Saturday, May 15, 2010

PKR DALAM ANCAMAN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang begitu bergaya memenangi 31 kerusi parlimen dalam pilihanraya yang ke-12 semakin tergugat kerana kelemahannya berjaya dihidu oleh musuh politiknya. Setelah ditilik dan diperhatikan secara serius akhirnya terjelmalah unsur negatif yang ada dalam parti PKR. Gejala tidak sihat yang dapat dicungkil oleh musuh politiknya ialah ketidaksetiaan dan kejujuran beberapa orang pemimpin dengan parti itu sendiri. Mereka sebenarnya masih belum bersedia untuk menjadi pembangkang yang kental dan sedia berhadapan dengan risiko seandainya ditekan dan diugut oleh parti pemerintah yang juga musuh utamanya. Berbeza dengan ramai pemimpin PAS dan DAP mereka begitu bersemangat dan berjiwa besar untuk bertindak sebagai pembangkang yang bakal membongkar segala penyelewengan dan kepincangan yang dilakukan oleh parti pemerintah. Mereka juga mempunyai sikap seriakawan dan berani. Seandainya diugut dan diancam oleh musuh politik, mereka akan sama-sama berjuang untuk menegakkan kebenaran.

Satu strategi dan propaganda yang menjadi kemarahan dan cabaran parti pemerintah apabila Ketua Umum PKR menyebarkan khabar angin dengan mengatakan sekurang-kurangnya 35 orang ahli parlimen BN akan lompat parti dan Barisan Alternatif sedia ke Putrajaya untuk memerintah Malaysia. Bagaimanapun strategi ini telah gagal dan BN pula yang mengatur strategi bagi memastikan beberapa orang PKR lompat parti. Entah apa strategi sulit yang digunakan dan entah apa imbuhan yang dijanjikan serta diberikan, setakat ini lima orang ahli parlimen PKR yang telah lompat parti. Di samping itu kerusi parlimen Ulu Selangor berjaya dirampas semula dalam pilihanraya kecil yang telah diadakan pada 25 April 2010 dan penamaan calon pada 17 Apri 2010. Begitu pelik lagi ajaib dan mungkin secara kebetulan majoriti yang diperolehi oleh BN sebanyak 1,725 undi. Setakat ini 6 kerusi parlimen telah berkurangan dan tinggal 25 kerusi sahaja di parlimen. Tidak mustahil seandainya sindrom lompat parti tidak dapat dibendung oleh kepimpinan PKR BN akan mendapat majoriti 2/3 di parlimen.

Berita sensasi dan terkini pada 14 Mei 2010 Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong telah mengumumkan secara tergesa-gesa perletakan jawatannya sebagai ahli parlimen PKR dan menjadi ahli parlimen bebas. Beliau juga mengisytiharkan perletakan semua jawatannya dalam PKR. Alasan yang diberikan ialah beliau tidak berpuashati dengan cara kerajaan negeri Selangor menangani isu skandel pasir di Selangor yang dikaitkan dengan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. Satu lagi alasan yang diberikan ialah tidak berpuashati dengan pucuk pimpinan PKR. Alasan ini sebenarnya terhambur daripada kelima-lima ahli parlimen PKR yang lompat parti. Setelah diamati alasan yang diberikan berkenaan pasir tiada kaitan secara langsung dengannya. Beliau sebenarnya harus memberi tumpuan kepada kawasan parlimen Wangsa Maju bukannya bersusah payah memikirkan masalah di Selangor. Entah apa habuan yang diperolehinya sehingga sanggup menggadaikan maruah dengan cara lompat parti. Beliau juga tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepadanya untuk memimpin kawasan parlimen Wangsa Maju di bawah naungan PKR. Sebenarnya kerjaya politiknya akan berakhir pada pilihanraya yang ke-13 nanti. Sesiapa yang sebelum ini menjadi ahli parlimen pembangkang dan bertindak lompat parti, secara jelasnya kerjaya politiknya akan berakhir bila tempohnya sebagai ahli parlimen matang.

Dalam percaturan politik dan tindakan sulit yang dilakukan oleh musuh politik PKR dalam usaha memujuk dan memperdayakan ahli parlimen yang lain lompat parti, tindakan segera dan berkesan harus disegerakan oleh pucuk pimpinan PKR bagi menyekat dan mengekang ahli parlimennya lompat parti. Harus diselidik dan ditinjau apakah bentuk imbuhan dan ganjaran yang diperoelhi oleh ahli parlimen PKR yang lompat parti. Pada 10 Mei 2010 bekas Ketua Pemuda Keadilan telah mendapat hadiah yang berharga setelah sekian lama berpaling tadah. Beliau telah bergelar senator dan boleh bergaya kerana mendapat salah satu tempat di Dewan Negara. Jika terus duduk dalam PKR agaknya bau Dewan Negara pun tak berpeluang.

Inilah iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh kepimpinan PKR. Calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya harus ada jatidiri yang mantap dan perlu kasih dan setia pada parti. Untuk menjadi pemimpin pembangkang, kepentingn peribadi harus dihindarkan. Seseorang pemimpin pembangkang harus ada semangat perjuangan. Perjuangan yang ikhlas harus ada pengorbanan. Kadang-kadang pengorbanan menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang pemimpin. Seseorang yang ingin bergiat secara aktif dan terbuka dalam parti pembangkang mesti ada sumber kewangan yang mencukupi dalam menyara hidup diri sendiri dan keluarga. Jika semua unsur-unsur ini tiada dalam diri seseorang yang berjuang dalam parti pembangkang pastinya perjuangan dan semangatnya akan terhenti di pertengahan jalan. Bila dalam keadaan terdesak dan tertekan seseorang yang tidak stabil dengan unsur-unsur ini dengan mudah dipengaruhi oleh musuh politik. Dengan cara ini lambat-laun parti akan menjadi lemah,

Dakam waktu yang masih belum kritikal PKR harus mengorak langkah untuk menantapakan parti dengan memilih calon-calon yang benar-banar bersedia untuk bertanding. Calon yang dipilih juga perlu mempunyai prinsip hidup yang mantap dan betul-betul bersedia untuk berkhidmat untuk parti. Kemelut yang sedang melanda jika tidak dibendung dengan segera boleh mengakibatkan parti PKR lemah dan tidak mendapat kepercayaan rakyat. Akibatnya pemimpin-pemimpin yang aktif dalam parti akan bertelagah sesama sendiri. Jika masalah lompat parti ini berterusan dan tidak berjaya disekat akhirnya parti PKR akan rebah sepertimana yang pernah berlaku pada parti Semangat 46.

No comments:

Post a Comment