Sudah dua hari anak kedua saya menjejakkan kakinya ke alam persekolahan. Saya memilih SK Zon 1 Wangsa Maju kerana berdekatan dengan rumah. Perancangan saya dan isteri, setiap hari dia berjalan kaki ke sekolah dengan ditemani kakaknya yang secara kebetulan terus menuju ke SM Zon R1 Wangsa Manju. Hari pertama, ibu dan kakaknya berada di sekolah sehingga waktu rehat. Biasalah untuk mengajar dia membeli makanan di kantin dan ke tandas serta mengingatkan beberapa peraturan sekolah yang mesti dipatuhi. Dari pemerhatian kakaknya sedikit sebanyak dia dapat menyesuaikan dirinya dengan peraturan sekolah dan selesa bergaul dengan kawan-kawan sebaya.
Pada hari kedua persekolahannya, dia dihantar oleh kakaknya ke sekolah. Sebelum keluar rumah, isteri saya telah memastikan dia betul-betul faham beberapa perkara yang perlu diingat dan dipatuhi. Pesanan terpenting ialah setelah sekolah tamat jangan keluar dari pagar sekolah sehungga ternampak ayah, ibu atau kakak menjemputnya di sekolah.
Petang tadi, saya dan adiknya berkesempatan menjemputnya di sekolah. Dia kelihatan begitu riang dan gembita setelah ternampak kami berdua sedang meninggunya di tepi pahar sekolah. Sambil berjalan pulang ke rumah dia beberapa kali menegur kawan yang sekelas dengannya. Dia ternampak dua orang kawannya dijemput oleh ibu mereka dan pulang ke rumah dengan menaiki kereta. Saya menjemputnya dan berjalan kaki sahaja pulang ke rumah. Dia terus memberi cadangan agar saya membeli kereta dan dapatlah dia naik dan duduk dengan selesa. saya terus bertanya, kereta dipandu oleh siapa sambil menguji pengetahuannya tentang penglihatan ayahnya. Dia terus menjawab dengan yakin, "siapa lagi, ayahlah". Saya tidak berkata apa-apa dengan harapan tiada lagi soalan susulan. Dua menyambung cadangannya dengan meminta saya membeli kereta seperti kereta Mak Longnya yang berada di Kelantan.
Rupa-rupanya pada usianya enam tahun empat bulan, dia masih belum mengenali gerak-geri dan kelemahan yang ada pada ayahnya. Dia masih tidak mengetahui mengapa warna biji mata saya berbeza dengan biji mata orang yang normal penglihatan. Jelasnya dia masih tidak mengerti yang ayahnya rabun penglihatan dan tidak mampu memandu kenderaan. Saya masih tidak menjelaskan kepadanya bahawa saya tidak boleh memandu kenderaan. Nanti banyak pula soalan susulan . Sehingga kini dia terus menunggu dengan penuh harapan agar saya membeli sebuah kereta untuk membawanya pulang dari sekolah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment