terlebih dahulu untuk mengetahui kesahihan maklumat sensitif yang awak berikan". Sudah menjadi kebiasaan, jika berita panas saya akan mendapatkan maklumat tersebut pada akhbar yang berhaluan kanan dan berhaluan kiri. Pada mulanya saya merujuk akhbar Berita Harian dalam ruangan Mutakhir dengan tajuknya Tiga gereja dilempar bom api: KPM. Kemudian saya melatari Harakahdaily dalam ruangan berita dan merujuk tajuk Muslimat PAS kutuk serangan gereja. Dengan segera saya hubungi rakan tadi menerusi SMS dengan memberitahu bahawa bukannya rusuhan tetapi tiga gereja telah dilempar dengan bom api, hanya satu yang terbakar. Saya terus menambah dengan menyatakan kejadian ini berpunca daripada rasa tidak puas hati golongan tertentu terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan gereja katolik menggunakan perkataan Allah. Saya juga meyakinkannya supaya jangan takut pihak polis telah berjaga-jaga di kebanyakan tempat beribadat.

Menurut berita akhbar, tiga gereja yang menjadi sasaran mereka yang tidak bertanggungjawab ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati yang berlaku kira-kira pada 12 tengah malam. Bom api yang dilempar meletup dan menyebabkan kebakaran. Dua lagi kejadian berlaku di Gereja Assumption, Assunta di Petaling jaya pada jam 4 pagi dan di Gereja Chappel di Damansara pada jam 8 pagi. Bagaimanapun, bom api yang dilemparkan tidak meletup. Ekoran daripada peristiwa pahit ini, KPN mengarahkani pihak polis meningkatkan kawalan keselamatan di kebanyakan rumah ibadat di seluruh negara. Kawalan segera dilakukan bertujuan memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tindakan liar dan ganas ini tidak wajar dilakukan sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah tinggi tempoh hari. Sepatutnya mereka perlu mengadakan rundingan dan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak-pihak tertentu termasuklah institusi-institusi agama yang berkaitan, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa badan lain yang berkaitan. Kemudian barulah ditentukan jalan penyelesaian berdasarkan situasi menang menang.

Menuru Dewan Muslimat PAS Pusat perbuatan keji yang dicetuskan oleh mereka yang kurang mendalami ilmu agama menyalahi prinsip Islam dan bercanggah dengan perlembagaan negara yang mengamalkan kebebasan beragama dan islam sebagai agama rasmi. Tindakan ini bertentangan dengan prinsip Islam dan tidak melambangkan kesucian Islam. Islam pada dasarnya menjamin kesejahteraan ummah dan menghormati penganut agama lain.

Dengan meletusnya tragedi ini sedikit sebanyak telah menjejaskan keharmonian antara penganut agama yang berlainan di negara ini. Perasaan ini tidak diserlahkan secara terang-terangan. Pastinya terbuku dan terpendam di dalam hati. Golongan yang tidak rasional ini secara terburu-buru sengaja merosakkan rumah ibadat. Mereka telah menimbulkan kemarahan dan kebimbangan masyarakat secara keseluruhannya. Sikap samseng mereka telah menjejaskan hubungan masyarakat majmuk di negara ini. Jika pihak polis berjaya menjejaki dalang dan mereka yang terlibat. Mereka mesti ddakwa di mahkamah dan siandainya cukup bukti. Hukuman yang sewajarnya mesti dikenakan iaitu 20 tahun penjara.

Thursday, December 31, 2009

TAHUN BARU DIIRINGI DENGAN KENAIKAN HARGA GULA

Tepat 12.00 tengah malam, 1 Januari 2010 harga gula naik RM0.20 sekilogram. Pada kali ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia berjaya merahsiakan perancangan kerajaan untuk menaikkan harga gula. Kemungkinan besar pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna tidak mengetahui langsung bahawa harga gula naik pada jam 12.00 tengah malam 1 Januari 2010. Sekiranya khabar angin tersebar sana sini pastinya kegiatan memyorok gula oleh pemborong-pemborong akan berlaku. Dengan cara inilah mereka boleh mengaut keuntungan yang banyak. Akibatnya bekalan gula di pasaran berkurangan.

Dengan pengumuman ini para pengilang, pemborong dan peruncit yang secara kebetulan ada menyimpan stok yang banyak akan mengecap keuntungan yang banyak. Tahun 2010 membawa tuah kepada mereka kerana dengan tidak diduga sama sekali kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula RM0.20 sekologram beberapa jam sebelum tibanya tahun baru.

Bagi pengguna pula inilah berita yang kurang menyenangkan terutama sekali golongan petani dan pekebun yang tinggal di kampung-kanpung. Kebanyakan mereka mengamalkan peratanian sara diri dan tiada pengetahuan yang mencukupi untuk mengamalkan pertanian secara komersial. Dengan kenaikan harga gula dan roti putih kos hidup pengguna semakin meningkat. Gaji dan pendapatan sebahagian besar pengguna masih pada tahap yang sama. Dengan ini nilai pendapatan kebanyakan individu semakin berkurangan. Daya beli pengguna semakin terbatas kerana sejumlah wang tertentu terpaksa diperuntukkan kepada gula dan makanan yang bahan mentah utamanya ialah gula.

Dalam tempoh yang terdekat kebanyakan sumber makanan juga akan turut naik terutama sekali makanan dan minuman yang memerlukan gula sebagai bahan asasnya. Kepada mereka yang gemar makan dan minum di restoran, kedai kedai dan warong-warong harga setiap jenis minuman kecuali air suam dan air kosong akan naik harga sekurang-kurangnya RM0.10. Begitulah juga makanan yang perisa utamanya gula termasuklah pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk dsbnya. Barang makanan diproses oleh kilang juga sedikit masa lagi akan mengalami kenaikan harga kecuali beberapa jenis makanan yang kenaikan harganya dikawal oleh kerajaan. Kenaikan harganya mengambil masa yang lama kerana pihak pengilang perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia.

Dengan kenaikan harga gula dan roti putih golongan pengilang, pemborong, peruncit akan menikmati keuntungan yang berterusan. Margin keuntungan mereka tidak berkurangan. Tambahan pula barang-barang lain akan turut sama naik harga secara berperingkat-peringkat. Pengusaha restoram, kedai makan dan warong tentunya lebih ceria kerana keuntungan mereka akan terus berlipat ganda. Harga gula naik RM0.20 sekilogram berbanding secawan tek atau kopi yang akan naik sekurang-kurangnya RM0.10. Sekilogram gula sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk membuat 12 hingga 15 gelas/cawan kopi o. Dapat kita bayangkan berapa banyak keuntungan yang dinikmati mereka. Sebenarnya kenaikan harga gula dan roti putih ini kesannya negatif ditanggung oleh pengguna.